KARONA MAGERAN
DAN
KERAJAAN PERPADUAN
Saya menolak Mageran. Dalam masa yang sama saya mahu melawan virus Karona dari Wuhan China. Virus Karona dari Wuhan ini sedang menghuru harakan dunia. Virus dari Wuhan ini sedang memporak perandakan Malaysia. Virus ini juga sedang menghuru hara semua pelosok dunia. Semua benua – semua negara dan semua ceruk dalam alam ini sedang dihantui oleh virus Karona.
Kerajaan Pakatan Nasional yang dipimpin oleh Muhyidin Yassin telah menebarkan Darurat ke atas anak semua bangsa dan bangsa semua agama di Malaysia. Di war war dan di masyhurkan Darurat ditebari untuk melawan virus Karona.
Ketika saya menulis tulisan ini Darurat telah ditebarkan di Malaysia semenjak 153 hari yang lalu. Telah lebih dari 5 bulan. Di janjikan oleh Perikatan Nasional bahawa pada 31 Ogos 2021 Darurat berakhir.
Pendirian saya tentang Darurat jelas.
Telefon Nokia saya telah menerima satu pesanan yang berbunyi : As salam en Hisham.. Sy ASP xxx xxx xx drp Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.. pohon hadir di Menara 2 Tingkat 2 Bukit Aman jam 11.00 pagi seperti pertel kita sebentar tadi. Terima Kasih - 25.01.2021 04:11:23 pm.
Esoknya 26/5/2021 saya bersama Peguam dari Lawyer for Liberty pergi ke Bukit Aman untuk disoal siasat tentang tulisan saya mengenai Darurat.
Jelas pihak yang berwajib telah gagal membaca dan memahami apa yang saya tulis : Apa itu Darurat – yang keluar di Malaysiakini dan dalam tukartiub.blogspot.com.
Saya terangkan pendirian saya dan analisa saya tentang Darurat. Tulisan saya bukan berbalah tentang Darurat tapi memberi pencerahan kepada anak semua bangsa agar faham apa itu DARURAT. Dari mana asal usul darurat. Sejarah Darurat. Juga berharap Darurat yang di tebar akan dapat menumpaskan Mat Kobid.
Saya menggunakan nama Mat Kobid untuk menjadikan tulisan saya satu satira. Mat Kobid ini bukan sosok Melayu Islam. Yang ini pihak berwajib di Bukit Aman kureeeng faham. Amin
Pad hemat saya – majoriti anak semua bangsa telah bersedia memberikan hak asasi mereka – hak demokrasi mereka - untuk ditukar kepada hak keselamatan agar mereka terus hidup bernafas. Ini bukan satu pilihan yang ganjil. Ini satu pilihan yang tepat.
Langkah mengumumkan Darurat ini mendapat sokongan orang ramai. Ini kerana orang ramai merasa lebih takut kepada Karona dari takut kepada Hukum Kanun Darurat.
Memilih - antara hak berpolitik dengan hak untuk selamat hidup – sosok yang rasional akan memilih hak untuk terus hidup. Hak berpolitik tidak ada makna kalau sudah mati. Amin.
Tapi timbul masalah. Apa masalah sekarang dengan Darurat?
Rakyat melihat kerajaan Perikatan Nasional telah gagal menangani virus Karona. Angka pesakit bertambah. Virus Karona makin merebak. Semenjak PRK di Sabah virus Karona semakin menular. Angka yang gugur tewas bertambah lumayan. Ini menakutkan anak semua bangsa.
Tidak cukup dengan ini – para pemimpin dan Menteri dalam kerajaan memperlihat perangai yang tidak senonoh. Tidak senonoh ini belaku dalam masa Darurat.
Ada menteri kabinet tidak mengikut aturan yang mereka sendiri anjurkan. Ada menteri kabinet melanggar arahan tapi tidak ada tindakan diambil kerana mereka menteri.
Maka timbul konsep ‘ orang kayangan’ untuk mentakrifkan rakyat yang di saman dengan orang kayangan - baca menteri – yang melanggar hukum PKP tidak di saman.
Dikatakan ada menteri kabinet mencari peluang dalam masa Darurat ini untuk mencari laba - menjual tanah milik kerajaan. Di desas desuskan tanah milik kerajaan bekas bangunan RRI di Jalan Ampang ‘ tergadai’.
Bangunan RRI - Rubber Research Institute – ini adalah bangunan warisan klasik ‘ Art Decor ‘ . Mereka yang bebal pasti tidak akan faham makna dan nilai bangunan klasik ini.
Biarkan si Lunchai terjun dengan labu labunya. Biarkan biarkan.
Tapi kita tak boleh tak boleh biarkan si Bebal menjual tanah kerajaan. Kalau dibiarkan hancus negara kita ini tergadai.
Awal-awal lagi ketika vaksin ditemui telah timbul desas desus jual kontrak dengan syarikat ubat. Desas desus ini muncul bertali arus. Tidak cukup dengan ini ‘ tersebar’ berita ‘ ada orang tengah’ yang buat duit membeli vaksin.
Tidak cukup dengan ini orang ramai melihat tidak ada ketelusan dalam hal jual beli vaksin.
Semua ini mewujudkan persepsi bahawa Kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpin Muhyidin Yasin telah gagal.
Politik ialah persepsi. Dalam politik persepsi memainkan peranan utama. Ini kerana dalam politik undi – electoral politics - hukum dan syarat politik ialah persepsi. Parti mana yang haprak persepsi maka parti ini akan bungkus.
Pada tahap sekarang media melahirkan persepsi. Hari ini monopoli dan hegemoni kerajaan terhadap berita telah pecah terbarai.
RTM, Utusan, TV 3 , Berita Harian, NST, Harakah - ada lagi ke ?
Justeru – hasilnya – umum mendengar suara hati lucah dan niat busuk nitizen melalui media sosial. Media sosial kini menjadi dalang utama penyebar maklumat. Betul atau tidak maklumat yang disebar bukan persoalan. Yang penting berita tersebar. Berita menular luas. Banyak like dan banyak retweet. Inilah budaya ternoww.
Bila sahaja ada politikus atau menteri atau YB yang terkena jangkitan virus Korona maka orang ramai berdoa – padan muka. Mereka mengucapkan lebih baik Menteri atau YB yang kena Korona terus mati. Kematian mereka akan membawa kebaikan untuk Malaysia. Politikus yang mati adalah politikus yang baik. Amin.
Tidak cukup dengan perangai dan kelakuan menteri kerajaan kita lihat pula perangai dan politikus dari puak Pembangkang.
Perangi Pembangkang tidak jauh bezanya dari politikus Kerajaan. Dalam zaman Darurat ini Yb Kerajaan dan Yb Pembangkang amat susah untuk dibezakan. Membezakan rasa Pepsi dengan Coke lebih mudah.
Virus Nak Jadi PM (NJPM) yang berpunca di bilik makmal Wuhan opps...silap...bilik makmal Bukit Gasing masih dan sedang menular luas. Virus NJPM sama seperti virus Karona masih belum reda dan sedang mengganas.
Kini telah wujud varian NJPM baru dimana virus ini telah berkahwin dengan virus Kluster Mahkamah. Kalau virus Karona baru muncul di India kini virus varian baru NJPM ini telah muncul dari Jalan Duta.
Virus varian baru ‘ di heboh-heboh’ kan dengan keupayaan virus melahirkan janji-janji pembebasan dari penjara dan kedudukan molek lagi indah kepada pimpin YB dari pihak yang kini Pembangkang.
Amat jelas virus NJPM ini juga adalah punca dan masalah yang sedang menghuru harakan Malaysia.
Justeru jika virus NJPM menjangkiti para YB maka YB ini akan selalu menjerit-jeti terpekik terlolong siang dan malam: Buka Parlimen ! Bukan Parlimen !.
Jika kita terbaca suara politikus menjerit terpekik terlolong - melaungkan buka parlimen buka parlimen – ini adalah tanda politikus itu telah dijangkiti oleh virus NJPM.
Lalu saya bertanya: Kenapa dan apa tujuan buka Parlimen? Bagaimana Parlimen yang dibuka akan melawan virus Korona? Guru Nanak pun tidak memiliki jawapan bila ditanya apa hubungan buka Parlimen dengan virus Karona..
Kemudian mari kita lihat pula fikrah dan perangai YB Pembangkang.
Contoh tahap terbaik lagi terbonjol fikrah YB Pembangkang ialah apabila – Six Million Dolar Man – di berhentikan jawatan Pengerusi Prasarana. Ini kerana LRT berlanggar.
Tertiba ada YB dari Parti Pembangkang yang menuduh ‘ ini semua sandiwara’. Pemberhentian Tajudin Rahman YB Pasir Salak itu dikatakan satu sandiwara. Kalau ini bukan tahap ‘mental’ maka Imam Masjid Negara pastilah Vincent Tan.
Inilah tahap fikrah YB dari parti pembangkang.
Maka tidak menghairan dan tidak menakjubkan apabila majoriti rakyat dan pengundi menjadi mual dan loya lagi bosan melihat perangai dan kelakuan politikus.
Para Menteri dan para YB dari semua parti bukan nak menumpaskan virus Korona tapi nak menumpas musuh politik. Hampeh !.
Justeru semua ini telah melahir kemeluatan dan kebencian orang ramai terhadap kerajaan. Babak mual ini telah menjemput Mat Rempit bangun menggantung kain rentak dengan lakaran – Kerajaan Gagal.
Jika Mat Rempit – lowest of the low dari tafsiran Pak Lebai Pak Haji dan Warga Taman Tun – kini telah bangun memberontak. Ini bukti keadaan negara makin berat. Amin
Keadaan ini bertambah buruk. Bertambah meloyakan apabila politikus dari parti pembangkang pula ‘ masuk setakuk ‘ untuk mencari peluang untuk menibai kerajaan.
Dari apa yang kiat baca - semua pemimpin parti politik telah dipanggil oleh Agong. Agong ingin mendengar apa pandangan politikus ini tentang cara dan langkah yang terbaik untuk melawan virus Korona dari Wuhan.
Pandangan para politikus ini akan dibawa oleh Yang Di Pertuan Agong kepada Kakanda Adinda Raja raja Melayu yang akan bersidang pada Rabu 16 hari bulan ini.
Saya tidak mahu hanya berupaya mempertikai apa yang terpapar. Mempersoalkan apa yang wujud. Hanya berleter. Mengkritik apa yang berlaku. Tidak ...saya menulis ini kerana sebagai rakyat saya merasa takut terhadap virus Karona. Ketakutan saya itu memaksa saya menulis tulisan ini dan membuat cadangan
Disini saya sebagai warga negara merasa adalah wajib untuk saya yang berani mengkritik kerajaan dan pembangkang wajib juga berani mengajukan cadangan.
Jika saya hanya pandai mengkritik tapi tidak ada cadangan maka ini maknanya saya juga sosok hampeh sama macam para politikus. Justeru saya melakarkan cadangan.
Cadangan saya ialah penubuhan Kerajaan Perpaduan.
Pada hemat saya telah sampai masanya Malaysia menubuhkan kerajaan Perpaduan. Kerajaan Perpaduan ini adalah kerajaan dari semua parti politik – yang besar, yang kecil yang berdaftar dan yang tidak. Yang ada Yb atau yang tak ada YB. Semua dijemput untuk bersama.
Tugas utama para politikus sekarang ialah menggalang Barisan Bersatu – United Front – dengan satu agenda. Agenda Kerajaan Perpaduan ini hanya satu : melawan virus Karona dari Wuhan.
Kerjakan Perpaduan ini akan mengurangkan pertelingkahan antara parti politik. Ianya akan memadamkan ‘tembak menembak politik’ yang tak tentu hala. Tembak menembak politik untuk ‘score point ‘ ini memualkan selera orang ramai. Merosakkan strategi menyeluruh melawan virus.
Saya tidak memiliki cadangan mikro untuk memperluaskan apakah Kerajaan Perpaduan. Apa yang saya cadangan ini hanya konsep. Maka terpulangkan kepada yang bijak lagi pandai untuk meneliti konsep ini. Tapi saya yakin cadangan saya ini lebih cerah dari menjerit-jerit buka parlimen.
Cadangan saya ini bertujuan mendahulukan kepentingan orang ramai dari kepentingan parti politik,. Mendahului kesihatan awam dari keuntungan politik.
Sikap utama atau syarat utama untuk menerima cadangan ini ialah ahli politik wajib menjadi negarawan bukan menjadi politikus yang memikirkan kalah undi dalam masa lima tahun. Bukan memikirkan kedudukan dalam parti. Inilah sebenarnya konsep rakyat didahului bukan parti atau kerusi PM atau YB yang di dahulukan.
Para politikus wajib sedar jika mereka bebal lagi bodoh – tak faham apa itu persepsi – tak faham apa itu menggalang barisan bersatu - makan saya sarankan – jangan tayangkan kebebalan itu pada dunia. Duduk senyap-senyap dalam reban tunggu ayam bertelur. Dan jangan lupa ambil gaji setiap bulan. Amin
Saya menolak Mageran.
Ini kerana pada hemat saya jenama Mageran ini satu produk yang tidak baik. Tetapi wajib diberitahu kepada generasi muda hari ini dan para politikus muda dan yang bebal sejarah bahawa Mageran bukan satu perkara baru. Pada tahun 1969 Mageran telah wujud untuk meleraikan masalah negara.
Ketika Mageran diumun pada tahun 1969 hanya beratus ratus warga telah mati terbunuh , tapi pada hari ini nisbah bandingan mangsa Mei13 dengan mangsa virus Karona amat luas. Lebih ramai warga mati dibunuh virus dari mati bergaduh semasa Mei13.
Ini hakikat – malah angka kematian akan terus bertambah.
Juga wajib saya beri tahu bahawa Mageran kepalai oleh Tun Razak dari parti United Malays National Organisation. Dari Mageran inilah munculnya idea awal – prelude - untuk mendirikan Barisan Nasional sesudah Parlimen digantung selama dua tahun.
Idea Barisan Nasional mengeram dan menetas dialam Mageran.
Sekali imbas Barisan Nasional tahun 1969 adalah kerajaan Perpaduan Nasional. Tun Razak telah mempelawa semua parti untuk bersama membina Malaysia yang ‘ porak-peranda’ akibat bentrokan Mei13.
Mahathir mengajukan Mageran. Saya menolak Mageran. Saya tidak tahu sama ada dari segi fikrah apakah Mahathir ini seorang Republikan. Saya Hishamuddin Rais dari mazhab kiri memang seorang Republikan.
Tetapi pada tahap ini – pada ketiak ini – walau pun saya seorang Republikan saya mengalu alukan peranan Agong dan Raja Raja Melayu. Pada tahap ini ketika kita diserang virus Karona dari Wuhan Raja Raja Melayu telah memainkan peranan yang amat positif.
Justeru saya yakin pada Rabu 16/6/221 ini satu sejarah akan di buat. Raja Raja Melayu akan membuat keputusan ke arah jalan yang wajib diambil untuk menyelamat negara ini dari virus Karona.
Kenapa ini berlaku?
Kerana para politikus kita dari semua parti telah gagal segagal gagalnya memainkan peranan untuk menyelamatkan Malaysia. Mereka gila berpolitik. Tidak mendahulukan kepentingan orang ramai maka Raja Raja Melayu mara ke hadapan mengambil arah garis politik negara untuk menyelamatkan rakyat. Amin. (TT)
TULISAN INI JUGA
MUNCUL DI KOLUM
MALAYSIAKINI.COM
DAN
DI RUANGAN ANDA
THE MALAYSIANINSIGHT.COM
3 ulasan:
Sokong Tuanku nampak. Terdesak ke? Ke nak suruh Tuanku kata parti parti politik semua beta mahu kerajaan perpaduan. Mcm tuh? Mana demokrasi kata berpegang kpd konsep demokrasi?
mengadap polis berulangkali. Kalau dapat mengadap Agong dan meluahkan seluruh jiwa masalah rakyat khasnya puak marhaen, kan bagus... Ala... jauh panggang dari api, mana rakyat marhaen dapat peluang camtu.
Apapun gwa 100% sokong TT tilak MAGERAN. Gwa sangat percaya ini rancangan gelap itam mamak tu untuk rampas balik jawatan piem dengan apa cara sekali pun untuk menegakkan kembali egonya yang sudah terbengkok. Dia sungguh bijak dengan berdolak dalik dengan bermain dengan nama rancangannya tu.
Yang pastinya gwa pegang cakap Tun Musa Hitam : "Politically I don't trust Mahathir"
Apa ni... Tulis takut2. Kahkahkah.
Mual aku baca. Lu takut ke der?
Lu tak perlu nafi, lu sendiri tau lu dah bukan pemberani lagi. Kahkahkah
Catat Ulasan