Rabu, 21 Jun 2017

RIWAYAT MAK JANDA




RIWAYAT MAK JANDA
 BERANAK TIGA

Al-kesah adalah seorang Mak Janda beranak tiga yang duduk jauh  dihujung kampong. Mengikut tuan yang empunya ceritera   riwayat ini tidak ada sangkut paut dengan Bukit Seguntang Maha Meru. Mak Janda beranak tiga ini tidak ada bau bau bacang dengan Wan Empok dan Wan Malini. Walau pun mengikut surah dan sirah bau ketiak Mak Janda ini amatlah tengit lagi busuk.

Ada pun dikesahkan  riwayat  ini adalah  hebat dari segala yang hebat. Ini adalah kesah turun temurun  untuk dijadikan batu pedoman. Jangan diikut jangan ditauladan. Hanya jadikan batu sempadan. Cukuplah saja mendengar ceritera. Tak perlu diikut tak perlu ditiru kerana kopek Mak Janda ini sebesar niru.

Ini adalah riwayat Mak Janda  beranak tiga yang memasang niat pagi dan petang. Merancang menyusun diri untuk berkuasa  dalam negeri. Agar jadi kaya  raya tak terperi-peri.

Dikesahkan Mak Janda ini telah menceraikan suami pertamanya kerana Sang Suami gagal membawa pulang emas walau pun sebesar saga. Jauh sekali membeli cincin permata tanda laki suka kepada dia. 

Mengikut kata sahibul hikayat Mak Janda beranak tiga ini rupanya aneh budi pun tiada. Mulutnya lancap berleter siang dan malam. Badannya pendek setinggi penyapu. Beratnya badan jangan dicongak. Bergerak sadikit memanggil  gempa. Kaki Mak Janda membusut jantan. Lengan Mak Janda  sebesar balak. Jari Mak Janda seulas rotan jantan.

Mak Janda beranak tiga -   dua betina seorang jantan. Adalah dikesahkan pada satu ketika Mak Janda ini merancang dan bermimpi untuk menikahkan dua-dua anak daranya dengan Putera Raja  Berunai. Pilihlah yang mana pekenan. Kalau sudi ambillah dua dua sekali. Termasuk  anak jantan boleh dijadikan pengawal bilik judi.

Mak Janda berangan angan manalah tahu nasibnya badan sendiri. Manalah tahu jika terbuka hati  Raja Berunai sendiri terus meminang  Mak Janda sendiri. Kira punya kira lipat punya lipat Mak Janda  dijadikan bini ke 44. Duduk dalam istana jadi khadam jaga pintu jamban rapat-rapat.

Maka segala dukun dan bomoh telah  dicari dan dilanggan. Berguni bertempayan kemenyan dibakar.  Asap berkepol macam kebun ubi terbakar. Berkoyan setangi telah dipasang.

Pooh kiri pooh kanan dengan berkat ibu kemenyan. Tok Bomoh dan Tok Dukun bekerja siang dan malam.  Menabur jampi menabur serapah hingga habis air liur diludah. Akhirnya Tok Bomoh meminta bahan pengeras. Seluar dalam  Putera Raja  perlu dibawa. 

Puaslah Mak Janda ke hulu ke hilir mencari Tok Batin dan  Tok Fakir. Meminta bantuan kalau kalau Tok Fakir  berakal  panjang.

Mengikut tuan yang empunya ceritera akhirnya Mak Janda jadi kecewa. Frus menonggeng merendam jiwa. Anak betina tak jadi Pemaisuri akhirnya  hidup memilihara kambing biri-biri.

Satelah gagal untuk menjadikan anak betinanya sebagai Pemaisuri Berunai maka Mak Janda sendiri pula mula mengasap diri  memasag niat untuk mencari laki. 

Siang dan malam Mak Janda beramal. Belajar ilmu  Tok Batin Kenaboi. Minyak cenduai minyak pengasih diambil dari puncak Gunung Petasih.

Tok Batin Kenaboi kematnya keras. Jampi serapah mujarab sangat. Gajah dihutan datang meniarap. Harimau dihutan menyerah diri. Buaya disungai tersengeh gigi bila mendengar Tok Batin berperi.

Mak Janda diarah mandi bunga. Berdandan bersiram dalam sedaya upaya. Siang berendam dalam lumpur malam berendam dalam paya.  Agar susu tegang mencanak dan agar punggung  goyang enak.

Putar punya putar. Jampi punya jampi terkena saorang jantan yang sudah punya bini. Maka adalah disurahkan oleh tuan empunya  ceritera bahawa Mak Janda beranak tiga  terus mengarahkan ToK Batin Kenaboi agar menjerat Sang Bini ini.

Maka pada satu malam yang gelap gulita. Ketika kilat sabung menyabung Mak Janda  tiga beranak telah menangkap Sang Bini dan  dimasukkan ke dalam guni.

Esoknya bila guni dibuka Si Bini terlihat muka Mak Janda. Dia terus pengsan   terperanjat takut melihat muka Mak Janda. Apabila sedar dan bangun Si Bini diumumkan telah menjadi betina gila mamai tak sayangkan laki.

Mengikut kata sahibul hikayat pada keesokan harinya Mak Janda pun kahwinlah dengan Mat Laki.

Mengikut tuan yang empunya ceritera Mat Laki  ini berasal dari Pekan  anak lanun  Bugis. Penyamun dilaut penyamun didarat. Ke laut makan ikan ke darat makan biawak. Maka dari sinilah bermulanya riwayat Mak Janda part two.

Sebaik saje selesai menikah maka Mak Janda mula membuka lukah. Tujuh  hari tujuh malam lukah terkangkang. Tidak ditutup tidak dikekang  hingga  kepala lutut menjadi lekang.

Dengan bantuan Tok Batin Kenaboi Mak Janda memberi air nira tujuh keturunan. Ubat penawar ubat penguat. Ini bukan nasi kangkang. Ini bukan nasi wap. Ini air nira tujuh keturunan dari Tok Batin Kenaboi. Sekali minum terasa segar. Dua kali tengok terus terjaga. Kali ketiga terus mengikut apa saja. Menjadi berok memanjat kelapa. Inilah ilmu sakai dipakai oleh betina menjaga laki.

Mengikut kata sahibul hikayat  arahan pertama dari Mak Janda ialah Mat  Laki bersama anak tirinya wajib turun ke Pekan mencari harta kekayaan. 

Dikatakan ada saorang saudagar kain  memiliki berbara-bara emas. Saudagar ini dikatakan memiliki berpeti-peti intan berlian. Cincin rantai anting gelang tangan dan gelang kaki semua dari emas tempawan. Hanya jauhari mengenal manikam. Hanya Muthu  merngenal Maniam. Hanya Mak Janda mengenal Mat Laki.

Kesah punya kesah rupa-rupa Anak Tiri  Mat Jantan  telah berkawan dengan seorang tokan candu dari Pulau Sebatik.  Tokan China  berbadan gempal ini dikenali oleh semua pemadat sebagai China Tembam.  China Tembam ini meliliki sebuah perahu yang keluar masuk membawa  candu dari negeri atas angin. Telah disurahkan bahawa diatas perahu ini juga China Tembam menyediakan candu dan pelacur untuk para pelanggan.

Pada hari dan ketika yang ditetapkan Anak Tiri dan China Tembam telah datang seolah-olah ingin membeli kain dari saudagar kain.   Mak Janda pada ketika ini menyorok dibelakang  reban ayam. Saudagar kain amat gumbira kerana pembeli datang ke rumah. Dengan bangga Saudagar Kain membuka dagangan. Berjela berkoyan  kain dihampar. 

Pilih punya pilih. Tawar menawar. Pada masa dan ketika yang dijanjikan Mak Janda pun masuk ke rumah. Bila sampai di hadapan Saudagar Kain  si Mak Janda terus menyingkapkan kain sarongnya. Bila kain terlondeh keluarlah asap kecubung berkepol kepol dari celah kangkang Mak Janda. Maka Sudagar Kain anak beranak pun jatuh  mabuk pitam dan terus tidak sedarkan diri.

Maka  Mak Janda anak beranak terus mengeledah dan merompak peti emas Saudagar Kain.

Sepurnama  kemudian  Sudagar Kain anak beranak telah puleh. Lalu Saudagar  Kain membuat  aduan kepada Tok Penghulu. Tok Penghulu memanggil semua Tok Empat agar membawa berita  ini ke kampong-kampong untuk mencari Mak Janda anak beranak.

Pada ketika ini Mak Janda anak beranak telah  ada emas  berbara. Hidup mereka tidak lagi teraba-raba.  Mak Janda  ada  jantan dan sida. Ada pengawal dan penjaga. Dalam rumah  ada dayang dan babu untuk membantu didapur dan dalam kerlambu.

Mak Janda melanggan  bidan mengurut. Mamasang bomoh untuk menanam susuk.  Kelenjar ditekan kelenjar dipicit untuk merapat kangkang  penyedap. Muka dibarut muka disalut agar dilihat cantik betul betul macam  sang badut.

Apa diminta apa yang  dapat. Mak Janda anak beranak tidak lagi merempat. Mak janda terus merancang.  Taktha kampong tidak cukup. Tahtha negara menjadi idaman.

Mengikut tuan yang empunya ceritera China Tembam pula  telah menaikkan sauh kapalnya  dari Pulau Sebatik dan terus belayar pulang ke negeri Tong San

Manakala Mat Laki yang sentiasa diberi minum air kemat  sakai kini mengikut saja apa kata Mak Janda. Diarah ke hilir dia ke hilir. Kalau ke hulu dia ke hulu. 

Mengikut kesahnya pada satu petang Tok Empat Anak Gerago telah sampai ke hujung kampong di hadapan rumah Mak Janda. Lalu Tok Empat membuka mulut bertanya menyoal yang patut-patut. Bertanya kesah China Tembam. Bertanya kesah daun kecubung.

Bila Mak Janda terdengar ini maka  maka Mak Janda menyinga marah. Mat Laki menjadi  tak tententu arah.  Rahsia mereka sudah merekah. Mak Janda bingkas memberi arahan agar Tok Empat  Gerago ditangkap segera. Ke dalam guni Tok  Empat dimasukan. Kemudian  disimin untuk disimpan.

Berita rompakan emas berlian makin  tersebar saentero negeri seluruh pelusuk. Satu negara  heboh bercerita tentang rantai  intan merah jambu. Cincin berlian dan anting menjadi bualan tak habis-habis.

Kesah rompakan ini diketahui pula oleh Pak Pandir Pendakwa Raya. Lalu  Pak Pandir datang untuk menyiasat pekara. Pak Pandir muncul di rumah Mak Janda. Bertanya betulkah telah mengambil rantai leher berlian  merah jambu. Betulkah telah mengambil cincin cicin intan berwarna biru. Betulkah Mak Janda telah mengambil gelang permata unggu dari Saudagar Kain.

Mak Janda hanya tersenyum puas. Tidak bersuara tidak menjawab. Mak Janda telah melanggan seorang peguam yang hitam legam untuk menjawab segala tuduhan.

‘ Wahai Pak Pandir Tuan Pendakwa lihatlah leher anak guam saya, lihat tangan  lihatlah jari. Jangan menipu diri sendiri.  Mak Janda tidak berleher untuk berantai berlian. Gelang mustahil  dipakai. Lengannya sebesar balak. Cincin tak muat jarinya. Jarinya   sebesar kaki gajah. Jangan fitnah jangan tohmah. Jangan busukkan  nama Kak Mah. Jangan disimin jangan dirantai.’


Pak  Pandir Tuan Pendakwa Raya termenong sabentar. Dia menjadi takut  apabila teringat perkataan simin. Dengan serta merta  Pak Pandir berkata:


‘ Masuk akal… masuk akal …semua ini fitnah dan tohmah. Kes rantai berlian berwarna merah jambu hanya fitnah merapu. Mustahil rantai intan berwarna merah jambu dapat dipasang pada orang yang tak ada leher. Case close.’ (tt)

NOTA:
Riwayat ini tidak ada sangkut paut denganh sosok yang  sedang hidup atau sedang mati. Selamat Hari Raya


NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan 
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
03-92-21-10-45


--------------------

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kahkahkah.. ini mmg thorbaek lo TT. Guo yg tok minak ponulisan Molayu lomo pon jodi thorboliak bijik moto ngan monangis soyugianya mombaco tolisan tuan TT.

panglimo potaseh berkata...

TT .. bolom den jumpo laey gunong kek Potaseh kah kah kah .. Bukit Porajo kot tompek den botapo dulu.

Tanpa Nama berkata...

bila nak "sita"?

selasa depan?
mungkin rabu depan?
mungkin dua bulan lagi?
mungkin dua tahun lagi?

takpe aje, balek tido!
ZZZZZZZZZZzzzzzzzzzzzzzzz



p.s. tak bole sita, nanti terkena iSLAP selepas sampai kat ofis PUTAR JAYA!
TAKUT SERIBU TAKUT!
SERAM SEJUTA SERAM!!!