TERIMA KASEH DARI AKU
Kawan ku yang baik hati,
Bila kau membaca surat ini pasti kau sedar bahawa aku masih bebas. Aku tidak dimasukkan ke dalam penjara. Aku masih lagi boleh menulis, boleh berjalan dan boleh ketawa.
Surat dari aku untuk kau ini aku tulis dalam suasana bebas merdeka. Aku senang hati dapat menulis kepada kau sekali lagi.
Pasti kau ingin tahu apa yang telah berlaku pada Hari Guru - Senin 16 Mei yang lalu. Pasti kau ingin tahu apa yang telah berlaku dalam Mahkamah Rayuan Jenayah 3 Putrajaya pada hari itu.
Jadi - aku rasa telah menjadi tugas aku sama saperti tugas Tun Seri Lanang merakamkan kembali Salalatul Salatin. Aku juga ingin merakamkan babak babak sejarah ini agar anak cucu cicit kita nanti akan dapat mengetahui dan memahami apa yang telah berlaku.
Aku mahu anak cucu cicit kita akan terus bertanya - kita ini dari mana dan hendak ke mana.
Pada awal kesahnya - pada malam 14 Mei 2016 - dua hari sebelum kes aku dimuktmadkan di Putrajaya - anak anak muda dari Bangsar telah membuat kenduri. Mereka menjemput teman dan taulan - kenalan dan sahabat - kawan dan rakan. Pada hemat mereka ini adalah hari hari akhir aku bersama kawan-kawan.
Malam itu ada kawan yang dari jauh di Johor, dari Kedah dan dari Pahang. Ada muka yang muncul secara tetiba yang selama ini aku tidak tahu dimana sosok ini berada. Rupa-rupanyaa mereka masih setia - masih mahu bersetia kawan. Malah ada yang khusus mengambil cuti hanya untuk bersama bersetia kawan.
Ada kawan yang datang khas untuk mempekenalkan diri dan berjabat salam dengan ucapan selamat teguh berjuang.
Malam itu hujan turun. Tidak lebat. Dalam renyai- renyai basah-basah kami menikmati patin tempoyak, talapia pekasam dan masak lemak ikan temoleh. Ada kawan baik dari Temerloh telah memasak bersedekah. Ada juga yang datang membawa nasi lemak. Malah ulam petai terhampar diatas meja. Sebagai ingatan - mana tahu - mungkin 9 bulan aku tak akan bertemu petai.
Ada kawan membaca sajak, ada yang memetik gitar dan ramai yang berucap dengan kata-kata semangat perjuangan. Semua bersetia kawan. Ingat mengingati bahawa kita semua dalam satu saf. Dalam satu arus perjuangan.
Kawan ku yang baik hati,
Biar aku katakan kepada kau bahawa ujan malam itu berjaya menyorokan detik detik air mata aku. Setiap kali aku bersalaman setiap kali air mata berlinangan. Kau jangan silap faham. Aku bukan bersedih. Air mata itu ialah air mata gumbira kerana aku bersama mereka yang masih teguh berjuang.
Pada petang ahad itu - aku teringat bahawa dalam negara kita ini memang ramai orang baik baik. Anak anak muda Dapur Jalanan ini hanyalah satu contoh kecil. Mereka adalah anak-anak muda yang baik baik. Tanpa diupah tanpa dikerah mereka membuat amal jariah.
Kawan ku yang baik hati,
Kau tidak tahu perasaan aku kali ini. Agak susah untuk aku terangkan kepada kau. Bukan. Bukan. Kau jangan silap faham. Bukan aku takut dengan penjara. Bukan aku gentar. Tidak. Aku telah 15 kali ditahan dalam lokap dan penjara.
Malam sebelum ke Mahkamah aku telah membungkus 14 buah buku. Ini persediaan akhir. Dari pengalaman selain dari nyamuk, semut, pijat dan lipas buku adalah sahabat paling setia dalam penjara.
SMS terakhir pagi itu aku tulis dalam kereta dalam perjalanan ke Mahkamah. Isinya: Kawan-kawan SMS terakhir sebelum ke Kajang. PRK yang akan datang sila 1 lawan 1 persediaan untuk PRU14.
Aku menghantar SMS ini untuk kawan pimpinan dalam Pakatan Harapan yang aku kenali sahaja. Kemudian aku tinggalkan talipon bimbit ini untuk dijagai.
Bila kes aku disebut - kes kedua - aku pun masuk ke dalam kandang OKT - Orang Kena Tuduh. Mahkamah mengumumkan kedatangan Hakim. Semua dalam mahkamah berdiri. Aku berdiri menunggu. Tiga orang Tuan Hakim masuk. Apabila hakim telah duduk maka semua dalam mahkamah dibenarkan duduk. Nama kes aku disebut dan aku dalam kandang OKT tegak berdiri. Kemudian hakim menyuruh aku duduk.
Tiga orang Hakim yang bergelar Datuk telah meneliti untuk menghakimi kes aku. Ketua Hakim yang duduk ditengah-tengah ialah seorang perempuan.
Ambiga Sreenevasan membuka hujah. Ambiga menerangkan bahawa tiga pekara yang digaris hitam dalam kertas pertuduhan bukanlah satu yang melanggar hukum atau undang-undang.
Pada 13 Mei 2013 aku telah berucap dalam Dewan China Kuala Lumpur. Aku telah meminta para hadirin untuk meluluskan tiga resolusi. Pertama: Menolak keputusan PRU13. Kedua: Ditempat-tempat yang didapati ada penipuan yang jelas adakan pemilihan sekali lagi. Ketika: Kita susun demonstrasi.
Ambiga berhujah - tidak menjadi satu jenayah jika kita menolak keputusan PRU13. Mengadakan pemilihan sekali lagi membuktikan bahawa OKT masih yakin dengan pilihan raya. Mankala menyusun gerakan jalan raya - demonstrasi bukan satu jenayah kerana pada 2012 telah diluluskan Akta Perhimpunan Aman yang membenarkan warga untuk berkumpul dan berhimpun. Malah menurut Ambiga hak ini ada tercatit dalam Artikel 10 Perlembagaan Persektuan.
Sesudah Ambiga berhujah giliran Syah. Syah telah menunjukkan kepada mahkamah bahawa dari kes Akta Hasutan yang terdahulu pemenjaraan tidak digunakan. Cuma denda. Syah telah merujuk satu kes hasutan sesudah 13 Mei 1969. Mengikut hujah Syah walau pun dalam suasana yang tegang Si Polan ini tidak dimasukan ke penjara. Hanya dua sosok dipenjara kerana Akta Hasutan - Lim Guan Eng tahun 1998 dan Utayakumar tahun 2013.
Justeru mengikut Syah tidak ada apa manafaat untuk memasukan aku selama 9 bulan ke dalam penjara. Malah 5,000 ringgit itu adalah hukuman maksimum.
Akhirnya pihak Pedkawa berhujah. Pedakwa mahu aku dijadikan contoh agar tidak ada lagi sesiapa dibelakang aku yang akan berani mengahasut. Hasutan aku amat bahaya walau pun sesudah ucapan aku itu tidak ada berlaku kekecohan atau keganasan. Untuk pendakwa ucapan aku memiliki kecenderongan menghasut.
Pekdawa mengakui bahawa Akta Perhimpuan Aman telah wujud ketika aku memberi ucapan.
Kemudian Ambiga menjawab sekali lagi.
Akhirnya Tuan Hakim perempuan memandang ke kiri dan ke kanan. Lalu mereka bangun. Perbicaraan dihentikan. Tuan-tuan Hakim berundur untuk membuat keputusan.
Kawan ku yang baik hati,
Kau bayangkan bila mahkamah berhenti rehat. Aku dalam ketenangan yang merisaukan. Inilah detik detik antara kebebasan dan hidup dalam penjara. Walau pun aku telah bersedia tapi debaran masih menggegar jantung.
Ah ! Hampir aku terlupa untuk memberitahu kau bahawa Keduataan Amerika, Canada dan German telah menghantar wakil untuk melihat perbicaraan ini. Termasuk juga Suaram dan Amnesty International.
Keluarga aku yang hadir ialah Pak Amjal. Ramai kawan-kawan tidak sedar bahawa Pak Amjal ini adalah adik kandong Rais Manaf. Rais Manaf ini ialah ayah kepada Hishamuddin Rais. Ini hubungan kami.
Kami menunggu. Kami menunggu. Lebih dari 40 minit pegawai mahkamah umumkan Hakim akan masuk semula. Semua mengambil tempat. Aku masuk kembali ke kandang OKT.
Seorang anak muda pegawai mahkamah datang dihadapan aku sebagai penterjemah. Ketua Hakim berucap dalam bahasa Inggeris. Aku tidak memerlukan anak muda itu menterjemah. Aku tersenyum. Kawan-kawan di belakang aku menjerit bersorak. Aku hanya dikenakan hukum denda dan tidak dipenjara. Amin. Wassalam. (TT)
NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanmggan akhbar minngun ini
sila pukul talipon
03-92-21-30-45

--------------

7 ulasan:
Apalah.. Kalau aku budak penterjemah tu dah lama aku pinjam pistol hakim tu tuk tembak kepala aku...nak translate kunun.... .
boleh berkenduri di hari raya ..
Maksudnya lu sudah salah lah, memang penghasut lah...RM5000 woh...
Yuhuu..tak sunyi bulan puasa ku dan harirayaku bersama TT.. salut ambiga dan shah.. jgn jadi hadi awang ngan haron din plak lps ni
Masak kau belajar kat UM, mesti tiap2 hari kau makan free kat kedai pak amjal kan?
Gembira & terharu baca coretan ni.
Terima kasih TT. Teruskan menghasut.
terkesima membaca kisah ni. sedih, pilu, duka & gembira. terbaik TT!
Catat Ulasan