MENGINTAI KEBIASAAN BARU
Kita bacakan Al-Fatihah untuk kesemua yang gugur di tembak mati dalam masjid oleh Brenton Harrison Tarrant di Christchurch New Zealand pada Jumaat 15 March 2019 lalu. Kepada yang cedera kita harapkan mereka akan sembuh cepat. Kepada keluarga yang tewas dan cedera kita sampaikan simpati dan salam takziah. Amin.
Satu dunia heboh. Pembunuhan dalam masjid ini telah dirakam secara terus menerus untuk tontonan dunia. Klip - tembak mati - ini sama saperti klip mainan video PlayersUknown’s Battleground (PUBG) dari genre Battle Royale yang berjuta-juta peminatnya.
Klip Christchurch ini menular ke seluruh pelusuk - kota , kampong dan desa. Klip ini menular dunia. Justeru, dunia jadi heboh. Media menghebohkan lagi. Para politikus mengeluarkan pandangan sepuluh sen mereka. Di Malaysia pun kita sama heboh.
Tup tup kita dengar ada negara melarang dan mengharamkan penyebaran klip Christchurch. Kerajaan New Zealand mengancam warganya dengan 10 tahun penjara jika memiliki klip ini. Ikut. Ikut. Kita pun ikut sama.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan arahan untuk melarang warga Malaysia - anak semua bangsa - bangsa semua agama - dari menonton dan menularkan klip ini. Kah kah kah.
Saya ketawa kah kah kah kerana arahan dan larangan sademikian samalah saperti mencurahkan gula ke Pantai Tanjung Keling dengan harapan air laut akan manis.
Biar saya nyatakan secara jujur . Sebelum saya terbaca larangan SKMM - saya yang tidak memiliki talipon pintar - telah melihat klip ini. Saorang kawan telah memperaga klip ini. Saya hanya menonton hingga ke tembakan maut ke tiga. Mata dan hati saya tidak sanggup melihat.
Kenapa saya tidak memiliki kesanggupan untuk menonton hingga klip ini tamat?
Bila klip video Mat Datin Terlampau terbit beberapa tahun dahulu saya tidak tercari-cari untuk menontonnya. Saya hanya mendengar kehebohan yang klip ini wujud. Bila klip China Dol Anwar Ibrahim muncul saya ada menonton kerana saya diminta membuat propaganda memperlekeh klip ini. Bagitu juga dengan klip Terkam Anwar Ibrahim. Sayalah yang bertanggung jawab menangkis dan melawan klip ini.
Menonton klip bukan asing untuk saya.
Tapi saya juga tidak bagitu berminat menonton porno atau laman sex dalam internet. Jauh sekali saya berahi untuk menonton filem porno German. Saya akan sama saperti perangai Nik Abduh kalau saya katakan yang saya ini langsung tidak pernah melihat klip porno.
Saya tahu saya ini bukan insan suci. Tetapi saya tidak membuat sesuatu bukan kerana ada larangan. Hidup saya berpandukan falsafah - dilarang melarang. Perbuatan saya berasaskan fikrah yang rasional.
Justeru, saya memiliki sebab musabab kenapa saya tidak menonton habis klip tembak mati Christchurch. Atau kenapa saya tidak gelabah mencari klip Mat Datin Terlampau. Atau baru-baru ini ketika Pilihanraya Kecil di Port Dickson saya tidak sibuk mencari klip anak muda bernama Adrielle Iman.
Anak muda pemilik syarikat minyak wangi ini mengikut laporan New Straits Times telah menaja 5 program kempen Anwar Ibrahim. Berita menjadi ‘hot’ dan heboh kerana dikatakan wujudnya klip bogel Iman sedang melancap. Saya langsung tidak ambil pot.
Filem dan video adalah dunia saya. Ini ilmu yang saya tuntut dan saya pelajari. Justeru saya tahu sebanyak sadikit tentang teori dan pratik filem dan video.
Saya bukan seorang ‘voyeur’. Voyeur dalam bahasa Peranchis bermakna mengintai. Sosok voyeur akan mendapat nikmat keberahian seksual apabila mengintai. Anak muda kita cekap kerana berjaya melahirkan perkataan baru - skodeng - yang sama makna dengan voyeur. Saya bukan Mat Skodeng. Saya bukan kaki intai.
Bagaimana dengan filem?
Menonton filem hakikatnya kita mengintai. Apa yang berbeza ialah kita mengintai naratif filem itu secara beramai-ramai dalam panggung. Kita tidak melakukan secara rahsia-rahsia sambil tangan meraba-raba dalam kain sarong. Nengok wayang tidak sorok menyorok. Kita menonton secara terbuka.
Justeru menontn filem bukan satu penyakit saperti yang dihinggapi oleh semua Mat Skodeng.
Apa sangkut paut voyeur, Mat Skodeng dengan pembunuhan yang dilakukan oleh Brenton di Christchurch. Pada hemat semua ini kait berkait. Apa yang berlaku adalah tanda dan makna yang kita wajib fahami.
Pembunuhan di Christchurch adalah tanda jelas bahawa kita kini dalam zaman pasca moden. Kita telah meningglkan moden.
Biar saya surahkan disini. Pada tahun-tahun 70’an dahulu - juga ketika saya belajar ilmu filem - ada satu genre filem yang paling dicari. Yang dicari tapi tak jumpa-jumpa. Genre ini dipanggil snuff film. Apa dia filem snuff?
Filem snuff dikatakan mengambarkan kematian ganas yang terjadi kepada pelakon. Mati dalam filem snuff adalah mati yang betul mati. Bukan mati lakonan. Peluru atau pisau dalam filem snuff adalah peluruh hidup dan pisau tajam. Darah yang meleleh dari leher pelakon bukan dakwat merah atau sos tomato tetapi darah manusia.
Dikatakan - kononnya - filem ini difilemkan di Amerika Latin. Ini kerana di Amerika Latin harga nyawa amat murah. Filem ini dikatakan bergerak dibawah tanah. Ketika belajar saya dan kawan-kawan mencari filem snuff ini dari Southhall hingga ke Soho London. Tapi tak jumpa. Ianya menjadi mitos untuk perbincangan pelajar filem.
Apa yang saya tulis ini adalah budaya filem - budaya mengintai - budaya skodeng sebelum Ronald Reagan membebaskan internet untuk kegunaan ramai. Internet mengubah semuanya. Teknoloji mengubah rupa bentuk dunia. Tekonoloji mengubah budaya kita semua.
Jangan kita lupa bahawa snuff filem pertama yang menggemparkan dunia berlaku di Iraq. Pada awal Ogos 2004 dilaporkan seorang ajen CIA telah ditangkap di utara Iraq. Mamat ini dipakaikan pakaian oren penjara.
Tangan ikat kebelakang. Mencangkung bongkok saperti saekor kambing kemudian lehernya dipotong dengan pisau. Semua difilemkan untuk dimasukkan ke dalam internet. Dunia gempar. Ini filem soheh lagi afdal. Inilah filem snuff pertama keluaran kempulan Islam Iraq yang ditonton warga dunia.
Kemudian pada 4 Febuari 2015 dunia terperanjat melihat bagaimana saorang pemandu kapal terbang warga Jordan telah dikurung dalam sangkar besi kemudian dibakar hidup-hidup. Klip keluaran gerakan Islam ini menular dunia.
Pada 6 Julai dilaporkan bagaimana 19 orang wanita Yazdi Christian telah dikurung dalam sangkar besi dan dibakar hidup-hidup. Pembakaran hidup-hidup ini dilakukan dihadapan tontonan ratusan orang ramai. Kesalahan yang dilakukan oleh perempuan ini ialah mereka enggan bersetubuh dengan wira pejuang Islam ISIS. Pembakaran ini berlaku diwilayah Kurdistan Iraq/Syria.
Menurut ajensi berita pada 3 Julai 2017 satu pasokan pejuang Islam ISIS telah membakar hidup-hidup 12 orang tahanan mereka. Orang tawanan ini telah disimbah minyak sebelum dibakar hidup-hidup. Ini berlaku di Kirkuk utara Iraq. Tawanan ini ditangkap kerana cuba melarikan diri dari wilayah kawalan ISIS.
Tujuan saya merakamkan kembali babak-babak ganas dan ngeri ini untuk membuktikan bahawa apa yang berlaku di Christchrch itu bukan satu yang baru. Apa yang baru hanyalah Brenton telah menggunakan kamera badan GoPro dan merakamkan setiap tembakan yang dilakukan. Dia berpindah dari bilik ke bilik. Semua dirakam.
Soheh lagi afdal - Brenton adalah pembuat filem snuff untuk dunia. Kita tidak mengintai-ianta atau menyorok untuk menoton. Malah sebuah stesen tv di Australia telah menayangkan secara resmi filem Brenton ini. Mitos filem snuff telah terbarai.
Teknoloji telah membantu Brenton untuk memberi peluang kepada dunia melihat pembunuhan dalam ‘real time’. Di Christchurch garis pemisah antara ‘video game PUBG’ dan realiti dunia semakin kabur. Kita tidak tahu lagi mana yang benar dan yang mana hanya permainan. Yakinlah - ini tanda-tanda jelas kita kini dalam dunia pasca moden.
Mati ditembak, mati ditikam, mati dibunuh, lelehan darah manusia , kepala putus dipenggal, manusia disembelih, manusia dibakar hidup hidup - kini menjadi kebiasan baru - new normal.
Kebiasaan baru - new normal - telah dibawa oleh teknoloji. Kita melihat ombak tsunami walau pun bukan dalam masa yang sama. Kita melihat sosok terbarai dilangar kereta. Kita melihat Pak Itam gugur berdarah ditembak oleh Polis Orang Puteh Amerika. Ini imej kebiasaan baru.
Semua imej-imej ini menjadikan kita lali dengan keganasan. Lali dengan kematian. Lali dengan limpahan darah. Kita melihat bagaimana soldadu Amerika dari udara menembak mati warga Iraq ditepi jalan. Kita melihat imej Pak Cik terjun dari banguan World Trade Center yang sedang terbakar. Semua ini menjadikan kebiasaan baru satu kebiasaan.
Satu ketika dahulu kita akan terperajat. Hati dan jiwa kita akan terganggu apabila melihat wilayah kebuluran di Afrika. Kita juga akan menutup mata menjauhkan pandangan dari melihat keganasan dihadapan mata. Kini tidak lagi.
Kini ribuan akan datang menonton jantan yang dibogelkan untuk dirotan punggungnnya di Karachi atas nama Islam. Ribuan berkumpul di Banda Acheh untuk menjadi saksi anak muda homosexual dirotan atas arahan agama Islam.
Semua ini adalah kebiasaan baru. Justeru bila SKMM mengeluarkan larangan agar klip pembunuhan dalam masjid di Christchurch jangan ditular. Saya ketawa kah kah kah. SKMM tidak sedar bahawa kita kini dalam era pasca moden.
Semua yang sedang berlaku adalah sebahagian dari budaya pasca moden. Kalau kita makan durian mustahil kita tidak mahu bau durian. Kalau kita makan lada mustahil kita tidak mahu rasa pedas.
Kebiasaan baru datang dalam pakej bersama teknoloji kamera GoPro. Tapi saperti saya - kita masih ada pilihan. Tutup tv dan padamkam internet. Jangan tonton. Tak perlu arahan. Tak perlu larangan. Gunakan akal. Khalas. (tt)
NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
03-92-21-10-45
---------------------
2 ulasan:
kah kah kah...
moden ka pasca moden ka...
yang pasti bila chukong dah pulang...
pak tt yang acah - acah dalam misi menyelam tiba - tiba hilang taktak munyik...
adamasyukka?
maluapabossku!
bro..jgn lupa kebiasaan baru yg lama yakni berbohong syarie..ini ajaran nabi maka wajib la bohong syrie mjd sunnah..oh ya..bangsa johor kecoh air toksik, udara toksik..tp jgn lupa bauksit dan lynas dipahang..yg mjd pertahanan bagi syarikat2 lynas dan bauksit ini adalah org2 melayu sendiri..media patut buka balik kes dugong mati dinegara johor..
Catat Ulasan