Isu kehakiman: ‘PM patut balik segera dari luar negara’
PAS menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim pulang segera dari lawatan ke luar negara bagi memberikan penjelasan berhubung kontroversi sekitar isu kehakiman.
Gesaan itu dibuat selepas sekumpulan anggota parlimen PKR diketuai bekas timbalan presiden Rafizi Ramli menyatakan kebimbangan berkaitan pelantikan kehakiman yang didakwa mirip skandal VK Lingam.
“Anwar Ibrahim wajib segera kembali ke tanah air dan memberikan penjelasan secara langsung kepada rakyat dan parlimen.
“Ini bukan isu kecil yang boleh dilengah-lengahkan. Ini adalah isu melibatkan kedaulatan undang-undang dan masa depan keadilan dalam negara kita,” kata Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari.
Pagi tadi, sembilan wakil rakyat PKR menggesa suruhanjaya siasatan diraja (RCI) dibentuk untuk menyiasat dakwaan berikut:
Tiada tindakan sewajarnya daripada kerajaan berkaitan pencalonan hakim baru oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) menyebabkan kekosongan menjadi mendesak.
Tiada pelantikan bagi kekosongan ketua hakim negara dan presiden mahkamah rayuan walaupun keputusan telah dikemukakan kepada perdana menteri sebelum persaraan Tengku Maimun Tuan Mat.
Mesyuarat JAC pada hari Jumaat lepas berkaitan pencalonan jawatan-jawatan kosong tidak mematuhi keperluan notis 10 hari.
Pada satu mesyuarat JAC, seorang Hakim Mahkamah Persekutuan dipanggil untuk memberi penjelasan mengenai tuduhan cuba mempengaruhi keputusan satu kes dan pertukaran hakim.
Dalam kenyataan sebentar tadi, Fadhli juga menggesa kerajaan bertindak segera dan telus terhadap dakwaan dibangkitkan.
Dia memberi amaran bahawa prinsip pengasingan kuasa boleh runtuh jika cadang kehakiman dicemari oleh campur tangan politik atau eksekutif.
“Tanpa kebebasan kehakiman, kita tidak lagi boleh mendakwa Malaysia sebagai negara demokrasi, bahkan sedang meluncur ke arah pemerintahan berciri diktator,” katanya.
Anggota parlimen Pasir Mas juga memohon Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mempertimbangkan mengambil langkah sewajarnya demi menjamin kemuliaan dan kebebasan institusi kehakiman.
“Patik yakin bahawa Seri Paduka Baginda sentiasa menjunjung prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, dan dengan penuh harapan, patik serta seluruh rakyat menantikan kebijaksanaan Baginda dalam menangani kemelut yang sedang melanda ini.” katanya.
Anwar sekarang dalam rangka lawatan ke beberapa negara.
Dia antaranya menghadiri Forum Perniagaan BRICS di Rio de Janeiro, Brazil.


1 ulasan:
1k elok bentang tikar buat kenduri doa selamat jelah... kah kah kah
Catat Ulasan