Khamis, 18 Februari 2016

JIKA NAJIB LABUR DUIT ITU





KENYATAAN MEDIA

Jika Najib Labur RM2 Bilion Tiga Tahun Lalu, Malaysia Tidak Perlu 1.5 Juta Warga Asing Sekarang

Isu rancangan Putrajaya untuk membawa masuk sekitar 1.5 juta warga Bangladesh - kononnya untuk memenuhi permintaan tenaga kerja pasaran - cukup hangat dibincang semua lapisan masyarakat. Jelas ramai yang bertanya sama ada ia adalah langkah yang positif ataupun tidak, atau langkah yang diperlukan atau tidak.
Malah, apabila Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi bertanya sama ada anak muda bersedia untuk mengambil alih kerja-kerja 3D (“Dirty, Difficult and Dangerous" atau "Kotor, Susah dan Berbahaya”), media melaporkan respon yang diterima tidak begitu memberangsangkan.

Apabila kita mengambil pandangan yang lebih jauh dan strategik, kita akan lihat bahawa isu pekerjaan - sama ada dari aspek gaji, peluang pekerjaan, pekerja warga asing, #2kerja dan sebagainya - memerlukan bukan sahaja perubahan minda dan budaya di kalangan penggubal dasar tetapi juga di kalangan rakyat Malaysia termasuk juga golongan pemodal.

Isu pekerjaan harus dilihat dari aspek pelaburan bukan sahaja untuk membina kilang, jalan, dan prasarana pasaran yang lain, tetapi juga pelaburan modal insan dari segi pemahaman hak dan tanggungjawab pekerja terutamanya mengukuhkan kesatuan-kesatuan sekerja.

Dan jika Perdana Menteri Najib Razak memahami isu pasaran kerja ini sepenuhnya, dan oleh sebab "derma" itu tidak salah di sisi undang-undang seperti yang dikata Peguam Negara, beliau tidak sepatutnya pulangkan RM2 bilion lebihan dari “derma Sheikh Saudi” itu. Beliau sepatutnya “menderma” jumlah yang besar itu kepada Putrajaya untuk membangunkan pasaran kerja demi masa depan modal insan di Malaysia. 

Jika Perdana Menteri memerlukan idea atau cadangan bagaimana pasaran kerja boleh dibangunkan untuk mencapai matlamat mengurangkan kebergantungan Malaysia kepada pekerja warga asing, lihatlah sahaja cadangan KEADILAN melalui Belanjawan Pakatan Rakyat 2013. 

Dalam belanjawan tersebut, satu dana khas yang bernilai RM2 bilion dicadangkan untuk membantu usahawan, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan syarikat-syarikat kecil memperbaharui, menggerakkan dan menyesuaikan operasi untuk memenuhi keperluan gaji minima. 

Walaupun gaji minima hanya salah satu dari beberapa teras utama untuk menyelesaikan masalah pasaran kerja, ia merupakan satu langkah asas yang cukup penting.

Jika Perdana Menteri Najib tidak pulangkan “lebihan derma” sebanyak RM2 bilion itu dahulu dan melabur dengan mewujudkan dana khas seperti yang dicadang di atas, saya yakin isu 1.5 juta pekerja warga asing, isu #2kerja, dan isu belia Malaysia bersedia atau tidak mengambil alih kerja-kerja 3D tidak akan berada pada keadaan genting seperti yang kita lihat hari ini.

Oleh itu, saya gesa Putrajaya untuk hentikan rancangan “pelaburan” 1.5 juta pekerja warga asing dan fokus kepada pelaburan pendidikan dan modal insan yang merupakan strategi lebih mampan untuk masa depan pasaran kerja Malaysia.
Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN
Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN











-----------------

Tiada ulasan: