Umno mahu saman Astro Awani, Malaysiakini RM25 juta, kata Asyraf Wajdi
UMNO sudah memulakan tindakan guaman untuk menyaman Astro Awani dan Malaysiakini yang didakwa menerbitkan berita fitnah terhadap parti itu, kata Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.
Katanya, kedua-dua media itu, yang baru-baru ini menerbitkan laporan mengenai Umno yang memetik sumber, masing-masing akan disaman RM25 juta.
“Peguam yang mewakili Umno sudahpun menghantar surat tuntutan saman pemula sebanyak RM25 juta kepada pihak Malaysiakini dan RM25 juta lagi terhadap Astro Awani,” katanya, melalui satu makluman di Facebook.
Surat tuntutan Umno kepada Astro Awani dan Malaysiakini dihantar melalui Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq.
Kedua-dua media itu diminta membuat permohonan maaf dan menarik balik laporan mereka berhubung pertemuan ketua-ketua Umno bahagian dan mesyuarat biro politik Umno baru-baru ini, yang juga terkait dengan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas bekas perdana menteri Najib Razak.
Malaysiakini yang memetik sumber melaporkan pertemuan itu tegang dengan pimpinan Umno memberi tekanan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya segera membubarkan Parlimen atau dipecat daripada jawatan naib presiden.
Astro Awani yang juga memetik sumber melaporkan majoriti ketua Umno bahagian menolak cadangan supaya perdana menteri campur tangan dalam kes mahkamah Najib.
Asyraf ketika itu menafikan laporan tersebut.
Asyraf juga berkata tindakan undang-undang berkenaan tidak berhenti terhadap dua media itu sahaja.
“InsyaAllah, jika ada mana-mana lagi pihak termasuk individu yang memfitnah Umno dengan apa juga bentuk laporan, komentar atau berita palsu, saya dan Pemuda Umno tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan serupa,” tambahnya.
Menurut Asyraf, Umno kini perlu lebih agresif menggunakan undang-undang selepas sekian lama membiarkan fitnah berlegar sehingga wujud persepsi negatif terhadap parti dan penyokongnya. – 31 Ogos, 2022.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan