Aktivis gesa henti layan pelarian macam penjenayah
PELARIAN di Malaysia perlu dilayan dengan lebih berperikemanusiaan berserta rasa hormat, bukan dilayan seperti penjenayah, kata aktivis.
Banyak yang perlu diperbaiki, kata mereka, terutamanya layanan terhadap pelarian di depoh tahanan yang dinafikan hak asasi termasuk rawatan perubatan.
“Berdasarkan kerja dan interaksi saya dengan tahanan pelarian, mereka ini harus dilayan dengan berperikemanusiaan,” kata ratu cantik dan aktivis Deborah Priya Henry.
“Di beberapa depoh imigresen, kami dapati pelarian tidak diberi rawatan perubatan asas dan ini tidak sepatutnya berlaku.”
Isu berkait pelarian di Malaysia menjadi tumpuan selepas 528 tahanan Rohingya melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang bulan lepas. Enam daripada mereka maut kemalangan ketika cuba melarikan diri pada awal pagi 20 April.
Bebrapa laporan media menyebut pelarian ini tidak diberi rawatan perubatan asas di pusat tahanan sehingga mereka merusuh kemudian melarikan diri.
Mengulas lanjut, Deborah berkata cara layanan terhadap pelarian di depoh imigresen perlu segera diubah.
“Perlu ada peraturan asas berkenaan layanan terhadap pelarian.
“Pihak berkuasa juga perlu membenarkan NGO membantu pelarian di depoh imigresen.
“Kalau tiada apa yang hendak disembunyikan mengapa pihak berkuasa tidak membenarkan kami masuk?” soal pengasas bersama Fugee School, yang menyediakan pendidikan percuma peringkat rendah, menengah serta pengajian tinggi untuk kanak-kanak pelarian dari Somalia dan Timur Tengah.
Beliau turut menegaskan pihak berkuasa perlu segera menjawab komen-komen negatif berkenaan pelarian. – 5 Mei, 2022.
1 ulasan:
Isham ni dah kenapa?? Ape hal nak mengalu alukan depa pulak? Nanti bila depa buat taik, mulalah bukak teori "the clash of civilization" la, "the other" la, itu la, ini la, macam macam.
Catat Ulasan