PEMFAILAN ADUAN KEPADA LEMBAGA DISIPLIN UNTUK PENGAMAL UNDANG-UNDANG
Adalah dimaklumkan bahawa anak guam saya, Anwar Ibrahim, Ketua Umum KEADILAN merangkap Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, hari ini telah memfailkan satu aduan kepada Lembaga Disiplin untuk pengamal undang-undang terhadap Muhammad Shafee bin Md Abdullah.
Aduan ini dibuat kerana Shafee telah salah laku dan melanggar seksyen 94(3)(d) Akta Profesion Undang-Undang 1976 di mana Shafee telah melanggar, antara lain, Peraturan 3, 4, 5, 10, 16, 17, 18, 28, dan 36 Peraturan (Amalan dan Etika) Profesion Guaman 1978 dengan menerima fiat Peguam Negara untuk bertindak sebagai Timbalan Pendakwa Raya dalam kes Mahkamah Rayuan terhadap anak guam saya.
Salahlaku Shafee ini melanggar peraturan etika profesional di mana seseorang peguam tidak boleh berada di dalam keadaan percanggahan kepentingan dan tidak boleh memiliki kepentingan sendiri di dalam hasil sesuatu kes. Di dalam kes ini, Shafee telah dilantik oleh Peguam Negara walaupun Shafee berada di rumah Najib Razak pada hari Saiful Bukhari hadir untuk "membuat aduan"; Shafee sering dilantik sebagai peguam kepadaNajib, Rosmah dan Mahathir; dan Shafee sendiri tahu tentang salahlaku Peguam Negara.
Walau apa pun yang berlaku esok di dalam kes untuk menyingkirkan Shafee dari terus bertindak sebagai Timbalan Pendakwa Raya dalam kes rayuan Fitnah 2, anak guam saya akan meneruskan dengan aduan beliau ini demi kemaslahatan umum.
Bersama-sama kenyataan ini disertakan aduan yang dimaksudkan.
SIVARASA RASIAH
Peguam Anwar Ibrahim
SHAFEE
-----------
Tiada ulasan:
Catat Ulasan