Umno berhak tentukan hala tuju parti untuk PRU15, tegas Zahid
PERDANA menteri ada kuasa untuk menentukan pembubaran Parlimen tetapi Umno berhak menentu hala tuju parti, untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang, kata presidennya Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 di Kuala Lumpur hari ini, Zahid menegaskan Umno menghormati kuasa perdana menteri yang akan berurusan dengan Yang di-Pertuan Agong untuk memohon pembubaran Parlimen.
“Kita tidak mahu mengganggu urusan itu. Tetapi, Umno sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab, kita ada kuasa untuk menentukan arah tuju parti kita sendiri,” katanya.
Zahid memberikan peringatan itu ketika suara desakan dalam parti semakin kuat mendesak Perdana Menteri Ismail Sabri Yaacob untuk segera membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya lebih awal.
Suara itu dilaungkan pada perhimpunan tiga sayap Umno – Pemuda, Wanita, dan Puteri – semalam, serta oleh Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan yang merasmikan pembukaannya.
Desakan itu juga lantang selepas Barisan Nasional (BN) menang pilihan raya negeri Melaka dan seterusnya Johor, minggu lalu.
Ismail Sabri bagaimanapun berkata pilihan raya umum tidak boleh diadakan hanya kerana ia didesak oleh pihak tertentu.
Selepas kemenangan besar BN di Johor, Ismail Sabri yang juga naib presiden Umno mengulangi pendiriannya pilihan raya umum hanya boleh diadakan apabila semua pihak bersedia, dan perkara itu akan dibincangkan bersama pihak yang berkenaan.
Dalam ucapannya Zahid mengingatkan juga keputusan Umno yang mahu PRU15 diadakan terlebih dahulu sebelum pemilihan parti.
Katanya, PAU ini wajar mendengar suara akar umbi yang mahu parti mendapatkan mandat baharu rakyat melalui pilihan raya yang disegerakan.
“Janganlah guruh berdentum dan kilat sabung-menyabung, namun tidak setitis pun hujan jatuh ke bumi.
“Untuk itu, saya mengharapkan agar kita kembali kepada rakyat. Serahkan semula kepada mereka. Berilah mandat baharu kepada Umno,” katanya.
Zahid turut mengingatkan Umno tentang masa yang sesuai untuk pilihan raya.
“Ketika orang sayang kita, sambutlah kasih sayang mereka. Jangan ditagih kasih itu selepas ianya hilang.
“Makin bertangguh, makin melaratlah rakyat, makin rosaklah negara,”
Mandat Parlimen ke-14 dijadual berakhir pada Julai 2023.
Pentadbiran Ismail Sabri yang memeterai persefahaman politik (MoU) dengan Pakatan Harapan juga bersetuju untuk tidak membubarkan Parlimen sebelum akhir Julai ini.
Dalam ucapannya Zahid turut memberi amaran tentang MoU itu, yang dakwanya bertujuan untuk melemahkan Umno. – 18 Mac, 2022.
2 ulasan:
Cakap bedogor², cirit ang sangkuit digelogar... mangkuk ayun, presiden bodo, mcm ade kuaso... Ko ingat rajo² tu bes pren ko... Eykau poiee la sign cek yayasan ang tu banyak² laie, sedokahkn kek kami² nie pulak... Lg bnyk paedahnyo... tongah podeh² lg nie..
Boronti la becakap... kemarin pilih mb pun salah... Lg nak tontukn pilihan rayo... Hantu rayo botul...
Sedap banyak makna ucapan Zahid KOMEDI. Jangan sombong dgn kemenangan BN di dua negeri.Sapa kata Rakyat sayang Kat Hang dan Boosku. Rakyat sayang UMNO, tapi masih ramai Kleptokrat dalam UMNO. Aku harap parti lawan UMBO nepajar dan Susan strategi ampuh menang PRU 15
Catat Ulasan