BUDAK KOLEQ
DAN
POP YEAH YEAH
Pada bulan Oktober 1962 empat anak muda dari Liverpool menerbitkan lagu Love Me Do dan P/S I love You. Anak muda yang memanggil diri mereka The Beatles ini telah mengubah dunia pop dan dunia muzik.
Malah The Beatles mengubah politik dunia.
Di Malaysia pada tahun 1964 seorang anak muda bernama M. Osman dari Johor Bahru muncul dengan lagu Suzana diiringi oleh kumpulan muzik Les Fentones.
M Osman juga mengubah dunia pop dan dunia muzik Melayu. Malah M Osman mengubah budaya politik Melayu.
Sesudah Suzana - muncul A. Ramlie dengan The Rhythm Boys, Jeffry Din dengan The Siglap Five, The Clans, The Mods, A. Rahman Hasan dengan Orkes Nirwana, S. Mariam, A Wahid, Kassim Selamat dengan The Swallows dan S Jibeng.
M Osman mengubah landskap muzik anak muda di Malaysia dan Singapura. Manakala MIA (Muhamad Ismail Abdullah) pengacara rancangan Penyanyi Pujaan Minggu Ini dari Radio Singapura memperkenalkan perkataan kugiran – kumpulan gitar rancak.
Aku sendiri terpesona dengan Oh Fatimah nyanyian A. Ramlie dan The Rhythm Boys garapan Salmah Basiron pada tahun 1966.
Muzik mengubah hidup muda aku. Pada tahun 1968 aku yang belum melintasi 17 tahun turut sama dalam gelombang muzik Melayu dan muzik Orang Putih dari United Kingdom.
Aku sebenarnya membesar dan mendewasa berlatar belakangkan Pop Yeah Yeah Melayu dan Brits Pop.
Mustahil pada tahun 1968 ada anak muda di Malaysia yang berumur antara 17 ke 20 tahun tidak pernah mendengar lagu A. Ramlie dan Rhythm Boys atau Jeffry Din dengan The Singlap Five. Atau tidak pernah mendengar nama The Beatles, John Lennon atau Rolling Stones dan Mick Jagger.
Aku mengikuti konsert Pop Yeah Yeah yang datang membuat persembahan di Fun Fair di tanah lapang di tepi pekan Kuala Klawang di sebelah Panggung Ruby.
Tiket masuk ke Fun Fair empat puluh sen pada hari biasa. Jika ada penyanyi pop jemputan tiket akan naik harga sampai 80 sen. Jika penyanyi jemputan yang hebat seperti A.Ramlie atau Jeffry Din tiket di pintu masuk melintas ke 1.50 ke 2.00 ringgit untuk satu kepala.
Aku sempat mendengar A. Ramlie, M.Ishak, Jeffry Din, M. Osman, Eddie Ahmad, S Mariam,
Antara penyanyi Pop Yeah Yeah yang datang ke Kuala Klawang pada tahun 1967/68.
Pada tahun 1969 aku menjadi Budak Koleq di Kuala Kangsar. Aku tidak lagi bebas untuk keluar merayau masuk ke Fun Fair. Aku kini di terima masuk ke sebuah sekolah yang kaya dengan sejarah dan tradisi.
Di MCKK aku tanpa radio. Rukun iman aku pada malam Sabtu tidak lagi mendengar suara Muhamad Ismail Abdullah dari Radio Singapura. Tidak lagi mendengar suara Tan Swee Leong dalam rancangan Top of the Pop dari Radio Malaya.
Pada awalnya aku merasakan MCKK ini wilayah gersang kering tanpa muzik, tanpa budaya, tanpa konsert atau tanpa pesta-pestaan. Ini anggapan salah.
Di MCKK kamilah menyanyi, kamilah berkonsert, kamilah berkugiran , kami berteater, kami berbangsawan, kami bersandiwara sesama kami sendiri.
Budak Koleq seramai 500 anak muda lelaki yang memiliki seribu jenis kepandaian dan bakat. Dari memetik gitar, menyanyi menari dan berlakon.
Aku tidak akan melupakan kemunculan Mustapha Noor sebagai penyanyi pembukaan Talentime tahun 1969.
Aku masih ingat lagi Malam Talentime. Kugiran dari Tingkatan Lima dengan penyanyi seperti Ahmad Fauzi. Aku ingat lagi Kugiran Fifth Formi memainkan kan lagu Proud Mary dari lagu kugiran CCR – Creedence Clear Water Revival.
Aku masih ingat Tengku Amash dengan kumpulannya naik ke pentas menyanyi dengan baju putih berambu-rambu di leher ala Sepanyol dengan seluar hitam. Mustahil aku melupakan lagu In The Year 2525 oleh Zager and Evans. Di MCKK lagu ini dinyanyikan oleh Husin Malboro dan Akhbar.
Aku juga tidak dapat melupakan Akhbar dan Husin Malboro. Mereka berdua ini masuk ke Tingkatan Empat sama macam aku – masuk pada tahun 1969. Mereka berdua ini dari Pulau Pinang.
Husin kurus tinggi dan Akhbar rendah kecil. Satu tinggi satu rendah dengan lagu In The Year 2525. Selain dari bentuk badan tinggi kurus dengan pendek kecil ialah kulit mereka.
Aku yang datang dari Jelebu tidak pernah melihat Orang Melayu yang berkulit hitam macam Husin dan Akhbar. Ghani Osman kawan baik aku dari Batu Pahat hitam – tapi tidak sehitam Akhbar dan Husin.
Awalnya aku pelik bagaimana dua budak India masuk MCKK. Kemudian aku di beri kefahaman konsep Mamak – atau India Muslim. Di Jelebu tahun 1969 tidak ada Mamak. Di Jelebu yang ada India Hindu atau Keling Malabari yang membuka kedai makan No 8 dalam pekan Kuala Klawang.
Mamak untuk kami di Jelebu dan Negeri Sembilan ialah Bapak Saudara.
Talentime di MCKK ini susun dan diatur oleh pelajar. Apa yang spesial tentang Talentime ini ialah kami membuka penonton kepada warga Kuala Kangsar. Tiket masuk 1.60 sen. Ini untuk dana persatuan – Fifth Form Union.
Fifth Form Union juga peranh menjemput datang A.Halim dari Muar. Aku ingat lagi malam itu A. Halim dengan Kugiran De Fiction menyampaikan lagu Kesah dan Tauladan.
Kumpulan Alley Cat dari Pulau Pinang juga pernah membuat pertunjukan dalam Dewan Hargreaves. Malam konsert yang disusun oleh Sixth Form Union.
Hakikatnya : Pop Yeah Yeah diteruskan walau pun kami tidak dibenarkan keluar malam bertandang ke pesta Fun Fair. Pop Yeah Yeah datang kepada kami.
Wow . Pada Malam Talentime atau Malam Konsert yang dibuka untuk orang luar - kerja sukarela yang paling dicari ialah bertugas ialah menjadi penyambut tamu. Berdiri di pintu besar dengan jaket dan blazer untuk membawa tamu masuk ke Dewan Hargreaves.
Sebagai penyambut tamu inilah peluang dapat bertemu dengan Minah Cun dari Kuala. Untuk Minah Kuala mereka juga tahu acara tahunan di MCKK. Mereka datang untuk membolehkan mereka bertemu , berkenalan dan mungkin jatuh cinta dengan Budak Koleq.
Aku ingat lagi Talentime tahun 1970 yang menjadi tamu khas ialah Dotty Puteri Sultan Idris yang ketika itu belajar di TKC – Tengku Khursiah College Seremban. Malam itu Dotty datang dengan mini skirt berwarna merah. Cun bergetah dan mengancam 500 jantan di MCKK.
Dotty Puteri Sultan Perak ini menyampaikan hadiah pada malam itu.
Kolej juga ada mengadakan. School Concert sebelum cuti akhir tahun. Ini bukan untuk mengutip derma. Ini Budak Koleq merayakan Budak Koleq. Setiap kelas atau dormitory akan membuat persembahan.
Biasanya yang menjadi tarikan ialah Interlude. Interlude ini amat popular. Interlude memerlukan kreativiti yang tajam. Interlude adalah sketsa pendek yang membawa lawak dan komidi.
School Concert tahun 1969 aku di minta oleh Mister M. Nadarajah untuk mengarahkan pelajar tingkatan empat dan tingkatan tiga .
Dua pelajar yang aku latih ialah Azizul Rahman dan Mat Poin a.k.a Malik Maulud. Mereka menjadi pelakon dalam taridra.
Ini pertama kali aku terlibat dalam konsert MCKK. Aku ada pengalaman. Dari Darjah Lima di sekolah rendah aku telah mula naik ke pentas. Ketika dalam Tingkatan Tiga, Empat dan Lima di SMUJ setiap tahun aku berlakon di konsert akhir tahun sekolah.
Pada konsert MCKK tahun 1970 ada satu drama komidi dari Tingkatan Lima yang tidak akan dapat aku lupakan. Ini kerja geng Kelly a.k.a Khalid Ahmad , Chonot a.k.a Aziz Hasan dan Tawail Mat Som.
Pada 1968 dunia heboh dengan berita My Lai Massacre di Vietnam. Soldadu Amerika telah membunuh orang kampung di My Lai.
Pada tahun 1970 berita pecah rupa-rupanya di Tanah Melayu juga ada pembunuhan Orang Kampung di Batang Kali oleh soldadu kolonial Inggeris. Ini terjadi pada Disember 1948.
Pelajar Tingkatan Lima MCKK telah mementaskan drama pembunuhan di Batang Kali dalam bentuk komidi.
Sixth Form Union juga mahu mengumpul dana. Persatuan mahu mengadakan Malam Sandiwara. Tiket 1 ringgit untuk pelajar dan juga warga Kuala Kangsar yang di jemput datang.
Purbawara ini menggunakan bahasa bangsawan. Aku tidak terlatih dalam penulisan skrip tapi aku belajar perang dengan berperang. Untuk persatuan aku akan lakukan.
Aku ingat lagi wiranya Hatta Shahrom. Jantan jahat Wan Muhamad Wan Embong. Gadis rebutan Yan. Ketika-tiga pelakon utama adalah pelajar dari aliran Sains. Jalil dan Ghani menjadi Pak Pacak.
Penjaga prop dan pereka set ialah Wan Magataruddin aliran Sains dari Dorm Twenty.
Kami berlatih. Pelakon menghafal skrip. Aku mengarah. Wahid mengajar silat.
Kami semua lelaki. Untuk watak gadis kami menyewa rambut dari salun di Kuala Kangsar. Untuk make-up kami ada dua orang kawan gadis Kuala Kangsar yang sedia membantu.
Latih punya latih. Silat punya silat semua menunggu hari pementasan. Wan Magata telah membeli atap rumbia dari Sayung untuk rekaan set.
Tertiba lima hari sebelum pementasan Yan menarik diri. Yan enggan jadi gadis rebutan. Yan tidak mahu berlakon. Aku cuba memujuk. Gagal.
The show must go on.
Tidak ada jalan lain. Tiket telah dijual. Publisiti telah terpapar. Untuk mencari pelakon baru dan melatih dialog dalam 5 hari adalah mustahil.
Jawabnya: Hishamuddin Rais menjadi gadis rebutan.
Ini kerana hanya aku – penulis skrip dan pengarah - yang hafal skrip. Maka aku mengambil alih dari Yan. Malam itu di MCKK untuk pertama kalinya aku berlakon menjadi anak gadis.
Aku memakai rambut palsu. Bergincu, berkebaya labuh dan berselendang kuning. Pakaian yang kami pinjam dari kawan Orang Kuala.
Aku ingat lagi di babak akhir ketika pertarungan terjadi. Sita mahu di rampas oleh Rawana. Pertarungan silat berlaku antara Rawana dengan Rama. Keris Rawana sedia terhunus menuju Rama tetapi Sita datng menghalang lalu tertikam.
‘ Aaahhh...’ Aku melaung kuat ketika keris menusuk ke dada aku.
Aku melaung sakit sebelum jatuh ke bumi. Aku meluang dengan suara jantan. Aku lupa suara Sita yang lembut.
Satu Dewan Hargreaves terbarai ketawa. Purbawara tragedi yang aku tulis berakhir dengan komidi. (TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2022/09/28/budak-koleq-dan-pop-yeah-yeah
2 ulasan:
Lu punyer kisah ari nie membawa gua ke zmn gua skolah Anderson dulu,kalu Kuala jadi playground budak koleq Pekan ipoh jadik playground budak Anderson,st Michael.tp yg best kami bukan budak asrama,abih skolah lepak Pekan dating ngan awek convent.haha lu ceta psl Kudotty mak sedare TMJ, gua berkwn ngan anak dia,Kira tua dah lu nie anak2 dia pun generasi gua udah 40s haha
Mak gua org Kuala,dia slalu ckp antara Kudotty dgn adik dia sultanah johor paling lawa Ku dotty. Lu tulis psl Brit pop gua mmg suka la,ntah pasei apa kalu skolah bekas kolonial mesti dgr Brit pop.zmn gua 90s,zzmn tu scene US pun byk tp tetap dgr Brit pop,Radiohead,oasis. Gua yakin lu mesti berkabung queen mangkat.
Cross dressing adalah satu sendi drama. Sejarah nya dahalu zaman roman hanya lelaki sahaja boleh naik ke pentas drama. Pentas adalah suci. Jangan ada setitik pun darah tumpah. Aku juga mahu bertanya, jika zaman TT ada kugiran, zaman Anwar ada nasyid kah? Jika sudah dinasyidkan mckk, maka kah kah kah.
Catat Ulasan