Sabtu, 19 Julai 2025

PROPAGANDA : BOM ISLAM


PROPAGANDA

BOM ISLAM


Saya masih ingat lagi tahun 1980 – ketika itu saya adalah pendatang haram di Pakistan. Saya tinggal  di Karachi. Awalnya saya menumpang dengan  mahasiswa pelajar Patani di No 4 Internasional Hostel Karachi Universiti. Kemudian saya pindah ke  B 52 Haque Bahu Plaza Universiti Road Karachi. 

Tapi bukan cerita hidup pendatang haram  di Pakistan yang hendak saya tulis disini.

Apa yang ingin saya rakamkan disini ialah suasana politik tahun 80’an di Pakistan yang bersangkutan dengan bom nuklear.  Ketika saya menjadi pendatang haram di Pakistan bekas Presiden Ali Bhutto dalam penjara.  Pakistan di bawah pentadbiran askar.

Jeneral Zia-ul-Haq telah merampas kuasa dari Bhutto  pada tahun 1977. Kemudian Jeneral Zia memanggil dirinya Chief Martial Law Administrator – Ketua Pentadbir Kerajaan Askar.  Gelaran ini diguna pakai sebelum Jeneral Zia klim dirinya menjadi Presiden Pakistan pada tahun 1978.

Dari segi sejarah Pakistan  - tentera  terus  menjadi   pentadbir negara ini. Republik Islamik  Pakistan klim  sebagai negara pengamal demokrasi berparlimen. Ada mengundi dan ada pilihanraya umum. Tetapi kerajaan sivil tidak pernah melintasi satu penggal  - tidak lebih dari empat tahun berkuasa. Soldadu sentiasa  merampas kuasa dan mengambil alih pentadbiran. 

Kenapa ini berlaku?

Ini berlaku kerana Pakistan sentiasa berperang dengan India. Kali pertama tahun 1947-48 bilamana Pakistan berpisah dari India. Kali ke dua tahun 1965, kali ke tiga tahun 1971 bila mana Pakistan Timur pecah untuk menjadi Bangladesh. Tahun 1999 perang sekali lagi kerana Kashmir  Kali akhir Perang Empat Hari pada Mei 2025. Perang terbaru ini juga berpunca dari  Kashmir.

Bila  Jeneral Zia-ul-Haq  merampas kerajaan dari Zulfikar Ali Bhutto saya mendengar desas desus bahawa Bhutto dijatuhkan  kerana dia sedang merancang untuk membuat bom nuklear untuk Pakistan.
Ketika itu saya terbaca bahawa Media Barat menuduh Pakistan sedang membuat Islamic Bomb. Fasilitas nuklear ini di Kahuta tidak jauh dari Rawalpindi pusat soldadu Pakistan.

Wajib diberitahu bahawa India – musuh Pakistan – telah meledakkan bom nuklear pada 18 Mei 1974.  Pada tarikh ini dunia mengetahui  bahawa India kini telah memasuki Kelab Eklusif Pemilik Bom Nuklear. 

Satelah India  meledakkan bom nuklear di Rajashtan, dunia hanya menunggu  bila pula Pakistan akan meledakkan bom  yang sama.

Di sebelah Pakistan ialah Iran. Di sebelah Iran ialah Iraq. Di sebelah Iraq ialah Israel. Negara yang bernama Israel ini telah memiliki bom nuklear semenjak sesudah  Perang Arab Israel tahun 1967. Israel telah dibantu oleh Peranchis untuk membina fasilitas  tenaga nuklear dan kemudian berupaya memperkayakan uranium untuk membuat bom nuklear.

Hari ini dari maklumat Wikipedia Israel dikatakan memilik 90  butir bom nuklear.

Israel tidak menanda tangani Perjanjian Internasional Atomic Energy Agency (IAEA). Ertinya Israel bebas untuk melakukan apa sahaja  yang bersangkutan dengan tenaga nuklear. Fasilitas nuklear Israel bertempat di  Dimona dalam padang pasir Negev.

Dasar Israel  ialah : Tidak mengakui memiliki bom nuklear dan dalam masa sama tidak menafikan memiliki bom ini. Strategi ini bertujuan untuk terus memberi ketakutan kepada negara-negara Arab di sekeliling Israel.

Pemimpin negara Arab seperti  Muamar Gadaffi dan Saddam Hussein sedar akan bahaya bom nuklear milik Israel. Untuk negara Arab bom nuklear milik Zionis ini akan terus mengancam negara  mereka.

Justeru masuk akal  sebagai pertahanan   negara -negara Arab ini juga mahu memiliki  bom nuklear . Dari segi teorinya  jika sesebuah negara ada memiliki bom ini maka tidak ada negara lain yang akan berani mengancam. 

Justeru Muamar Gadaffi dari Libya membina fasilitas  tenaga nuklear. Begitu juga  Saddam Hussein dan  Hafiz al-Assad juga mahu memiliki bom yang sama.

Fasilitas nuklear ini asasnya ialah untuk mengeluarkan tenaga leterik untuk kegunaan sivil. Tapi dari sampah lebihan uranium ini boleh di perkayakan untuk menjadi bom.

Perang 12 Hari  yang baru selesai telah memperlihatkan bagaimana pesawat F-35 Amerika telah datang mengebom dan memusnahkan fasilitas nuklear Iran di Fordo , Natanz  dan Isfahan. 

Presiden Trump klim semua fasilitas nuklear Iran telah hancur lebur dan  musnah. Justeru rancangan nuklear Iran telah gagal. Apa yang di klim oleh Trump ini telah terus di pertikaikan oleh media Amerika. 

The New York Times  memperlekehkan kenyataan Trump. Mengikut maklumat yang dikorek oleh akhbar ini bahan-bahan nuklear Iran sudah berpindah lama ke wilayah yang lebih selamat. Justeru projek nuklear Iran hanya terganggu untuk beberapa bulan.

Hakikatnya seperti kenyataan Tuan Speaker Iran :
Ilmu pengetahuan tidak akan dapat di musnah oleh bom.

Kita lihat dan tunggu apa yang akan Iran lakukan seterusnya. Ketika ini Iran tidak mahu lagi terikat dengan Perjanjian IAEA. Malah Iran juga enggan mengadakan perundingan tentang tenaga nuklear dengan Amerika.

Seyogia di beritahu bahawa Israel pasti mengetahui  apa yang sebenarnya  terjadi kepada  fasilitas nuklear Iran.  Tali barut  Israel dalam Iran dan Mossad pasti  mengetahui hakikat yang sebenarnya.

Dalam masa yang sama jika sah dan sahih apa yang dikelim oleh Trump tidak semestinya Israel akan selamat. Di sebelah Iran ialah Pakistan. Negara ini sah dan sahih memiliki bom nuklear. Dari fakta risikan hari ini Pakistan memiliki  170 ke 200 biji bom nuklear.

Dalam temu bual dengan CNN pada 2011 yang di pungut dari portal  CJ Welerman Show - Netanyhu berkata : ...our great mission ...we must prevent a militant Islamic regime from meeting up with nuclear weapons...or nuclear weapons meeting up with a militant Islamic regime...the first is called Iran the second is called Pakistan...’ 

Justeru persoalan hari ini apakah Israel juga akan menyerang Pakistan. Ini kerana  Pakistan ialah Islamic  Republic of Pakistan – negara Islam.

Satu perkara yang perlu saya tanda merahkan disini. Media Barat selalu menulis bahawa Pakistan di katakan memiliki Islamic Bomb. Walhal  Israel tidak di tuduh memiliki Bom Yahudi atau India memiliki Bom Hindu atau Amerika tidak dituduh memiliki Bom Kristian.

Jelas  secara halus propaganda untuk menumpaskan dan menyerang Pakistan telah lama bermula. Hari ini umum mengetahui bahawa  kumpulan Zionis Kristian bersama kumpulan Hindu sedang melobi  pentadbiran Trump untuk melakukan sesuatu terhadap  Pakistan.

Kumpulan-kumpulan Hindu di India kini mengeluarkan propaganda bahawa Pakistan adalah  negara yang  menaja dan memberi dana terhadap kumpulan pengganas  yang memakai jubah Islam. 

Kalau Iran dituduh mendukung pengganas  Palestin. Pakistan pula dituduh menyokong pengganas dari Kashmir.  Hujah ini diperkuatkan lagi dengan bukti bahawa sebelum dibunuh arwah  Usama bin Ladin  telah  disorokkan dengan selamat di Pakistan.

Dasar Zionis Israel ialah tidak akan membenarkan negara Islam memiliki bom nuklear. Dari segi  fakta sejarah Israel telah mengebom fasilitas nuklear Iraq pada tahun 1981. Pada 2003 Libya telah memusnahkan fasilitas makmal nuklear sendiri hasil tekanan Amerika. Pada 2018 Israel mengakui telah mengebom dan memusnahkan fasilitas  makmal nuklear Syria pada tahun 2008.

Perlu diberitahu disini bahawa pada tahun 1981 Israel telah memiliki satu rancangan khas untuk memusnahkan fasilitas nuklear Pakistan yang terletak di Kahuta.

Ada kerjasama Israel dengan India dalam usaha untuk memusnahkan fasilitas  Kahuta ini. India telah membenarkan pesawat F-16 Israel untuk berlabuh dan mendarat di India untuk menyerang Pakistan. Operasi ini dikenali sebagai Operation Shakti. Soldadu Israel yang akan mengambil bahagian dalam operasi ini dilatih di India.

Rancangan jahat Israel dan India ini telah dicium oleh lembaga risikan Pakistan. Ini berlaku di zaman pentadbiran Jeneral Zia.

Justeru Jeneral Zia telah memberi amaran kepada Israel ‘... if you strike at Kahuta...we will strike at  Dimona... jika kamu bom Kahuta kami akan bom Dimona.

Jeneral Zia juga memberi amaran kepada India. Jika Israel  mengebom Kahuta Pakistan akan menyerang India.  Kata-kata keras dari Jeneral Zia ini telah  menakutkan India. Tanpa sokongan India kepada Israel projek mengebom Kahuta ini tidak akan berjaya. Maka  Operasi Shakti ditamatkan.

Tetapi projek untuk memusnahkan Kahuta dan memastikan tidak ada negara Islam memiliki bom nuklear terus berjalan hingga ke hari ini. Badan pelobi, lembaga pemikir dan kumpulan Zionis Kristian yang bersarang di Washington terus  mengeluarkan propaganda bahawa Bom Islam Pakistan ini satu masa nanti akan jatuh ke tangan  ekstremis atau pengganas Islam.

Sesudah Perang 12 Hari ini tamat kelihatan Zionis Israel sedang mengarahkan  perancangan mereka terhadap Pakistan. Israel kini melihat peluang terbuka luas untuk memusnahkan apa yang di panggil Islamic Bomb. Pada ketika ini Pakistan dalam keadaan huru hara.

Kerajaan tentera yang korup telah memenjarakan Imran Khan yang di pilih oleh rakyat. Dalam masa yang sama ekonomi Pakistan dalam keadaan yang nazak. Di tambah pula oleh pukulan malapetaka banjir.

Saya yakin ketika ini Mossad sedang merancang dan mengenal pasti para saintis nuklear Pakistan, para Jeneral yang berpengaruh dan para pemimpin politik Pakistan. Alamat dan tempat tinggal mereka sedang dimasukkan ke dalam data yang akan digunakan tidak lama lagi. 

Apakah Israel akan menyerang Pakistan ?  

Jika mengikut pandangan Netanyahu Pakistan sama bahayanya dengan Iran. Justeru kita tunggu dan lihat apa yang akan dilakukan oleh Israel terhadap Pakistan. Amin. (TT)


TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI . COM
https://www.malaysiakini.com/columns/749347




















 




Tiada ulasan: