Rabu, 28 September 2022

BUDAK KOLEQ DAN POP YEAH YEAH


BUDAK KOLEQ

 DAN 

POP YEAH YEAH


Pada  bulan Oktober 1962 empat anak muda dari Liverpool menerbitkan lagu  Love Me Do dan P/S I love You.   Anak muda yang memanggil diri mereka  The Beatles ini telah mengubah dunia pop dan dunia muzik.

Malah The Beatles mengubah politik dunia.

Di Malaysia pada tahun 1964  seorang anak muda bernama  M. Osman dari Johor Bahru muncul dengan lagu  Suzana diiringi oleh  kumpulan muzik  Les Fentones. 

M Osman juga mengubah dunia pop dan dunia muzik Melayu. Malah  M Osman mengubah budaya politik  Melayu.

Sesudah Suzana -  muncul A. Ramlie dengan The Rhythm Boys, Jeffry Din dengan The Siglap Five, The Clans,  The Mods, A. Rahman  Hasan dengan Orkes Nirwana, S. Mariam, A Wahid,   Kassim Selamat dengan  The Swallows dan S Jibeng.

M Osman mengubah  landskap muzik anak muda di Malaysia dan Singapura. Manakala MIA (Muhamad Ismail Abdullah)  pengacara rancangan  Penyanyi  Pujaan Minggu Ini  dari Radio Singapura memperkenalkan perkataan kugiran – kumpulan gitar rancak.

Aku sendiri terpesona dengan Oh Fatimah nyanyian  A. Ramlie dan The Rhythm Boys  garapan Salmah Basiron pada tahun 1966.

Muzik mengubah hidup muda aku. Pada  tahun 1968 aku yang belum melintasi 17 tahun turut sama dalam gelombang  muzik Melayu  dan muzik Orang Putih dari  United Kingdom.   

Aku sebenarnya membesar dan mendewasa berlatar belakangkan  Pop Yeah Yeah Melayu  dan Brits Pop. 

Mustahil pada tahun 1968 ada anak muda di Malaysia yang  berumur antara 17 ke 20 tahun   tidak pernah mendengar lagu   A. Ramlie dan Rhythm Boys atau Jeffry Din dengan The   Singlap Five. Atau tidak pernah mendengar nama  The Beatles, John Lennon atau Rolling Stones dan Mick Jagger.

Aku mengikuti  konsert Pop Yeah Yeah yang datang membuat persembahan di Fun Fair di tanah lapang di tepi pekan Kuala Klawang di sebelah Panggung Ruby.

Tiket masuk ke Fun Fair empat puluh sen pada hari biasa. Jika ada penyanyi pop jemputan  tiket akan naik harga sampai  80 sen. Jika penyanyi jemputan yang hebat seperti A.Ramlie  atau Jeffry Din tiket di pintu masuk melintas ke 1.50  ke 2.00 ringgit untuk satu kepala.

Aku sempat mendengar  A. Ramlie, M.Ishak, Jeffry Din, M. Osman,  Eddie Ahmad, S Mariam, 
Antara penyanyi Pop Yeah Yeah yang datang ke Kuala Klawang pada tahun 1967/68.

Pada tahun 1969 aku menjadi  Budak Koleq di Kuala Kangsar. Aku tidak lagi bebas  untuk keluar merayau masuk ke Fun Fair. Aku kini di terima masuk ke  sebuah sekolah yang kaya dengan sejarah dan tradisi.

Di MCKK aku tanpa  radio.  Rukun iman aku pada malam Sabtu  tidak lagi   mendengar suara Muhamad Ismail Abdullah dari Radio Singapura. Tidak lagi mendengar  suara  Tan Swee Leong dalam rancangan  Top of the  Pop dari Radio Malaya.

Pada awalnya aku merasakan MCKK ini wilayah  gersang kering  tanpa muzik, tanpa budaya, tanpa konsert atau tanpa pesta-pestaan.   Ini anggapan salah.

Di MCKK kamilah menyanyi,  kamilah berkonsert, kamilah berkugiran , kami berteater, kami berbangsawan, kami bersandiwara sesama kami sendiri. 

Budak Koleq seramai  500 anak muda lelaki yang  memiliki seribu jenis  kepandaian dan bakat. Dari  memetik gitar, menyanyi menari dan berlakon.


Aku tidak akan melupakan kemunculan Mustapha Noor sebagai penyanyi pembukaan Talentime tahun 1969.

Aku masih ingat lagi Malam Talentime. Kugiran dari Tingkatan Lima  dengan penyanyi seperti Ahmad Fauzi.  Aku ingat lagi Kugiran Fifth Formi memainkan kan lagu  Proud Mary dari lagu  kugiran CCR – Creedence Clear Water  Revival.

Aku  masih ingat Tengku Amash dengan kumpulannya  naik ke pentas menyanyi dengan baju putih berambu-rambu di leher ala Sepanyol dengan seluar hitam. Mustahil  aku melupakan  lagu In The Year 2525 oleh Zager and Evans. Di MCKK lagu ini dinyanyikan oleh  Husin Malboro dan Akhbar.

Aku juga tidak dapat melupakan Akhbar dan Husin Malboro. Mereka berdua ini masuk ke Tingkatan Empat sama macam aku – masuk pada tahun 1969. Mereka berdua ini dari Pulau Pinang.

Husin kurus tinggi dan Akhbar rendah kecil. Satu tinggi satu rendah dengan lagu In The Year 2525. Selain dari bentuk badan tinggi kurus dengan pendek kecil ialah kulit mereka.

Aku yang datang dari Jelebu tidak pernah melihat Orang Melayu yang berkulit hitam macam Husin dan Akhbar. Ghani Osman kawan baik aku dari Batu Pahat hitam – tapi tidak sehitam Akhbar dan Husin.

Awalnya aku pelik bagaimana dua budak India masuk MCKK. Kemudian aku di beri kefahaman  konsep Mamak – atau India  Muslim. Di Jelebu tahun 1969 tidak ada Mamak. Di Jelebu  yang ada  India Hindu atau Keling Malabari yang membuka kedai makan No 8 dalam pekan Kuala Klawang.

Mamak untuk kami di Jelebu dan Negeri Sembilan ialah Bapak Saudara.

 Talentime di MCKK ini  susun dan diatur oleh pelajar. Apa yang spesial tentang Talentime ini ialah  kami membuka penonton  kepada warga Kuala Kangsar. Tiket masuk 1.60 sen. Ini  untuk dana  persatuan – Fifth Form Union.

Fifth Form Union juga peranh  menjemput datang A.Halim dari Muar. Aku ingat lagi malam itu A. Halim dengan Kugiran De Fiction menyampaikan lagu  Kesah dan Tauladan.

Kumpulan Alley Cat  dari Pulau Pinang juga pernah membuat pertunjukan dalam Dewan Hargreaves. Malam konsert yang disusun oleh Sixth Form Union.

Hakikatnya : Pop Yeah Yeah diteruskan walau pun kami tidak dibenarkan  keluar malam bertandang  ke pesta  Fun Fair. Pop Yeah Yeah datang kepada kami.

Wow . Pada Malam Talentime atau Malam Konsert yang dibuka untuk orang luar -  kerja sukarela yang paling dicari ialah bertugas ialah menjadi penyambut tamu. Berdiri di pintu besar dengan jaket dan blazer untuk membawa tamu masuk ke Dewan Hargreaves.

Sebagai penyambut tamu  inilah peluang dapat bertemu dengan Minah Cun dari Kuala. Untuk Minah Kuala mereka juga tahu acara tahunan  di MCKK.  Mereka datang  untuk  membolehkan  mereka bertemu , berkenalan dan mungkin jatuh cinta dengan Budak Koleq.

Aku ingat lagi Talentime tahun 1970 yang menjadi tamu khas ialah Dotty Puteri Sultan Idris yang ketika itu belajar di TKC – Tengku Khursiah College Seremban. Malam itu Dotty datang dengan mini skirt berwarna merah. Cun bergetah dan mengancam 500 jantan di MCKK. 

Dotty Puteri Sultan Perak  ini menyampaikan hadiah pada malam itu.

Kolej juga ada mengadakan. School Concert  sebelum cuti akhir tahun. Ini bukan untuk mengutip derma. Ini Budak Koleq merayakan Budak Koleq.  Setiap kelas atau dormitory akan membuat persembahan. 

Biasanya yang menjadi tarikan ialah  Interlude. Interlude ini amat popular.  Interlude  memerlukan kreativiti yang tajam. Interlude adalah  sketsa pendek yang membawa lawak dan komidi.

School Concert  tahun 1969 aku di minta oleh  Mister M. Nadarajah untuk mengarahkan pelajar tingkatan empat dan tingkatan tiga .

Dua pelajar yang aku latih ialah Azizul Rahman dan Mat Poin a.k.a Malik Maulud. Mereka menjadi pelakon dalam taridra.

Ini pertama kali aku terlibat dalam konsert MCKK. Aku ada pengalaman. Dari  Darjah Lima di sekolah rendah  aku telah mula naik  ke pentas. Ketika dalam  Tingkatan  Tiga, Empat dan Lima di SMUJ setiap tahun aku  berlakon di konsert akhir tahun sekolah.

Pada konsert MCKK tahun 1970 ada satu drama komidi dari Tingkatan Lima yang tidak akan dapat aku lupakan. Ini kerja geng Kelly a.k.a Khalid Ahmad , Chonot a.k.a Aziz Hasan dan Tawail Mat Som.

Pada  1968 dunia heboh dengan berita My Lai Massacre di Vietnam. Soldadu Amerika telah membunuh orang kampung  di My Lai. 

Pada tahun 1970 berita pecah rupa-rupanya  di Tanah Melayu juga ada pembunuhan Orang Kampung di Batang Kali oleh soldadu kolonial Inggeris. Ini terjadi pada Disember 1948.

Pelajar Tingkatan Lima MCKK telah mementaskan  drama pembunuhan di Batang Kali dalam bentuk komidi.

Sixth Form Union juga mahu mengumpul dana. Persatuan mahu  mengadakan Malam Sandiwara.  Tiket  1 ringgit untuk pelajar dan juga warga Kuala Kangsar yang  di jemput datang.

Aku menulis skrip dan mengarah. Satu teater purbawara. Satu drama cinta pada satu zaman dialam kerajaan Kesultanan Melaka. Temanya amat klise. Jantan jahat ingin merampas  kekasih orang. Perebutan kekasih tema purbawara Melayu yang selalu kita tuntun. Babak akhirnya pastilah pertarungan untuk menentukan siapa yang akan dapat gadis rebutan ini.

Purbawara ini menggunakan  bahasa bangsawan. Aku tidak terlatih dalam penulisan skrip tapi aku belajar perang  dengan berperang.  Untuk persatuan aku akan lakukan.

Aku ingat lagi wiranya  Hatta Shahrom. Jantan jahat Wan Muhamad Wan  Embong. Gadis rebutan Yan. Ketika-tiga pelakon utama adalah pelajar dari aliran Sains. Jalil dan Ghani menjadi Pak Pacak.

Penjaga prop dan pereka set ialah Wan Magataruddin aliran Sains dari Dorm Twenty.

Kami berlatih. Pelakon menghafal skrip. Aku mengarah.  Wahid mengajar silat.

Kami semua lelaki.  Untuk watak gadis kami  menyewa rambut dari salun di Kuala Kangsar. Untuk make-up kami ada dua orang kawan gadis Kuala Kangsar yang sedia membantu.

Latih punya latih. Silat punya silat semua menunggu hari pementasan.  Wan Magata telah membeli atap rumbia dari Sayung untuk rekaan set. 

Tertiba lima hari sebelum pementasan Yan menarik diri. Yan enggan jadi gadis rebutan.  Yan tidak mahu berlakon. Aku cuba memujuk. Gagal.

The show must go on.

Tidak ada jalan lain. Tiket telah dijual. Publisiti telah terpapar. Untuk mencari pelakon baru dan melatih  dialog dalam 5 hari adalah mustahil.

Jawabnya: Hishamuddin Rais menjadi gadis rebutan.

Ini  kerana hanya aku – penulis skrip dan  pengarah - yang hafal skrip. Maka aku mengambil alih dari Yan. Malam itu di MCKK untuk pertama kalinya aku berlakon menjadi anak gadis.

Aku memakai rambut palsu. Bergincu, berkebaya labuh dan  berselendang kuning. Pakaian yang kami pinjam dari  kawan Orang Kuala.

Aku ingat lagi di babak akhir ketika pertarungan terjadi. Sita mahu di rampas oleh Rawana.  Pertarungan silat berlaku antara  Rawana dengan Rama.  Keris  Rawana  sedia terhunus  menuju Rama  tetapi Sita datng menghalang lalu tertikam.

‘ Aaahhh...’ Aku melaung kuat  ketika keris menusuk ke dada aku. 

Aku melaung sakit sebelum jatuh ke bumi. Aku meluang  dengan suara jantan. Aku lupa suara Sita   yang lembut.

 Satu Dewan Hargreaves  terbarai ketawa. Purbawara  tragedi yang aku tulis  berakhir dengan komidi. (TT)


TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2022/09/28/budak-koleq-dan-pop-yeah-yeah




2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Lu punyer kisah ari nie membawa gua ke zmn gua skolah Anderson dulu,kalu Kuala jadi playground budak koleq Pekan ipoh jadik playground budak Anderson,st Michael.tp yg best kami bukan budak asrama,abih skolah lepak Pekan dating ngan awek convent.haha lu ceta psl Kudotty mak sedare TMJ, gua berkwn ngan anak dia,Kira tua dah lu nie anak2 dia pun generasi gua udah 40s haha
Mak gua org Kuala,dia slalu ckp antara Kudotty dgn adik dia sultanah johor paling lawa Ku dotty. Lu tulis psl Brit pop gua mmg suka la,ntah pasei apa kalu skolah bekas kolonial mesti dgr Brit pop.zmn gua 90s,zzmn tu scene US pun byk tp tetap dgr Brit pop,Radiohead,oasis. Gua yakin lu mesti berkabung queen mangkat.

Tanpa Nama berkata...

Cross dressing adalah satu sendi drama. Sejarah nya dahalu zaman roman hanya lelaki sahaja boleh naik ke pentas drama. Pentas adalah suci. Jangan ada setitik pun darah tumpah. Aku juga mahu bertanya, jika zaman TT ada kugiran, zaman Anwar ada nasyid kah? Jika sudah dinasyidkan mckk, maka kah kah kah.