Selasa, 19 September 2017

ROSMAH BUAT ONAR LAGI







APA MOTIF SEBENAR NAJIB KE AMERIKA SYARIKAT?

19 September 2017

Meskipun strategi dan taktik politik telah menjadi lumrah dalam budaya politik di Malaysia tetapi politik yang keterlaluan sarat propagandanya mengundang kebencian dan kemuakkan. Ia tambah buruk jika rakyat diperdayakan dan terus dibebankan.

Jika semuanya dilakukan berlebih-lebihan atau untuk tujuan sempit selain daripada yang digambarkan, maka bukan sahaja ia disindir atau dipermainkan bahkan tak kurang yang menyampah.
Itulah beberapa pandangan terhadap sidang media khas atau tergempar oleh  Najib pada 17 September lalu. Satu anti-klimaks atau anti-kemuncak dan mungkin langkah terdesak.

Itulah juga yang berlaku dalam lawatan kerja  Najib ke Rumah Putih bertemu Donald Trump, Presiden Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini. Lawatan ini penuh kontroversi sejak dari mula ia dimaklumkan kerana status lawatan yang kurang jelas dan motif lawatan dalam kedudukan Najib dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disiasat di bawah Jabatan Keadilan AS.

Walaupun dikatakan lawatan untuk mengeratkan hubungan dua hala serta kerjasama dalam isu serantau dan antarabangsa termasuk berkaitan ekonomi, keselamatan, pertahanan dan anti-keganasan, namun ia merupakan satu penghinaan kepada rakyat Malaysia apabila seorang Perdana Menteri yang telah digelar sebagai kleptokrat (perompak wang rakyat) dan “MO1” bertemu dengan Presiden AS tanpa membuat percubaan selama bertahun-tahun untuk membersihkan dirinya dan negara daripada tuduhan sebagai perompak global.

Ini boleh dikatakan muka tebal tahap tertinggi! Tiada sesiapa yang boleh mencabar tahap ketebalan muka Najib dalam hal ini. Barangkali kerana itulah beliau berbangga dengan pencapaian itu dan menyebutnya dalam ucapan sebaik kembali ke tanah air.

Menurutnya, walaupun pembangkang mengatakan beliau tidak berani ke AS kerana takut ditangkap tetapi Presiden AS, negara kuasa besar ekonomi dan ketenteraan itu, telah menerimanya dengan sambutan dan pengiktirafan yang di luar dugaannya sama sekali.

Malah beliau mengatakan sambutan ke atasnya jauh lebih baik daripada sambutan yang diterima ketika  Dr Mahathir bertemu Presiden Bush dahulu. Beliau juga menganggap lawatannya itu bukan untuk melutut kepada AS tetapi untuk menyatakan negara sudah sampai ke peringkat global.

Cakap-cakap begini mungkin hebat bunyinya namun ia membenarkan telahan ramai sebelum ini bahawa lawatan berkenaan ialah sebahagian daripada rancangan untuk menangkis imej buruk yang terpalit ke atas Najib oleh skandal 1MDB. Beliau perlu merangsang popularitinya yang merudum untuk meningkatkan peluang kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Ini kerana skandal 1MDB dengan wang yang lesap berpuluh ribu juta ringgit sudah tersohor seantero dunia hinggakan sebahagian besar media antarabangsa dengan jelas memetik pertemuan Presiden Trump dengan Perdana Menteri sebagai pertemuan dengan seorang yang terbabit dengan skandal berbilion dolar.

The New York Times umpamanya mengeluar berita bertajuk “Malaysian Leader in Billion-Dollar Scandal Is Invited to White House” (Pemimpin Malaysia Yang Terlibat Skandal Berbilion Dolar di Jemput ke Rumah Putih) manakala berita The Washington Post menyebutkan “Trump’s hosting of Malaysia’s prime minister marks another setback for the rule of law” (Trump sebagai tuan rumah kepada Perdana Menteri Malaysia menandakan satu kemunduran kepada kedaulatan undang-undang).

Di sebalik laporan dan persepsi negatif begini, apakah mahar yang terpaksa dibayar untuk rancangan hebat Najib ini tetap menjadi kenyataan?

Pertama, Najib telah berkemungkinan besar membayar pelobi berjuta ringgit untuk memastikan boleh bertemu dengan Presiden Trump. Beliau bandingkan dirinya dengan  Dr Mahathir yang juga membayar pelobi untuk bertemu Presiden Bush tetapi tidak menafikan yang beliau juga melakukan perkara yang sama. Dari mana datangnya duit untuk bayar pelobi?

Kedua, sebagai timbal balik untuk berlakunya pertemuan tersebut dan tidak membangkitkan isu skandal 1MDB, sudah tentu AS juga ingin menuntut atau mendengar manfaat kepadanya. Bahasa badan Presiden Trump dengan gaya berpeluk tubuh seolah-olah mahu memecat orang sudah cukup untuk menggambarkannya.

Lantas, jika ditonton video perjumpaan Trump dan  Najib, maka dapat dilihat dan didengar secara jelas bahawa  Najib seolah-olah membawa ufti atau hadiah untuk dipersembahkan.

Ayat membodek  Najib kepada Trump ialah “Number one, we want to help you in terms of strengthening the U.S. economy. I come with three specific proposals.” (Nombor satu, kami ingin membantu dari segi mengukuhkan ekonomi AS. Saya datang dengan tiga syor khusus).

Tiga syor yang dijanjikan oleh Datuk Seri Najib ialah (i) pembelian pesawat-pesawat baru Boeing oleh MAS dan memujuk AirAsia membeli enjin General Electric (GE) untuk pesawat AirAsia, (ii) mengarahkan KWSP membawa masuk wang sehingga RM16 bilion untuk membiayai pembangunan prasarana di AS dan (iii) menambah lagi pelaburan Khazanah di AS dari jumlah RM1.6 bilion yang sedia ada.

Semua perkara yang dibincangkan melibatkan wang rakyat Malaysia yang akan dibawa dan dilabur ke AS serta membiayai projek-projek prasarana di AS. Tidak disentuh soal AS melabur di Malaysia.

Meskipun dikatakan tiga syor itu ialah dalam rangka mengukuhkan hubungan perdagangan antara Malaysia dan AS serta hanya menambahkan pelaburan yang memberikan pulangan yang baik, namun masa atau “timing”nya amat buruk. Dan motifnya amat mencurigakan.

Dalam keadaan rakyat Malaysia terpaksa menanggung beban cukai GST atau cukai pendapatan dan kos sara hidup yang tinggi akibat kenaikan harga barang, syor  Najib untuk membantu mengukuhkan ekonomi AS dengan menggunakan wang rakyat Malaysia amatlah menjelekkan.

Ada lagi beberapa perkara yang dilakukan yang rakyat wajib nampak dalam lawatan  Najib ke AS. Ini telah dihuraikan oleh Rafizi Ramli, Naib Presiden KEADILAN dalam siri sidang medianya.

Antaranya ialah penginapan  Najib dan keluarga di Trump Tower, New York. Oleh kerana ia bukan lawatan rasmi maka penginapan di kondominium mewah itu tidak dibayar oleh AS. “Berapa kos sewaan keseluruhannya dan siapa yang menanggung kos itu?” soal Rafizi.

Menurut Rafizi, hasil daripada semakannya, sewa kondominium mewah di Trump Tower ini bermula pada harga USD6,000 (atau RM25,000) semalam bagi kondominium satu katil dan USD9,000 (atau RM37,000) semalam bagi kondominium dua katil.

Di samping itu, Rafizi mendakwa delegasi Malaysia ke AS turut disertai oleh seorang individu bernama Roslan Sohari yang pernah dikenal pasti bertanggungjawab memasukkan sejumlah RM2 juta ke akaun peribadi  Rosmah. “Kenapa Roslan Sohari menyertai delegasi ini sehingga sebuah limosin ditempah khusus untuk beliau?” soal Rafizi.

Dakwanya, berdasarkan laporan-laporan oleh media antarabangsa, individu bernama Roslan Sohari memang dikaitkan dengan siasatan oleh Jawatankuasa Khas Siasatan 1MDB (yang melibatkan SPRM, PDRM, Bank Negara dan Peguam Negara) dalam tahun 2015 kerana memasukkan RM2 juta wang tunai ke akaun  Rosmah Mansor.

Amatlah jelas lawatan  Najib ke AS lebih berupa senaman perhubungan raya mega (mega PR exercise) untuk kepentingan peribadi yang tidak menguntungkan rakyat. Malah rakyat yang menanggung bebannya.

Syed Ibrahim Syed Noh
Ketua Penerangan
Parti KEADILAN Rakyat







--------------

1 ulasan:

DIDI KOTA BELUD berkata...

Mcm ler rakyat ni buduh apa itu diplomatik imuniti... Buduh punya piem.... Cuba ko pigi sana jadi normal citizen tengok... Indak ko tabirak.....kakakakakaka..aku pun boleh kalau ada imuniti....