Isnin, 27 Mei 2019

AL- FATIHAH KASSIM SELAMAT




Al-fatihah Kassim Selamat La Obe

INGATAN kembali pada tahun 1966. Ketika itu gua sedang menunggu keputusan peperiksaan LCE Tingkatan Tiga. Tetiba satu irama muzik baru sampai. Gua yang baru belasan tahun ketika itu akan jadi “belia” jika tidak kenal dengan irama muzik ini. Atau gua tak kenal apa itu James Bond. Walaupun menyebut nama pelakonnya salah – entah Saun Konnery atau entah entah Sin Konnery.

Ketika ini gua terbaca dalam Utusan Melayu (Jawi) mamat bernama John Lennon dan The Beatles dari Liverpool sedang mengharuk kota London. Ketika ini juga gua terbaca George Best, penyepak bola dari Manchester United, telah dinobatkan untuk menjadi ahli kelima The Beatles.

Pada zaman ini, rambut anak muda – yang jantan dan betina – jika ada sikap hormat diri, akan menyimpan rambut panjang. Yang lelaki cuba memakai jambang. Semuanya cool dan semua menjadi super cool. Ketika ini gua terbaca di Utusan Melayu (Jawi) berita melaporkan M. Zain (Labu) didenda 200 Ringgit kerana mengunakan ganja di Singapura .

Ini era 60-an. Ini zaman gua jadi anak muda. Ini sebelum Woodstock. Hippies baru nak muncul. Di Eropah, era ini dicap dan dinobatkan sebagai The Sixties. Muzik, fesyen, bola, ganja dan seks mula berkenalan untuk meneraju dan mengubah dunia. Dunia sedang diasaskan dan diubah oleh gelombang anak muda.


Era 60-an ini diijabkabulkan dengan pesta demonstrasi pelajar siswa di kota Paris pada Mei ‘68. Demo merebak dari Paris ke London ke Berlin ke Tokyo ke Washington DC dan akhirnya sampai juga ke kampus Universiti Malaya pada tahun 1969.

Gua tulis ini untuk memberi gambaran latar belakang budaya yang membidani apa yang kita kenali hari ini sebagai Pop Yeah Yeah. Pada zaman ini lahir A. Ramlee dan The Ryhtm Boys, Jeffri Din dan The Siglap Five. Gua akan dilihat belot pada sejarah jika gua tidak merakamkan bahawa pemula semua ini adalah M. Osman dengan Suzanna.

Dunia muzik Tanah Melayu mengelompak – a go go.

Untuk gua, kugiran yang paling cool pastilah The Swallows dan Kassim Selamat. Ini kugiran dari Singapura. Dunia pop Tanah Melayu menggelegak dengan La Obe. Irama A-Go Go menggoncang bumi Melayu.

Faham tak faham bahasa Boyan bukan halangan untuk menjadi peminat setia Kassim Selamat. Gua anggap The Swallows dan Kassim Selamat sebagai kugiran yang paling “counter culture”, bukan kugiran “belia bergerak maju”.

Opss… gua lupa – perkataan kugiran ini muncul pada zaman ini. Singkatan dari “kumpulan gitar rancak”.

Kelmarin, lepas berbuka puasa gua dapat SMS dari seorang kawan. Mamat ini cikgu di  Aswara. Pesanan ringkas: Kassim Selamat La Obe meninggal dunia. Al-Fatihah.

Bila membaca teks ini maka segala ingatan datang kembali. Mustahil gua akan melupakan siapa Kassim Selamat. Mustahil gua melupakan zaman muda gua. Dari funfair ke funfair berebut-rebut membeli tiket untuk melihat penyanyi pop dari Singapura. Tapi Kassim tak pernah sampai ke funfair di Kuala Klawang, Jelebu. Justeru gua tak pernah melihat Kassim dalam tahun 60-an.

Tapi La Obe mustahil akan gua lupa. Ini lagu patah kasih. La Obe dalam bahasa Boyan ertinya sudah berubah. Kisah anak muda ditinggal kekasih. Kasih pertama yang gagal paling menyayat hati. Mustahil gua akan melupakan kekasih gua yang telah lari meninggalkan gua. La Obe adalah gua. La Obe muncul sebelum gua reka konsep “gagalis”.

Gua berkelana tapi hati gua masih terpahat dengan La Obe. Di London gua faham apa makna George Best sebagai Beatles ke-5. Gua terbaca bahawa Sang Beatles sebelum bermain di Cavern Club di Liverpool pada tahun 1961 pernah bermain di Star Club di Hamburg, Jerman pada tahun 1960.

Gua juga terbaca berita Kassim Selamat dan the Swallows pernah dilamar untuk bermain di sebuah kelab di Jerman.

Gua tahu berita ini awalnya dari membaca Utusan tentang bagaimana La Obe menjadi “top hit di Jerman”. Diberitakan anak seorang diplomat di Singapura telah membawa pulang piring hitam rakamam La Obe. Lagu ini dimainkan di radio. Lalu La Obe meledak.

Aduh! Rupa-rupanya bahasa Boyan ini seakan-akan sama dengan bahasa Jerman. Maka La Obe menjadi hot, hot, hot.

Masuk tahun 1998 – gua sudah pulang dari berkelana. Gua mahu bikin filem. Gua mahu anak muda bangun melawan. Lalu gua teringat dengan kisah cinta yang telah berubah. Gua mahu membuat “homage” atau penghormatan kepada kumpulan counter culture yang gua minati.

Gua juga mahu mengingati kembali zaman cool sebelum Melayu suka jadi Tok Arab. Lalu gua merancang dalam skrip agar Kassim Selamat muncul dalam filem Dari Jemapoh Ke Manchestee.

Gua mahu La Obe menjadi lagu tema filem.

Semua perjanjian diurus. Kassim Selamat datang ke Kuala Lumpur untuk penggambaran. Kami bertemu di flat gua di Jalan Permai, Bukit Robson. Sambil minum kopi, gua dan Kassim berlabon.

“Betul ada jemputan untuk The Swallows bermain di Hamburg, Jerman?”, gua bertanya walaupun gua sudah tahu jawabnya.

Kassim menerangkan ketika La Obe melonjak, dia bekerja di Pelabuhan Singapura.

“Susah juga nak cuti masa itu. Kalau ada jemputan, main kat Melaka ke,saya curi curi tak datang kerja.”

“Apa jadi dengan pelawaan itu?” Gua bertanya lagi .

“Susah tak tahu macam mana, kita pun tak ada manager... hal makan minum dan tempat tinggal… maka kami tak pergi… kami tak pergi ke Jerman.”

Maka kami tak pergi. Maka kami tak pergi. Maka kami tak pergi.

Ayat ini mengingatkan gua kepada Pete Best yang tidak pergi bersama John Lennon ke Jerman. Hari ini dia dianggap sama seperti George Best sebagai ahli kugiran The Beatles ke-5.

Apakah akan terjadi jika The Swallows menerima jemputan bermain di kelab di Jerman. Pasti The Swallows dan Kassim sama setaraf dengan The Beatles yang dijemput dari Liverpool. Ketika bermain di Hamburg, John Lennon belum jadi John Lennon. Tapi Kassim dan The Swallows telah ada rakaman piring hitam.

Gua bayangkan anak muda Boyan mengubah muzik dunia sama setaraf dengan The Beatles. Apakah sejarah muzik pop dunia bertambah hasil kreativiti 5 orang anak Boyan? Semua ini muncul dalam ingatan gua.

Dalam Dari Jemapoh, Kassim memakai jaket ketat merah – ini fesyen uniform kugiran Pop Yeah Yeah. Penggambaran dilakukan di studio Paragon di Jalan Chan Sow Lin. Dalam filem ini satu gig anak muda telah memberi penghormatan kepada Kassim kerana La Obe telah sampai ke top Chart muzik radio Jerman.

Band Punk Caburrator Dung dan Joe Kidd menjadi pemuzik dalam filem Jemapoh. Malah gua telah mendapat kebenaran dari Kassim untuk membuat irama baru untuk La Obe. Lagu ini digarap oleh Joe Kidd dan kawan-kawan.

Kepada anak muda yang membaca tulisan ini, gua mahu beritahu seperti kata-kata Yadi (watak utama dalam Dari Jemapoh ke Manchastee): “…masa muda jadi berani….” atau “…angan-angan ada tapi tak pernah jadi cita cita… dah tua jadi takut…”

Ini kata-kata watak polis yang menyesali hidup tuanya kerana ketika muda tidak melakukan sesuatu yang cool.

Pada hemat gua, jika Kassim sampai ke Jerman, dia bukan menjadi Beatles kelima. Kassim dan The Swallows akan menjadi setaraf dengan The Beatles.

Apa yang jelas ialah Kassim terus menjadi buruh di Pelabuhan Singapura. Sejarah tidak dapat diubah. Gua hanya merakamkan sejarah. Sejarah wajib dilakukan ketika kita muda.

Al-Fatihah. – 27 Mei, 2019



-------

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

semoga arwah pak kassim tenang di sana.

panglimo potaseh berkata...

Kassim Selamat nasib nye tetap seperti pacal hina melayu yang lain ..sentiasa selamat. Melayu memang rasa selamat sebab berpayong dibawah 10 kaki payong. Yang tak selamat adalah nasib melayu ..berkurun dikuda kepang ..kuda pelik yang punye telor ditengkok. Dah telor pon kat tengkok itu yg peluang jadi setaraf dgn The Beatle dibiarkan begitu saja ..Kassim rasa lebey selamat kerja basoh kapal.

Tanpa Nama berkata...

One of the best articles I have read this far from you, thank you and Al fatihah Kassim.