Ahad, 27 November 2022

PANDANGAN REPUBLIKAN TERHADAP MONARKI


PANDANGAN  

REPUBLIKAN

 TERHADAP 

MONARKI


Saya Hishamuddin Rais adalah seorang republikan. Ini bermakna saya menganut faham ketatanegaraan yang berbentuk republik. Perkataan republik ini bermakna orang ramai. Dari perkataan Inggeris public – orang biasa.

Lawan orang biasa ialah kaum bangsawan dari kelas feudal.

Untuk penganut fahaman Republikan sesebuah kerajaan itu adalah kerajaan orang ramai, didirikan oleh orang ramai untuk orang ramai. Kerajaan rakyat didirikan oleh rakyat untuk rakyat.

‘ The goverment of the people,  by the people, for the people...’ Ini petikan kata-kata ucapan  Presiden Abraham Lincoln (1809-1865)   pada 19 November 1863 DI Gettysburg. Ucapan  garis perjuangan politik Amerika ini  dilafazkan ketika    Perang Saudara (1861-1865) di Amerika. 

Kata-kata ini menjadi asas politik Amerika dan juga asas politik banyak negara dalam dunia yang mengamalkan demokrasi dan pilihan raya termasuk Malaysia.

Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Sistem demokrasi berparlimen kita diikat pula dengan  sistem Raja Berperlembagaan.

Pada tahap persejarahan tamadun Malaysia hari ini, sebagai seorang republikan saya tidak melihat ada percanggahan antara kuasa rakyat melalui undi dengan kuasa Raja melalui darah keturunan.

Pada hemat saya pada tahap in Raja dan Sultan – Raja-Raja Melayu sedang memainkan  peranan yang penting lagi positif. 

Mungkin ada yang akan terperanjat bila membaca apa yang saya tulis.  Apakah ayat menyatakan sokongan terhadap monarki ini sebagai ayat murtad dari tulisan  seorang republikan.

Tidak. Jawabnya tidak. Ini kerana saya memiliki hujah untuk mempertahankan kenyataan saya ini.

Dalam perkembangan politik Malaysia pasca PRU15 saya  melihat Raja-Raja Melayu telah menjadi penyelamat.

Selamatkan dari siapa?  Siapa musuh kita?

Mari sini hambo nak royak.

‘ Jangan serah negara kepada ekstremis kaum dan ekstremis agama...’ Ini induk ucapan  Tengku Nazrin Sultan Perak pada 22/11/ 2022  ketika  penubuhan kerajaan campuran Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

Ucapan Sultan Perak ini bukan baru. Semenjak tahun 2019 lagi  media  telah  melaporkan ucapan yang isi dan tema yang  sama.

Untuk mudah dihayati kerajaan baru di Perak adalah kerajaan campuran BN dengan PH. Di dalam gabungan ini  ada  United Malays National Organisation dengan Democratic Action Party. Satu parti Melayu dan satu parti Cina.

Apa berlaku di Perak adalah sejarah. Kerjasama dua musuh politik yang selama ini bertelagah. Kini boleh sokong menyokong. Boleh bertolak ansur demi kepentingan  ramai.

Tidak dapat tidak  Sultan Perak telah memainkan  peranan yang amat penting. Monarki telah berjaya mempertemukan dua musuh politik untuk bekerjasama dalam dewan. Amin

Siapa dia ekstremis agama dan siapa pula ekstremis kaum  ?

Ekstremis agama wujud dalam Parti Islam PAS. Ekstremis kaum wujud dalam parti DAP. Ini hakikat tidak perlu  dinafikan.

Saya selalu berseloroh  mentakrifkan bahawa DAP ini ialah PAS Cina manakala PAS ini ialah DAP Melayu.

Dua ekstremis ini dianggap musuh kerana mereka mengganggu gugat gaya hidup kita rakyat Malaysia.   

Ekstremis kaum  mahu membawa  orang China Malaysia  ke budaya China Merah.  Tidak mahu  mendirikan negara bangsa yang berteraskan Melayu. 

Manakala ekstremis agama  mahu mewujudkan negara bangsa berteraskan budaya Arab. Tidak mahu mendirikan negara bangsa yang berteraskan Melayu.

Dua-dua sama bahaya. Justeru dua ekstremis ini dianggap musuh kerana mereka mengganggu gugat gaya hidup kita rakyat Malaysia.

Rakyat Malaysia mahu hidup sebagai rakyat Malaysia bukan cara Arab atau cara China.

PRU 15  selesai. Undi dikira. Hasilnya tidak ada gabungan parti politik  yang memiliki majoriti yang boleh mendirikan kerajaan.  Pakatan Harapan mendapat 82 kerusi, Barisan Nasional 30,  Perikatan Nasional 73, GPS 23. GRS 6, Warisan 3, PBM 1 dan dua kerusi Bebas.  

Parlimen tergantung. Maka perbincangan untuk mendirikan kerajaan campuran bermula.

Untuk menyedapkan cerita dari awal lagi Muhyidin dari Perikatan Nasional klim dia memiliki 115 undi. Justeru  Perikatan Nasional akan mendirikan kerajaan. 

Umum diberitahu BN kini bersama PH. Justeru ada majoriti 112. Angka majik untuk menubuh kerajaan.

Dari mana pula Muhyidin dapat angka 115?

Lebai Desas dan Haji Desus mula bersuara. Lebai Desas Desus  mengatakan bahawa  Hishammuddin Hussein dan 10 YB dari Barisan Nasional telah menanda tangani akuan bersumpah menyokong Muhyidin.

Ketika ini klip video Abang  Jo keluar  memberi gambaran yang GPS tidak berminat  dengan Pakatan Harapan kerana perangai DAP.

Semua ini menjadi asas kiraan jumlah undi milik Perikatan Nasional. GPS dan GRS dibaca bersama Muhyidin.

Bila berita ini tersebar satu Malaysia jadi gempar.

Ketika ini soalan mula muncul apakah konsert Black Pink akan di batal. KPop Army menjadi risau.

Konsert ini akan diadakan pada 4 Mac tahun depan di Stadium Bukit Jalil. Tiket kumpulan dari Korea ini telah terjual habis dalam masa 30 minit. Tiket  termahal 8,000 ringgit termurah 300 ringgit.

Apakah gaya hidup anak muda Malaysia akan diganggu gugat oleh ekstremis agama  dalam Perikatan Nasional.

Ini soalan dari sesiapa sahaja yang menghayati dan menganuti gaya hidup budaya Malaysia. 

Takut dengan Perikatan Nasional merebak luas apabila klip ceramah pendek  Muhyidin tentang ‘ kristianisasi’  menular. Ini diikuti pula dengan klip Haji Hadi tentang betapa tidak bertamadunnya  warga Dayak yang bercawat dan bertatu.

Klip Tik Tok kristianisasi   membuka  ingatan terhadap larangan  Orang Melayu agar jangan mengucapkan Kong Hee Fatt Chai, Merrry Christmas, Happy Dewali kepada  kepada yang bukan Melayu.

Lalu ingatan terhadap Gawai datang kembali.  Gawai adalah Oktober Fest untuk  Dayak di Sabah dan Sarawak. Perayaan  minum air tapai sambil menari  bercawat ini apakah akan dilarang seperti larangan Oktober Fest di Kuala Lumpur.

Saya sendiri teringat  akan heboh-heboh  tentang Bon Odori. Ini pesta Masyarakat Jepun di Malaysia yang dirayakan saban tahu di Shah Alam.

Heboh Odori yang dimulakan  oleh ekstremis agama ini melebar hingga Sultan Selangor terpanggil.

‘ Sultan Selangor titah menteri hadir Festival Bon Odori, fahami beza agama dan budaya...’ petikan tajuk berita Astro Awani 9 Jun 2022.

Sultan Selangor telah menyelamatkan  gaya hidup rakyat Malaysia. Pesta Bon Odori selamat. 

Jelas secara positif monarki telah membawa pencerahan  dari kegelapan yang disebar oleh ekstremis  yang menggunakan agama sebagai alat tunggangan politik.

Gaya hidup kita ini lahir dari kawasan alam sekeliling. Budaya  kita ini  juga lahir dari pengaruh alam sekeliling. Orang  Melayu ke sawah, ke hutan bercucuk tanam. Dari pembuatan ekonomi ini lahirkan budaya Melayu.

Kita Melayu kita bukan Arab. Bangsa Arab ada cara hidup dan budaya mereka sendiri. Kita Melayu Nusantara  hidup dalam bumi tropika. Arab hidup dalam budaya padang pasir dan  iklim bumi mereka.

 China Malaysia bukan  China dari Taiwan atau dari Peking. China Malaysia tidak tahu  musim salji. China Malaysia tidak menanam buah apple atau  buah  lai. China Malaysia tanam  buah durian dan manggis. 

 Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.

Masuk hari ke dua sesudah pengundian selesai. Kerajaan masih belum terdiri. Yang Dipertuan Agong memanggil Anwar dan Muhyidin menghadap.

Agong  ingin tahu siapa sebenar yang memiliki jumlah YB yang cukup untuk mendirikan kerajaan.

Monarki memberi cadangan  untuk ditubuhkan Kerajaan Perpaduan. Ini kerana  belum jelas  siapa diantara PH dan PN yang memiliki suara majoriti. Cadangan dari Agong ini adalah jalan tengah untuk menyelesaikan kemelut politik.

Saya menyokong cadangan Agong ini. Malah dari awal lagi apabila dirasakan tidak ada gabungan yang akan mendapat majoriti saya secara terbuka telah mengajukan Kerajaan Perpaduan.

Kerajaan Perpaduan ini menjemput semua parti  politik bersama demi kesejahteraan rakyat.  Ini untuk mengelakkan dari pangkah memangkah  yang akan menyebabkan kepentingan ramai terganggu gugat.

Kerajaan Perpaduan akan mengurangkan politik untuk bersepadu menghadapi ekonomi dunia yang akan meleset. 

Kerajaan Perpaduan amat diperlukan untuk kita bersiap sedia memasuki alam  yang akan diubah oleh malapetaka cuaca.

Sayang sekali Muhyidin satelah  keluar dari Istana dia mengadakan  sidang  akhbar. Muhyidin   menolak cadangan Agong. Umum melihat apa yang dilakukan oleh Muhyidin ini kasar, sombong dan bodoh.

Muhyidin terus berpegang dengan  115 Akuan Bersumpah yang dimiliki. Jika PN  memiliki 115 YB maknanya  jumlah YB bersama Anwar tidak cukup untuk PH mendirikan kerajaan baru.

Di Sabah dan di Sarawak ketakutan terhadap ekstremis agama mula membawa perpecahan dalam GPS dan GRS. 

Ketika ini Ketua Polis Negara umum PDRM akan mengadakan sekatan jalan di seluruh negara. Suasana agak tegang.

Muncul satu klip video sebuah van membawa iklan : Say No To PAS.  Polis  Kuching telah menahan van dan pemandunya.

Satu klip video menular  memperlihatkan anak anak muda berkuda  dengan bendera a la ISIS di Permatang Pauh. Polis Pulau Pinang menafikan bendera yang dikibar adalah bendera ISIS. 

Tapi berkuda membawa bendera bukan kelaziman  anak muda Melayu. Kalau merempit masuk akal. Amin

Agong  dari memberi cadangan  kini Agong bertitah. 

Titah Agong : Jalan terbaik  menyelesaikan kemelut politik ada ialah mendirikan kerajaan perpaduan.

Dalam masa yang sama Istana Negara mengumumkan Raja-Raja Melayu akan bersidang untuk membincangkan keadaan parlimen  yang masih tergantung.

Bila Agong bertitah. Dan bila para politikus mendengar Kakanda dan Adinda akan berjumpa maka   dengan serta merta perubahan  berlaku.

Satelah mendengar titah Agong , saya yakin  telefon Anwar Ibrahim tak putus-putus menerima sokongan untuk bersama dengan PH mendirikan kerajaan. Malah Hamzah Zainuddin pemimpin ke dua  tertinggi dalam Perikatan Nasional telah membelakangkan Muhyidin kerana  tidak mahu ditinggalkan. Begitu  juga pandangan Takiyuddin taiko dari Parti PAS.

Kini dilaporkan media  PN juga mahu bersama  menyokong PH.

GRS dan GPS dengan serta merta akur  dengan titah Agung. Semua meninggalkan PN. Akhirnya jumlah sokongan kepada PH  membuak naik.

Apabila Raja-Raja Melayu bersidang ini hanyalah formaliti. Titah Agung telah  lebih awal menyempurnakan angka  yang selama ini dicari gali  oleh Anwar Ibrahim.

Justeru saya seorang Republikan berterima kasih kepada  Raja-Raja Melayu kerana telah menyelamatkan Malaysia. Tanpa monarki besar kemungkinan kemelut politik ini belum selesai.

Anwar Ibrahim dinobat sebagai PM ke 10 . Kerajaan campuran PH dan BN  didirikan. Amin

Gaya hidup kita semua rakyat Malaysia selamat dan dapat diteruskan tanpa gangguan ekstremis agama.

Maka seperti dalam Sulalatus  Salatin maka  saya juga mengakhiri tulisan ini dengan sebuah pantun untuk ingatan cucu cicit kita:

Jagung ditanam rumput bercambah
Bijan ditabur berwarna merah
Agong bertitah numbo bertambah
Kerajaan gaya hidup  berdiri megah
AMIN - (TT)


TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANINSIGHT.COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/414311







6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Amin, terima kasih tt

Tanpa Nama berkata...

DAP - Extremist? I love Malaysia and voted for DAP. I want Malays to be succesful. I fear Malay that’s Pro Salafism. I am pro-South East Asia culture. Why do you label Chinese DAP racist? Am I racist? Is my family racist? I am confused. I guess we are not Malaysian enough though I am third generation Malaysian willing to die for tanahair ku.

Tanpa Nama berkata...

TT, first taim ada gambar Assmin menangis pulak tu. An enemy of my enemy is not necessarily my friend.

Unknown berkata...

TT. Kau dah berhenti hisap weed ye. Tu sebab tulisan jelas

Tanpa Nama berkata...

Bro, nape tulisan ni tiada dlm Malaysia Now ada kat MI pulak MN dah tak ternow lg ke? atau dah tukar tiup

Tanpa Nama berkata...

TT ini royak tepat sendat ketat semua akan sokong.