Jumaat, 23 Oktober 2015

DIMANA PERGINYA KATAK HIJAU ITU







NOTA
gwa siarkan kembali
tulisan ini untuk kita 
sesama melihat nilai hidup kita
mencermin diri
bertanya kemana arahnya
tamadun kita dalam
suasana jerebu yang berpanjangan

DARI ARKIB 
RICE COOKER 5 MAY 2006



DIMANA PERGINYA KATAK HIJAU ITU?
Saya dibesarkan di Jelebu yang pada satu ketika dahulu dianggap kawasan pendalaman yang agak ulu. Konsep ‚ Jelebu sebagai kawasan pendalaman – kami terima kerana pada satu ketika dahulu daerah kami adalah tempat di mana orang-orang jahat – gedebe,dan gengster – di buang daerah. Dalam daerah pendalaman kami terdapat kawasan-kawasan bergunung ganang dan lembah-lembah hijau yang subur. Jelebu tersuruk dicelah-celah di kaki Banjaran Titiwangsa.
Di lereng-lereng bukit tertanam pokok-pokok getah. Di kawasan lembah di mana batang Sungai Klawang mengalir ke Sungai Pahang terdapat kawasan perkampungan sawah padi. Di musim menanam padi akan kelihatan beribu-ribu burung Tempua berpindah randah membuat sarang di sekitar kawasan sawah. Sarang mereka bergantungan di atas pohon rumbia atau pokok-pokok yang berhampiran dengan sawah. Burung-burung Pucung pula sering berkeliaran mencari belalang dan ulat serangga. Sesekali ternampak juga burung Bangau mencari anak-anak ikan.
Saya juga selalu ternampak burung Butbut ‚ yang terbang rendah di pinggir kawasan sawah. Burung ini sering disurahkan sebagai memiliki rahsia untuk mengubat tulang yang patah atau seliuh. Manakala di dalam sawah pula akan ditemui pelbagai jenis ikan air tawar , sembilang, keli, puyu, sepat dan haruan. Di antara lopak-lopak sawah ini, jika ada lubuk-lubuk kecil pasti ianya akan menjadi tempat ikan bersarang. Di kawasan lubuk ini juga pasti ada lagi satu makhluk ‚ katak hijau.
Ini bukan saya bernostalgia dan mengelamun tentang kampung. Saya menulis ini kerana pada hari ini semua yang saya tulis ini tidak lagi wujud di Jelebu. Sawah telah kering. Ada yang menjadi belukar. Ada yang dijadikan tapak rumah. Ada juga dijadikan kawasan kebun. Aliran air sungai pula semakin susut. Airnya masih jernih tetapi tidak lumayan seperti satu ketika dahulu.
Lalu saya bertanya ke mana perginya pelbagai jenis burung-burung yang pernah saya nampak dahulu. Di mana mereka mencari makan dan bersarang. Dan ke mana perginya katak hijau yang telah gagal menampilkan diri. Saya telah gagal melihatnya saya hampir 35 tahun. Apa telah terjadi? Saya selalu berfikir dan ingin mencari jawapan.
Bila teringatkan katak hijau ini saya teringat kembali kepada Amerika Latin. Saya sebenarnya tidak pernah sampai ke Amerika Latin. Tetapi pada tahun 1992 dahulu saya pernah menjadi pembantu penyunting sebuah filem dokumentari ‚ Message from Elder Brothers – untuk stesen tv BBC. Filem ini ialah tentang masyarakat Kogi yang tinggal di atas banjaran pergunungan Andes di Amerika Latin. Masyarakat Kogi mengakui bahawa diri mereka adalah abang-abang tua kepada kita semua. Ini kerana mereka tinggal di kawasan pergunungan bersalji yang paling tinggi.
Melalui filem ini mereka ingin menyampaikan satu pesanan penting dan satu peringatan untuk adik-adik mereka ( kita semua ) yang tinggal di bawah gunung. Abang kita ini mengingatkan kita untuk berwaspada kerana salji semakin berkurangan di pergunungan Andes. Menurut abang tua kita, ini satu petanda yang tidak baik.
Filem dokumentari ini dibuat hampir 15 tahun dahulu. Rasa saya memang tidak ramai penonton yang ambil peduli. Ada yang menganggap dokumentri ini sebagai hiburan ringan. Tetapi ketika saya memotong filem ini saya dapat merasakan betapa pentingnya pesanan yang disampaikan oleh masyarakat Kogi ini. Pesanan ini mengingatkan saya kembali kepada masyarakat Maya yang telah mendirikan tamadun mereka di Amerika Latin. Tamadun ini cukup anggun dan tersebar luas. Pada zaman keagungan tamadun ini wujud 50 juta warga Maya. Mereka memiliki tulisan, mengetahui ilmu alam, ilmu bintang dan telah berjaya mendirikan kota-kota yang indah permai. Tamadun ini runtuh dan berakhir di antara 800/900 AD.
Bila kita melihat kembali kota-kota kuno tamadun Maya pasti ada di antara kita yang akan berani dan angkuh berkata – kenapa orang Maya ini bebal sangat memotong semua pokok-pokok di sekeliling wilayah mereka !
Lalu saya berfikir, tamadun Maya yang anggun lagi hebat itu pasti tidak runtuh dalam sekelip mata. Ianya bukan dilanda gunung berapi seperti kota Pompeii atau dilanggar tsunami seperti kota Acheh. Keruntuhan tamadun Maya pasti mengambil masa beratus tahun. Sedikit demi sedikit tamadun ini tergelincir tanpa disedari. Pasti wujud tanda-tanda awal tetapi mungkin telah tidak dipedulikan oleh orang-orang Maya pada ketika itu. Mereka tidak ambil pot atau mereka gagal memahami tanda-tanda ini.
Apa yang sedang terjadi di daerah Jelebu pada ketika ini mungkin tanda-tanda awal. Burung Tempua, Butbut, Puyuh, Pucung dan Bangau yang telah tidak saya lihat lagi mungkin satu penanda. Ke mana agaknya burung-burung ini menghilangkan diri. Apakah mereka telah berpindah. Atau apakah spesies mereka telah pupus. Saya belum menemui jawapan. Malah saya belum pernah terbaca satu kajian untuk dapat menjawab kepada soalan saya ini.
Bila saya pulang ke kampung, orang kampung sering berkata bahawa musim telah berubah. Hujan dan panas datang tidak tentu masa. Musim buah pun telah susah hendak ditentukan. Jelebu yang biasanya kering pada bulan April, May dan Jun kini selalu pula hujan. Hakikatnya cuaca alam telah berubah.
Saya rasa kita semua amat sedar tentang perubahan cuaca ini. Hanya kita masih belum sedar apakah makna yang akan dibawa oleh tanda-tanda dari perubahan ini. Suhu cuaca semakin naik ‚ ini telah menjadi pengetahuan umum. Hujan tidak lagi mengikut musim. Perubahan bukan hanya terjadi di Jelebu. Banjir melanda di sana sini – bukan hanya di Kelantan. Kejadian perubahan cuaca ini bukan khusus kepada satu wilayah, sebuah mukim atau satu negara tetapi keseluruhan dunia hari ini sedang mengalami perubahan kenaikan suhu cuaca.
Bulan lalu Eropah telah di landa banjir. Sungai terpanjang di Eropah  Sungai Danube - melimpah. Sungai Meuse di Belgium melimpah sama. Dalam masa yang sama di Afrika Tengah musim kering terus memanjang. Kemudian saya terbaca tentang Orang Asli di Pahang membantah kerana hutan dara di wilayah kediaman mereka dipotong balaknya. Di Kedah Hutan Belum yang berumur 300 juta tahun kini sedang diancam oleh pembalakan haram.
Kemudian saya juga terbaca pula tentang bagaimana pada hari ini botol dan sampah plastik didapati lebih banyak terapung dari plankton di dalam laut. Ini pasti menyusahkan ikan. Saya juga ada terbaca bagaimana banyak burung Belibis ( seagull) telah ditemui mati tercekik kerana mereka telah menyambar sampah plastik yang terapung di permukaan laut. Malah anak-anak burung ini juga didapati mati di sarang kerana diberi makan sampah plastik oleh ibu mereka.
Semua berita ini boleh kita baca dalam akhbar harian kita. Sekali imbas ianya hanyalah satu laporan berita. Orang Asli di Bera pasti tidak ada hubungan dengan Sungai Danube. Masyarakat Kogi di Andes tidak ada kena mengena dengan burung Butbut di Jelebu. Mungkin berita burung Belibis makan plastik amat melucukan tetapi apa pula hubungannya dengan buah durian di kampung saya.
Tetapi jika direnungkan dan gunakan sedikit buah fikiran maka kita akan dapat melihat satu gambaran yang lebih jelas dan besar. Kita cantumkan semua berita-berita ini. Kita letakkan berita-berita ini dalam satu peta. Maka saya rasa kita semua akan dapat melihat bahawa semua berita-berita ini adalah tanda-tanda awal bahawa tamadun kita hari ini sedang dalam kesakitan.
Perubahan suhu cuaca yang sedang berlaku hari ini akan membawa satu akibat yang menggerunkan bukan sahaja kepada burung, katak, atau binatang tetapi untuk semua makhluk dalam dunia ini. Perubahan ini adalah perbuatan kita sendiri. Kita semua warga dunia bertanggung jawab menebang pokok, menggali bumi, meledakkan gunung dan akhirnya menaikkan suhu cuaca.
Kita jugalah yang membakar minyak petrol sambil memanaskan bumi kerana kita ingin bergerak ke hulu ke hilir. Manusia ‚ kita semua – bertanggung jawab mencemarkan udara dengan bom atom, bom nuklear, dan membuang segala macam sampah kimia yang mengotorkan wilayah kita sendiri.
Hasilnya, katak hijau yang pada satu ketika dulu saya anggap sebagai teman kini telah menghilangkan diri. Katak hijau ini menjadi teman kerana si katak ini adalah tanda untuk saya mengenali lubuk mana yang dipenuhi dengan ikan. Jika lubuk itu kelihatan didiami oleh banyak katak hijau ertinya banyak ikan di dalamnya. Lubuk yang ini baik untuk saya memasang tajur. Bila si katak hijau ini menghilangkan diri, saya melihat ini sebagai satu peringatan probadi untuk diri saya.
Peringatan bahawa tamadun moden yang berasakan kebendaan ini telah memisahkan saya dengan alam. Tamadun moden ini juga telah memisahkan antara kita sesama kita. Seperti tamadun Maya yang runtuh kerana hutan-hutan ditebang, lembah menjadi keing dan akhirnya panen gagal. Saya membaca semua yang sedang berlaku hari ini adalah tanda-tanda peringatan yang
telah datang kepada kita semua. Hanya kita yang lalai dan gagal memahaminya. Katak hijau itu, sama seperti masyarakat Kogi di Amerika Latin sedang cuba memberi tahu sesuatu kepada saya.
Mungkin ada orang yang akan ketawa kerana teman yang memberi ingatan hanyalah seekor katak hijau dari sebuah lubuk di Jelebu. Tetapi pada ketika ini saya lebih yakin tentang tanda dan makna melalui berita yang dibawa oleh seekor katak, walau pun dia telah lama hilang. Ini kerana saya amat mengenali kejujurannya peranannya. Binatang, burung, serangga dan katak tidak pernah berdusta dengan alam.(TT)





----------------

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Cerita katak pulak TT .apa nak buat nak pelihara katak tak berlebuh raya la kita mcm kelantan.bkn ke kelantan dikutuk bagai krn miskin n tak berlebuh raya.hutanpun dimkn org pula.padahal hutan dimana manapun dimkn org juga.tak ada org sgt mengheboh spt dinegeri kelantan.apapun bagus juga lah rencananya wakaupun direcyle.itupun tak mengapa juga benda yg baik elok juga direcyle.

Tanpa Nama berkata...

KATAK dudah di lahap BON BON PADANG

Ingat Mat Bahalol BODOH ke?????

BILYON BILYON boleh buat KATAK jadi CICAK.....

Kepala Otak !!!!!

Nazrio berkata...

Kah kah kah.......
Lagi tanya...
KataK hijau ada
Kat Umah
Tuan presideng
Di Marang sanaaa...
JeLebu memang uLuuu
Bukan "agaK uLu"
Dan jelebu
Memang tempat
'orang buang 'orang jahat
KaH kaH kaH..

Tanpa Nama berkata...

Bilamana manusia meninggalkan kitabnya. Maka dia hilang pedoman dan bersifat binatang itu sendiri malah lebih buruk lagi perangainya. Sebab itu Allah berpesan lihat pada kejadian langit dan bumi, siang dan malam, sesungguhnya banyak pelajaran bagi orang yang mahu berfikir. Kerana malaikat pun heran bertanya kepada Tuhan kenapa mengangkat makhluk yang suka melakukan kerosakan dan menumpah darah sebagai khalifah di muka bumi. Dan Allah saja yang maha mengetahui. So bsrgembiralah TT anda mengikut jalan yang lurus, bukan jalan orang dimurkai atau jalan orang yang sesat.