KEBULURAN
INFALASI
DAN PERANG
Kita pernah mendengar dan membaca kesah-kesah lapar di musim Perang Jepun ( 1941 – 1945 ) dari Emak, Abah atau Datuk kita. Kesah-kesah mulut - cerita atas cerita bagaimana di zaman Jepun beras tidak ada. Ada yang mati kebuluran. Ramai makan ubi kayu dan keledek.
Kita juga pernah membaca pada Sabtu 13 Julai 1985 Bob Geldof dari Kugiran Boomtown Rats dan Midge Ure penyanyi kugiran Ultravox telah membuat konsert amal Live Aid untuk membantu warga Ethiopia yang kebuluran.
Hari ini tahun 2022 kebuluran masih mengancam dunia. Dari data PBB ( Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu ) tahun lalu ada 1.35 juta warga dunia gugur akibat g bulur. Angka ini dijangka akan naik ke 2.76 juta pada tahun hadapan.
Bulur 1985 di Ethiopia menjadi popular. Bulur menjadi perbualan dunia kerana konsert Live Aid. Kebuluran yang ada sekarang hanya menjadi berita sepintas lalu. Masih belum menjadi perbualan dunia mungkin keran tidak penyanyi pop yang glamor buat heboh.
Berita bulur di lapor tapi hanya usik dan lintas. Apa yang sebenarnya berlaku.
Mengikut laporan kajian Human Rights Watch bulur di Ethiopia terjadi akibat dari dasar dan strategi kerajaan di Addis Ababa yang berhadapan dengan perang gerila dalaman. Keadaan ini dibantu pula oleh cuaca panas hujan tak sampai.
Hasilnya lebih dari 1.2 juta mati, 200 ribu kanak-kanak jadi yatim piatu dan 2.5 juta jadi pelarian dalam negara 40 juta penduduk..
Di Malaysia kita heboh harga ayam naik. Kita heboh harga bawang naik. Kita heboh ikan kurang di pasar. Kita heboh kuih muih makin mahal kerana harga tepung mahal. Kakak, Abang dan Mak Cik peniaga kecilan pembuat kuih heboh kerana tepung kadang kala susah ditemui.
Kerajaan seperti biasa akan menenangkan orang ramai dengan kenyataan : Ayam dan telor cukup untuk Hari Raya Haji atau Kawalan akan terus dijalani untuk mengawal harga atau Kerajaan sedang berusaha menangani kenaikan harga barang atau Pengedar di saman 4 ribu ringgit atau Lesen import beras dibebaskan.
Semua ini langkah sementara. Tidak memberi pencerahan kepada warga. Sebenarnya di belakang Kereta Kancil itu ada Jentolak.
Sila beri perhatian rapi. Sila baca, lihat dan dengar apa yang berlaku sekarang. Ketika saya menulis ini kelihatan dengan jelas apa yang berlaku di Ethiopia pada tahun 1983-85 sedang berlaku sekali lagi.
Rintik rintik hujan bulur semakin jelas. Kali ini kita bukan hanya berhadapan dengan Ethiopia. Sepuluh kali Bob Geldof membuat konsert amal tidak akan dapat mengetepikan bulur yang akan sampai kali ini.
Kali ini lapar dan kebuluran skalanya lebih besar. Sifatnya global.
Presiden Biden dari Rumah Putih telah menuduh Putin sebagai punca harga barang naik. Harga bahan bakar minyak petrol naik di Amerika. Pengguna di Amerika mula mengeluh dan marah. Biden menyalahkan Putin. Harga makanan naik kerana Putin.
Untuk pertama kalinya di Amerika susu tepung kanak-kanak tidak ditemui dalam gedung membeli belah. Amerika makin parah. Khalas.
Putin. Putin. Putin. Putin muncul sebagai punca masalah. Ini kerana tentera Rusia di bawah arahan Putin menyerang dan memerangi Ukraine. Mengikut hujah Biden perang menjadikan harga barang naik. Perang membawa inflasi di Amerika. Harga gas, harga minyak naik di Eropah dan inflasi melanggar seluruh dunia kerana Rusia dan Valdimir Putin.
Sekali imbas, sekali dengar hujan Biden masuk akal. Tetapi jika di teliti maka kita akan dapati bahawa Biden ini kaki putar. Presiden Biden membohongi rakyat Amerika dan juga warga dunia. Amin.
Jangan silap baca. Jangan cepat menuduh saya ini penyokong dan pembodek Putin. Tidak. Hishamuddin Rais hanya mencari, meneliti, menulis dan menegakkan apa yang benar.
Data PPB telah menunjukkan bahawa inflasi telah berlaku sebelum 24 Februari 2022 - ini tarikh Vladimir Putin melancar ‘ Operasi Istimewa’ . Justeru Perang Ukraine bukan punca inflasi. Jika perang bukan punca apa yang menjadi puncanya.
Inflasi di Amerika dan di lain-lain negara berpunca dari dasar kewangan – dasar ekonomi atau monetery policy. Negara kapitalis dan negara pembeli terbesar dalam dunia ialah Amerika. Warga Amerika adalah konsumer pandai makan, pandai beli tapi tak membuat apa-apa.
Amerika bukan lagi negara pengeksport tetapi negara pengimport. Kalau pandai makan dan pandai beli tapi tak menjual apa-apa dari mana Amerika dapat duit untuk mengimport barangan.
Amerika menjalankan dasar kewangan yang dipanggil Quantitative Easing (QE) Namanya sedap didengar. Nama ini direka oleh para peniaga duit untuk mengaburi mata orang ramai. QE ini maknanya Mencetak Duit ( MD).
Perkataan mencetak duit ini tidak pernah digunakan. Penggunanya akan menghilangkan rasa yakin warga dunia terhadap dolar Amerika. Jika warga dunia tidak yakin dengan dolar Amerika maka sistem ekonomi kapitalis akan runtuh. Dolar dilihat tidak bernilai.
Amerika bukan lagi negara pembuat, pengeluar dan pengeksport. Amerika menjadi gergasi pengguna dalam dunia. Justeru untuk membeli barang gunaan harian pengguna di Amerika memerlukan kertas hijau yang dinamakan American Dollar.
Apabila Virus Wuhan menyerang banyak peniaga kecil – cafe, bar, restoran dan kedai Emak dan Abah ditutup di Amerika. New York hampir jatuh muflis. Beratus ribu hilang kerja, hilang mata pencarian. Untuk meredakan keadaan ini Presiden Trumps ketika itu telah mengeluar dana negara untuk membantu warga yang terkandas.
Berbilion dolar diagihkan untuk membayar sewa rumah untuk mereka yang hilang kerja, memberi duit batuan bulanan pada yang termiskin, menyediakan gudang makanan untuk diagihkan kepada yang miskin papa kedana.
Dari man duit ini di cekau?
Duit ini di cetak. Dasar kewangan QE-MD inilah yang menjadi punca utama inflasi. Duit meluruh masuk ke dalam pasaran untuk membeli. Duit banyak barang kurang maka harga barang naik.
Itu di Amerika – bagaimana di Malaysia?
Jangan lupa ketika Virus Wuhan dan PKP berjalan kerajaan telah mengeluarkan dana bantuan. Dana bantuan untuk warga bawah B40 , Bantuan PKP 3.0, Bantuan M40 Bujang 2021 dan Bantuan Pemulih. Jangan lupa kerajaan juga telah membebaskan duit simpanan dari KWSP.
Jangan lupa berapa bilion ringgit telah digunakan untuk membeli Vaksin. Harga sebotol vaksin hingga sekarang masih menjadi tanda tanya opps... maaf silap.. masih lagi rahsia.
Dari mana kerajaan Malaysia cekau duit dan dana ini ?
Apakah kerajaan kita juga menjalankan dasar kewangan QE-MD sama seperti di Amerika ? Hanya Guru Nanak yang tahu.
Dolar Amerika yang dicetak terus merayau-rayau ke seluruh dunia. Di mana dolar singgah ianya akan membuntingkan pasaran. Dolar membawa inflasi. Ini namanya inflasi import.
Hari ini data PBB tahun 2022 menunjukkan Amerika mengalami inflasi 8.5% - tertinggi dalam masa 40 tahun. Canada mengalami 6.8% inflasi – tertinggi dalam masa 31 tahun. Kadar inflasi di United Kingdom ialah 9 % - tertinggi dalam masa 40 tahun . Inflasi di India mencapai 15.8 % - tertinggi dalam masa 9 tahun.
Berita Harian pada 21 April 2022 telah melaporkan bahawa kadar inflasi di Malaysia hanya 2.2% setakat bulan Mac. Dilaporkan inflasi masih dalam kawalan.
Inflasi kita tak sampai 3 % peritnya sedang kita rasakan. Bayangkan Canada, Amerika dan United Kingdom yang tahap inflasinya telah melintasi lebih dari 5%. Bagaimana perit agaknya.
Kemudian PKP kita ditamatkan. Ini berita baik. Umum percaya kita dalam landasan untuk kembali seperti 2018. Dalam masa yang lalu kita telah berkhalwat dalam rumah tertiba boleh bebas. Tertiba rakyat Malaysia mula berbelanja. Ini digalakkan oleh kerajaan kerana baik untuk pemulihan untuk ekonomi.
Tetapi ledakan perbelanjaan ini juga membawa inflasi. Tertiba dana meluruh masuk ke dalam pasaran. Lambakan duit yang banyak dalam pasaran sedang mencari barangan untuk dibeli. Bila duit banyak barang sedikit maka harga naik. Ini dinamakan inflasi.
Dalam masa yang sama amat ketara barang kurang dalam pasaran. Ini akibat Virus Wuhan. Pendemik Covid19 telah memutuskan rantaian barang keluar dari kilang ke pelabuhan. Import eksport dari China – kilang dunia - terputus.
Suasana ini ditambah pula oleh krisis politik negara. Perebutan kuasa politik antara BN, PN dan PH – pertukaran tiga Perdana Menteri – semua ini membantu menggoyahkan ekonomi.
Ekonomi goyak bawa krisis politik. Krisis politik membawa ekonomi goyah. Senario ini boleh kita lihat dengan terang dan jelas sedang berlaku di Sri Langka. Adalah tidak mustahil kita juga akan menuju ke tahap Sri Langka.
Ekonomi goyah , politik tak tentu hala membawa mudarat baru : kejatuhan nilai ringgit.
Duit – semua mata wang yang wujud dalam dunia kapitalis hari ini bukan lagi dipasak oleh emas. Ringgit sama seperti dolar – adalah Fiat Money – nilai yang dipasak oleh kerajaan berasaskan keyakinan.
Jika orang ramai tidak yakin dengan kestabilan politik dan ekonomi Malaysia maka nilai ringgit jatuh di pasaran. Ini asas sistem ekonomi kapitalis. Khalas.
Bermula dengan Virus Wuhan yang telah memaksa negara mencetak duit kini meledak pula bala baru : Perang Ukraine. Tidak dapat tidak perang ini menambah buruk inflasi yang sedang melanda dunia.
Tertiba gandum susah dan di dapati di Istambul. Mengikut laporan CNBC pada 3 Jun 2022 inflasi di Turki meledak ke 73% - tertinggi dalam masa 23 tahun. Nilai lira mata wang Turki jatuh menjunam. Perkara yang sama berlaku di Pakistan, di Mesir, Di Brazil, di Chile, di Kenya, di Lebanon, di Iran – malah semua negara kapitalis hari sedang berhadapan dengan masalah inflasi.
Justeru semua ini mengingatkan saya kembali kepada kebuluran di Ethiopia pada tahun 1985. Ketika itu kerajaan pusat Ethiopia di Addis Ababa sedang memerangi gerila pemisah di provinsi Tigray.
Perang di Tigray sama seperti Perang Ukraine. Strategi dan jawapan kerajaan pusat di Addis Ababa menambah buruk keadaan hingga menimbulkan kebuluran.
Bagaimana pula dengan jawapan dan strategi Amerika dan Eropah untuk menangani Perang Ukraine. Apalah ianya akan membawa bulur. Tunggu minggu hadapan. (TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANINSIGHT.COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/385175
1 ulasan:
Rakyat ukraine akan kebulur mcm rakyat eutophia ke..? Malaysia gua tgk org enjoy semacam je beb cuti besdey agong. Berpuluh ribu kete atas jalan sampai jem teruk.. i flasi sengsara apa?
Catat Ulasan