Sanggup sewa 3 rumah, gaji pekerja urus 700 kucing sakit, terbiar diselamatkan dari jalanan
NILAI: Tidak sampai hati melihat kucing sakit dan terbiar hidup di jalanan, pasangan suami isteri sanggup menyewa tiga rumah untuk menempatkan sehingga 700 kucing yang diselamatkan.
Selain kediaman sendiri di Putrajaya yang menempatkan kucing untuk pertandingan, pasangan Nor Izwan Asli, 42, dan Ernani Hamis, 40, turut menyewa dua lagi rumah di Lenggeng, dekat sini serta Cheras di Kuala Lumpur untuk menempatkan kucing sakit dan terbiar dari jalanan.
Bermula dengan sebuah rumah kampung di Sungai Besar di Sabak Bernam, Selangor pada 2015 yang menempatkan kira-kira 30 ekor kucing, pasangan itu mula menyewa beberapa rumah lain selepas jumlah kucing diselamatkan bertambah.
"Di Putrajaya itu rumah kami sendiri, yang ditempatkan kucing cantik untuk pertandingan, manakala dua rumah lagi untuk kucing bermasalah.
"Mereka (kucing elok dan kucing bermasalah) perlu diasingkan untuk mengelak jangkitan penyakit," katanya.
Mengenai kos ditanggung, pasangan itu mengakui membelanjakan lebih RM20,000 sebulan untuk operasi tiga rumah terbabit meliputi kos makanan, penjagaan kesihatan dan gaji pekerja.
Kebanyakan kucing diselamatkan adalah anak kucing yang tiada ibu, kucing mengandung, mempunyai kecacatan atau kucing berpenyakit.
"Kami hanya selamatkan kucing bermasalah yang ditemui di jalanan... jika kucing jalanan sihat, biasanya kami berikan makanan sahaja," katanya.
Ernani pula berkata, untuk menjana pendapatan, dia dan suami turut menyediakan perkhidmatan 'grooming', hotel kucing dan khidmat penghantaran haiwan itu.
"Dari segi makanan, kebanyakannya ditampung hasil kemenangan dalam pertandingan atau pertunjukan kucing cantik. Setiap bulan kami akan menyertai pertandingan di seluruh negara.
"Selain menyertai pertandingan kucing cantik, kami kerap bekerjasama dengan banyak pihak bagi program 'adoption' (pengambilan anak angkat) setiap bulan bagi memastikan jumlah kucing tidak terus bertambah.
"Ada pihak salah anggap kami jual kucing, sebenarnya caj RM200 dikenakan itu untuk kos rawatan dan penjagaan kesihatan. Malah mereka turut diberikan pakej makanan, peralatan dan 'carrier'," katanya.
Tambah Ernani, dia kini sedang membangunkan taman kucing di Ipoh, Perak untuk membeir lebih keselesaan kepada kucing yang semakin bertambah.
"Kucing-kucing ini memerlukan cahaya dan alam semula jadi. Jika tidak, mereka akan tertekan dan alami penyakit. Jadi taman ini akan memberikan mereka lebih kebebasan.
"Tetapi taman ini mengambil masa lama untuk disiapkan kerana kosnya tinggi. Kami buat sikit-sikit," katanya.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan