Pemimpin blok pembangkang adakan perjumpaan khas, bincang cadangan tubuh barisan rentas parti
KUALA LUMPUR: Satu perbincangan khas membabitkan pemimpin daripada parti-parti blok bukan kerajaan, telah diadakan pada petang tadi berhubung cadangan penubuhan sebuah barisan rentas parti.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin, dalam hantaran melalui Facebook beliau, malam ini.
Muhyiddin memaklumkan bahawa barisan rentas parti itu akan mengambil pendirian bersama dalam hal-hal yang menyentuh kepentingan rakyat dan negara.
Beliau berkata, cadangan penubuhan itu bertujuan memperkukuhkan peranan semak dan imbang parti pembangkang di dalam dan luar Parlimen.
"Saya telah mengadakan perbincangan bersama ketua-ketua parti blok bukan kerajaan, petang ini, bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai cadangan penubuhan sebuah barisan rentas parti yang akan mengambil pendirian bersama dalam hal-hal menyentuh kepentingan rakyat dan negara," katanya.
Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU berkata, antara pemimpin menghadiri perbincangan itu ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Selain itu, Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai; Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Punithan Paramsiven; Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; dan Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr Ibrahim Ali.
Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan Subraniam; Pemangku Presiden MUDA, Amira Aisya; Ketua Belia Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP), Sathiah Sudakaran; Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Zamani Ibrahim; Presiden Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Prof Dr P Ramasamy; dan Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP), P Waytha Moorthy.
Muhyiddin berkata, semua yang hadir memberikan maklum balas amat positif terhadap cadangan berkenaan.
"Insya-Allah, saya akan membawa pandangan yang diutarakan dalam pertemuan ini ke Mesyuarat Majlis Tertinggi PN akan datang," katanya.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan