Isnin, 15 Jun 2026

MEMAHAMI ROHINGYA



SIAPA MEREKA

DI PANGGIL

ROHINGYA

OLEH : TOBEY KISHEN - MANDIRI

Bukan semua orang yang marah kepada Rohingya ialah Nazi.Bukan semua orang yang risau tentang isu pelarian ialah rasis. Dan bukan semua orang yang mengkritik komuniti Rohingya sedang menyebarkan kebencian. Itu perlu dijelaskan dari awal.

Kerana memang wujud masalah yang sebenar.

Ada isu jenayah. Ada isu setinggan. Ada isu pengemisan kanak-kanak.
Ada isu persaingan pekerjaan dan ekonomi tidak formal.

Ada rungutan bahawa sesetengah warga Rohingya membuka perniagaan tanpa lesen atau mengambil peluang pekerjaan yang turut direbut oleh rakyat tempatan.

Semua itu boleh dibincangkan secara terbuka. Tetapi persoalannya bukan sama ada masalah itu wujud atau tidak.  Persoalannya ialah apa yang berlaku selepas itu. Kerana di suatu titik, perbincangan tentang masalah mula bertukar menjadi kebencian terhadap manusia.

Dan di situlah persamaannya dengan sejarah yang lebih gelap mula muncul. Bukan apabila kita bercakap tentang jenayah.  Tetapi apabila kita mula percaya bahawa seluruh kelompok manusia adalah jenayah.

Bukan apabila kita bercakap tentang keselamatan.

Tetapi apabila kita mula percaya bahawa seluruh kelompok manusia adalah ancaman. Bukan apabila kita mengkritik tingkah laku. Tetapi apabila kita mula menganggap seseorang kurang manusia hanya kerana dia dilahirkan dalam kelompok yang salah.

Di situlah kebencian mula mengambil tempat akal. Dan sejarah mempunyai banyak nama untuk perkara seperti itu. Ramai orang marah kepada Rohingya hari ini.

Mereka tunjuk gambar kanak-kanak mengemis di lampu isyarat. Mereka cerita tentang kes kecurian. Mereka mengeluh tentang setinggan yang tumbuh di tepi sungai. Mereka marah apabila melihat warga Rohingya berniaga di pasar atau bekerja di tapak pembinaan.

Baik. Katakan semua itu benar. Tetapi saya ada satu soalan.

Apa yang kita jangka akan berlaku apabila berpuluh ribu manusia hidup bertahun-tahun tanpa status sah, tanpa akses pendidikan yang teratur, tanpa hak bekerja secara rasmi, dan tanpa jaminan masa depan?

Kita mahu mereka hidup seperti warga yang sempurna, tetapi kita tidak memberi mereka syarat untuk hidup seperti warga yang sempurna.

Kita marah apabila mereka bekerja. Kita juga marah apabila mereka menganggur. Kita marah apabila mereka berniaga. Kita juga marah apabila mereka meminta sedekah. Jadi apa sebenarnya yang kita mahu mereka lakukan?

Hilang? Menguap? Tenggelam ke dasar laut?

Di media sosial, ada yang menulis bahawa semua Rohingya perlu dihalau. Ada yang berkata mereka perlu dibakar. Ada yang bercakap seolah-olah setiap Rohingya lahir sebagai penjenayah.

Aneh.

Apabila seorang Melayu mencuri, kita kata itu masalah individu. Apabila seorang Cina menipu, kita kata itu masalah individu. Apabila seorang India merompak, kita kata itu masalah individu.

Tetapi apabila seorang Rohingya melakukan jenayah, tiba-tiba jutaan manusia lain yang tidak pernah dikenali turut dijatuhkan hukuman sekali.

Logik apa ini?

Jika masalahnya ialah jenayah, hukum penjenayah. Jika masalahnya ialah setinggan, kuatkuasakan undang-undang. Jika masalahnya ialah buruh murah yang menekan gaji pekerja tempatan, tanya majikan yang mengambil kesempatan. Jika masalahnya ialah pelarian tanpa dokumen, tanya mengapa isu itu dibiarkan berlarutan selama puluhan tahun tanpa penyelesaian yang jelas.

Tetapi jangan kita berpura-pura bahawa membenci seluruh komuniti adalah satu bentuk penyelesaian. Kerana kebencian sentiasa menawarkan jawapan yang mudah kepada masalah yang rumit.

Lebih mudah menyalahkan pelarian daripada bertanya mengapa sistem kita membenarkan eksploitasi buruh. Lebih mudah menuding jari kepada orang yang tidak bernegara daripada mempersoalkan mereka yang mempunyai kuasa.

Dan lebih mudah menjerit “halau mereka semua” daripada mengakui bahawa kita sendiri tidak mempunyai jawapan yang sebenar.

Di media sosial, ada satu ayat yang selalu muncul.

“Bawa lah Rohingya duduk rumah kau.”

Pelik juga hujah ini. Bila seseorang kata rasuah itu salah, tiada siapa suruh dia jadi Ketua Pesuruhjaya SPRM. Bila seseorang kata pendidikan perlu diperbaiki, tiada siapa suruh dia bina sekolah sendiri.

Bila seseorang kata jalan rosak perlu dibaiki, tiada siapa suruh dia keluar dengan penyodok dan tar.

Tetapi apabila seseorang berkata bahawa kebencian terhadap Rohingya sudah melampau, tiba-tiba dia diminta membawa seluruh komuniti Rohingya tinggal di rumahnya.

Mengapa?

Kerana lebih mudah menyerang orang yang bercakap daripada menjawab apa yang diperkatakan. Saya tidak pernah kata semua Rohingya baik. Saya tidak pernah kata tiada masalah melibatkan komuniti Rohingya.

Saya tidak pernah kata Malaysia perlu membuka sempadan tanpa syarat.

Apa yang saya kata mudah sahaja. Jika ada penjenayah, hukum penjenayah. Jika ada setinggan haram, kuatkuasakan undang-undang. Jika ada eksploitasi buruh, ambil tindakan terhadap majikan.

Tetapi apabila penyelesaiannya berubah menjadi “halau semua”, “bakar semua”, atau “hapuskan semua”, itu bukan lagi penyelesaian.

Itu kemarahan yang sudah hilang arah.

Kerana masalah sebenar sebuah negara tidak pernah selesai dengan mencari satu kelompok manusia untuk dijadikan kambing hitam.

Dan sejarah, dari dulu hingga sekarang, sentiasa menunjukkan bahawa apabila masyarakat mula percaya semua masalah mereka berpunca daripada satu golongan yang lemah, mereka biasanya sedang mengabaikan punca sebenar yang jauh lebih berkuasa.

Tidak ada siapa yang wajib menyukai Rohingya. Tidak ada siapa yang wajib bersetuju dengan semua dasar pelarian.

Tetapi sebuah masyarakat yang waras membezakan antara mengurus masalah dan membenci manusia.

Jika selepas semua ini anda masih percaya bahawa masalah Rohingya boleh diselesaikan melalui kebencian, pengusiran beramai-ramai, pembakaran, atau layanan yang menafikan nilai kemanusiaan mereka, maka masalahnya bukan lagi pada Rohingya.

Masalahnya ialah kita telah mula melihat manusia sebagai kurang manusia hanya kerana mereka lahir dalam kelompok yang kita tidak suka.

Dan saat itu berlaku, kita bukan lagi sedang mempertahankan keselamatan.

Kita bukan lagi sedang mempertahankan keadilan. Kita bukan lagi sedang mencari penyelesaian. Kita sedang mempertahankan rasisme. Dan rasisme, walau dibungkus dengan seribu alasan sekalipun, tetaplah Rasisme.

Peace. One Love.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Siapa bawak masuk dia tanggung. Jangan guna duit cukai mukai gua untuk makan depa..gua tak halalkan. Tanya umno suruh depa settle issue rohingya.