DUNIA KITA HARI INI
Ketika kuasa bala tentera Amerika kalah dalam Perang Vietnam pada tahu 1975 - saya telah mula berkelana menjadi orang pelarian politik. Ketika Leonid Breshnev pemimpin Rusia meninggal dunia pada 10 November 1982 saya berada dalam penjara Arthur Road Mumbai. Ketika Mikail Gorbachev mengambil alih pimpinan Parti Komunis Rusia pada tahun 1985 saya telah berada di Eropah.
Pada tahun 1989 ketika Tembok Berlin runtuh saya masih lagi anak mahasiswa di London. Ketika Bill Clinton mengangkat sumpah menjadi Presiden Amerika pada tahun 1993 - saya menonton siaran langsung angkat sumpah ini dari bilik saya di Brixton London
Ketika itu pembacaan saya ialah - Perang Dingin telah tamat. Tembok Berlin telah runtuh. Gorbachev sedang menjalankan dasar ‘ perestroika- keterbukaan’ - untuk Rusia.
Pada hemat saya pada ketika itu pemimpin dunia akhirnya telah sedar bahawa perang hanya membawa kehancuran. Saya anggap apabila Perang Dingin tamat maka dunia kita ini akan menjadi lebih makmur.
Dengan latar ini saya mengajukan permintaan untuk kembali pulang ke Malaysia satelah berkelana selama 20 tahun.
Saya silap besar. Bacaan politik saya salah. Aman makmur yang sepatutnya dapat dituai dari tamatnya Perang Dingin adalah padi hampa.
Hari ini - tahun 2016 - pada hemat saya dunia lebih kacau dari zaman Perang Dingin. Dunia kita ini lebih porak peranda dari zaman Perang Vietnam. Kemakmuran yang diharapkan pasca Perang Dingin telah meresap hilang.
Untuk anak muda generasi hari ini biar saya terangkan apa itu Perang Dingin. Ini agar mereka tahu akan latar belakang kenapa politik dunia hari ini bergerak saperti sekarang.
Perang Dingin bermula pada tahun 1947 - beberapa tahun sesudah tamatnya Perang Dunia Kedua. Dunia ketika itu dibahagi kepada dua blok. Satu blok kapitalis yang dikepalai oleh kuasa imperial Anglo-Amerika. Dan satu lagi blok sosialis yang dipimpin oleh Rusia bersama China.
Rusia dan Amerika ditakrif sebagai negara super power. Ini kerana dua negara ini memiliki bom nuklear dan pelbagai jenis senjata yang maha hebat. Manakala negara Eropah Barat dianggap sebagai negara Dunia Kedua. Selainya - negara di Asia, Afrika dan Amerika Latin ditakrif sebagai negara Dunia Ketiga. Dari sinilah munculnya konsep negara Dunia Ketiga yang selalu saya guna pakai.
Ketika Perang Dingin bergolak hebat muncul Bung Karno, Gamel Abdel Naseer dari Mesir, Tito dari Yukoslavia, Nehru dari India, Zhou Enlai dari China dan Ayub Khan dari Pakistan. Mereka ini pemimpin negara Dunia Ketiga yang berjaya mengadakan Konferensi Asia-Afrika di Bandung pada tahun 1955. Konfrensi Bandung ini menetaskan konsep Negara Berkecuali - Non Aligned Movement. Ini gerakan Negara-negara Dunia Ketiga yang tidak mahu menyebelahi dua kuasa super - Rusia atau Amerika.
Sejarah dunia juga akan merakamkan - diantara runtuhnya Tembok Berlin dan sebelum berlakunya ledakan World Trade Center New York pada 11 September 2001 - telah muncul satu kumpulan pemikir dan intelektual Amerika. Mereka mengajukan pendapat bahawa kurun ke 21 adalah kurun milik Amerika. Mereka ini terdiri dari intelektual berpandangan kanan yang pro kaum pemodal. Mereka dikenali sebagai gerombolan neoconservatism - konservatif baru atau popular dipanggilan Neokon.
Gerombolan kanan Neokon ini telah berkumpul untuk menetaskan apa yang kini dikenali sebagai garis falsafah PNAC - Project for New American Century pada tahun 1997. Untuk kumpulan kanan ini sesudah tamatnya Perang Dingin dunia ini hanyalah dunia kapitalis. Dunia kapitalis ini wajib dipimpin oleh Amerika. Mana mana negara yang berpotensi untuk bersaing dengan Amerika wajib dilihat sebagai musuh dan wajib ditundukkan.
Dasar ini untuk pertama kalinya telah diterima pakai oleh Presiden Bush dari Parti Republican. Dasar yang sama juga telah diteruskan oleh Clinton dan Obama walau pun dua Presiden Amerika ini dari Parti Democrat.
Hari ini dasar luar dan dasar dalam negara Amerika berpaksikan pandangan kanan PNAC. Gerombolan kanan ini telah berjaya meresapi Rumah Puteh dan memasang sosok-sosok yang berpandangan kanan dalam pelbagai cabang pentabiran Rumah Puteh. Gerombolan ini juga telah meresap masuk ke dalam banyak saluran media dimana pandangan dunia kanan disebarkan.
Tamatnya Perang Dingin yang dicita-citakan akan membawa kesejahteraan untuk umat manusia jelas telah disabotaj oleh gerombolan Neokon ini. Hari ini porak peranda yang sedang berlaku diatas muka bumi ini adalah hasil dasar kuasa imperial Amerika yang menjalankan pandangan, cadangan dan falsafah yang telah diajukan oleh gerombolan PNAC.
Gerombolan kanan Neokon ini bukan hanya berkongsi pandangan dengan gerakan zionis antarabangsa. Sebenarnya ada jalinan kerjasama yang amat erat antara Neokon dengan gerakan Zionis antarabangsa. Amat susah untuk dikenali yang mana Neokon dan yang mana Zionis kerana mereka memakai jubah yang sama.
Salah satu rukun PNAC ialah memastikan Isreal akan terus wujud di bumi Arab. Palestin akan terus dijajah. Gerombolan Neokon akan memastikan Isreal akan terus mendapat sokong moral, diplomatik, keewangan dan ketenteraan dari Amerika.
Salah satu dari bukti betapa kuatnya pengaruh gerombolan Neokon ini dalam Rumah Puteh ialah apabila Iraq dibawah Saddam diserang. Dunia mengetahui bahawa Saddam tidak terlibat dalam serangan WTC 9/11. Laporan dari 16 badan perisek Amerika telah membentangkan kepada Presiden Bush bahawa Saddam tidak memiliki ‘ senjata pemusnah’.
Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu yang diarahkan menyiasat Iraq dan Saddam telah tidak menemui apa-apa senjata pemusnah. Malah dunia melihat ‘weapon of mass destruction’ hanyalah propaganda Amerika.
Tetapi dengan pengaruh Neokon - melalui Naib Presiden Dick Cheney - Presiden Bush telah berbohong. Bush berbohong kepada Dewan Kongres, kepada Dewan Senate, kepada rakyat Amerika dan kepada dunia. Malah Colin Powell - Setiausaha Negara Amerika - telah terpaksa bersubahat berbohong dipersidangan PBB untuk meyakinkan dunia tentang kenapa Iraq wajib diserang.
Akhirnya Iraq diserang pada bulan March 2003. Saddam dibunuh. Senjata - weapon of mass destruction - tidak ditemui. Negara Iraq hancur musnah. Amat jelas garis politik gerombolan Neokon telah berjaya.
Sebenarnya Iraq dilihat sebagai sebuah negara Arab yang memiliki ekonomi yang kukuh dan bala tentera yang kuat. Iraq telah teruji berperang dengan Iran. Justeru Iraq dilihat oleh gerombolan Neokon dan zionis sebagai berpotensi untuk menyerang dan menundukkan Israel. Memusnahkan Iraq bertujuan untuk menyelamatkan Israel. Ini adalah rukun Neokon.
Satu lagi dasar yang diajukan oleh gerombolan Neokon ini ialah menundukkan mana mana negara yang memilkiki potensi untuk bersaing dengan Amerika. Gerombolan Neokon tidak mahu melihat dunia terbahagi kepada apa-apa blok saperti dizaman Perang Dingin.
Mengikut dasar Neokon kurun ini adalah milik kaum pemodal Amerika untuk selama-lamanya. Sistem ekonomi kapitalisma tidak ada saingan dan wajib dipakai oleh semua negara dalam dunia. Semua negara wajib tunduk dibawah kuasa politik dan kuasa ekonomi Amerika. Dolar Amerika terus menjadi matawang dunia. Mana negara yang cuba bergerak bebas akan diserang.
Justeru Iraq dan Saddam ditamatkan. Libya dibawah pimpinan Gadaffy diserang. Gadaffy dibunuh. Kini perang berterusan di Syria dalam usaha Amerika untuk memastikan semua negara Arab akan tunduk dibawah kuasa Isreal dan Amerika.
Bagaiman semua ini bersangkutan dengan kita di Malaysia ini?
Malaysia dan Asia Teggara tidak akan dapat melarikan diri dari dasar Neokon ini. Dari segi strateji - Amerika melihat China sebagai musuh. Malah berpotensi untuk mengancam Amerika. Tambahan pula China semakin rapat dengan Rusia.
Dua negara bekas negara Blok Sosialis ini sedang bekerjasama rapat dalam pelbagai bidang. Hubungan ekonomi Rusia dan China semakin kukuh. Ini diikat pula dengan perjanjian pertahahan. Semua ini bertentangan dengan dasar PNAC yang melihat Rusia dan China sebagai musuh.
Amerika membaca China dan Rusia akan mengacam kepentingan Amerika bukan hanya di Asia Tenggara malah diseluruh dunia.
Justeru Amerika telah membuat dasar ‘Pivot Asia’ atau Mempasak Asia. Dasar pertahanan Amerika yang baru ini akan memindahkan bala tentera Amerika dari Eropah dan tempat lain dan menempatkan lebih dari satengah bala tentera Amerika ke Asia.
Amerika sedang melihat dan membaca bahawa China yang ekonomi semakin kukuh akan menggugat Amerika. Kerana itu kita sering terbaca Laut China Selatan menjadi wilayah tegang yang berpotensi meledak. Amerika dan China sedang merebut wilayah stratejik dan kaya dengan minyak dan gas ini.
Selat Melaka - laut sempit laluan kapal diantara Malaysia dan Indonesia akan juga menjadi laluan yang amat penting untuk China dan Amerika. Indonesia dan Malaysia akan menjadi anak gadis cun untuk dipinang dan dimasukkan ke dalam kelambu oleh Amerika atau China.
Dari segi ekonomi - perjanjian TPPA - telah ditanda tangani oleh negara Asia tanpa China. Ini bermakna negara-negara yang menanda tangai TPPA telah diikat dengan kepentingan Amerika. Najib telah menanda tangani TPPA.
NOTA:
Saya menulis ini sebagai satu ingatan. Senin minggu hadapan keputusan rayuan saya akan diumumkan di Putrajaya. Jika didenda maka tulisan ini akan disambung. Jika tidak tulisan ini sebagai rakaman untuk sembilan bulan dari sekarang. Kita lihat apa yang berlaku sembilan bulan nanti. Dalam politik tiga hari ada lah waktu yang amat panjang. (TT)
NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanmggan akhbar minngun ini
sila pukul talipon
03-92-21-30-45
2 ulasan:
Rilexla tt,masuk lokap je pun bkn kene entot gay pun.rehatla puas2 dlm lokap nt kami berjuang bersama hingga berjaya pastu nt tt kuar lokap nt dan aman makmur Malaysia, maka tt blhla mula meminang anak gadis.xperlu berjuang pasal politik lg.. kahkahkahkahkah
Saya cukup menyampah bila TT menuLis tentang Pivot Asia, kerana di Asia khususnya Malaysia ini cukup sukar untuk memahami rusmaH gemOk besar BiG....
Macam mana orang maLaysia boLeh memahami Pivot Asia.... Allah hu a'Lam
Catat Ulasan