TIAN CHUA
DAN
REFORMASI
Aku mula kenal Tian Chua pada tahun 1997. Ini dalam bulan Jun ketika jerebu mengganas. Aku diperkenalkan oleh Sivarasa Rasiah kawan lama aku.
Sivarasa satelah lulus dari Oxford University kini menyambung belajar untuk jadi peguam di London. Justeru kami duduk serumah di London.
Petang itu aku bertemu Tian di pejabat SUARAM ( Suara Rakyat Malaysia ) di Petaling Jaya. Ketika itu Tian anak muda Cina yang agak tinggi dan kurus ini bekerja di SUARAM.
Aku yang baru pulang dari 20 tahun berkelana tidak kenal banyak orang. Aku senang hati dapat berkenal dengan kawan baru dan aktivis seperti Tian.
Petang itu kami merancang untuk keluar berdemo dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya jerebu.
Aku secara spontan dengan penuh humor menamakan kumpulan kami yang menentang jerebu dipanggil KUBUR – Kumpulan Udara Bersih Untuk Rakyat.
Tian dan Siva menerima cadangan aku tanpa banyak songel. Tian amat mudah untuk turun ke jalan. Tidak banyak soal jawab.
Seminggu kemudian kami keluar ke Dataran Merdeka. Tidak ramai hanya lapan orang. Nama KUBUR cadangan aku telah disailang oleh Dr. Sanusi dari Parti Rakyat yang tidak faham konsep propaganda dan konsep cool dan apa dia counter culture.
Hari berjalan. Tahun berganti. Pada 2 September 1998 Anwar Ibrahim dibuang dari parti United Malays National Organisation. Anwar bergaduh dengan Mahathir. Aku tak ambil pot. Ketika itu aku sibuk dengan filem Jemapoh.
Pejabat aku di Jalan Kemuja Bangsar Utama. Ini tidak jauh dari rumah Anwar Ibrahim di Bukit Bangsar. Aku difahamkan tiap malam ramai penyokong Anwar berkumpul. Sudut pidato dan Open Mike telah di buka di perkarangan rumah Anwar.
Aku tak ambil pot. Aku tidak pernah menunjukkan muka ke Bukit Damansara. Tiap malam aku difahamkan ramai penyokong Anwar dari pelbagai bentuk datang berhimpun memberi tanda setia kawan.
Pada 20 September 1998 ada demo besar dari Masjid Negara ke Dataran Merdeka. Aku turut hadir. Pada malamnya Anwar di tangkap dan esok dibawa ke mahkamah untuk didakwa kes meliwat.
Hari pertama Anwar ke mahkamah aku turun ke Jalan Tun Perak untuk melihat demo penyokong Anwar.
Demo pada hemat aku adalah cara politik yang terbaik dalam usaha untuk membuat perubahan politik yang radikal. Justeru aku tidak pernah mendaftar untuk mengundi. Aku tidak yakin tentang ketelusan sistem pengundian di Malaysia.
Anwar satelah di tahan didakwa dan tidak dapat jamin. Ertinya duduk reman dalam lokap.
Satu malam aku didatangi oleh Hassan Karim kawan lama aku di Universiti Malaya. Hassan Karim ini anggota Kelab Sosialis - pelajar Fakulti Pertanian yang lebih muda dari aku.
Malam itu Hassan datang bersama Tian Chua. Ini kali ke dua aku berjumpa Tian. Kami bertemu di warung di Jalan Kemuja.
‘ Come and join Reformasi...’ Tian mempelawa aku untuk menyokong Gerakan Reformasi Anwar Ibrahim. Tian menggunakan Hassan untuk meyakinkan aku.
Penerangan Hassan dan ajakan Tian aku hanya dengar. Tidak ada jawapan menerima atau menolak. Aku masih tidak ambil pot tentang Anwar Ibrahim.
Tapi tiap hari Sabtu dengan kamera SLR Nikon tergantung di leher aku merakam sejarah Reformasi. Aku turun ke Jalan Tunku Abdul Rahman. Aku ingin melihat demo penyokong Anwar Ibrahim.
Rujuk kembali kepada tulisan aku dalam. MalaysiaKini pada 2 September 2015 :
Pada tahun 1998 – lebih tepat lagi pada petang Sabtu 24 Oktober 1998 – lebih kurang jam 5 petang saya telah ditangkap di sebelah bangunan Kompleks Pertama Jalan Tunku Abdul Rahman.
Saya dibawa ke rumah pasung Dang Wangi untuk ditahan. Kamera SLR Nikon AE saya telah dirampas sehingga hari ini tidak dipulangkan.
Esoknya – pagi Ahad 25 Oktober 1998 – saya telah dibawa ke PULAPOL di Jalan Semarak. Di sana saya dikumpulkan dengan puluhan lagi penunjuk perasaan yang kelihatan telah dibelasah.
Ramai yang kelihatan cedera, bengkak-bengkak dan kelihatan berdarah dan luka yang telah kering. Dalam sejarah, ini digelar Malam Reformasi Kampung Baru.
Pada Ahad 25 Oktober 1998, induk berita di muka depan Mingguan Malaysia, ada kenyataan resmi Perdana Menteri Mahathir Muhamad yang mengumumkan kepada seluruh dunia bahawa dalang demonstrasi yang menyokong Anwar Ibrahim telah berjaya ditangkap. ( MalaysiaKini 2 September 2015 )
Aku ditangkap pada petang Sabtu itu merubah semuanya.
Aku tidak perlu Hassan Karim atau Tian Chua. Mahathir Muhamad menuduh aku dalang walhal petang itu aku datang hanya untuk merakam sejarah.
Malam Sabtu hujung minggu itu aku ada program bersama TV3. Aku telah dilantik menjadi juri filem dan drama TV. Anggota juri ada pertemuan hujung minggu di Bagan Lalang. Sebelum ke Bagan Lalang aku mahu melihat demo di Jalan TAR
Petang Sabtu itu aku ditangkap. Ini mengubah perjalanan hidup aku.
Aku ada terbaca Tian Chua bersama Ustaz Fadil Nor dari Parti Pas telah menubuhkan GERAK dan GAGASAN. Ini kerjasama kumpulan NGO dengan parti politik untuk menyokong Anwar dan menjatuhkan Mahathir.
Sesudah aku ditangkap kerap juga aku bertemu Tian yang kini bekerja di LRC (Labour Resource Centre). Pejabat LRC di Jalan Kurau Bangsar tidak jauh dari Jalan Kamuja Bangsar – tempat aku bersarang,
Pada 4 April 1999 Parti Keadilan Nasional (PKN) ditubuhkan. Ini 10 hari sebelum Black 14. Tian Chua adalah salah seorang dari pengasas PKN. Jawatan Tian dalam PKN ialah Naib Presiden.
Hari Anwar jatuh hukum 14 April 1999 aku telah bersedia untuk bersama ke jalan raya. Aku yang dituduh oleh Mahathir sebagai dalang kini telah sebaris dengan Tian Chua menyokong Gerakan Reformasi.
Hari yang kenali sebagai Black 14 adalah hari Anwar menerima hukuman penjara. Hari ini juga hari di mana para penyokong Anwar telah bertempur dengan FRU di sekitar pusat bandar tidak jauh dari Bangunan Mahkamah.
Tembakan gas pemedih mata, pancutan air kimia berwarna kuning adalah jawapan PDRM.
Bentrokan berlaku. Tangkapan berlaku, Aku gembira sekali kerana semua imej ini akan menjadi berita dunia.
Anwar pada ketika itu adalah ‘ calon dan budak kesayangan Amerika’. Mahathir dilihat sebagai anti-Amerika. Justeru Anwar Ibrahim telah mendapat liputan media antarabangsa yang meluas.
CNBC, CNN, Al-Jazeera, BBC - semua hadir di Kuala Lumpur untuk merakam babak-babak Anwar di jatuhkan hukum penjara.
Pada hari Black 14 ini Tian Chua telah melakukan satu yang amat berani. Tian telah duduk di tengah jalan untuk menghalang trak FRU dari bergerak untuk menyembur pancut air kimia,
Imej Tian Chua ini sama seperti imej anak muda China yang menghalang kereta kebal dari bergerak di Dataran Tian’anmen pada 5 Jun 1989 di Beijing.
Beberapa orang anggota polis yang dibantu dengan anggota FRU telah mengangkat badan Tian untuk dimasukan ke dalam kereta polis.
Imej Tian ini menjadi imej klasik Gerakan Reformasi. Imej Tian ini sama seperti imej Tunku mengacung genggaman tangan ke udara pada 31 Ogos 1957. Dua-dua imej ini adalah rakaman sejarah tanah air kita.
Satelah Anwar masuk ke dalam penjara para penyokong dan para Reformis meneruskan perjuangan. Setiap petang Sabtu pasti ada tunjuk perasan di Jalan Tunku Abdul Rahman.
Tidak ada organisasi yang menyusun demo. Penunjuk perasan terpanggil kerana yakin Anwar Ibrahim mangsa fitnah. Tidak ada yang percaya bahawa Anwar meliwat Azizan pemandu kereta Anwar yang muka tidak jambu Tidak ada yang percaya Anwar meliwat Sukma walau pun Sukma dilihat kiut dan jambu.
Tidak ada siapa yang percaya Anwar meliwat Munawar Anis. Si Pakistani ini bukan sahaja bersosok gempal malah badan berbulu.
Demo besar sesudah Anwar di tangkap ialah DEMO Arsenik. Berhimpun di Masjid Negara
pada Sabtu 19 September 1999.
Lepas Demo Arsenik aku di jemput oleh Tian ke Pejabat LRC. Disini aku bertemu dengan Pak Abu a.k.a Saari Sungip, Malik Husin, Pak Din, Nasir dan Tan. Mereka ini ada terlibat menggerakkan demo pada hari Sabtu.
Ketika ini kami semua berjalan sendirian. Bergerak secara rahsia. Ada Laman Reformasi ada Laman Mahazalim yang menjadi pemandu. Aku tidak tahu siapa yang menguruskan laman-laman Internet ini. Semua bergerak di bawah tanah, Ini kerana tangkapan selalu berlaku.
Pada hemat aku sosok seperti Tian, Pak Din dan Malik Husin terlibat menyusun Demo Arsenik. Aku yakin Tian yang menyusun kerana ketika ini Tian Chua telah menjadi orang kuat PKN.
Aku hadir di Demo Arsenik kerana yakin bahawa Anwar Ibrahim yang dalam penjara telah termakan racun arsenik.
Dalam Demo Arsenik in ramai Reformis telah ditangkap. Tian dan aku juga turut ditangkap. Kami masuk lokap, di jamin dan di bicarakan.
Aku dan Tian semakin rapat.
Bulan Puasa sampai bulan November. Demo hari Sabtu tidak berlaku lagi. Dengan sendiri protes jalanan Reformasi menjadi lembik.
Tidak ada lagi demo hari Sabtu. Demo spontan tidak mungkin berlaku. Justeru demo perlu dirancang.
Kami merancang di Pejabat Tian. Secara tidak resmi yang memimpin kami pada ketika itu ialah Tian Chua, Pak Abu dan Malik Husin. Aku memberi pandangan ketika kami merancang.
Kali ini kami ingin merancang Perhimpunan 100,000 Rakyat di Jalan Kebun. Ini kawasan tanah kampung Reformis yang bernama S. D Johari. Kami merancang untuk berhimpun pada Ahad 5/11/2000.
Aku ingat lagi Tian mencadangkan Pak Abu sebagai juru cakap. Aku membuat pengisian. Zunar melakar genggaman tangan penumbuk sebagai layar latar di tempat berucap.
Ketika merancang Perhimpunan 100 Ribu Rakyat ini Latifah Koya muncul sama untuk membantu.
Apakah Tian dan Pak Abu dan para Reformis berjaya dengan 100 ribu rakyat turun. Tunggu sambungan. (TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2022/11/12/tian-chua-isham
2 ulasan:
Isham bodo ada ke azizan, sukma dan munawar buat laporan polis kena liwat sebelum anwar kena terajang? Ko ni dah pokai ke skrg ni dok jilat atok pukimak.
Kan dah jadi MP 2 penggal. Oklah Tu berbaloi reformasi. Yg tak dapat apa2 apa cerita?
Catat Ulasan