Rabu, 27 Jun 2018

LAGI KESAH DIBELAKANG TABIR






MERAKAM SEJARAH
   
LAGI KESAH 

DIBELAKANG TABIR 


Sepuluh Hari Mengoncang Dunia - Ten Days That Shook the World ialah  sebuah buku  sejarah tulisan John Reed yang diterbitkan  pada bulan March 1919. Buku ini merakam  sejarah Revolusi Bolshevik 1917. 

Pada tahun 1981 - pengarah Warren Betty dari  Holywood telah mengarap filem Red yang berasaskan   buku Ten Days That Shook the World  dan pengalaman watak John Reed ketika terlibat dalam Revolusi Bolshevik di Rusia.

Pada Jun 2008 American Film Institute telah menobatkan filem Red ini sebagai  salah satu dari 10 filem klasik terbaik Amerika dalam genre epik.

Pada Rabu malam  9 & 10 Mei di Hotel Sheraton Petaling Jaya   saya telah merakamkan babak babak yang berlaku dihadapan mata. Juga apa  sahaja yang saya dengar. Saya juga merakamkan banyak gambar. Ramai yang ketawa  apabila ternampak kamera kecil saya. Mereka merasa pelik kerana masih ada lagi sosok yang menggunakan kamera sademikian. Talipon bimbit saya tidak ada kamera. Khalas.

Bila saya merakam gambar ramai  watak-watak yang dipotret  bertanya untuk apa  wajah mereka dirakam.  Lalu saya menjawab ‘ ini macam John Reed - Ten Days That Shook the World ‘. 

Sayang sekali tak ada siapa yang faham apa yang saya tuturkan. Mungkin kerana  buku rujukan yang saya sebut itu tulisan seorang sosialis tentang revolusi komunis maka tidak ada yang memilik kesedaran  fakta sejarah ini.

Mungkin jika saya nyatakan yang saya merakam gambar ini untuk Dasai atau Wawi maka sosok-sosk ini akan cepat menangkap. Wallah hu alam.

Tapi apa yang saya rakamkan ini adalah babak-babak yang telah berlaku  lebih dari sepuluh hari. Malah lebih dari sepuluh bulan.  Saya tidak akan berlaku adil jika tidak merungkai jauh ke belakang sebelum kita sampai ke hari Khamis 10 Mei 2018. Saya berjanji akan melakukan ini. 

Tetapi sejauh mana ke belakang yang wajib saya rungkai. Itu sedang menjadi tanda tanya kepada diri saya sendiri. 

Kita sampai ke hari Khamis 10 Mei 2018 melalui perjalanan yang maha lama, jauh dan berliku. Justeru untuk berlaku adil kepada sejarah - sekali lagi saya nyatakan - apa yang saya tulis ini hanyalah babak-babak yang saya ketahui. Sosok yang lain wajib muncul untuk merakam sama agar  keseluruhan ‘gajah’ itu dapat dilihat. 

Pada Jumaat 27 April berita meledak. Pesawat jet pribadi yang ingin ditumpangi Mahathir ke Langkawi telah disabotaj. Malaysia jadi gempar. Aparacik penyokong Najib menafikan berlakunya sabotaj. Malah diberitakan Mahathir akan dipanggil polis kerana membuat berita palsu. Suasana politik gempar.

Sayugia diingatkan Najib telah menerima pandangan para penasehatnya. Justeru Najib telah meluluskan secara tergesa-gesa dua undang-undang. Najib meluluskan Akta Majlis Keselamatan Negara yang diwartakan pada 7 Jun 2016.  Akta Berita Palsu yang berkuat kuasa pada  12 April 2018 - satu bulan sebelum PRU14.

Akta-akta ini diluluskan oleh Parlimen untuk memastikan Najib terus  kebal dan dan  akan terus  berkuasa. Amin.

Justeru apabila Mahathir membuat kenyataan yang jet pribadi ini telah disabotaj - Si Mahathir ini boleh  didakwa atas tuduhan menyebar berita palsu. 

Jelas dilihat kebijaksanaan para  penasehat Najib. Mereka telah menyediakan tembok dan senjata untuk Najib menyerang musuh. 

Tetapi  sebaliknya telah berlaku. Berita  jet Mahathir disabotaj ini menjadi cukup sexy lagi menghairahkan dalam  membantu kempen dan ceramah Jelajah. Mak Cik dan Pak Cik Felda bila mendengar jet Mahathir kena sabotaj maka mereka semakin jelas melihat kejahatan Najib dan kuncu-kuncunya.

Ketika ini kempen Jelajah telah  melencong sekali lagi ke Pantai Timur - memasuki Dungun. Ini wilayah kubu kuat Parti Islam Pas.  Tapi jelas ombak Melayu benci Najib dan benci United Malays National Organisation telah  mengelembong. Semua datang mahu melihat dan mendengar ceranah Mahathir Muhamad yang tayar jetnya telah dipecahkan. Di Kuala Dungun  padang bola hampir penuh.

Dari Dungun Jelajah  turun ke Kuantan.  Mat sabu telah mengatur pertemuan kedua antara antara Mahathir, Mat Sabu dan Hishamuddin Rais. Kali ini 6 mata  telah bertemu ditepi kolam renang di Hotel Vistana Kuantan Pahang pada petang Rabu 2 Mei satu minggu sebelum hari mengundi.  

Seharusnya pada pertemuan malam itu Dr Wan Azzizh wajib turut bersama. Sayangnya Dr Wan Azizah telah mendapat nasehat dari Mat Songel. Justeru Dr Wan Azizzh gagal bersama.

Pertemuan di Kuantan bertujuan untuk menuntaskan semua perancangan pasca pembuangan undi. Dan apa yang wajib dilakukan.

‘ Bagaimana sekarang Tun? What is your reading? ‘ Saya memulakan perbincangan.

‘ Nampak makin ramai datang ke ceramah…’ Mahathir menjawab. Mat Sabu hanya mendengar.

‘ Tun… kita jangan concede. Kalau dapat 55% undi popular kita deklare menang.  Dapat 60% kita deklare you jadi PM. Tapi… nak tunggu keputusan undi popular ini agak lambat. Jadi Pakatan jangan concede dulu…’ Saya jelas menghasut lagi.

Saya menimbulkan sekali lagi konsep TIDAK CONCEDE. Untuk saya taktik ini amat penting untuk memperbaiki kesilapan  PRU13 dimana taktik  TIDAK CONCEDE ini langsung tidak dibincangkan. Bayangkan jika taktik tidak concede ini dikahwinkan bersama pada malam himpunan  di Padang Kelana Jaya. Pada hemat saya hasilnya Pakatan Rakyat telah berkuasa dalam PRU13.

Justeru kali ini disetiap kali bertemuan  war room saya akan mengingatkan taktik tidak concede ini sebagai persedian jika Najib menang. Saya cukup yakin  Najib akan menang  hanya dengan jalan menipu. Ini jelas.

‘ Di Pilipina Marcos jatuh apabila Enrile  dan Ramos berubah  tidak menyokong Marcos…’ Mahathir memberi penjelasan.

‘Negara kita ini tak ada pengalaman…kita lain… tidak macam di Jakarta dan Pilipina.. bertembak dan mati…’

Saya faham apa yang dituturkan oleh Mahathir. Enrile menteri Pertahanan  Marcos dan Ramos General soldadu Marcos. Bila mereka belot Marcos terduduk. Pada ketika ini saya sedar bahawa PDRM dan Tentera masih lagi bersama Najib.

Tapi saya juga sedar kali ini dalam PRU14   wajib diakukan sesuatu untuk membawa satu perubahan yang  tuntas.  Saya telah bertekad apa harga yang diminta  maka itulah harga yang wajib dibayar.  Saya yakin Mahathir juga sekepala dengan saya dalam hal ini. 

Secara tuntas kami sependapat PRU14 wajib dimilki oleh Pakatan Harapan

‘ Tun.. bilangan kerusi akan kita tahu lebih  cepat…dari undi popular..’ saya menyambung perbincangan.

‘Dalam jam 9 kita dah tahu kita menang atau tidak… tak payah tunggu lama ’ Mat Sabu menerangkan hasil dari pengalaman.

‘ Bila kita lintas 95 kerusi kita umum Tun jadi PM. Jika sampai 100 .. you talipon kawan-kawan you…’ Saya menghasut lagi.
Disini saya  mahu menerangkan dari mana saya pungut  angka 100 kerusi  ini. Dari fakta sejarah sosok yang mencadangkan angka 100 kerusi ini kepada saya ialah Lim Guan Eng. 

Kesahnya bagini: saya  telah dijemput kesatu bengel media di Pulau Pinang. Ini sesudah PRU13. Dibengkel saya sempat bertemu dengan YB Lim. Kami berbincanga tentang itu dan ini. Akhirnya saya menghasut YB Lim agar Pakatan Rakyat kautim dengan Taib Mahmud yang memiliki kuasa mutlak di Sarawak. 

Dengan sepontan YB Lim menolak. ‘Apa nanti kata Ngo…’ Yb Lim mempertahankan kesucian politinya dari dicemari. Kemudian YB Lim  menulis angka 100 dalam  buku nota saya.

‘ Bila sampai 100… semua akan datang…’ Ini pandangan Ketua Menteri Pulau Pinang beberapa bulan sesudah PRU13. Inilah angka 100 yang saya jadikan asas untuk menghasut Mahathir.

Dalam hal stastik undi popular  55% atau 65% dan 95 kerusi atau 100 kerusi  Mahathir hanya mendengar apa yang saya terangkan. Justeru saya tidak tahu apa dalam kepalanya.  

Tapi saya yakin dari pertemuan pertama  Mahathir telah mencadangkan kita berarak ke Istana apabila mendapat 112 kerusi.  Kenapa 112 kerusi? Nanti kita akan bertemu jawapannya. Sabar dulu.

‘Dimana kita nak berkumpul pada malam pengiraana undi?’ Saya  menimbulkan persoalan ini sekali lagi.

‘ Putrajaya… pejabat saya.. Yayasan Perdana…’ jawapan yang sama dari Mahathir.

‘ Tapi Tun… tempat ini jauh kalau nak berarak ke Istana Negara…’ Saya melontar pandangan stratijik. Kata-kata saya ini memiliki asas yang tepat. Saya memiliki pengalaman menyusun demo. Saya juga tahu dimana letak pejabat Yayasan Perdana.

 ‘ Kena dekat sikit di Kuala Lumpur..’ Mat Sabu memberi pandangan.

Yayasan Perdana ini tersorok. Payah untuk didatangi. Malah jika diserang dunia tidak akan tahu. Ini mengusarkan saya.  Tapi saya faham kenapa  Mahathir masih mahu berhimpun pada malam kiraan undi di Yayan Perdana Putra Jaya.

Tun Dr Mahathir selama ini adalah pemegang kuasa. Bukan melawan kuasa. Justeru taktik dan stratiji pihak yang berkuasa amat berbeza dari  sosok-sosok yang mahu menjatuhkan kuasa.

Saya sedang merancang, menyusun, mengatur  dan menghasut sadikit demi sadikit  rancangan ke jalan raya. Saya cukup yakin PRU14 Pakatan Harapan akan menang. Jika Najib menang ertinya Najib menipu. 

Saya juga sedar aparacik kerajaan  - SPR , MKN , PDRM  tetap menyokong Najib. Lembaga-lembaga ini sedang menyusun  stratiji untuk memastikan Najib menang.

Justeru jika Najib menang Najib menipu. Saya telah mengolah persetujuan dan menghasut orang ramai untuk bersedia turun  ke jalan raya. Apa terjadi? Tunggu minggu hadapan.  (tt)


NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan 
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
03-92-21-10-45

------------------

Tiada ulasan: