PANDANGAN
REPUBLIKAN
TERHADAP
MONARKI
Saya Hishamuddin Rais adalah seorang republikan. Ini bermakna saya menganut faham ketatanegaraan yang berbentuk republik. Perkataan republik ini bermakna orang ramai. Dari perkataan Inggeris public – orang biasa.
Lawan orang biasa ialah kaum bangsawan dari kelas feudal.
Untuk penganut fahaman Republikan sesebuah kerajaan itu adalah kerajaan orang ramai, didirikan oleh orang ramai untuk orang ramai. Kerajaan rakyat didirikan oleh rakyat untuk rakyat.
‘ The goverment of the people, by the people, for the people...’ Ini petikan kata-kata ucapan Presiden Abraham Lincoln (1809-1865) pada 19 November 1863 DI Gettysburg. Ucapan garis perjuangan politik Amerika ini dilafazkan ketika Perang Saudara (1861-1865) di Amerika.
Kata-kata ini menjadi asas politik Amerika dan juga asas politik banyak negara dalam dunia yang mengamalkan demokrasi dan pilihan raya termasuk Malaysia.
Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Sistem demokrasi berparlimen kita diikat pula dengan sistem Raja Berperlembagaan.
Pada tahap persejarahan tamadun Malaysia hari ini, sebagai seorang republikan saya tidak melihat ada percanggahan antara kuasa rakyat melalui undi dengan kuasa Raja melalui darah keturunan.
Pada hemat saya pada tahap in Raja dan Sultan – Raja-Raja Melayu sedang memainkan peranan yang penting lagi positif.
Mungkin ada yang akan terperanjat bila membaca apa yang saya tulis. Apakah ayat menyatakan sokongan terhadap monarki ini sebagai ayat murtad dari tulisan seorang republikan.
Tidak. Jawabnya tidak. Ini kerana saya memiliki hujah untuk mempertahankan kenyataan saya ini.
Dalam perkembangan politik Malaysia pasca PRU15 saya melihat Raja-Raja Melayu telah menjadi penyelamat.
Selamatkan dari siapa? Siapa musuh kita?
Mari sini hambo nak royak.
‘ Jangan serah negara kepada ekstremis kaum dan ekstremis agama...’ Ini induk ucapan Tengku Nazrin Sultan Perak pada 22/11/ 2022 ketika penubuhan kerajaan campuran Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.
Ucapan Sultan Perak ini bukan baru. Semenjak tahun 2019 lagi media telah melaporkan ucapan yang isi dan tema yang sama.
Untuk mudah dihayati kerajaan baru di Perak adalah kerajaan campuran BN dengan PH. Di dalam gabungan ini ada United Malays National Organisation dengan Democratic Action Party. Satu parti Melayu dan satu parti Cina.
Apa berlaku di Perak adalah sejarah. Kerjasama dua musuh politik yang selama ini bertelagah. Kini boleh sokong menyokong. Boleh bertolak ansur demi kepentingan ramai.
Tidak dapat tidak Sultan Perak telah memainkan peranan yang amat penting. Monarki telah berjaya mempertemukan dua musuh politik untuk bekerjasama dalam dewan. Amin
Siapa dia ekstremis agama dan siapa pula ekstremis kaum ?
Ekstremis agama wujud dalam Parti Islam PAS. Ekstremis kaum wujud dalam parti DAP. Ini hakikat tidak perlu dinafikan.
Saya selalu berseloroh mentakrifkan bahawa DAP ini ialah PAS Cina manakala PAS ini ialah DAP Melayu.
Dua ekstremis ini dianggap musuh kerana mereka mengganggu gugat gaya hidup kita rakyat Malaysia.
Ekstremis kaum mahu membawa orang China Malaysia ke budaya China Merah. Tidak mahu mendirikan negara bangsa yang berteraskan Melayu.
Manakala ekstremis agama mahu mewujudkan negara bangsa berteraskan budaya Arab. Tidak mahu mendirikan negara bangsa yang berteraskan Melayu.
Dua-dua sama bahaya. Justeru dua ekstremis ini dianggap musuh kerana mereka mengganggu gugat gaya hidup kita rakyat Malaysia.
Rakyat Malaysia mahu hidup sebagai rakyat Malaysia bukan cara Arab atau cara China.
PRU 15 selesai. Undi dikira. Hasilnya tidak ada gabungan parti politik yang memiliki majoriti yang boleh mendirikan kerajaan. Pakatan Harapan mendapat 82 kerusi, Barisan Nasional 30, Perikatan Nasional 73, GPS 23. GRS 6, Warisan 3, PBM 1 dan dua kerusi Bebas.
Parlimen tergantung. Maka perbincangan untuk mendirikan kerajaan campuran bermula.
Untuk menyedapkan cerita dari awal lagi Muhyidin dari Perikatan Nasional klim dia memiliki 115 undi. Justeru Perikatan Nasional akan mendirikan kerajaan.
Umum diberitahu BN kini bersama PH. Justeru ada majoriti 112. Angka majik untuk menubuh kerajaan.
Dari mana pula Muhyidin dapat angka 115?
Lebai Desas dan Haji Desus mula bersuara. Lebai Desas Desus mengatakan bahawa Hishammuddin Hussein dan 10 YB dari Barisan Nasional telah menanda tangani akuan bersumpah menyokong Muhyidin.
Ketika ini klip video Abang Jo keluar memberi gambaran yang GPS tidak berminat dengan Pakatan Harapan kerana perangai DAP.
Semua ini menjadi asas kiraan jumlah undi milik Perikatan Nasional. GPS dan GRS dibaca bersama Muhyidin.
Bila berita ini tersebar satu Malaysia jadi gempar.
Ketika ini soalan mula muncul apakah konsert Black Pink akan di batal. KPop Army menjadi risau.
Konsert ini akan diadakan pada 4 Mac tahun depan di Stadium Bukit Jalil. Tiket kumpulan dari Korea ini telah terjual habis dalam masa 30 minit. Tiket termahal 8,000 ringgit termurah 300 ringgit.
Apakah gaya hidup anak muda Malaysia akan diganggu gugat oleh ekstremis agama dalam Perikatan Nasional.
Ini soalan dari sesiapa sahaja yang menghayati dan menganuti gaya hidup budaya Malaysia.
Takut dengan Perikatan Nasional merebak luas apabila klip ceramah pendek Muhyidin tentang ‘ kristianisasi’ menular. Ini diikuti pula dengan klip Haji Hadi tentang betapa tidak bertamadunnya warga Dayak yang bercawat dan bertatu.
Klip Tik Tok kristianisasi membuka ingatan terhadap larangan Orang Melayu agar jangan mengucapkan Kong Hee Fatt Chai, Merrry Christmas, Happy Dewali kepada kepada yang bukan Melayu.
Lalu ingatan terhadap Gawai datang kembali. Gawai adalah Oktober Fest untuk Dayak di Sabah dan Sarawak. Perayaan minum air tapai sambil menari bercawat ini apakah akan dilarang seperti larangan Oktober Fest di Kuala Lumpur.
Saya sendiri teringat akan heboh-heboh tentang Bon Odori. Ini pesta Masyarakat Jepun di Malaysia yang dirayakan saban tahu di Shah Alam.
Heboh Odori yang dimulakan oleh ekstremis agama ini melebar hingga Sultan Selangor terpanggil.
‘ Sultan Selangor titah menteri hadir Festival Bon Odori, fahami beza agama dan budaya...’ petikan tajuk berita Astro Awani 9 Jun 2022.
Sultan Selangor telah menyelamatkan gaya hidup rakyat Malaysia. Pesta Bon Odori selamat.
Jelas secara positif monarki telah membawa pencerahan dari kegelapan yang disebar oleh ekstremis yang menggunakan agama sebagai alat tunggangan politik.
Gaya hidup kita ini lahir dari kawasan alam sekeliling. Budaya kita ini juga lahir dari pengaruh alam sekeliling. Orang Melayu ke sawah, ke hutan bercucuk tanam. Dari pembuatan ekonomi ini lahirkan budaya Melayu.
Kita Melayu kita bukan Arab. Bangsa Arab ada cara hidup dan budaya mereka sendiri. Kita Melayu Nusantara hidup dalam bumi tropika. Arab hidup dalam budaya padang pasir dan iklim bumi mereka.
China Malaysia bukan China dari Taiwan atau dari Peking. China Malaysia tidak tahu musim salji. China Malaysia tidak menanam buah apple atau buah lai. China Malaysia tanam buah durian dan manggis.
Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.
Masuk hari ke dua sesudah pengundian selesai. Kerajaan masih belum terdiri. Yang Dipertuan Agong memanggil Anwar dan Muhyidin menghadap.
Agong ingin tahu siapa sebenar yang memiliki jumlah YB yang cukup untuk mendirikan kerajaan.
Monarki memberi cadangan untuk ditubuhkan Kerajaan Perpaduan. Ini kerana belum jelas siapa diantara PH dan PN yang memiliki suara majoriti. Cadangan dari Agong ini adalah jalan tengah untuk menyelesaikan kemelut politik.
Saya menyokong cadangan Agong ini. Malah dari awal lagi apabila dirasakan tidak ada gabungan yang akan mendapat majoriti saya secara terbuka telah mengajukan Kerajaan Perpaduan.
Kerajaan Perpaduan ini menjemput semua parti politik bersama demi kesejahteraan rakyat. Ini untuk mengelakkan dari pangkah memangkah yang akan menyebabkan kepentingan ramai terganggu gugat.
Kerajaan Perpaduan akan mengurangkan politik untuk bersepadu menghadapi ekonomi dunia yang akan meleset.
Kerajaan Perpaduan amat diperlukan untuk kita bersiap sedia memasuki alam yang akan diubah oleh malapetaka cuaca.
Sayang sekali Muhyidin satelah keluar dari Istana dia mengadakan sidang akhbar. Muhyidin menolak cadangan Agong. Umum melihat apa yang dilakukan oleh Muhyidin ini kasar, sombong dan bodoh.
Muhyidin terus berpegang dengan 115 Akuan Bersumpah yang dimiliki. Jika PN memiliki 115 YB maknanya jumlah YB bersama Anwar tidak cukup untuk PH mendirikan kerajaan baru.
Di Sabah dan di Sarawak ketakutan terhadap ekstremis agama mula membawa perpecahan dalam GPS dan GRS.
Ketika ini Ketua Polis Negara umum PDRM akan mengadakan sekatan jalan di seluruh negara. Suasana agak tegang.
Muncul satu klip video sebuah van membawa iklan : Say No To PAS. Polis Kuching telah menahan van dan pemandunya.
Satu klip video menular memperlihatkan anak anak muda berkuda dengan bendera a la ISIS di Permatang Pauh. Polis Pulau Pinang menafikan bendera yang dikibar adalah bendera ISIS.
Tapi berkuda membawa bendera bukan kelaziman anak muda Melayu. Kalau merempit masuk akal. Amin
Agong dari memberi cadangan kini Agong bertitah.
Titah Agong : Jalan terbaik menyelesaikan kemelut politik ada ialah mendirikan kerajaan perpaduan.
Dalam masa yang sama Istana Negara mengumumkan Raja-Raja Melayu akan bersidang untuk membincangkan keadaan parlimen yang masih tergantung.
Bila Agong bertitah. Dan bila para politikus mendengar Kakanda dan Adinda akan berjumpa maka dengan serta merta perubahan berlaku.
Satelah mendengar titah Agong , saya yakin telefon Anwar Ibrahim tak putus-putus menerima sokongan untuk bersama dengan PH mendirikan kerajaan. Malah Hamzah Zainuddin pemimpin ke dua tertinggi dalam Perikatan Nasional telah membelakangkan Muhyidin kerana tidak mahu ditinggalkan. Begitu juga pandangan Takiyuddin taiko dari Parti PAS.
Kini dilaporkan media PN juga mahu bersama menyokong PH.
GRS dan GPS dengan serta merta akur dengan titah Agung. Semua meninggalkan PN. Akhirnya jumlah sokongan kepada PH membuak naik.
Apabila Raja-Raja Melayu bersidang ini hanyalah formaliti. Titah Agung telah lebih awal menyempurnakan angka yang selama ini dicari gali oleh Anwar Ibrahim.
Justeru saya seorang Republikan berterima kasih kepada Raja-Raja Melayu kerana telah menyelamatkan Malaysia. Tanpa monarki besar kemungkinan kemelut politik ini belum selesai.
Anwar Ibrahim dinobat sebagai PM ke 10 . Kerajaan campuran PH dan BN didirikan. Amin
Gaya hidup kita semua rakyat Malaysia selamat dan dapat diteruskan tanpa gangguan ekstremis agama.
Maka seperti dalam Sulalatus Salatin maka saya juga mengakhiri tulisan ini dengan sebuah pantun untuk ingatan cucu cicit kita:
Jagung ditanam rumput bercambah
Bijan ditabur berwarna merah
Agong bertitah numbo bertambah
Kerajaan gaya hidup berdiri megah
AMIN - (TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANINSIGHT.COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/414311
6 ulasan:
Amin, terima kasih tt
DAP - Extremist? I love Malaysia and voted for DAP. I want Malays to be succesful. I fear Malay that’s Pro Salafism. I am pro-South East Asia culture. Why do you label Chinese DAP racist? Am I racist? Is my family racist? I am confused. I guess we are not Malaysian enough though I am third generation Malaysian willing to die for tanahair ku.
TT, first taim ada gambar Assmin menangis pulak tu. An enemy of my enemy is not necessarily my friend.
TT. Kau dah berhenti hisap weed ye. Tu sebab tulisan jelas
Bro, nape tulisan ni tiada dlm Malaysia Now ada kat MI pulak MN dah tak ternow lg ke? atau dah tukar tiup
TT ini royak tepat sendat ketat semua akan sokong.
Catat Ulasan