MENAWARKAN DIRI SEBAGAI CALON TIMBALAN KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN (AMK) MALAYSIA SEMPENA PEMILIHAN PARTI KEADILAN RAKYAT (KEADILAN) TAHUN 2014
Pada 4 Januari 2014, YB Amirudin Shari, Setiausaha Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Selangor merangkap Ahli Dewan Negeri Selangor bagi kawasan Batu Caves telah menawarkan diri beliau sebagai calon bagi jawatan Ketua AMK Malaysia sempena pemilihan KEADILAN 2014 yang akan diadakan pada bulan April ini. Dalam pengumuman tersebut, YB Amirudin turut melontarkan slogan “AMK Baru” sebagai tema kempen beliau.
Atas semangat setiakawan dan iltizam membawa reformasi dalam kerangka anak muda KEADILAN, saya komited untuk turut serta bergandingan dengan YB Amirudin dalam mendukung agenda “AMK Baru” untuk membangun organisasi kepemudaan yang lebih progresif bertunjangkan pemikiran intelek serta prinsip perjuangan yang tercerna daripada nilai-nilai murni masyarakat.
Justeru, setelah bermuafakat dengan para penggerak AMK Negeri Pulau Pinang serta dukungan teman-teman pimpinan AMK wilayah utara; Perlis, Kedah, Perak dan anggota AMK akar umbi seluruh negara, saya dengan rendah hati ingin menyatakan hasrat untuk menawarkan diri sebagai calon Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia dalam pemilihan KEADILAN pada tahun ini.
Semoga hasrat ini terus mendorong dan menjadi pemangkin ke arah pelaksanaan agenda Reformasi.
DR. AFIF BAHARDIN
Ketua Angkatan Muda KEADILAN
Negeri Pulau Pinang
----------
Tiada ulasan:
Catat Ulasan