MCKK DAN
MALAY POWER
Akhir bulan Mei 1969 kehidupan di MCKK kembali pulih seperti sedia kala. Gulai ikan sardin dan telor tinggal ingatan. Menu Dewan Makan kembali seperti biasa. Ikan, ayam daging kembali di atas meja makan.
Aku perhatikan lori pembekal makanan dari Ipoh atau dari Taiping ada berhenti di belakang Big School. Penghantaran bahan makanan tidak diganggu lagi.
Budak Koleq meneruskan kehidupan sama seperti sebelum dan sesudah Mei 13.
Satu tradisi yang menghidupkan MCKK ialah Tuesday Activity – atau Aktiviti Hari Selasa. Setiap Budak Koleq diwajibkan mengambil bahagian dalam Tuesday Activity.
Pelajar bebas untuk memilih apa saja persatuan yang diminati . Ini aktiviti di luar bilik darjah. Ada pasukan pakaian seragam seperti Kadet, Pengakap dan kumpulan Pancaragam MCKK. Ada kelab amal seperti Red Cross dan St John Ambulance. Ada kelab Cinema.
Kelab renang terus berjalan walau pun di MCKK kolam renang kering. Setiap Selasa Bas MCKK akan membawa ahli Kelab Renang ke Burma Pool di Taiping.
Di MCKK yang tidak wujud hanya Kelab Pandu Puteri.
Paling terulung diantara semua kelab- kelab Tuesday Activity ini ialah Debating and Current Affairs Club – Kelab Debat dan Hal Ehwal Semasa. Tidak semua yang melamar untuk memasuki kelab ini akan diterima.
Prosesnya agak senang tapi mencabar. Yang melamar wajib membuktikan berkeupayaan untuk berucap dengan baik. Berucap dalam Bahasa Melayu dan juga Bahasa Inggeris.
Hakikatnya Kelab Debat ini mendidik ahlinya untuk cekap berfikir, berucap dan berhujah. Ini benih-benih permulaan untuk tertarik dalam hal ehwal semasa i.e agenda sosial dan politik terkini.
Mengasah bakat untuk memimpin.
Pada bulan pertama di MCKK apabila aku wajib membuat persediaan memasuki Aktiviti Selasa. Aku telah memilih Kelab Debat ini.
Berdebar juga ketika aku ditemu duga oleh para senior – Rahman Adnan dan Kasim Ahmad. Kemudian aku diminta berucap dalam bahasa Melayu dan Inggeris.
Aku ingat lagi petang itu selain dari Kassim Ahmad dan Rahman Adnan ada , Mustafa Nor, Rahman Yusof , Hamzah Zin - majoriti ahli Kelab ini dari Tingkatan Enam Atas. Aku , Razak dan Ezani – semua pendatang baru mahu melamar.
Pelajar Tingkatan lima yang menjadi ahli Kelab ini tidak ada kecuali Syed Kadir.
Petang itu aku diterima menjadi ahli Kelab Debat. Jadi setiap Selasa aktiviti aku ialah berdebat dan berbincang hal ehwal semasa.
Kelab ini bersidang dalam bilik khusus dengan meja dan kerusi kayu panjang mahagony berwarna hitam coklat. Meja dan kerusi ini pada hemat aku telah melalui puluhan tahun sejarahnya.
Bilik ini terletak di sebelah Pejabat Guru Besar tidak jauh dari Dewan Hargreaves.
Kalau di High Table Dewan Makan kami diajar cara bersopan menjamah makanan. Dalam Kelab Debat kami diajar cara berhujan dengan sopan. Kami ini adalah anak anak berudu belajar berucap dan berhujah seperti para YB di Parlimen atau peguam di mahkamah.
Setiap Selasa kami akan menimbulkan agenda baru untuk didebatkan. Kalau Selasa ini Bahasa Melayu maka Selasa depan berdebat dan berbincang dalam Bahasa Inggeris.
Mister Tate akan menjadi guru pembimbing dan mengawasi Kelab ini. Hakikatnya Kelab ini terbuka luas untuk membincangkan apa sahaja terutama hal ehwal semasa.
Tahun 1969 dunia anak muda sedang berubah. Latar budaya ialah gerakan Hippies , rock n roll dan gaya hidup baru anak muda . Gaya hidup ini membawa kehidupan bebas dari yang lama, menentang yang kolot dan meneroka satu dunia baru.
Ganja menjadi tanda dan semangat gerakan anak muda ini.
Manakala latar politik pula ialah Perang Vietnam. Perang ini di tentang oleh kaum pelajar seluruh dunia. Anak muda di Amerika , Eropah , Jepun dan Australia telah turun ke jalan raya menentang Perang Vietnam.
Anak muda di Amerika telah dikenakan ‘ draft ‘. Draft ialah sistem paksaan khidmat negara selama dua tahun. Khidmat negara ini bermakna menjadi soldadu pergi berperang ke Vietnam.
Semua ini menjadi agenda yang kami bincangkan dalam Kelab Debat. Kami berbincang hal hippies, ganja, hal Perang Vietnam , dan politik.
Aku merasa dunia aku semakin terbuka luas.
Satu lagi tradisi MCKK ialah wujudnya Student Union. Ada Fifth Form Union dan ada Sixth Form Union. Dua persatuan ini menjalankan pelbagai aktiviti.
Persatuan ini menjalankan aktiviti – Konsert, Pertandang Syarahan, Debat, Talentime atau menjemput pensyarah dari luar untuk berceramah.
Namanya saja Persatuan Tingkatan Lima dan Enam tetapi bila melakukan aktiviti ianya merangkumi seluruh pelajar MCKK. Dari tingkatan Satu ke tingkatan Enam semua menjadi khalayak. Aktiviti ini berjalan dalam Dewan Hargreaves.
Tertiba pada satu hari Selasa di minggu akhir bulan Jun 1969 aku dengar berita tentang Surat Dr Mahathir. Aku dengar berita ini ketika aku bersama ahli Kelab Debat. Ada ahli Kelab telah dapat melihat dan membaca surat ini. Datang melalui pos.
Aku belum dapat melihat atau membaca surat ini. Apa isinya aku tidak tahu. Siapa Dr Mahathir pun aku tidak tahu. Tapi aku rasa surat ini penting kerana ianya menjadi satu perbualan kami dalam Kelab Debat.
Tetapi surat Dr Mahathir ini tidak menjadi tajuk perbincangan mungkin kerana penyebaran berjalan di bawah tanah.
Aku menunggu dan yakin surat ini akan dapat aku baca. Anggapan aku betul.
Tertiba di Dorm Twenty sepucuk surat Dr Mahathir telah sampai juga melalui pos. Awalnya aku nampak Kamaruddin Jaafar membacanya. Sesudah itu beralih dan bertukar tangan.
Surat dalam kertas A4 dua muka ini di saikostail untuk selebaran. Pasti yang sampai ke Dorm Twenty ini bukan edisi pertama atau salinan asal.
Aku perhatikan Wan Magata menulis tangan kembali isi surat ini. Mungkin untuk disebarkan dengan pos kepada yang lain.
Akhirnya Surat Dr Mahathir sampai ke tangan aku. Aku baca. Isinya bersangkutan dengan kritikan Dr Mahathir terhadap Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman.
Mahathir marah kepada Tunku kerana Tunku mengambil sikap ‘ lalai dan lepa’ terhadap China.
Mahathir menimbulkan kes 11 Orang China yang seharusnya dihukum mati tapi telah diampunkan. Mengikut Mahathir ini menjadikan Orang China makin berani.
Aku tidak tahu pun siapa dan apa kes 11 Orang China. Mungkin aku ada membaca di Utusan tapi telah terlupa.
Mahathir menulis bagaimana pada 12 Mei Orang India dan Orang China telah membuat kurang ajar kepada Melayu. Bab ini pun aku tidak tahu. Kurang ajar macam mana kerana aku tidak ada membacanya latar beritanya.
Bagaimana China dan India kurang ajar aku tidak mengerti. Aku tidak tahu apa yang telah berlaku di Kuala Lumpur.
Dari apa yang aku fahami Dr Mahathir mengkritik Tunku. Dari pemahaman aku Tunku telah menjadi pembelot terhadap perjuangan Melayu.
Mahathir memperli Tunku yang klim dirinya sebagai ‘ The Happiest Primie Minister ‘. Bab ini aku tahu kerana aku pernah terbaca bagaimana Tunku telah dinobatkan oleh media Inggeris sebagai Perdana Menteri paling gembira satelah sepuluh tahun menjadi Perdana Menteri.
Surat Dr Mahathir ini hakikatnya mengkritik Tunku. Ianya surat terbuka. Surat ini disebar secara meluas.
Dalam surat ini ada juga disebut tentang darah keturunan Pakistan Mahathir. Ini aku tidak faham.
Aku juga terperanjat bila membaca bahawa ketika negara dalam darurat Tunku asyik bermain poker. Setahu aku main poker ini main judi. Untuk Mahathir ini satu perkara yang tidak bertanggung jawab yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri.
Surat Dr Mahathir ini pada hemat cuba menyedarkan Melayu. Surat yang ditulis pada 17 Jun 1969 ini semua berlatar belakangkan apa yang telah berlaku pada sebelum dan sesudah Mei 13 1969.
Aku lihat Dr Mahathir ini agak sopan terhadap Tunku. Mahathir membahasakan dirinya patek ketika menulis surat ini kepada Tunku.
Aku hairan apakah Dr Mahathir tidak sedar makna perkataan patek ini. Tetapi Dr Mahathir tidak menggunakan - patek pacal yang hina.
Aku tahu makna perkataan patek ini. Aku pernah dengar Emak aku ada menggunakan bila berbual dengan Mak Engku isteri kepada Raja Husin di Kampung Batu Serambai.
‘ Kita ni orang biasa... orang bono... dio rajo..... kita bahasakan diri kita patek....’ Emak aku memberi penjelasan.
Bila aku lihat kamus maka aku terperanjat kerana patek itu ertinya anak anjing.
‘ Mak aa.... aku tak nak pakai patek ....patek ini anak anjing...’ Aku bertengkar dengan Emak aku tentang perkataan patek.
‘ Pokok dek ekao laaa... ‘ Emak aku memberi kebenaran.
Apakah Dr Mahathir tidak tahu makna patek kerana dia ada darah Pakistan. Atau Dr Mahathir sosok yang sopan bila menulis surat kepada Tunku Abdul Rahman dia merendah diri sebagai anak anjing.
Surat Dr Mahathir dari apa yang aku dengar ini tersebar luas. Semua Orang Melayu ingin membacanya.
Nama Dr Mahathir yang berani mengkritik Tunku diikuti pula oleh nama seperti Datuk Harun, Musa Hitam dan Syed Jaafar Albar. Dari akhbar Utusan aku membaca bahawa mereka ini adalah ‘ ultra ‘ . Mereka dianggap ultra Melayu. Aku sebenarnya tidak faham akan makna ultra Melayu ini.
Anggapan aku ultra Melayu ini adalah mereka yang memperjuangkan nasib bangsa Melayu.
Aku ingat lagi aku telah menulis sepucuk kepada Simon Lee a.k.a Lee Keong tentang ultra Melayu ini. Aku nyatakan sokongan aku kepada ultra Melayu sebagai sokongan aku kepada Orang Melayu.
Babak surat Dr Mahathir berlalu.
Satu malam Khamis – Sixth Form Union mengadakan program Malam Pidato. Kami semua berada dalam Dewan Hargreaves. Para senior tingkatan Enam Atas mendominasi pidato malam itu.
Tertiba muncul Basri pelajar aliran Sains Tingkatan Enam Atas. Di mula berpidato. Cukup hebat. Pidato ini makin hebat kerana Basri memakai sarung tangan putih di tangan kanannya. Basri melaungkan Malay Power.
Aku tahu makna Malay Power - kuas Melayu. Slogan yang di laungkan oleh Basri di Hargreaves Hall pada malam Khamis itu adalah akibat dari apa yang telah berlaku pada Mei 13 di Kuala Lumpur.
Kami dan pelajar junior semua senyap. Mungkin ada yang faham dan mungkin ramai yang tidak faham kenapa Basri memakai sarung tangan putih untuk melaungkan Malay Power.
Kemudian di Kelab Debat aku diberi tahu latar belakang ucapan Basri.
Kesahnya begini : Basri pelajar dari Selayang telah mendapat kebenaran untuk pulang ke Selayang. Tujuan untuk mengambil tanda tangan penjaga untuk mengisi borang melamar biasiswa Colombo Plan.
Sabri pulang beberapa hari sebelum hari mengundi. Dari apa yang telah aku dengar Basri telah terperangkap dalam huru hara politik yang sedang berlaku di Kuala Lumpur.
Dari apa yang aku dengar Si Basri telah ikut sama dalam demonstrasi anti China yang bergerak dari Selayang ke arah Chow Kit yang diatur oleh anak anak muda Melayu di Selayang.
Basri Budak Koleq dari Tingkatan Enam Atas telah terlibat sama dalam suasana Mei 13. Justeru ucapan Malay Power.
Tidak berapa lama kemudian dari Library aku terbaca dalam majalah Mastika satu berita tentang Shahnon Ahmad penulis novel Ranjau Sepanjang Jalan.
Sasterawan dari Utara ini telah menulis tentang Malay Power dan Malay Bastard. Mata hati aku terbuka. Aku mula ingin memahami lebih mendalam apa yang sedang berlaku.
Aku juga mula memikirkan konsep Malay Bastard ini. Aku mula memikirkan siapakah Malay Bastard ini. Aku juga mula memikirkan apakah ada kebenaran dari surat Dr Mahathir.
Banyak soalan yang tidak aku temui jawapan.
Akhirnya cuti penggal pertama aku sampai. Aku akan pulang ke Jelebu dan berjumpa kawan lama. Pulang ke Jelebu aku akan melintasi Kuala Lumpur yang masih lagi dalam keadaan tegang. (TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIA NOW .COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2022/08/31/kuasa-melayu-di-mckk
1 ulasan:
Macam selalu you cakap, siapa Cui Bono, siapa untung, siapa rugi? Insiden 13 Mei siapa dapat untung, sesiapa rancang, sesiapa atur gerak, kah kah kah semua wayang belaka, kalau tak dapat debat lawan cara elok, kita cuba cara tak elok, tak belakang, tikam belakang ini sejarah sejak kerajaan melayu Melaka, depa semua cantik belaka, belakang tikam rancang kerja jahat begitu lah sampai sekarang pun sama, tapi siapa Cui Bono siapa untung sejak 1969 sampai sekarang? Itu persoalan betul kah kah kah cuba jawab dengan ikhlas kah kah
Catat Ulasan