Sami Malaysia ditahan di Thailand, disyaki mencuri barang berharga di kuil
BANGKOK: Seorang sami rakyat Malaysia ditahan di Chiang Rai, sebuah wilayah di utara Thailand, pada Khamis kerana disyaki mencuri barangan berharga daripada sebuah kuil Buddha, Wat Chet Yot di Wilayah Chiang Mai, menurut polis Thailand.
Superintendan Pusat Pemeriksaan Imigresen Chiang Saen di Chiang Rai, Kolonel Polis Chinakorn Atsawaphum, dalam kenyataan pada Jumaat berkata siasatan terhadap kes itu bermula selepas polis Chang Phueak di Chiang Mai menerima laporan mengenai kehilangan barangan berharga daripada wat itu.
"Polis mendapati suspek, seorang sami dari Malaysia yang menetap di kuil itu, menghilangkan diri selepas kecurian," katanya, sambil menjelaskan waran tangkap dikeluarkan oleh Mahkamah Wilayah Chiang Mai pada 20 November.
Beliau berkata, sami berusia 50 tahun itu ditahan berhampiran Wat Phra Chao Lan Thong di wilayah Chiang Rai jam 12 tengah hari pada Khamis.
"Suspek mengaku dia adalah individu yang dinamakan dalam waran tangkap. Siasatan kes ini sedang dijalankan," kata Chinakorn.
Sebelum pihak berkuasa Thailand meneruskan tindakan undang-undang, Chinakorn berkata suspek, yang mungkin berdepan tuduhan mencuri di kediaman di bawah undang-undang Thailand, berkemungkinan akan dilucutkan statusnya sebagai sami terlebih dahulu. – BERNAMA
2 ulasan:
orang yang tak ada agama juga ada orang jahat...
Sami malaysia dah mati lama dahhh...
Catat Ulasan