KENYATAAN MEDIA
Semalam Shahrizat Abdul Jalil telah membuat kenyataan bahawa Ahli Parlimen Lembah Pantai, YB Nurul Izzah Anwar, adalah seorang “pemimpin media sosial” yang tidak buat kerja di kawasan.
Ini merupakan satu kenyataan yang cemburu terhadap keupayaan pemimpin KEADILAN yang mampu berkhidmat walau terpaksa berhadapan dengan pelbagai kekangan dan halangan, malah kenyataan tersebut sebenarnya memperlekeh anak muda khususnya generasi ‘millenial’ yang sering mendapat berita melalui media sosial.
Pimpinan KEADILAN seperti Anwar Ibrahim, Dr Wan Azizah, Azmin Ali, Nurul Izzah, Rafizi Ramli, saya dan ramai lagi terpaksa berhijrah ke media sosial kerana kami tidak memiliki akses kepada media arus perdana sama seperti apa yang dinikmati pimpinan UMNO-BN. Kami juga jarang sekali diberi peluang untuk menjawab sepenuhnya dakwaan-dakwaan yang dibuat pimpinan UMNO-BN melalui media milik mereka seperti Utusan dan TV3, atau kenyataan-kenyataan kami diputar belit sehingga ramai pemimpin terpaksa menyaman media-media tersebut (dan seringkali pemimpin tersebut menang).
Itulah sebabnya kami selalu menggunakan Twitter, Facebook, WhatsApp dan media sosial lain untuk menyebarkan berita tentang usaha-usaha kami di kawasan, sehingga ada pihak yang sanggup mencipta dakyah pimpinan KEADILAN hanya ‘pemimpin’ di media sosial.
Umum sedia maklum bahawa Ahli-Ahli Parlimen pembangkang khususnya di Kuala Lumpur sering berhadapan dengan pelbagai kekangan dan halangan akibat dari politik dengki yang diamal sesetengah pihak.
Sebagai contoh, pada 18 Jun lalu, Nurul Izzah dan KEADILAN Lembah Pantai telah menganjurkan program sumbangan Hari Raya di Taman Bukit Angkasa untuk 500 warga Lembah Pantai.
Pada awalnya, untuk kemudahan dan keselesaan penerima sumbangan, kami telah membuat permohonan untuk menggunakan Medan Selera Taman Bukit Angkasa yang lapang dan berbumbung. Walaupun pada ketika permohonan tersebut dibuat kami mendapati tiada sesiapa yang menempah tapak tersebut, kami menerima makluman beberapa hari sebelum program bahawa Medan Selera tersebut telah disewa pada hari dan waktu serupa dengan program kami – maka kami dihalang dari menggunakannya. Namun, seperti yang diceritakan sendiri oleh Nurul Izzah melalui Facebook Live yang ditonton lebih 170,000 orang dan disebar lebih 1,600 kali, pada hari program sumbangan, kami mendapati bahawa Medan Selera tersebut lengang dan kosong. Tiada sebarang program pun yang dijalankan di situ pada hari tersebut.
Ini hanyalah satu dari bermacam-macam contoh di mana kerja-kerja Nurul Izzah di kawasan dikekang dan disabotaj pengamal politik dengki. Walaupun begitu, beliau dan pasukan Pejabat Ahli Parlimen terus istiqamah dalam memberi perkhidmatan terbaik buat warga Lembah Pantai.
Sama seperti di kawasan-kawasan bandar di seluruh negara, Lembah Pantai mempunyai jumlah pengundi generasi ‘millenial’ mencecah 30%. Realiti inilah yang menyebabkan Khairy Jamaluddin menggesa BN membuang imej ‘Jurasik’ yang ada pada parti itu sekarang. Oleh itu, seseorang pemimpin politik hari ini bukan sahaja perlu bekerja keras di kawasan tetapi juga perlu menjadi seorang ‘pemimpin media sosial’.
Buat pengamal politik dengki, hentikan lah budaya perosak demokrasi ini. Dari pengamatan saya, warga Lembah Pantai cukup muak dan marah dengan budaya dengki ini. Ramai yang saya temui faham bahawa mereka inilah yang sering mensabotaj kerja-kerja Ahli Parlimen pembangkang di kawasan.
Buat Shahrizat, jika dia tetap percaya bahawa gelaran ‘pemimpin media sosial’ bukan gelaran yang baik untuk seseorang Ahli Parlimen, saya mengalu-alukan Sharizat untuk berdepan sendiri dengan pengundi-pengundi khususnya generasi ‘millenial’ di Lembah Pantai pada PRU-14 nanti.
Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN
Ketua AMK Lembah Pantai
20 Ogos 2017
------------------
2 ulasan:
bodoh punya umno..ingat nurul izzah yg cun melecun tu macam lembu ke nak jaga kawasan..ragut kawasan, makan hanya dikawasan dan bila petang pulang ke kondo impian..gua ingat ckp bro tt, umno suka memperbodoh2kan rakyat malaysia yg dah tak bodoh mcm kak ijat..
Sarizat ini bukan reti Melayu pun...dia keturunan kaum EEE....
Catat Ulasan