Sindiket yang telah beroperasi sejak dua tahun lalu itu dikatakan telah menjadikan negara ini sebagai pusat menjalankan kegiatan terbabit.

Namun, tindakan licik sindiket terbabit terbongkar selepas seorang lelaki ditahan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman kira-kira pukul 4 pagi semalam di sekitar Cyberjaya, Selangor.

 
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK),  Acryl Sani Abdullah Sani berkata, bersama tangkapan tersebut, polis turut merampas sebuah komputer riba, beberapa buah telefon bimbit, kad bank yang digunakan sindiket untuk menipu mangsa.

 
Menurutnya, modus operandi sindiket ini ialah mengumpan mangsa dengan menggunakan nama samaran rakyat Amerika Syarikat di media sosial sehingga kesemua wanita itu jatuh cinta.

 
“Apabila mangsa telah jatuh cinta, sindiket akan membuat ‘janji manis’ sehingga mangsa me­nyerahkan sejumlah wang sebelum lesap setelah wang diserahkan.

 
“Mereka yang menjadi mangsa sindiket ini adalah wanita dari negara luar seperti Australia, Perancis, Malta dan Kanada,” katanya di sini hari ini.

 
Mengulas lanjut, Acryl Sani memberitahu, pihaknya kini masih memburu seorang rakan suspek serta beberapa lagi anggota sindiket yang dipercayai masih bergiat aktif dalam kegiatan tersebut.