Kerajaan yang dibentuk atas dasar ABU tidak akan bertahan lama – Shahril
KUALA LUMPUR – Kerajaan yang dibentuk atas dasar dan matlamat asalkan bukan UMNO (ABU) tidak akan bertahan lama.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan Sufian berkata, sejarah telah membuktikan ABU bukan formula untuk Malaysia.
Menurutnya, kerajaan yang terbentuk atas semangat ABU hanya membuatkan parti dalam gabungan tersebut bersikap saling tidak mempercayai antara satu sama lain.
“Ini bukan benda baru. Kita pernah lihat ia berlaku atas semangat ABU. Malah pernah berjaya menang pun semasa PRU14.
“Tetapi apa berlaku selepas itu? Retak dari dalam. Sebab apa? Sebab sebuah Kerajaan yang terbentuk dan berniat semata-mata atas prinsip menafikan UMNO/BN, tidak akan berjaya untuk jangka masa lama.
“Pembuatan dasar akan celaru, persaingan, syak wasangka dan rasa tak puas hati sesama sendiri akan kian membuak,” kata Shahril.
Beliau mengulas laporan media mengenai beberapa parti yang pernah membentuk gabungan dalam Kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengadakan kerjasama semula demi untuk menewaskan Barisan Nasional dan UMNO.
Shahril berkata, kegagalan Pakatan Rakyat dan PH sebelum ini kerana bermatlamatkan ABU semata-mata.
“Pakatan Harapan diwujudkan selepas jatuhnya Pakatan Rakyat (PR) kerana retaknya PR dari dalam selepas Pas keluar PR, akibat tiadanya keharmonian ideologi dan matlamat selain ABU.
“PH pun sama. Perbalahan dalam dan antara parti komponen kerana tidak ada agenda bersama selain ABU.
“Sejarah telah membuktikan pakatan sebegini setelah tercapainya ABU tidak ada lagi yang menyatukan,” menurut beliau.
Justeru Shahril mengajak rakyat supaya menolak mana-mana parti yang hanya bekerjasama atas semangat ABU.
Dalam masa sama beliau mahu rakyat membuka peluang kepada parti yang menawarkan kestabilan untuk rakyat dan negara.
“Berilah peluang kepada kestabilan semasa memilih nanti. Cukuplah sekali ABU. Ayuh Malaysia kembali kepada BN,” kata Shahril.
Media sebelum ini melaporkan pertemuan antara Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhyiddin Mohd. Yassin dan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dr. Mahathir Mohamad untuk membentuk kerjasama bagi menewaskan BN dan UMNO pada pilihan raya akan datang.
Kedua-dua mereka menjadi seteru politik selepas Muhyiddin membawa keluar Bersatu daripada Kerajaan PH dan kemudian menjadi Perdana Menteri di bawah kerajaan PN.
Media turut melaporkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin.
Namun Anwar menafikan bahawa perjumpaan itu bagi membincangkan ‘kerjasama’ antara Bersatu dan PKR.
2 ulasan:
jika umno sendiri masih relevan... maka abu terpaksa relevan.. ini algoritmanya .. hahaha
TT, perpecahan PH bukan saja berpunca dari perbalahan dalaman, adu domba dari luar juga adalah menjadi punca jatuhnya kerajaan diterajui oleh PH, MN ditubuhkan sebenarnya bukan untuk penyatuan ummah,MN adalah bertujuan untuk menganggu gugat PH, orang orang kuat BN tidak berdiam diri selepas BN tersungkur, ingat tak apa Zahid kata selepas Mahiadin dilantik jadi PM "SELESAILAH MISI SAYA"sesiapa yang tidak faham maksud kata kata tersebut orang tu memang BEBAL
Catat Ulasan