Rabu, 21 April 2021

YANG KEBAL YANG HILANG DAN YANG DIGANTUNG

 


YANG KEBAL

YANG HILANG

DAN

YANG DIGANTUNG

Aku masih ingat lagi petang itu.   Tahun  1964 aku dalam  Tingkatan Satu di  SMUJ – Sekolah Menengah Undang Jelebu  Kuala Klawang.  Pada tahun 1964 Abah aku telah di ‘ draf ’ sekali lagi.  Abah aku panggil kembali untuk menganggotai pasukan bersenjata. Ini  kerana berlaku Konfrontasi (1963-1966) antara Tanah Melayu dan Indonesia. 

Projek kolonial Inggeris untuk mendirikan Malaysia telah ditentang oleh Bung Karno Presiden Indonesia. Tunku Abdul Rahman pada ketika itu mengikut sahaja apa rancangan Baginda Queen. Justeru   Konfrontasi telah  membawa politik gawat dan pertempuran senjata. 

Petang itu  hampir jam 2.00 petang aku sampai ke rumah dari sekolah.  Aku berulang alik ke sekolah dengan menaiki Bas  Sekolah milik  syarikat Bas Lim. Ketika itu keluarga  kami duduk di rumah guru Sekolah Melayu Batu Serambai – tiga batu dari pekan Kuala Klawang.

Mak aku sedang menunggu  kepulangan aku. Dia masih lagi memakai baju kurung putih dan kain batik.

‘ Makan cepat... jap pagi Ayah Mahdi datang.. ambik kita ...kita  pulang ke Tengkek ... Tok Arof kau meninggal  dunia... tadi telegram sampai...kito bertiga  pergi..’   Aku terperanjat mendengar kata-kata dari Mak aku. Aku juga faham bertiga maksudnya termasuk Wan Rahmah aku.

Aku ke dapur untuk mengambil makanan.  Ketika makan  aku cuba mengingatkan siapa agaknya Tok Arof ini.  Sosok ini tak ada dalam ingatan aku.

‘ Sapa Tok Arof ni Wan..’ Aku bertanya pada Wan Rahmah yang sedang mencari kain tudung dan mengisi pakaian ke dalam kerpai.

‘ Waris kito...  Tok Guru  ..’  Wan Rahmah aku jawab pendek.

Kemudian aku menukar pakaian sekolah dengan pakaian biasa.  Abang aku  dan kakak aku masih di sekolah . Dua adik aku tidak akan mengikut kami.  Kakak  dan abang  yang tinggal di rumah aku akan menjaga mereka.



Emak aku memerhati ke luar untuk melihat kereta sampai atau belum

Ini kereta sewa milik   ayah kawan aku. Kawan aku bernama Mahdi – maka Mak aku panggil tuan empunya kereta ini Ayah Mahdi.  

Keluarga kami selalu menggunakan khidmat Ayah Mahdi ini.  Ada sekali  keluarga kami ‘ charter’ kereta Ayah Mahdi ke Port Dickson untuk mandi safar. Agak kerap Emak menyewa kereta Ayah Mahdi untuk   balik kampung  dari Batu Serambai  ke Kampung Tengah.  Terutama musim cuti sekolah.

Ayah Mahdi ini membawa apa yang dipanggil  ‘ prebet sapu’ . Ini teksi  yang tidak memiliki lesen. Semua orang Jelebu tahu tentang khidmat ‘prebet sapu’ Ianya menambah baik khidmat pengangkutan selain dari khidmat  Bas Lim  untuk warga Jelebu.

Kereta Ayah Mahdi sampai depan rumah. Kami  bertiga  turun dan masuk ke dalam perut kereta.

Dalam kereta kami tak banyak cakap. Wan Rahmah dan Emak aku duduk di belakang. Aku duduk di sebelah Ayah Mahdi.  Suasana sugul.  

‘ Arwah  tu sakit apo?’ Ayah Mahdi bertanya.

‘ Sakit tua...’  Mak aku menjawab ringkas. 

‘ Cam mano dengan dio ni? Sapo dio ni...’ Ayah Mahdi nak tahu.

‘ Satu suku... sedara kami... Tok Guru ... Tok Guru silat...’ Wan Rahmah memberi penerangan. 

‘ Yo laaa... dah tuo ... .dah ajal.. nak buek cam mano...’ Ayah Mahdi menenangkan keadaan. Kemudian semua senyap.

Bila kami sampai ke Kampung Tengkek  mayat Tok Arof  telah  sempurna dikapankan. Mayat   terbujur di atas tilam beralas kain batik lepas. Mayat  terletak  di rumah tengah.

Ini rumah kampung di tepi sawah.  Rumah papan beratap rumbia reka bentuk Nogori yang sederhana. Semua ingatan gambaran  ini selalu   bermain  dalam kepala aku.

Sampai hari ini aku masih lagi  tergambarkan kain putih yang membalut seluruh badan Tok Arif. Aku tergambar diri aku  dalam tingkatan  satu  duduk bersila betul-betul berhadapan dengan kaki Tok Arif yang terbungkus oleh kain putih.

Aku hanya duduk bersila. Mata aku memandang mayat yang berkapan. Aku tidak memiliki apa-apa ritual agama selain dari melihat mayat.

Satelah mayat selamat di kebumikan Mak aku minta diri hendak pulang ke Jelebu. Esok hari kerja. Wan Rahmah  dari awal telah merancang untuk tinggal terus di Kampung Tengkek. 

Babak  kematian Tok Arof  amat kuat dalam ingatan aku  hingga ke hari ini. Ada sebabnya. Walau pun aku telah menziarahi banyak kematian  tapi ingatan pada mayat Tok Arof ini terus berkekalan.

Sebenarnya pada ketika itu  aku masih lagi kabur tentang  siapa Tok Arof ini.  Yang aku difahamkan arwah ini Guru Agama dan Guru Silat. Tapi  aku merasa hairan kenapa  Mak aku bergegas  datang dari Jelebu hanya untuk beberapa jam.  Aku merasakan pasti Tok Arof ini sosok penting dalam keluarga  kami.

Dua hari kemudian aku bertanya pada Emak aku.

‘ Mak ...Tok Arof dengan kita macam mana?..’

‘  Kita dengan dia  satu suku.. dia Biduanda  kita pun Biduanda ... dia guru  silat...  dia baik dengan arwah Tok Sidek kau...’  Emak aku memberi penerangan yang agak lengkap.

‘ Silat macam mana  Mak?’

‘Silat... silat  ilmu  orang Melayu... dia pendekar silat...’

Bila mendengar perkataan pendekar  silat ilmu Melayu mata aku terbuka. Untuk aku pendekar ini hebat.   Dalam kepala aku Tok Arof aku samalah seperti Hang Tuah dan Hang Jebat  atau pahlawan dan panglima Melaka yang melawan Peringgi.

‘ Masa Jepun datang  .. dia lawan Jepun ke Mak....’ 

Emak aku memandang tepat muka aku tanpa membuka mulut. Aku lihat emak aku agak berat nak bercerita. Aku menunggu. Mata aku memandang  tepat pada muka Mak aku. Aku  memberi tanda aku ingin mendengar lagi.

‘ Dulu Tok Arof kau bunuh China.. banyak China mati...masa  Melayu perang China di Padang Lebar...’  Aku terperanjat bila aku mendengar surah  ini. Ini kali pertama aku mendengarnya.

Suara Mak aku seperti suara guru yang sedih di hadapan anak muridnya yang gagal dalam peperiksaan.  Aku menunggu sambungan dari mulut Mak aku. Tapi Mak aku senyap.

‘ Bilo ni Mak..’

‘ Lepas Jepun  kalah... ..kau belum ada lagi masa tu..  masa tu Mak ngajar di Sekolah Tapak..’

Bila aku terdengar ayat -  bunuh China di Padang Lebar – ingatan aku kepada Panjang – lelaki China penjual aiskrim dari Padang Lebar. Panjang selalu berbasikal masuk ke Kampung  Tengah dengan peti aiskrim berwarna kuning. Panjang merayau  dari Kampung Keru ke Kampung Majau hingga sampai ke Kampung  Tengah.  Tak ada siapa nak bunuh dia.

Malah aku sendiri selalu membeli aiskrim kacang dari Panjang – lima sen sebungkus.  Panjang aku lihat  selamat berulang alik. 

‘ Petang tu... berita  sampai ...Tok Arof kau berbasikal dari Tengkek datang bawa berita China mengamuk di Pandang Lebar... dia ajak Abah aku sama...’  Emak aku menyambung cerita.

Bila Emak aku menyebut  ayat – Abah kau diajak sama aku tergamam. 

‘ Abah kau dah mengasah parang... tapi masa mengasah tu.. dia terluka..’  Emak aku terhenti kerana aku mencelah pantas.

‘ Luka macam mana... berdarah ke ? ‘

‘ Luka sikit je.... di jari....’ Mak aku berhenti seketika. Dia mengumpul nafas untuk meneruskan cerita.

‘ Ini  pakaian orang dulu-dulu... orang  dulu tahu rasa ... tahu riak...kenal gerak...Abah kau ada juga belajar memakai...dia  rasa tak sedap....langkah kiri langkah kanan..’ Emak aku  menerangkan ilmu pemakaian Orang  Melayu satu ketika dahulu.

‘ Kerana luka tu... Abah kau  tak ikut ke Padang Lebar...’

‘ Apa jadi  Mak...’ Aku bertambah ingin tahu.

‘ Orang Kampung dari  Tengkek  turun ke Padang Lebar..  bergaduh dengan China... Tok Arof kau ada sama... banyak China kena bunuh...kena tikam.. kena parang... kena lembing.. jantan betina .. budak budak pun mati dibunuh...dihumban ke luar tingkap..’ Emak aku menerangkan  seperti guru sejarah. 

‘ Tok Arof masuk  dari kedai ke kedai mencari China... dalam satu kedai ...Towke kedai  sempat  menyorok di belakang tok duit... tok ini berlubang..  dia dapat memerhati muka Tok Arof kau... dia kenal.. dia cam muka Tok Arof kau...’  Emak aku berhenti dari kuliah sejarahnya.

Aku tidak berani bersuara. Tidak berani bertanya. Aku hanya mengumpul  fakta untuk mengingati surah ini.

‘ Askar Orang Putih datang.... ramai kena tangkap... Tok Arof kau kena tangkap... bicara... Tauke China dalam belakang tok duit jadi saksi ...jatuh hukum gantung...’

 Hukum gantung? Tapi Tok Arof aku menjadi  Guru Silat dan meninggal dunia dirumahnya bukan dalam penjara.

‘  Yam Tuan beri ampun... kena jil seumur hidup... Mak rasa  Tok Arof kau  duduk 12 tahun... duduk...  kena penjara...’ Emak aku menamatkan kuliahnya.


Sekarang baru aku faham kenapa Emak aku  bergegas  dari Jelebu untuk ke Kuala Pilah bila saja  dia mendapat telegram tentang kematian Tok Arof.  To Guru Agama dan Guru Silat ini ada pertalian sejarah dengan  Abah aku.  Tok Arof ini bukan hanya satu suku tapi lebih dari itu. 

Aku mahu mendapat perawi sahih bila aku mula merakam kembali  surah Tok Arof  dan Perang Padang  Lebar. Aku wajib mendapat surah yang sahih sanadnya. 

Lalu aku telah menalipon sepupu aku  Kak Cik Enon. Nama penuhnya  Zainon binti Hitam.  Dia masih tinggal di Kampung Tengah kampung tanah pusaka yang dibuka oleh Tok Sidek aku.   

‘ Isam... cerito yang kao nak  tulih ni.. biar boto... nanti marah orang kalau  cerito kao tak boto...’ Kak Cik Enon  aku memberi nasihat dalam lorat  Pilah yang pekat.

‘ Tu pasa laaa  den  pukul talipon ni...... den nak  donga cerito dari kao....’ Aku cuba pula  menggunakan lorat Nogori dalam usaha mencungkil lagi kesah Perang Padang  Lebar.


Kak Cik  Enon aku ini anak kepada Shamsiah binti Sidek – kakak kepada Emak aku. Aku panggil Mak Saudara aku ini  Mak Mok.  Dia berkahwin dengan Hitam bin Samah. Aku panggil suami Mak Mok aku  Pak Rek.  Pak Rek aku ini juga ialah  Tok Empat Kampung Tengah.

Bagaimana semua panggilan nama-nama ini muncul aku tidak tahu. Aku hanya mengikut apa yang sudah sedia ada tanpa bertanya tanpa menyoal.

Sesudah Mak Mok aku meninggal  dunia  akibat sakit barah payudara Pak Rek aku  telah  berkahwin sekali lagi  dengan Saadi binti  Omar. 

‘Saadi ni... Mak tiri den laaa... ‘ Kak Cik Enon aku memberi  penerangan  tentang siapa Saadi.

‘ Suami asal Saadi .. Pasih.. orang panggil  Tok Pasih... dio ini abang kepada Tok Arof tu....’ Kak Cik Enon memberi lagi  penjelasan.

‘ Dua beradik ini pandai bersilat... orang ado ilmu... ilmu Melayu...’ Aku memasang  telinga digagang talipon.

‘ Tok Pasik diambik dek Chino...’

‘ Ambil macam mana? ‘ Dengan  cepat aku bertanya.

‘ Lopeh Jopun kalah... Chino keluar dari utan..’

Bila cerita China keluar dari hutan ini aku teringat kembali  surah Sekolah Tengkek kena bakar oleh Bintang Tiga.  China dari hutan juga yang membakar sekolah itu.

‘ Dua beradik ini ada ilmu... Tok Pasih kobal... tak lut dek peluru...’ Kak Enon memberi penerangan.  

Kesah kebal, silat dan ilmu pendekar Melayu ini pada hemat aku wujud. Aku yakin dan percaya pada satu ketika dahulu amalan yang dipakai oleh Datuk Nenek Moyang aku membolehkan peluru tidak  menembusi tubuh badan mereka.

‘ Tok Arof dah bagi tau pado  Pasih..... Chino nak datang nak nangkap dio... Arof ajak dia lari...’ Kak Cik Enon aku menyambung cerita. Aku hanya memasang  telinga di gagang talipon.

‘ Den dongar cerito ni dari  Saadi... dio yang cerito...  potang tu... Arof dah tahu Chino nak datang.. dio ajak Pasik undur...  Chino nak datang...’ Kak Cik Enon aku menerangkan bahawa sanad hadisnya sahih dari mulut  Saadi  sendiri.

‘ Tu apa  jadi ?’ Aku bertanya.

‘ Laaa...  Pasih cakap pado Arof.... kalau den poie  Chino bunuh  anak bini den.. biar Chino bunuh den ... asalkan anak bini den selamat...’ Ini kata-kata  akhir Tok Pasih yang enggan mengundur. Kata-kata ini aku kutip dari  Kak Cik Enok  yang dia dengar dari mulut  Saadi isteri Tok Pasih.

Dari apa yang aku faham Tok Arof telah mendapat  ‘bayangan alamat ’ bahawa China Bintang Tiga akan  keluar dari hutan dan menangkap mereka dua beradik. Ini kerana   Tok Arof dan Tok Pasih ini dianggap pendekar silat, guru agama dan  pemimpin orang Melayu di Kampung  Tengkek.

‘ Ompek limo orang Chino datang ... Chino tu ikek To Pasih... tarik dio macam lombu ... bawak masuk dalam hutan...nak  tembak tak lut... dia kobal... agaknya ... kono ikek dan   ditanam...’ Kak Cik Enon aku bersuara dengan sedih.

‘ Mayat jumpa tak ? Aku bertanya.

‘ Mano nak cari... tak tau utan mano di bawak oleh Chino tu...’ Kak Cik Enon aku menamatkan cerita.

Maka aku faham kenapa Tok Arof aku mengajak Abah aku turun ke Padang Lebar pada hari Selasa 26/11/1946 untuk berperang dengan China.

EPILOK
Dari fakta sejarah pergaduhan Melayu dan China berlaku di Padang Lebar pada hari Selasa  26/11/1946. Ini  sesudah Jepun menyerah kalah.

Pasukan  Bintang Tiga yang  keluar dari hutan Serting diberitakan telah  membuat huru hara dibeberapa  daerah  awalnya di Batu Kikir  yang tidak jauh dari Padang Lebar.

Tulisan dibawah ini aku kutip dari laman https://mforum.cari.com.my/forum.php?mod=viewthread&tid=1141381&mobile=2

Dalam pada masa yang sama ahli Bintang Tiga teruskan keganasan mereka dengan pergi dari satu rumah ke satu rumah orang Melayu hanya kerana untuk mencari kesalahan orang Melayu.

Oleh yang demikian, kemarahan orang Melayu memuncak apabila terdapat berita dari Pekan Lebar yang mana ahli Bintang Tiga telah menangkap 40 orang Melayu dalam masa 2 minggu.

Orang Melayu mula bersepakat dan merancang untuk menghapuskan kesemua orang Cina di pekan Padang Lebar. Maka tercetuslah peristiwa amuk Padang Lebar yang amat gerun dan tidak dapat dilupakan sehingga ke hari ini.

Antara orang yang bertanggungjawab mengetuai amukan tersebut adalah Haji Dollah. Beliau bersama-sama dengan penduduk setempat telah melakukan persediaan yang rapi bagi menghadapi amukan ini antaranya bertemu dengan Kiai Selamat (seorang yang alim dan arif dalam ilmu persilatan) di Kampung Lonek untuk menuntut ilmu persilatan.

Haji Dollah dan orang-orang kampung mula berhimpun di pekan Padang Lebar untuk memulakan rancangan mereka. Mereka berpecah dan berkumpul berasingan di sepanjang jalan di pekan kecil itu.

Dikatakan amukan dimulakan oleh Datuk Nara Sutin Bin Daim yang merupakan seorang guru dan diikuti oleh anak-anak muridnya. Maka ramailah orang Cina dibunuh oleh orang melayu dalam peristiwa berdarah itu.

Kebanyakan mereka yang terbunuh telah dipenggal kepalanya oleh orang Melayu yang melakukan amukan tersebut. Akibat dendam kesumat terhadap mereka, dikatakan tidak ada satu orang Cina pun yang hidup melainkan seorang sahaja yang bernama See Kun.

See Kun dikatakan telah berjaya melarikan diri walaupun mengalami kecederaan di bahagian perut dan terselamat selepas mendapat rawatan di pekan Kuala Pilah.

Dia adalah merupakan saksi utama dalam peristiwa amukan tersebut. Mangsa-mangsa yang dibunuh, kebanyakannya dibunuh oleh mereka yang berdendam atas kematian ahli keluarga mereka.

Kejadian tersebut akhirnya telah sampai ke pengetahuan pihak atasan Bintang Tiga. Satu pasukan Bintang Tiga telah dihantar ke pekan Padang Lebar dengan bertujuan untuk melawan dan menuntut bela.

Semasa dalam perjalanan, mereka telah dihalang oleh satu pasukan tentera Gurkha yang telah diarahkan supaya melindungi orang-orang Melayu di sekitar pekan Padang Lebar.

Oleh sebab hampa dihalang memasuki kawasan pekan Padang Lebar, mereka sempat membunuh seorang Melayu yang kebetulan berada di situ. Ekoran daripada peristiwa amukan itu, pihak berkuasa telah menahan 11 orang Melayu penduduk tempatan dan dijatuhkan hukuman gantung.


EPILOK DUA
Dari  tulisan  yang kutip ini persoalan timbul dalam kepala aku:

1 – Apakah Tok Pasik dan Tok Arof  dan Abah aku   sebahagian dari jaringan  kumpulkan silat Kiai Selamat?

2 – Apakah  See Kum ini Tauke yang  disurahkan oleh Emak aku yang selamat menyorok dalam tok duit yang nampak muka Tok Arof aku?

EPILOK TIGA
Pada tahun 1980  ketika  aku hidup sebagai pendatang haram di Pakisan untuk pertama kalinya aku telah  di jemput oleh Parti Komunis Malaya (PKM)  datang ke  Tiongkok  Peking.

Pada tahun 1981 – kali kedua aku di Peking. Kali ini aku telah menimbulkan  kes pembakaran Sekolah Tengkek dengan  Kawan Hong a.k.a Chin Peng.  Dalam perbincangan yang sama aku juga  telah menimbulkan Perang Melayu-China Padang Lebar. (TT)


TULISAN INI JUGA
KELUAR DALAM LAMAN WEB
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/04/21/yang-kebal-yang-hilang-dan-yang-digantung/


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

TT, aku bilo tonampak bas FOH HUP tu, totiba kenangan suko duko zaman kocik-kocik dulu sohinggo maso kojo ket Longgeng tengok budok-budok sekolah monongah tu berobut-robut naik bas nak balik ummah.. Aduhhh.. kolua ayer moto.... bilo toringat bas warno hijau tuo dah takdo...!