Jumaat, 4 Mac 2016

DARI PENJARA SUNGAI BULUH






KENYATAAN MEDIA


Saya menyokong pendirian rakan-rakan dari masyarakat sivil, parti politik dan individu-

​individu​ termasuk Mahathir, Muhyiddin Yasin dan lain-lain untuk menggembleng kekuatan dan persefahaman bersama seperti disuarakan oleh Ketua Pembangkang baru-baru ini. 

Persefahaman bersama ini ​akan​ menumpukan untuk menuntut perletakan jawatan Najib selaku Perdana Menteri yang telah nyata gagal mentadbir negara. Beliau bertanggungjawab meneruskan tindakan-tindakan politik rakus, merosakkan institusi pemerintahan dan membebankan rakyat dengan kegawatan ekonomi yang berterusan. 

​Pada masa yang sama, tuntutan perubahan ini semestinya akan melibatkan reformasi institusi utama dalam negara yang sudahpun retak dan parah di bawah pentadbiran  Najib.

Selama ini kita mewakili suara nurani hati rakyat  telah berikrar untuk memperjuangkan pengembalian hak rakyat di sebuah negara merdeka dan berdaulat. Tuntas dengan kesedaran ini maka hak rakyat harus dikembalikan melalui sistem pilihanraya yang bersih serta badan kehakiman dan media yang bebas. Dasar ekonomi harus diubah untuk mengutamakan semula usaha ke arah pertumbuhan yang segar dan pengagihan kekayaan yang saksama. 

Skandal 1MDB yang melibatkan Perdana Menteri adalah skandal terparah dalam sejarah dan turut menjejaskan imej negara. Ini hanya mungkin berlaku apabila terdapat pemusatan kuasa kepada seorang Perdana Menteri serta kegagalan institusi kewangan, keadilan dan penguatkuasaan menjalankan tugas dengan bebas. 

Kita juga telah belajar dari pengalaman sejarah bahawa peralihan kuasa
​yang bermakna ​bukanlah peralihan tokoh semata tetapi perubahan sistem. 

Justeru itu saya tegas menggesa rakan-rakan dan rakyat bersama dalam usaha ini tanpa membataskan ia sebagai agenda peribadi mahupun permusuhan peribadi. Kita harus merangka halatuju baru bagi menyelamatkan negara. 

Anwar​ Ibrahim​
3 Mac 2016





-------------

Tiada ulasan: