KARONA DAN
PERANAN DAULAH
Dunia kita hari ini dalam keadaan huru hara. Muka depan berita tidak ada yang mententeramkam jiwa. Buka akhbar, buka kaca tv, buka laman dan portal internet – semua membawa berita resah lagi gelisah. Bukan hanya kita di Malaysia yang merasa resah gelisah. Seluruh dunia juga sedang berhadapan dengan suasana sama saperti yang kita alami. Amin.
Perang beterusan di Afghanistan, Syria, Iraq, Yaman, dan Libya. Sesekali terbaca berita letupan dan pembantaian oleh Al-Qaeda atau Bako Haram. Di Amerika Orang Hitam mati dibunuh polis menimbulkan kemarahan. Suasana marah ini menjemput orang ramai turun ke jalan. Kemarahan ini merebak ke London, Paris, Melbourne dan Berlin.
Di Hong Kong China Merah mula menunjukkan kuku besi. Di Lautan Sunda China Merah mula nak tunjuk gagah. Amerika secara tepat menjawab perangai samseng China Merah. Trump menghantar dua armada perang - USS Ronald Reagan dan USS Nimitz masuk ke perairaan Pilipina. Ini bertujuan untuk memberi amaran kepada China merah - jangan klim Laut Sunda sebagai milik China Merah. Amaran Amerika kepada China Merah jangan bikin kacau dan bikin huru hara dalam negara Asean. Amin.
Kegelisahan suasana tegang di Lautan Sunda ini ditambah gelisah oleh berita Covid-19. Hari ini Selasa 21 Julai 2020 – angka serangan Karona hampir mencecah 15 juta. Dari data Organisasi Kesehatan Dunia (WHO ) menunjukkan seramai 14,348,858 warga dunia telah serang Karona. Seramai 603,691 warga dunia pelbagai bangsa telah tewas. Di Amerika seramai 143, 834 telah mati. Di United Kingdom seramai 45,132 mati. Di Brazil seramai 80,251. Di Malaysia angka kematian seramai 123.
Kelmarin diberitakan beberapa kluster Karona baru telah mucul. Satu kluster ditemui di sebuah restoran di Brickfiled, Sepang, Kluang, Kucing dan di Terangganu. Berita berita ini membawa gelisah.
Kemudian kita terbaca berita Antonio Guterres Setiausaha Agong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memberi amaran dan ingatan kepada warga dunia. Mengikut laporan akhbar The Guardian London pada 18 Julai 2020 bekas Perdana Menteri Portugal ini telah memberi ingatan dan amaran kepada semua pemimpin dunia tentang bahaya bahaya yang sedang dihadapi oleh anak semua bagsa – warga dunia.
Dalam ucapan Tahunan Yayasan Mandela di Johannesburg Afrika Selatan Guterres telah menyarankan agar Bank Dunia dan IMF ( International Monetary Fund ) melakukan perubahan radikal. Saranan ini dibuat kerana keadaan ekonomi dunia yang sedang huru hara.
Mengikut pandangan Guterres bekas Perdana Menteri dari Parti Sosialis Portugal sikap – meniaga macam biasa – tidak boleh lagi dijalankan. Serangan Karona membawa impak yang memerlukan perubahan radikal untuk umat dunia.
Serangan Karona hari ini menunjukkan betapa rapuhnya pertahanan kesehatan dunia yang selama ini telah tidak dipedulikan. Yang dikejar selama ini hanya untung, laba dan keuntungan maksima.
Keadaan sekarang jelas menunjukkan sistem kesehatan tidak mencukupi, kegagalan membantu pada mereka yang memerlukan bantuan, jurang structural ekonomi yang jelas. Keadaan buruk ini diburukkan lagi dengan pencemaran alam dan pemanasan dunia. Sekali harung segala malapetaka ini datang sarentak.
Antonio Guterres berkata :… the pandemic was exposing “fallacies and falsehoods everywhere: the lie that free markets can deliver healthcare for all. The fiction that unpaid care work is not work, the delusion that we live in a post-racist world, the myth that we are all in the same boat.”
Ekonomi bebas telah berbohong dan menipu tentang keupayaan sistem ekonomi kapitalis menjaga kesehatan untuk semua. Hari ini makin ramai warga dunia kecewa dan melihat pemerentah dan kuasa elit politik status quo sebagai satu ilusi. Pandangan ini dimenifestasikan oleh gerakan #Me Too dan #Black Lives Matter.
Mengikut padangan pemimpin PBB ini ketidak adilan yang wujud dalam Dunia Ketiga hari ini semuanya hasil peninggalan kolonialisma. Amin.
Ucapan yang radikal saperti ini pernah kita dengar satu ketika dahulu dari Bung Karno, dari Burhanuddin Helmi , dari Che Geuvera , dari Ho Chi Minh, dari Mao Zedong, dari Ahmed Ben Bella, dari Patrice Lumumba atau dari Fidel Castro. Ini ucapan jujur isi hati warga dunia yang menuntut keadilan. Ini ucapan perjuangan anak tanah jajahan yang sedang menentang kolonialisma lebih dari 50 tahun dahulu.
Kenapa hari ini ucapan sademikain diulang ucap.
Jawbanya: Ucapan radikal saperti ini muncul kembali kerana ekonomi kapitalisma telah gagal. Covid-19 telah menunjukkan dengan jelas betapa rapuhnya sistem ekonomi kapitalisma. Serangan Karona ini telah membuka mata warga dunia untuk menilai kembali sistem ekonomi kapitalis yang kita guna pakai selama ini.
Sistem kapitalis gagal. Maka peranan daulah muncul ke hadapan. Selama ini kaum pemodal, politikus kanan dan intelektual pemikir kanan amat meluat dan benci jika daulah memainka apa apa peranan yang utuh dalam mengendalikan ekonomi negara.
Mazhab kanan ini mahu daulah memiliki peranan yang amat amat minima. Untuk mazhab ini daulah dilihat sebagai menggangu perjalanan ‘free flow ‘ ekonomi kapitalis. Ajaran dan pandangan fikrah kaum kanan ini hanya mahu daulah menjadi orang tengah. Menjadi orang tengah antara pemodal dengan pekerja. Orang tengah ketika pemaju melakukan rompakan tanah orang kampong. Menjadi orang tengah ketika gaji murah dikenakan kepada kaum buruh.
Daulah jangan campur tangan. Hanya jadi orang tengah.
Virus Karona telah merobek dan memperlekehkan pandangan ini. Malah Korona telah membuktikan bahawa ajaran ini adalah karut marut dan wajib dihumbankan ke dalam tong sampah sejarah.
Lihat bagaimana Trump wakil kapitalis numero uno dunia telah mengeluarkan dana rangsangan ekonomi negara sebanyak 2 trilion dolar pada bulan March dua bulan sesudah Karona meyerang. Ini juga tidak cukup. Pada Julai ini Trump akan menambah dana ransangan ekonomi lagi. Bukan 3 juta bukan 300 juta tapi 3 trilion dollar.
Tak ada tip tak ada top. Senyap menikus lagi tak heboh. Semua Ahli Dewan Kongress tanpa segan silu angkat tangan bersetuju. Kelulusan dasar dana yang paling pantas dalam sejarah Kongress Amerika Sarekat.
Semua yang dicadangkan dan mahu dilakukan oleh Presiden Trump ini adalah satu pengkhianatan terhadap falsafah , akidah, ajaran, dan rukun ekonomi kapitalis. Perbandingan dalam ajaran Islam – dana ransangan ekonomi Presiden Trump ini - samalah saperti makan satay daging babi, minum arak kemudian bezina sambil terkencing dalam Masjid.
Pada minggu lepas di Brussel Belgium 27 pemimpin negara Kesatuan Eropah sedang berdebat tentang jumlah dana untuk bantuan rangsangan ekonomi. Bukan. Mereka bukan berdebat sama ada daulah wajib berperanan atau tidak. Yang dibincangkan ialah berapa banyak dan siapa dapat apa dari jumah 1.8 trilion pound.
Pada satu ketika dahulu jika ada ahli Parlimen, atau ahli Kongress atau mana-mana Parti Politik atau intelektual pemikir yang mencadangan dana bantuan untuk rakayat maka Si Polan ini kan dikutuk habis-habisan oleh media. Kalau sistem sula masih ada maka sosok ini akan disula.
Kita di Malaysia – Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah mencadangkan 250 bilion ringgit untuk rangsangan ekonomi. Kemudian ditambah 10 bilion ringgit lagi untuk membantu Industri Kecil Sederhana. Dana sebanyak ini digunakan untuk sebahagian gaji pekerja yang hilang kerja dan membeli makanan yang diperlukan untuk warga miskin.
Sepuluh tahun yang lalu jika ada sosok pemikir intelektual atau parti politik yang mencadangkan dasar milik negarakan punca punca ekonomi kepada United Malays National Organisation atau kerajaan memainkan peranan lebih luas dalam ekonomi negara maka sosok ini akan dicap subersif komunis anti nasional. Wajib dihantar ke kem Kamunting untuk diubah suai fikrah.
Hakikatnya apa yang berlaku hari ini semuanya adalah ciri dan pola ekonomi sosialisma. Sistem ekonomi dimana daulah memainkan peranan utama. Bukan kaum pemodal. Bukan towkay. Bukan cukung. Pemodal, towkay, tuan tanah dan cukung memiliki akidah untuk mengaut keuntungan. Keuntungan maksima. Manakala daulah bekerja melabur untuk kesejahteraan dan kebajikkan rakyat. Dari ini jelas terbukti bahawa sistem ekonomi sosialisma adalah sistem ekonomi penyelamat umat manusia. Amin.
Betulkah apa yang dutulis oleh Hshamuddin Rais ini? Atau ini hanya satu propaganda sosialis komunis ateis?
Sebenarnya ciri ciri dan pola sistem sosialisma yang mula diguna pakai hari ini telah pernah diguna pakai di Ameriaka Sarekat. Dimana? Biar betul ? Betul. Di Amerika Sarekat.
Ramai pemikir ekonomi mazhab kanan hari ini cuba melupakan fakta ini. Kerana kegilaan mereka menyembah kaum kapitalis maka fakta apa yang berlaku pada Zaman Meleset – Great Depression 1929 ini cuba ditenggelamkan.
Dalam tahuan-tahun 30’an ekonomi Amerika Sarekat jatuh muflis. Ekonomi dunia mengikut sama. Seramai 15 juta atau 25% tenaga kerja warga Amerika hilang kerja. Zaman meleset ini melarat dari tahun 1929 hingga ke perang dunia ke dua. Ketika ini Presiden Amerika ke 32 ialah Franklin Delano Roosevelt (FDR). Sosok FDR ini menjadi Presiden (1933-1945) pada ketika zaman meleset sedang melanda dan mengamok di Amerika dan dalam dunia.
FDR mengajukan dasar ekonomi baru. Apa yang dikatakan The New Deal atau Perjanjian Baru FDR. Ketika ini FDR tidak ada pilihan. Ekonomi telah runtuh. Kaum buruh Amerika tersusun kuat. Kesatuan buruh kompak dan melawan. Parti Komunis Amerika berpengaruh. Rakyat mahu perubahan.
Ombak rakyat Amerika, ombak kesatuan buruh, suara Parti Komunis dan suara intelektual kiri kuat bergenaung mengasak politik Amerika. Ketika ini ombak kiri sedang mengampoh dari Harlem New York hingga ke studio di Holywood. Maka FDR untuk selamat telah mengajukan Perjanjian Baru. FDR mengambil ciri ciri sistem ekonomi sosialis.
FDR mengarah - semua pekerja yang hilang kerja akan mendapat batuan dari kerjaan. Mereka mendapat dana bantuan bukan untuk satu minggu atau untuk satu bulan atau satu tahun. Bantuan dana daulah akan diberikan sahingga sosok ini kembali bekerja.
FDR mengambil dasar ekonomi Keynesian. Dasar ini memperluaskan lagi peranan daulah dan ekonomi negara. FDR melakukan projek dan program dimana dana daulah dilabur. Langkah FDR ini telah berjaya menghalang dan menumpulkan kemarahan rakyat yang semakin kuat menyokong ombak kiri. Rakyat Amerika dan ekonomi Amerika selamat.
Peranan daulah menjana ekonomi ini berterusan salepas perang hingga ke tahun 70’an. Tetiba muncul Milton Friedman pemenang Hadiah Nobel Ekonomi 1976. Imam Kapitalis baru dari membawa ajaran perdaganan bebas. Peranan daulah diketepikan. Ajaran ini dinamakan Chicago School berkembang dari Universiti Chicago. Induk falsafah ajaran Imam ini ialah kesetian kepada pemegang saham.
Ajaran baru ini melupuskan New Deal FDR. Malah garis Chicago School ini melonjak berjaya dengan sampainya Ronald Reagan dan Magaret Thatcher. Apa sangkut pautnya FDR, Reagan dan Thatcher dengan Malaysia. Ada. Ketika Thatcher sampai ke No 10 Jalan Downing , ketika Reagan masuk ke Rumah Puteh Mahathir Muhamad sampai ke Seri Perdana. Pencerahan akan disambung minggu hadapan.(TT)
1 ulasan:
Manakala di Sabah pula kedengaran kerajaan pimpinan Shafie Afdal mula goyang apabila adun2nya mungkin merubah haluan dan rasa. Saperti biasa arah tujuan mrk adalah atas kepentingan rakyat semata2. Bukan sebab duit. Bukan bukan bukan. Bro lu takde berita ternow ke atau Jeng Jeng Jeng. Berita menyusul ke? Camna ngan Shafie Afdal sebagai calun PM dan integrasi semenanjung ngan Sabah/Sarawak? Shafie adalah pilihan terbaik? atau terbalik? Ini bukan saje tanya, gua tanya sungguh2. Boring lah tak abis2 cerita Janda Baik, pau, pisang terjulur dan Abam.
Catat Ulasan