Selasa, 9 Februari 2016

UCAPAN SELAMAT TAHUN BARU




XIN NIAN JIN BU

PERUTUSAN TAHUN BARU CINA

Pepatah Tionghua ada menyebut: 

“Jika kamu mahu kemakmuran setahun, tanamlah bijirin. Jika kamu mahu kemakmuran sepuluh tahun, tanamlah pokok. Jika kamu mahu kemakmuran seratus tahun, bangunkan lah insan.”

Memang ada kebenaran disebalik kata-kata ini. Kita semua tahu dan sedar keadaan Malaysia yang diselubungi pelbagai masalah, skandal dan persepsi negatif akibat salah laku urustadbir serta pimpinan yang hilang kompas moral. 

Setiap minggu kita bagaikan disaji isu atau masalah baru, biasanya yang disampaikan media dalam talian (online) atau media arus perdana luar negara. Dan setiap minggu, pimpinan negara bagaikan terus lena, enggan melakukan perubahan, malah lebih dahsyat lagi memecat atau menzalimi mereka yang berani menyuarakan pendapat yang berbeza.

Apa yang kita lakukan hari ini mempunyai kesan dan implikasi yang besar pada hari esok. Sama ada dari segi ekonomi, sosial mahupun politik, terlalu jelas bahawa apa yang dilakukan Putrajaya pada hari ini belum cukup untuk menjamin masa depan yang lebih cerah untuk masa depan anak cucu kita.

Sebagai contoh, pendidikan tidak patut dipolitikkan. Namun kita lihat dasar-dasar pendidikan Putrajaya yang begitu berkecamuk, malah kebebasan akademik turut terjejas hingga pensyarah seperti Azmi Sharom dihadapkan ke mahkamah hanya kerana berani bersuara - ini semua petanda buruk yang harus kita perbetul.
Dasar pendidikan jangan dipermainkan; komitmen yang jitu diperlukan untuk memastikan rancangan pendidikan negara dilaksana sepenuhnya setelah dipertimbang dan diteliti para cendekiawan serta pakar pendidik. Rancangan atau dasar tidak patut dilaksana atau dihenti dengan begitu sahaja; ini hanya akan menimbulkan huru-hara dan syak wasangka di kalangan ibu bapa yang mahukan pendidikan terbaik untuk anak mereka.

Begitu juga dengan hasil minyak kita. Sepatutnya Malaysia telah lama mewujudkan simpanan lebihan hasil jualan minyak, mungkin serupa “The Government Pension Fund” di Norway, yang boleh diguna untuk melabur demi menjamin masa depan negara. Tetapi apa yang berlaku hari ini, tatkala nilai harga minyak jatuh teramat jauh dari sasaran kerajaan, Putrajaya terpaksa berkeras meneruskan cukai GST, malah subsidi untuk banyak perkara seperti elektrik, beras dan sebagainya pun sudah ditarik balik. Ini tidak patut berlaku, lebih-lebih lagi di kala keadaan ekonomi yang tidak begitu baik ini.

Maka sempena Tahun Baru ini, marilah kita tanam iltizam dan semangat yang baru untuk terus berusaha memperbaiki keadaan dalam negara, untuk terus berjuang menegakkan keadilan, untuk terus membangunkan insan-insan yang mampu membina sebuah Malaysia yang bukan sahaja baik dan adil untuk semua warganya, tetapi mampu menjamin kemakmuran untuk seratus tahun yang akan datang.

Dan walaupun 10hb Februari ini menandakan setahun saudara Anwar Ibrahim dipenjarakan, saya dan rakan-rakan di dalam KEADILAN dan keluarga besar Pakatan Harapan akan terus berjuang demi Rakyat dan berusaha membebaskan Rakyat dari belenggu rejim UMNO-Barisan Nasional.

Akhir kata, izinkan saya sampaikan ucapan berikut buat rakan-rakan Tionghua kita:

身体健康 (Semoga anda sentiasa sihat)
萬事如意 (Semoga tercapai segala yang anda impikan)

Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Presiden KEADILAN

6 Februari 2016

XIN NIAN JIN BU

--------------

1 ulasan:

Usop ali berkata...

amin..semuga Allah permudahkan amin