Rabu, 1 Disember 2021

CINTA DAN JANJI IZABELLA

 

CINTA DAN JANJI

IZABELLA

Aku telah pernah menulis kesah ini. Aku pernah bersurah tentang kesah ini.  Kesah cinta ini tidak pernah padam dari ingatan aku.  Mustahil aku akan melupakan malam itu – malam penuh ingatan - musim panas di kota Baghdad.

Ini salah satu dari ratusan  kesah cinta agung aku.  Aku ulangi kesah ini  untuk aku rakamkan sebagai sejarah diri aku. 

Aku menolak pandangan yang cuba meredakan berahi dengan mengatakan bahawa cinta akan pudar dimakan masa. Ini hanyalah ayat-ayat gagal yang dimunculkan untuk melandaikan hati yang berkecai.

Betul. Cinta  aku  gagal. Di Kota Baghdad aku telah    ‘menyorah ‘ bak kata Orang Nogori  kepada Minah Arab yang mengancam kejantanan aku. Hasilnya gagal. Aku tidak pernah kecewa. 

Gagal untuk aku hanya kejayaan yang tertangguh. Gagal bukan lawannya berjaya. Gagal itu adalah sebahagian dari kejayaan.

Luca kenalan aku anak  Colombia berkata : Isham...your only failure is not trying. Kalau aku  tidak mencuba maka aku gagal.

Kata-kata Luca ini menjadi jambatan aku setiap kali aku mahu melakukan sesuatu. Kalau kita tidak mencuba  mana kita tahu hasilnya. Kita gagal tanpa mencuba.

Kini di Asrama telah ramai pelawat baru. Anak anak muda dari Poland telah sampai.    Aku  sempat berkenalan dengan Stanilawsky. Aku memanggil dia Stan. Dia bijak bertutur bahasa Inggeris.  Stan  siswa seni tampak  dari  Sekolah Seni Krakow. Stan sedang  menyediakan tesis   Phd dalam bidang lukisan dan seni bina.

Stan merancang hendak masuk ke Iran. Tesis Phdnya  ialah reka bentuk bangunan Kota Parsepolis. Ini kota kuno ibu negara Persia.  Kota kuno Kerajaan Achaemenid  ( 550–330 Sebelum Nabi Isa). Letaknya 60 kilometer arah  Selatan ke kota Shiraz.

Parsepolis telah ditawan  oleh Iskandar Zulkarnain pada 330 ( Sebelum Nabi Isa).  Putera Raja Greece ini telah  membakar hangus kota ini. Yang tinggal hingga ke hari hanya tiang dan tembok batu. Reka bentuk Achaemenid inilah yang jadi bahan kajian Stan.

‘ You knew any of those girls....’ Aku bertanya pada Stan tentang Minah Poland yang menjadi penghuni Asrama yang baru.

“No... none.. but  I think they are from the  elite class... their fathers could be high ranking member of the Party...’  Stan menerangkan anak-anak muda ini mungkin dari kelas atasan. Ayah mereka  mungkin dari Parti Komunis Poland. 

Parti Komunis Poland amat rapat hubungan dengan Parti Arab Baath Sosialis Party. Justeru musim panas ramai warga Poland bercuti di Iraq. Malah aku ternampak lori trailer membawa barangan dari Poland ikut jalan darat  ke Baghdad.
 
Aku percaya pandangan  Stan ini. Dia warga Poland. Pasti dia faham sosio-budaya Poland. Stan  generasi yang dilahirkan selepas Poland  menjadi Blok Soviet – sesudah Perang Dunia Ke Dua. Aku tidak tahu sama ada dia menyokong kerajaan atau tidak. Untuk aku Stan seorang seniman bukan aktivis politikus.

Apa yang Stan dan aku tidak tahu ialah  ketika kami bermusim panas di Baghdad warga Iran sedang  bangun memberontak. Semua berita tentang gerakan anti- Shah tidak sampai ke pengetahuan kami. Kami orang luar tak tahu apa yang sedang  berlaku.

Kedutaan Iran di Baghdad hanya memberi tahu Stan 
‘... belum ada jawapan visa dari Tehran..’ Aku sendiri tidak mengetahui apa yang sedang berlaku di Iran. Dan kenapa susah untuk mendapat visa memasuki Iran. Stan telah dua minggu menunggu di Baghdad.

Di  Iraq  tidak ada kebebasan media seperti di Australia.  Media  Iraq lebih buruk dari Singapura atau Malaysia. Semuanya ‘ mamnung’ atau dilarang. Mungkin tahap media di Iraq sama dengan  media Korea Utara atau China Merah.

Ketika aku sampai kali ke dua ke Iraq tahun 1977 – Presiden Iraq ialah  Saddam Hussein. Kali pertama aku sampai 1976 Presiden Iraq ialah Ahmad Hassan Al-Bakar. Saddam baru berkuasa dua tahun. Saddam  sedang mengukuhkan kekuasaannya. Kerajaan campuran antara Parti Baath, Parti Patriotik Kurdistan dan Parti Komunis, semakin retak. Ramai kader Parti Komunis ditahan dan ramai  pucuk pimpinan dihukum gantung.

“ I’ve to wait for the  visa....’ Stan kecewa tidak dapat visa untuk masuk ke Iran.  Stan  tidak ada pilihan. Dia wajib  menunggu.

Satu petang di hadapan  pintu  utama  Asrama aku nampak Stan bersembang   dengan seorang Minah Poland. Aku perhatikan Stan amat mesra dengan Minah ini. Pastilah Minah ini  bukan dari anak elit Poland atau anak apparachik Parti Komunis.

Aku mencelah masuk dan memperkenalkan  diri. ‘ Isham.. from Malaysia...’  Aku menghulur tangan.

‘ Isham... Izabella.... from Krakow...’ Stan memperkenalkan  Izabella kepada aku. Kemudian Stan bercakap bahasa Poland.

‘ Oh ..  Malaysia...  I read about snake temple...’ Izabella berkata yang dia pernah terbaca tentang ular dalam kuil di Pulau Pinang.  

Izabella yang fasih berbahasa Inggeris, adalah mahasiswa seni halus dari kota Krakow. Awal dua puluahn, berbadan langsing, berambut panjang. Izabella mengancam kejantanan lelaki, terutama di kota Baghdad. Walaupun tidak 'setandus' Saudi Arabia, tetapi Baghdad tidak 'selumayan' kota Beirut atau melimpah ruah  seperti di Melbourne. 

Budaya Arab amat konservatif,  menyusah, malah tidak memungkinkan pertemuan lelaki dengan perempuan untuk bercanda canda. Jauh sekali untuk memadu kasih.

Aku bergerak pantas. Malamnya, aku mempelawa Izabella keluar makan. Aku memilih restoran tidak berapa jauh dari tugu Abu Nawas di tebing Sungai Dajlah. Aku sering ke restoran itu, jadi aku tidak kekok dan tahu apa yang ingin aku makan. 

Kami bercerita tentang itu, ini, si anu dan si polan. Izabella yang baru aku kenali, kini seperti kekasih aku yang telah lama aku tunggu.

Keesokannya, kami ke Karbala melawat makam Imam Hussein yang dianggap sesuci Mekah oleh Mazhab Shiah.  Ini kali ke dua aku disini. Kali pertama bersama  Luca.

Di pintu makam, kami ditahan oleh seorang lelaki muda Arab. Kami terus dibawa ke satu bilik berhampiran. Di situ, kami ditanya asal-usul, tujuan dan agama kami. Aku terperanjat besar kerana kami dipisahkan. Izabella di larang memasuki pekarangan makam kerana dia seorang Katolik.

Aku ditanya apakah aku penganut Islam. Aku teringat Tiga Kul. Lalu aku bacakan satu. Tok Arab itu senyum gembira. Aku dibenarkan masuk.

Aku merasa sedih kerana Izabella terpaksa menunggu aku hampir satu jam di luar pekarangan makam. Bila bertemu kembali, aku berlagak sebagai kekasih tulen dan terus bercerita serapi mungkin, agar apa yang aku lihat dan alami dapat turut dirasai Izabella.

Keesokannya, Izabella akan meninggalkan Baghdad. Cuti musim panas telah berakhir. Izabella akan ke Turki dengan bas dan akan terbang dari Istanbul ke Krakow. Kami berjanji malam akhir kami di kota ini tidak perlu dipisahkan oleh Gereja atau Makam Suci.

Berhampiran  Asrama , terdapat sebuah taman. Lalu kami ke sana. Tidak banyak yang kami ceritakan pada malam akhir ini.  Kami bercumbu mesra. Malam berjalan begitu cepat. Subuh sampai dan Izabella wajib mengemas barang-barang untuk meninggalkan Baghdad.

Sebagai tanda cinta setia, aku melafazkan janji yang aku akan ke Krakow pada musim panas tahun depan. Kami akan bertemu sekali lagi di kota Krakow. Tarikh dan tempatnya telah kami persetujui bersama.

Izabella meninggalkan kota Baghdad.

Seminggu kemudian aku terbang ke Karachi.  Di Karachi kami terus berhubung melalui surat. Aku mempunyai masa hampir satu tahun untuk membuat persediaan ke Eropah.

EPILOK 1
Dalam kapal terbang  dari Baghdad ke Karachi aku dengan  cepat telah mengambil akhbar berbahasa Inggeris di pintu masuk pesawat. Aku terbaca berita  Panggung wayang Rex  di Abadan  selatan Iran dibakar pada malam  19 Ogos 1978 . 

Gambar mayat hangus terbakar terselit bersama berita. Aku tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku.

Seramai 400 warga terkorban. Dari rakaman sejarah moden Iran inilah babak dan   detik permulaan Revolusi Iran. Kumpulan penentang Shah menuduh pembakaran ini dilakukan oleh Savak – polis rahsia Shah Iran. 

Pembakaran penonton di panggung Rex  ini telah menyemarakkan gerakan anti- Shan Iran.

Bila aku terbaca berita ini aku teringat akan Stan yang masih menunggu visa di Baghdad untuk ke Parsepolis. Iran sedang bergolak. Stan tidak tahu hal ini. Stan pasti tidak dapat masuk ke Iran. Dia akan pulang ke Krakow dengan tangan kosong.

EPILOK 2 
Janji ke pada Izabella masih teguh. Aku ingin menepati janji. Aku wajib sampai ke Eropah.

Tetapi semuanya gagal. Dalam perjalanan ke Eropah, aku ditahan di Moscow kerana menggunakan pasport tiruan Thailand. Dalam perjalanan untuk dihantar pulang ke Bangkok. Aku berjaya  melarikan diri dari kapal terbang di lapangan kapal terbang Bombay.

 Buku nota dan diari harian aku dirampas oleh polis Bombay. Alamat Izabella ada dalam buku harian aku. Semuanya tidak ada lagi dalam tangan aku.

EPILOK 3
Janji aku kepada Izabella tertangguh. Tetapi akhirnya aku sampai juga ke Eropah. Izabella masih dalam ingatan walaupun kini, tanpa alamat, hubungan kami telah terputus.

Eropah semakin berubah. Tembok Berlin akhirnya runtuh. Blok sosialis tidak wujud lagi. Lech Walesa menjadi pemimpin Poland. Aku memerhati semua yang berlaku. Dan aku masih setia pada janji yang aku lafazkan pada malam musim panas  di kota Baghdad..

EPILOK 4
1993 - setahun sebelum pulang ke tanahair aku terbang ke Eropah Timur. Aku sampai ke kota Prague – ibu kota Republik Czech.  Aku merayau rayau dari kota ke kota dalam negara ini. Izabella masih dalam ingatan.

Aku menaiki bas melintas  sempadan  ke  Bratislava ibu kota Slovakia. Izabella masih dalam ingatan.

Aku naik kereta api melintas  masuk ke  Poland menuju  Krakow. Aku masih ingat hari, waktu dan tempat yang telah kami janjikan. 

Aku teringat kembali pada musim panas di kota Baghdad, Malam  pertemuan dua kekasih dari Barat dan Timur yang telah dipertemukan di Timur Tengah.

Di Krakow aku menginap di sebuah rumah tumpangan tidak jauh dari tempat yang telah kami janjikan. Esoknya, aku ke Rynek Glowny - Medan Besar - di tengah-tengah kota Krakow. Ia adalah kota tua yang penuh sejarah dan budaya. Di satu sudut Medan Besar ini ada sebuah gereja - St.Adalbert.

 Di hadapan gereja inilah seharusnya kami akan berjumpa sekali lagi.

Aku sampai satu jam lebih awal dari masa yang kami janjikan. Hingga ke petang aku menunggu. Setiap gadis, ibu, perempuan yang melintasi di hadapan gereja itu aku sangkakan Izabella yang aku nantikan. Apakah rupa Izabella masih lagi anggun, langsing dan berambut panjang. Atau apakah kini Izabella telah berumah tangga, beranak dan bercucu.

Aku sedar aku telah 14 tahun terlambat dari tarikh yang kami janjikan. Tetapi apakah Izabella tahu aku telah ditahan di Moscow dan dipenjarakan di Bombay. Apakah kekasih aku  gadis Poland ini tahu bahawa aku tidak menulis surat kerana nota dan alamat aku telah dirampas polis di kota Bombay.

Sampai ke senja aku menunggu di hadapan gereja St.Adalbert. Lalu, aku teringat kata-kata Izabella semasa ditahan dan dilarang untuk memasuki makam suci di Karbala. Menurut Izabella, di negara Katolik, tidak ada sesiapapun yang dilarang memasuki tempat suci.

Tempat suci adalah ruang untuk semua insan mencari diri. Aku juga sedang mencari diri tetapi aku enggan memasuki gereja St Adalbert tanpa Izabella kerana kami telah berjanji untuk memasuki gereja ini bersama-sama. Izabella telah dinafikan berbuat demikian di Karbala dan aku menafikan diri aku sendiri di Krakow. (TT)


TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/12/01/cinta-dan-janji-izabella/


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Bro, boleh cerita pasal aishah Abdul wahab? Tengkiu!