Rabu, 15 Oktober 2014

MENENTANG AKTA BAGINDA QUEEN













AKTA BAGINDA QUEEN

Petang Senin lalu aku ke mahkamah lagi. Aku telah dan sedang dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan 'menghasut' – dibawah Akta Hasutan 1948. Tulisan aku ini bukan bertujuan mencari simpati. Aku menulis kerana ingin menerangkan duduk pekara. Untuk memberi pencerahan dalam usaha menghapuskan Akta Hasutan 1948. Tulisan ini aku harapkan akan dapat membantu aku menggulingkan kerajaan United Malays National Organisation.

Jangan risau, jangan takut apabila membaca ayat – menggulingkan kerajaan. Menggulingkan kerajaan bukan satu kesalahan. Di Amerika proses menggulingkan kerajaan berjalan lima tahun sekali. Parti Republikan menggulingkan Parti Demokrat. Obama menggulingkan Bush. Di United Kingdom Parti Konservatif menggulingkan Parti Buruh. Jadi, guling mengguling ini satu lumrah politik. Kerajaan Siam entah berapa kali kena guling. Kerajaan Siam berguling-guling tetapi kota Bangkok masih wujud.

Justeru menggulingkan kerajaan United Malays National Organisation bukan sesuatu yang menakutkan. Malah untuk aku mengambil ajaran dari kata-kata hikmat ahli falsafah Peranchis Rene Descartes : Aku berfikir maka aku wujud. Untuk aku : Aku menggulingkan United Malays National Organisation maka aku wujud.


Perlu diberitahu bahawa hanya di Malaysia wujudnya perkataan-perkataan yang TIDAK boleh digunakan. Perkataan ini dilarang. Melarang penggunaan perkataan ini sengaja dilakukan untuk menakut-nakutkan orang ramai. Contohnya - perkataan menggulingkan kerajaan. Sosok yang menggunakan perkaatan atau ayat menggulingkan kerajaan ini akan dituduh sebagai 'orang jahat'.

Untuk aku, hakikatnya menggulingkan kerajaan United Malays National Organisation ini adalah satu tugas suci untuk semua warga Malaysia yang memiliki fikrah yang jujur. Malah semua agama dan semua budaya dalam dunia ini menuntut penganutnya bangun menggulingkan kerajaan yang zalim.

Menggulingkan satu kerajaan zalim bukan sesuatu yang baru. Dari Firaun dizaman Mesir Kuno hingga ke zaman Suharto di Jakarta. Dari Ahmad Reza Pahlavi di Tehran hingga ke Mubarak di Khairah – semuanya digulingkan oleh rakyat. Regime ini digulingkan kerana memerentah dengan zalim, membunuh dan memenjarakan musuh politik dan mengamalkan rasuah untuk mengkayakan anak bini dan kroni.

Kerajaan United Malaya National Organisation juga tidak ada bezanya dengan kerajaan Suharto atau Mubarak atau Ahmad Reza. Selama lebih dari dua dekad kebelakangan ini kerajaan United Malays National Organisation bertambah zalim, korup dan angkuh.

Apa yang aku tulis diatas mengikut Akta Hasutan 1948 akan mensabitkan aku untuk dipenjara. Walau pun hakikatnya Najib terlibat dalam kes bunuh Altantuya, Rahim Tambi Cik terlibat dalam kes rogol budak sekolah, Rosmah mendapat dana hampir satu bilion ringgit walau pun bukan jabatan kerajaan.

Jelas Akta Hasutan 1948 ini adalah satu undang-undang yang diwujudkan untuk mempertahan kejahatan dan kezaliman. Hujah aku ini tidak perlu merujuk kitab Lord Denning – hakim besar United Kingdom untuk kurun ini. Hanya mamadai untuk menerima fakta bahawa Akta Hasutan 1948 ini bukan buatan anak watan Tanah Melayu mahu pun warga Malaysia. Namanya sahaja telah jelas menunjukkan bahawa undang-udang ini adalah akta peninggalan penjajah.

Pada tahun 1948 Tanah Melayu di bawah British yang diperentah olek King George ke 6. Ketika Akta Hasutan ini diperkenalkan ke Tanah Melayu, Baginda Queen Elizabeth, Pemaisuri England hari ini masih belum menjadi Ratu. Bayangkan betapa koroknya undang-undang ini.

Sayugia diingatkan tarikh tahun 1948 ini sarat membawa tanda dan makna sejarah. Bagini kesahnya : sesudah selesai Perang Dunia Kedua – penjajah British kembali menjajah Tanah Melayu. Perang Dunia telah memufliskan dana negara Britain. Justeru Tanah Melayu satu-satunya tanah jajahan yang menjadi lubuk emas yang menghasilkan getah dan bijeh timah. Sejarah membuktikan getah dan bijeh dari Tanah Melayu telah menyelamatkan Britain.

Apabila BMA – British Military Administration datang kembali ke Tanah Melayu sesudah Jepun mengaku kalah – suasana politik Tanah Melayu telah berubah. Parti Komunis Malaya, Kesatuan Melayu Muda , Api, Awas , Hisbul Muslimin telah bergerak ke hadapan dizaman Jepun. Kalau penjajah Jepun ditentang mustahil kesampaian British tidak ditentang – inilah mantra kaum nasionalis pada ketika itu.

Sejarah telah merakamkan bagaimana Parti Komunis Malaya bersama gulungan nasionalis telah menggalang setiakawan yang rapat ketika menentang Jepun. Parti Komunis Malaya bersama kaum nasionalis telah mendirikan – Tentera Rakyat Malaya Menentang Jepun. Gerakan ini telah mengangkat senjata menentang fasis Jepun.

Sesudah Jepun mengundur sejarah telah merakamkan bagaimana gerakan buruh, gerakan pelajar, gerakan agamawan – telah berkembang maju. Dalam masa tiga tahun – sekembalinya British ke Tanah Melayu – anak semua bangsa di Tanah Melayu telah bangun menuntut Merdeka. Pengalaman setiakawan dizaman Jepun telah mengikat kesatuan anak semua bangsa untuk banguan menentang British.

Sejarah juga telah merakamkan bagaimana AMCJA-PUTERA telah mewujudkan Perlembagaan Rakyat 1946. Ini adalah dokumen sejarah – perlembagaan baru Tanah Melayu Merdeka yang diperjuangan oleh kaum nasionalis. Dokumen sejarah adalah bukti telah wujudnya setiakawan anak semua bangsa dalam usaha untuk memerdekakan Tanah Melayu.

Penentangan anak semua bangsa terhadap penjajah British dan Baginda Queen telah mencurigakan kuasa kolonial. Ketika kantung kerajaan British kering – jika Tanah Melayu bebas merdeka besar kemungkinan akan berlaku pemberontkan kaum buruh di England. Justeru Tanah Melayu sebagai lubuk emas wajib dipertahankan.

Secara licik British telah melahirkan sebuah parti politik - United Malays National Organisation - yang hingga ke hari ini namanya masih lagi dalam bahasa penjajah. Parti ini menjalankan dasar pecah perentah – hantukkan Melayu dengan kepala Cina – hantukkan Melayu dengan India. Bila ada ketegangan pasti tidak wujud kesatuan. Tidak ada kesatuan tidak wujud penentangan. Ini taktik British dan ini jugalah taktik gerombolan Ketuanan Melayu. Tetapi penentangan terhadap penjajah tidak kendur-kendur malah semakin meluas.

Justeru pada 20 Jun 1948 Darurat telah diistihar. Darurat bermakna satu bukti dimana anak semua bangsa di Tanah Melayu telah bangun menentang penjajah British . Ketika dan dalam suasana inilah Akta Haustan 1948 telah diperkenalkan. Akta ini TIDAK diluluskan oleh Parlimen Malaysia. Akta ini jelas bertujuan untuk mematahkan gerakan nasionalis yang sedang menuntut Merdeka.

Inilah latar belakang Akta Hasutan 1948. Aku harap apa yang aku garap ini akan melahirkan pencerahan. Aku melihat dengan amat jelas kalau pada tahun 1948 akta ini bertujaun untuk menyelamatkan kuasa penjajah British. Maka pada tahun 2014 ini – Akta Hasutan ini bertujuan untuk menyelamatkan parti barua Made in England. United Malays National Organisation - sebuah parti politik yang mengakui berketurunan Bani Melayu tetapi memanggil parti mereka dengan nama British.

Dalam zaman Darurat dahulu ramai kaum nasionalis, pengerak kesatuan sakerja, kaum agamawan yang ditangkap dan dipenjara dibawah Akta Hasutan. Sekarag – pada tahun 2014 – Akta ini memainkan peranan yang sama. Tahun 1948 digunakan untuk mempertahankan penjajah. Tahun 2014 digunakan untuk mempertahankan barua penjajah.

Aku dituduh pada malam 13 Mei 2013 di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur, telah memberi satu ucapan yang ditafsirkan oleh gerombolan bani ketuanan Melayu sebagai menghasut.

Biar aku terangkan disini apa isi kandungan ucapan aku. Jangan salah tafsir. Penerangan aku ini juga bukan untuk menagih simpati. Juga bukan sebagai hujah menentang dakwaan. Apa yang aku tulis ini hanyalah fakta.

Pada malam itu aku telah ' menghasut' para hadirin dalam dewan agar TIDAK menerima keputusan PRU13. Penolakan aku ini berasaskan penipuan yang telah dijalan dan dirancang oleh Suruhanjaya Pilihan Raya. Aku juga telah menghasut pendengar agar menuntut diadakan pemilihan ulangan sekali lagi dikawasan-kawasan yang terbukti ada penipuan. Aku juga telah menghasut hadirin dan hadirat dalam dewan agar keluar ke jalan raya untuk berdemonstrasi.

Isi ucapan aku pada malam itu bukan sesuatu yang baru. Sikap aku memperlekeh SPR juga bukan baru. Pada hemat aku SPR telah merancang dan menyusun satu sistem pilihan raya yang akan memastikan gerombolan Ketuanan Melayu terus berkuasa. Tuduhan aku ini telah dibuktikan saheh apabila BERSIH telah menjalankan Tribunal Rakyat yang meneliti PRU13. Laporan Tribunal Rakyat ini tidak menyakal isi ucapan aku malah memberi pericinan yang rapi tentang peranan SPR yang menipu.

Saranan atau jemputan atau panggilan aku kepada orang ramai dalam Dewan Cina agar turun ke jalan raya juga BUKAN sesuatu yang baru. Aku telah berucap diseluruh pelusuk negara menghasut orang ramai untuk turun ke jalan raya. Aku bersama kawan-kawan telah bertanggung jawab menyusun demo Bersih 2 dan Bersih 3. Aku juga bertanggung jawab merancang dan menganjurkan Himpunan Kebangkitan Rakyat. Malah secara hitam puteh aku telah menerbitkan sebuah buku – Tipu Pilihan Raya – Turun Jalan Raya.

Buku ini adalah himpunan tulisan aku sebagai satu usaha untuk memberi pencerahan kepada oarang ramai terutama kepada anak-anak muda agar mereka akan bertindak untuk menggulingkan kerajaan United Malays National Organisation.

Dalam bahasa Mat Salleh – semua yang aku lakukan ini akan dikhatamkan dalam satu ayat ' so what is new - apa yang baru' . Kalau menggunakan Akta Hasutan 1948 sebagai taktik untuk menakut-nakutkan aku – biar aku rakamkan disini secara hitam puteh bahawa aku TIDAK takut.

Untuk pembaca tulisan ini terutama anak-anak muda aku ada satu pesanan : Dalam negara yang diperentah oleh kerajaan yang zalim berkata benar adalah satu tindakan revolusiner. (TT).



NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa yang ingin melanggan akhbar minnguan ini
sila pukul talipon
03-92-21-30-45
 
-----------

7 ulasan:

Amuraria berkata...

guling menguling bawak bahagia ! ABU !

Tanpa Nama berkata...

tuan tt
juga perlu dingat walau darurat telah masuk 1948 tapi satu parti tidak didaruratkan iaitu umno.kerana umno adalah hasil lukisan british.umno berjuang menentang malayan union bukan british sedang pihak kiri berjuang menghalau british.

sekian

zz

Unknown berkata...

Tt....guling menguling kan mainan biasa semua orang! Mat mongol guling menguling big mama dn minah mongol,hulk horgan guling menguling the terminator ,ada tok guru guling menguling 2 lawan sekali....knapa pula jadi masaalah nk kata menghasut pulu kn.
Kn Tt cuma buat cadangan je guling gulung umnob....tk apa kn sebab menteri nancy kata jika buat cdangan bukan menghasut.

Tanpa Nama berkata...

setuju dengan Isham.

Tanpa Nama berkata...

semoga tt panjang umur.
susuk yang ada hormat diri.

Tanpa Nama berkata...

isham adalah susuk yg jujur dan ikhlas.ketika bro isham sibuk hapuskan ghah..ada susuk jubah sibuk dgn oktofest.sibuk dgn pasma.susuk tu bukan gagal faham tp buat2 tak paham asal masyuk..byk yg aku blaja dr bro isham bbanding suku mhukum..god bless u bro isham..

Tanpa Nama berkata...

ketika tulisan ini dilakarkan mungkin ada cahaya didalam kegelapan....bukan diminta nasib begini....tetapi inilah yg tertulis...belum tentu dlm sejuta manusia ada seorang hishammudin rais..ada sesuatu yg akan menjadi khazanah sepanjang zaman...setiap yg hidup pasti mati...tetapi tukar tiub akan hidup selagi adanya manusia di muka bumi...takkan hilang tukar tiub didunia...melayu akan hilang didunia kerana kezaliman....tetapi tukar tiub takkan hilang didunia kerana perjuangan menentang kezaliman pasti kekal selagi adanya syurga dan neraka...inilah sebutir mutiara yg tiada penganti..takpa toksah kita tangisi nasib malang penulis tukar tiub ini kerana selagi wujudnya hujan selagi itulah petir akan memanah..tunggu dan lihat..tukar tiub dan karyanya akan bersemadi tanpa kubur...ertinya selagi ada penganut empat kitab selagi itulah tukar tiub hidup...aku dah merepek sikit ni...biasalah minum kopi..nantilah aku sambung...kalau kena pon 2 tahun lepas tu boleh menaip lagi..u are not typewriter...u r world wide web magazine..dari seorang sahabat yg jasadnya sudah mati....mcm dlm filem...boleh buat filem cerita tukar tiub ni....journey of the king..confirm pecah panggung...tayangan perdana pada 9999...tengok dah tulis tu...confirm tukar tiub masih wujud pada tahun tersebut...gwa mmg terer