Rabu, 6 April 2016

AMARAN ABANG TUA





KITA INI HENDAK KE MANA?


Ketika saya menggarap tulisan ini sabenarnya saya lakukan dengan latar kesedihan  dan kekecewaan. Saya sedih apabila saya memahami apa yang sedang  berlaku ke atas muka bumi ini. Dalam masa yang sama saya merasa kecewa kerana saya merasakan diri  saya tidak dapat melakukan apa-apa. Saya terkapai-kapai menjadi saksi  melihat kemusnahan alam dan muka bumi ini.

Pada tahun 1992 stesen TV BBC telah membuat sebuah filem dokumentri The Elder Brothers’ Warning - Amaran Dari Abang Tua  arahan Alan Eriera. Filem BBC ini panjangnya hampir 1 jam satengah. Apabila stesen Public Broadcasting Service dari Amerika membeli program ini maka ianya perlu di pendekkan 5 minit. Ketika itu saya warga kota London - justeru saya mendapat peluang menjadi pembantu Horacio Queiro  Tuan Penyunting untuk memendekkan filem yang menggunakan celuloid 16mm. Dua minggu kami bekerja di Soho.

Selama dua minggu sambil bekerja sambil saya menghayati  naratif yang dibawakan oleh filem ini. Dokumentri ialah tentang gaya hidup bangsa Kogi. Mereka tinggal di pergunungan Sierra Nevada de Santa Marta  di Colombia. Wilayah Kogi ialah 19,000 kaki dari permukaan laut diatas  pergunungan Andes di Amerika Latin.

Masyarakat Kogi yang hidup dipergunungan bersalji ini amat mesra alam.  Dari pemahaman saya masyarakat  Kogi memiliki falsafah hidup sama saperti yang dimiliki Orang Asal datuk nenek moyang saya sebelum kami dipengaruhi oleh budaya Arab.

Untuk masyarakat Kogi sama saperti  Jakun, Senoi atau Temiar - mereka percaya semua wujudiah dalam dunia memiliki roh dan semangat.  Manusia, binatang, pokok, batu atau air adalah  bentuk pisikal. Semua bentuk pisikal ini memiliki roh dan semangat. Justeru apa saja yang kita usik bermakna kita  mengusik jisim dan roh. 

Dalam filem ini masyarakat Kogi telah memberi amaran kepada kita - Adik Muda. Kita semua yang duduk dibawah gunung dianggap oleh Kogi sebagai Adik Muda. Kogi yang  tinggal diatas puncak gunung menganggap diri mereka Abang Tua.

Abang Tua telah memberi amaran kepada Adik Muda. Amaran kepada kita semua agar ‘berhenti’ melakukan apa yang sedang kita lakukan kepada alam ini. Abang Tua kita memberi tahu bahawa salji  semakin berkurangan di Pergunungan Andes. Takungan air salji semakin susut. Ini tanda-tanda bala dan malapetaka  akan sampai. Bila salji diatas gunung kurang bermakna air dibawah gunung akan susut. Bila air kurang musim kering akan sampai.

Amaran dari Abang Tua ini disampaikan melalui  BBC pada tahun 1992. Ini empat belas tahun dahulu. Hari ini  bumi manusia semakin hangat.

Malaysia sebuah negara tropikal yang cuaca  biasanya tidak pernah melitasi 30 darjah Centigrade. Kini semua telah berubah.  Sekolah di Kedah dan Perlis - ketika saya menulis ini - masih ditutup kerana panas. Langkawi dan Chuping terus dibakar matahari. Dari laporan media saya difahamkan banyak daerah di Utara Tanah Melayu telah menjadi kering kontang kerana hujan tak sempai-sampai lebih dari satu bulan. Rekod panas yang melintasi 39 darjah Centigrade telah pernah dirakam untuk pertama kalinya dibumi Malaysia.

Yakinlah ini  satu perubahan hakiki. Ini satu ledakan perubahan cuaca yang membawa implaksi yang amat mendalam. Amaran dari Abang Tua kelihatan tepat dan betul. Hanya Adik Muda yang engkar tidak mahu mendengar.

Apakah kita  semua - anak semua bangsa  dalam bumi manusia ini tidak mahu mendengar amaran demi amaran tentang pemanasan dunia? Atau anak semua bangsa  tidak memahami apa yang sedang berlaku.Soalan ini selalu saya tanya kepada diri saya sendiri. Saya tidak memiliki jawapan.

Tetapi saya memahami apa yang sedang berlaku terhadap alam ini. Saya memahami kenapa pemanasan dunia hari ini berlaku. Sama saperti pembacaan dan hujah saya terhadap politik - dimana punca kuasa politik ialah ekonomi. Dalam isu pemanasan  bumi manusia juga saya menggunakan ekonomi sebagai punca. 

Dunia moden kita yang berpaksikan sistem ekonomi kapitalis telah mengajukan satu budaya gaya hidup konsumer. Falsafah budaya kapitalis ini ialah - kita membeli, kita  mememilik dan kita  memakai maka  kita bahagia. Memilik dijadikan asas untuk mencapai kebahagian. Lagi banyak yang kita miliki, lagi banyak benda yang kita punya maka lagi bahagialah hidup kita. Ini adalah ajaran falsafah budaya kapitalis. Kamu membeli maka kamu wujud. Kamu memiliki maka kamu bahagia. Harta milik individu menjadi rukun iman  budaya kapitalis.

Saya telah lama cuba  membawa pencerahan untuk menunjukkan kepada anak semua bangsa bahawa sistem ekonomilah yang melahirkan budaya yang kita guna pakai hari ini.  Budaya inilah yang sedang membawa kita semua ke dalam kancah malapetaka ini. Hakikatnya  krisis pemanasan bumi ini adalah hasil perbuatan manusia sendiri. Lahir dari budaya yang kita amalkan.

Kekeringan salji di Andes, di Himalaya atau di Khutub Utara hanyalah manifestasi tentang sakit yang sedang dialami oleh bumi manusia. Apakah masih ada yang sangsi tentang ke wujudnya pemanasan dunia? Apakah masih ada yang tidak sedar tentang hakikat ini? 

Untuk memahami secara jujur apa yang sedang berlaku maka telah sampai masanya kita menganalisa pemanasan bumi ini secara menyeluruh. Bukan penganalisaan tempat tempatan. Bukan penganalisan terpisah pisah. Kita wajib melihat permasalahan pemanasan dunia ini secara menyeluruh. 

Sama saperti  memahami krisis  Orang Pelarian  Perang masuk ke Eropah pada ketika ini  bukan kerana Turki membuka sempadan. Atau kerana Greece kurang pengawalan. Atau kerana Sweden mengalukan kemasukan Orang Pelarian. Bukan. Bukan. Bukan.

Orang Pelarian Perang bermula dengan perang. Perang bermula di Syria, di Libya, di Afghanistan dan di Palestin. Syria diserang kerana apa? Syria diserang kerana enggan memberi laluan paip minyak milik Saudi/Amerika.  Kaum pemodal syarikat minyak melobi politikus di Rumah puteh untuk menyerang Syria.  Libya dan Afghanistan diserang kerana apa? Kerana minyak. Orang Pelarian Perang muncul dari perang. Perang muncul kerana perebutan ekonomi. Justeru  semuanya kembali kepada kepentingan ekonomi. Ekonomi ini ialah  sistem ekonomi kapitalis.

Pemanasan dunia hari ini juga wajib dianalisa secara radikal dan total. Jika penganalisaan kita tidak radikal maka wujudiah kita di bumi manusia ini hanya mengotorkan oxygen dan mengambil ruang. Segala analisa dengan bergantang-gantang data ilmiah akan dilihat hempeh jika tidak disebutkan semua ini  berpunca dari sistem ekonomi kapitalis.

Selama lebih dari 200 tahun samenjak Revolusi Industri berlaku bumi manusia ini telah dijajah oleh sistem ekonomi kapitalis. Pada awalnya urusan   jual beli  dari negara ke negara melalui kapal layar. Atau saudagar datang berniaga dengan menaiki caravan dari China melintasi  Iran ke nagara Arab menuju ke Eropah. Ini di zaman Mercentile Capitalism.  

Kini semuanya telah berubah. Dari Mercentile Capitalism ianya beralih menjadi Kapitalis Industrial. Dari Kapitalis Industrial menjadi kuasa imperialis dimana wilayah dijajah untuk mendapatkan keuntunagn maksima. Jangan sesekali dilupakan keuntungan maksima adalah rukun iman  kaum kapitalis.

Hasilnya kita melihat Selat Melaka menjadi selat yang paling sibuk dalam dunia. Pantai dan pesisiran Selat Melaka yang 40 tahun dahulu landai berpasir kini menjadi wilayah paling kotor dalam dunia.  Selat Melaka kotor kerana banyak kapal lalu lalang. Kapal lalu lalang kerana membawa barang perniagaan. Berniaga ialah sistem kapitalis.

Justeru tidak salah jika   saya katakan pantai  Telok Kemang Batu Lapan Port Dickson menjadi kotor kerana sistem kapitalis. Jika kekotoran ini  bukan diwujudkan oleh sistem kapitalis samalah saperti menolak hakikat Perang Syria bukan kerana bahan bakar petrolium.

Para saintis sebulat suara bersetuju dan menerangkan bahawa bumi manusia ini menjadi panas kerana ruang udara  diatas muka bumi ini sedang dibungkus oleh  carbon dioxide atau Co2. 

Co2 ini muncul kerana pembakaran minyak dan arang batu. Co2 ini tahun demi tahun bertambah dan terkumpul diruang udara. Pada ribuan tahun dahulu. Semenjak kun fi ya kun - Co2 ini disedut  oleh tumbuh-tumbuhan, dedaun kayu kayan dan laut. Kini satengah dari Co2 ini tidak lagi disedut  oleh dedaun pokok dan laut. Co2 makin banyak berkumpul diruang udara. Ini yang menjadikan bumi manusia panas.

Ribuan tahun  dahulu  Co2 boleh disedut oleh deduan hijau. Kalau dulu Co2 disedut oleh hijauan daun kayu dan dimuntahkan sebagai oxygen. Kenapa sekarang tidak boleh disedut untuk dibersihkan oleh daun daun kayu? Kenapa tidak berlaku lagi sekarang?

Jawabnya banyak hutan telah ditebang oleh manusia. Manusia menebang hutan untuk mengambil balak. Balak di Pahang, Kelantan, Sabah dan Sarawak makin pupus. Ini belum diambil kira hutan Amazon yang makin mengecut. Hutan Amazon ini mengeluar 30% dari udara oxygen untuk umat manusian di muka bumi ini. 

Apabila kayu  ditebang yang ikut sama gugur ke bumi ialah dedaun kayu. Semakin kurang hutan semakin kurang dedaun kayu. Maka semakin banyak Co2 yang tidak dibersihkan  memasuki ruang udara. 

Kenapa balak ditebang?  Sila tanya Nik Abduh dari Kelantan, sila tanya  Taib Mahmud  dan Ting Pek Kiing dari Sarawak, sila tanya Musa Aman dari Sabah. Sila tanya cukong Rimbunan Hijau dari Sarawak dan  sila tanya Felda.

Bila saya tuduh ‘ global warming’ - pemanasan dunia ini disebabkan oleh  Nik Abduh, atau oleh Felda   atau oleh Ting Pek Kiing atau Taib Mahmud atau oleh towkay balak atau oleh sistem kapitalis pasti ramai yang mengatakan Hishamuddin Rais telah gila. Dia telah dipengaruhi Abang Tua  dari gunung Andes. Tetapi inilah fakta. Inilah hakikat bahawa kita semua bertanggung jawab. (TT)



NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanmggan akhbar minngun ini
sila pukul talipon
03-92-21-30-45 

---------------

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Steady Ankel Sham, lu gila pun xpe..ramai nak follow...kalau betul tegak macam pembaris pun...tapi boddo melantun...senang senang orang beratur nak maki...

Tanpa Nama berkata...

Haha.. dalam Islam mana ada ada istilah kajian abang Isham ooi.. yang depa tau, baca dan dengar, kendian tetiba ada bukti dilambakkan yang Maha Esa.. itu saja.. Al Quran is a sign, not science!!!

Yang dok gi mengaji depan tok2 guru pun, berapa ekor yang bawak kitab bro.. tengok sendiri ceramah UAI..ceramah ostat berlambak2 dalam youtube.. semua gi dengar joo.. balik kontot kaddaboom..habih berselerak ilmu bersepai..

Sbb tu dalam Islam, tak ada barang2 dicipta, sbb Tuhan sudah ciptakan. Budaya mengkaji langsung tak ada.. Kalo harap Nik Abduh dan Haji Hadi, alamat kita pakai cawat sabut kelapa laaaa.. sarung tetek pun guna tempurung... serban pun guna kulit batang pisang..

Budaya menulis jauh sekali. Yang ada ulamak dua tiga kerat ajolah.. lain2 tumpang glamer..

UNCLE RAMLI berkata...

Betul pemanasan global terjadi kerana terdapat lumayan jejak kaki karbon seperti lapisan karbon diodsida atau CO2 terapung di atmosfera lalu menyimpan haba yang menyiksakan manusia dan tumbuhan2 lain. Penyumbang tersohor CO2 ni datangnya dari negara industri besar seperti Amerika Syarikat, China dan India yang masing2 hebat dalam melaksanakan sistem ekonomi yang bermazhab kapitalisme. PPB dah tak larat nak meminta negara2 berkenaan mengurangkan lepasan CO2 yang telah mencabul integriti kehidupan manusia. Manusia dah bosan dan mengalami keletihan mental dalam menghadapi suhu yang luar biasa panas ni.
Maka kritikan harus difokus pada 3 negara itu. Ketiga3 negara tu cakap first class nak hapuskan global warming tapi tindakan2 mereka lebih hebat lagi mengeluarkan CO2 ke atmosfera pada skala yang menggerunkan.

Tanpa Nama berkata...

Lu mmey tegak bro... Lu bile cerite sriuws sikit, mcm tgh becakap ala-ala pakai motaboard..

Tanpa Nama berkata...

Jika aku stress aje, aku gi ke blog TT...mngkin cetusan idea yg tk makan saman, tanpa kekangan, tk amek pot ape org nk kata mnyebbkn aku lega...ade jugak manusia yg melanggr arus perdana ni survived ..tqvm TT