Rabu, 24 Disember 2014

RIWAYAT POTONG KAKI







RIWAYAT POTONG KAKI

Mengikut kata Sahibul Hikayat adalah kesah disebuah negeri Entah Berentah. Negeri molek lagilah indah. Negeri turun temurun milik cucu cicit Wan Empok dan Wan Malini.

Kesah ini sampai dari mulut ke mulut. Pada saat dan ketikanya pada hari baik bulan yang baik maka hamba bersurah kesah ini agar menjadi hawa telinga agar menjadi ajaran hendaknya. Amin.

Maka hamba pun memanjang lidah membawa ceritera ini dari Tok Perawi ke Tok Perawi dari Tok Penggwa ke Tok Guru. Dari hulu kampong ke hilir kampong. Dari hulu sungai hingga ke tebing laut. Telinga hamba mendengar kesah ini dari lidah Tok Guru. Jika kesah ini tidak benar maka tidak benarlah cakap Tok Guru. Jika kesah ini pencong maka penconglah hati Tok Perawi. Hamba ini hanya berangan-angan untuk menjadi Perawi Soheh agar anak cucu cicit hamba akan selamat tujuh keturunan.

Mengikut ceritera yang hamba dengar dalam negeri Entah Berentah ini ada seorang Putera Raja yang kacak lagi bergaya. Berdastar macam anak Raja Melaka. Berkuda macam anak Raja Mongolia. Memanah tepat busar mengena apa sahaja. Berlari sederas angin. Berenang sepantas ikan. Bila memanjat kepala tak ubah saperti berok dan ungka. Ada pun nama diberi Putera Buana Embun Nila Derai Ulai Lembayong – dipendekan menjadi Putera Bendul.  Dimanjakan menjadi Mat Bendul

Mengikut tuan empunya cerita Putera Bendul yang masih belum beristeri masih juga belum ditabalkan sebagai Raja Negeri. Ini mengikut surah Tok Guru yang mendengar dari Tok Batin yang mendengar dari Tok Penggawa yang mendengar dari Tukang Masak Istana bahawa Mahkota Diraja telah hilang dilarikan oleh saekor Ungka Bertina. Mengikut yang empunya ceritera Ungka Betina ini pada satu malam yang gelap telah masuk ke bilik Gong Seri dan mencuri Mahkota Diraja.

Adalah menjadi cerita pada satu ketika dahulu Ungka Betina ini hidup makan tinggal dalam Istana. Kesah benar ini menjadi pelik lagi menghairankan kerana Ungka Betina mencuri Mahkota Diraja dengan niat untuk menjadikan anak kesayagannya sebagai Raja.

Adalah menjadi sumpah turun temurun sesiapa memiliki Mahkota Diraja maka Si Polan itu akan ditabalkan menjadi Raja. Inilah adat lama turun temurun yang dibawa dari Bukit Seguntang Mahameru.

Putera Bendul amatlah susah hati kerana belum ditabalkan lagi. Mahkota Diraja telah dilarikan oleh Ungka Betina. Maka untuk membaik keadaan Putera Bendul pun mula menukar corak. Kalau dulu suka bergedebe ke Golok suka bergedebe ke Danok kini Putera Bendul turun ke masjid untuk menunjukkan pada rakyat jelata bahawa dirinya Putera Raja yang adil lagi warak.

Setiap tahun bila bulan puasa masuk Putera Bendul akan berzakat fitrah. Sedekah ke setiap kampong dan desa. Lembu dipotong itik dipanggang orang kampong tak pernah pulang kosong mendapat pelbagai zakat dari Putera Bendul.

Mengikut tuan yang empunya ceritera semua lembu dan itik semua duit dan belanja zakat datangnya dari tangan Mamak Bendahara Kerajaan Negeri. Ada pun Mamak Bendahara ini amatlah bijak lagi bistari mengurus sawah longkang dan parit. Kerana bijak bistari maka Putera Bendul telah menganugerah derajah kebesaran Datuk Diraja Nila Angkasa kepada Mamak Bendahara. Jika dipedekkan maka Mamak Bendahara ini dipanggil Datuk Dna.

Adalah dikatakan tahun yang baru berlalu Putera Bendul ingin berzakat lagi. Maka Datuk Dna telah dipanggil mengadap. Kesah punya kesah cerita punya cerita labon punya Datuk Dna telah berjanji akan memberikan hutan balak kepada Putera Bendul.

Mendegar hutan dara penuh dengan meranti merbau dan jati maka melelehkan air liur si Bendul ini. Maka Putera Bendul pun pergilah berjumpa Pak Sedara Kaya untuk meminjam emas sebara sementara tanah balak diukur dan dikira. Kesah punya kesah maka Putera Bendul pun mula berzakat saentero negeri. Melawat masjid dan surau. Memontong lembu dan kerbau.

Maka hari berlalu bulan pun berlalu. Maka sampai hari dan ketikanya Pak Sedara Kaya datang mengadap Putera Bendul untuk meminta kembali emas sebara untuk meminta duit dan harta. Maka tergesa-gesa Datuk Dna dipanggil datang untuk mengurus hutang piutang.

Datuk Dna mengigil datang. Membawa peta map dan butang. Semua bertujuan untuk mengenal hutan balak dan hutan lojing. Cari punya cari. Peta punya peta. Tok Batin Gua Musang dipanggil datang untuk mengenal hutan melintang. Tok Batin menggeleng kepala. Ada pun mengikut ramalan Tok Batin semua peta dan map tipu belaka. Tidak ada hutan tidak ada balak . Tidak ada jati meranti dan merbau.

Maka amat murkalah Putera Bendul. Muka merah menyinga taring mula keluar. Putera Raja ini merasa dihina dihadapan Pak Sedara Kaya. Putera Bendul merasa dimalukan oleh Datuk Dna. Maka Putera Bendul mahu Datu Dna dihalau ke Laut Kalzum. Tugas digantikan dengan Mamak Bendahara baru. Maka krisis politik mula muncul dalam Kerajaan Negeri Entah Berentah.

Mengikut tuan empunya ceritera Datuk Dna telah mengigil sejuk ketakutan. Apabila Istana murka ertinya masa depan Datuk Dna akan terkubur. Takut punya takut Datuk Dna telah mendengar nasehat Bomoh Suling untuk menjemput datang dua pakar ilmuan yang boleh menyelesaikan krisis politik negeri Entah Berentah dengan Istana Raja.

Maka Datuk Dna dengan cergas dan pantas telah menjemput ilmuan negara bergelar Datuk Serban Berat Sebelah dan ilmuan negara bergelar Datuk Seri Sang Koper. Mereka ini bertanggung jawab melantik diri mereka sendiri sebagai pakar dalam hal politik dan tadbir negara.

Pada hari dan saat yang ditetapkan maka tiga kepala jendul ini pun duduk berfikir. Mengikuit kata sahibul hikayat mereka berbincang pagi dan petang. Dari siang hingga ke senja dari  senja hingga ke subuh mencari jalan bagaimana cara untuk menutup kesah Putera Bendul yang sedang murka dari diketahuii oleh rakyat. Jika penipuan ini diketahui oleh rakyat maka cangkul dan sabit akan datang mencari leher Datuk Dna dan kuncu-kucunya yang kunun menjalankan pentabiran Islam di negeri Entah Berentah.

Rakyat di Negeri Entah Berentah memang telah lama marah kepda Datuk Dna dan kuncu-kuncunya. Rakyat tahu bagaimana hutan balak telah ditebang dan digadai hinggakan orang kampong susah untuk mencari makan. Sungai menjadi kotor. Sawah menjadi kering. Semua akibat hutan balak ditebang. Jika kesah Putera Bendul ini diketahui  rakyat maka retak menjadi belah. Rakyat Entah Berentah akan memukul tabuh dan canang untuk menumbangkan kerajaan yang bertopengkan agama.

Buka fail tutup fail. Buka buku tutup buku. Akhirnya terjumpa sebuh kitab kuno yang dipanggil Kitab Ilmu-Ilmu Sutut. Ada pun Kitab Ilmu Sutut ini adalah kitab ajaran Bani Tamud yang dikatakan telah musnah dalam satu banjir lumpur ribuan tahun dahulu. Kitab Ilmu Sutut ini dikatakan telah ditemui selamat dalam mulut ikan paus yang mati terdampar satelah banjir lumpur reda.

Mengikut pandangan Datuk Serban Berat Sebelah dan Datuk Seri Koper cara terbaik ialah mengalihkan pandangan rakyat dengan mengenalka Hukum Sutut yang dipungut dari Kitab Bani Tamud. Hukum-hukum Sutut ini akan memeranjatkan dan menakut-nakutkan orang ramai. Bila orang ramai terperanjat dan takut mereka akan lupa tentang kegagalan iktisad Kerajaan Negeri Entah Berentah.

Kegagalan Kerjaan Negeri Entah Berentah dalam banyak pekara telah lama tersebar. Kesah-kesah ban balak, kesah anak menantu jadi kaya. Malah kesah baru terbuka tentang Peti Bendahari Negeri penyimpan harta , emas dan dinar dan riyal telah hampir kosong. Orang kampong telah mula berlabon kesah Dayang dan Sida termasuk Pengawal dan Bentara tidak mendapat upah kerja. Jika kesah Putera Bendul ini pecah maka akan terbarailah semua kesah-kesah yang lain. Akan gemparlah Negeri Entah Berentah.

Maka Datuk Dna pun memukul tabuh dan canang. Mengheboh ke saentero negeri bahawa Kerajaan Entah Berentah akan memperkenal Hukum-hukum Sutut. Rakyat diberitahu bahawa satu persidangan khas akan dipanggil untuk meluluskan Hukum Sutut ini.

Hukum Sutut ini amatlah keras lagi menakutkan. Adalah dimaklumkan Si Lelaki yang didapati memakai kasut perempuan maka kaki Si Lelaki ini akan dipotong. Si Perempuan yang memakai lebih dari 3 pasang gelang tangan maka tangan Si Perempuan ini akan dipotong. Manakala jika kanak-kanak lelaki dan perempuan yang didapati kencing berdiri maka dengan serta merta ibu dan ayah kanak-kanak ini akan disebat. Sesiapa yang didapati makan petai jering dan kerdas tanpa menggunakan budu maka Si Pemakan ini akan direjam.

Mengikut kata sahibul hikayat ketika hamba membuka riwayat ini rakyat seantero negeri telah mula takut. Kesah-kesah air sugai kotor kesah sawah padi kesah curi hutan balak telah tidak kedengaran lagi. Orang-orang kampong mula jadi takut dan ngeri. Bayangkan betapa ngerinya jika Si Suami terpakai selipar Sang Isteri jawabnya Sang Suami akan kehilangan kaki.

Sampai kesini dahulu hamba berkesah. Tidaklah hamba tahu apa gerangan berita terjadi kepada Putera Bendul. Apakah hutang Putera Bendul telah diselesaikan oleh Datuk Dna. Apakah Putera Bendul tahu tipu muslihat dan rancangan dua ekor Musang Berjanggut Datuk Serban Berat Sebelah dan Datuk Seri Koper yang sedang membuat Hukum Sutut untuk menutup kesah hubungan Istana dengan Kerajaan Negeri.

Hamba hanya pembawa kesah. Niat dihati nak jadi Perawi. Jika kesah labon hamba ini tidak kena dihati maka hamba candangan mu tulislah sebuah lagi riwayat saperti ini. Walah wal alam bissawab. Amin. (TT)


NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan akhbar mingguan ini
sila pukul talipon:
03-92-21-30-45




------------

17 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ya,delta itu sudah 5 tahun berbanjir ganas.sudah berjanji dengan Sang Hyang Pencipta akar akar memasak bumi pasti mengempang hujan agar delta itu jangan tenggelam demi kehidupan manusia,haiwan dan margastua yg lain.

Amuraria berkata...

kah kah kah ! ABU jangan lupa juga tentang geng pro'ug' !!

Tanpa Nama berkata...

kah kah kah macam baca ujang zaman sekolah dulu

Tanpa Nama berkata...

dikhabarkan juga sang putera bendul ingin membina istananya sendiri kerana istana-istana yang sedia ada tak cukup untuk menyimpan segala khazanah dan hasil mahsul negeri....

Tanpa Nama berkata...

nganyim molek mu ise...hahaha...

Tanpa Nama berkata...

Alkisahnya juga dari hikayat Al syeikh tt wal komunis akan ceritanya yang merawi hadis yang soheh siapakah mat bendol yang menunggang kuda segagah anak putera monggolia?kah..kah..kah..Adakah ini hikayat dari kerajaan mamak bendahara atau pengikut pil kuda yang serban tak masuk oksigen?kah..kah..kah..

Ataupun ini hikayat din jin yang terbang kesana kemari macam polong dalam blog ini?kah..kah..kah..

Tanpa Nama berkata...

Ustaz serban tahi semua tu. Undang undang hud hud ala Pas

Tanpa Nama berkata...

Negeri banjir pasal
> hutan ditebang berleluasa
> tempat tadahan air berkurang
> sutut

Kah Kah Kah


*
**

Tanpa Nama berkata...

Ada seorg lg pembesar bernama sang war tempel blakang...dia ni amat takut dgn undang2 sutut tu...sbb sarbwar tempel blakang ni suka amalan rakyat nabi lut....hukumannya dicincang akan anu dan dimasak kicap. Maka sang war tempel blakang amat benci dgn datuk Dna ni...kua...kua...kua

Adi berkata...

Bro, molek sangat mu nganjingkan dan pukul keliling. Alam Dan Manusia. Alam musnah, habitat musnah dan manusia punah!

Tanpa Nama berkata...

lawak kah kah kah terbaik tt
kiasan kupasan cukup menarik
kalau tak faham lagi tak tau nak kata apa
kelate kelate pas pas pas
kegagalan ustaz ustazah tadbiran
kah kah kah
tak bisa ekonomi tak bisa inggeris tak.bisa tadbir tak bisa urus lah kah kah
pandai bab al kisah al rasuah kum
kah kah kah
banjir dok melanda landa pantai timur
sapa yang dok bantu
saja nak tanya
jangan mare
kah kah kah

Tanpa Nama berkata...

Hai, ada janda kt x sni, kalu ade n kalu nk berkenalan bleh pm saya k!

Tanpa Nama berkata...

Apasai, apasai la hang tak habaq tang dua KAKI geng sutut dah pon kudung tuu khalass...
kita tuggu sat lg kot kot ada sekoq dua pulak lg yg akan hospital kudungkan..he he he depa yg nak nak sgt sutut tu,,
biar tuhan yg sutut kan depa baru padan muka depa yg kaki auta tu noo..

neffs berkata...

stim gila baca ceritera nie.mulutku berburit buritan memaki hamun sang lebai yang siang berlebai lebaian nan malam berbutuh butuhan.

Tanpa Nama berkata...

Kasiahan akan cerita ini...ramai la manusia melayu islam jadi murtad sebab benci hudud...semoga allah hukum golongan ni secepat mungkin dgn hukuman yg tak terperi....inilah cara allah nak zahirkan siapa syaitan dan siapa manusia.

Tanpa Nama berkata...

kalau shahrizat lembu tu janda, ko nak tak? masih lekit lagi, tak payah pakai pelincir

Panah Arjuna berkata...

Nampak macam ko yg gelabah tak tentu hala dengar perkataan hudud Hisam oiiii....