Rabu, 10 Julai 2019

DUNIA DAN ARUS KANAN






DUNIA DAN ARUS KANAN

Saya tidak tahu bagaimana suasana budaya dan politik tahun-tahun  tiga puluhan, empat puluhan atau   bulan , minggu atau  hari hari  sebelum pecahnya  Perang Dunia Kedua. Saya dilahir sesudah Perang Dunia  Kedua tamat. 

Ketika saya membesar sebelum ke sekolah saya memasang telinga mendengar surah-surah perang dari Emak, Abah,  Pak Cik,  dan Datuk.  Surah surah makan ubi kayu, makan keledek, lari dari Jepun masuk ke dalam hutan untuk selamat, surah tak berkain dan  tak berbaju. Surah-surah ini diperawikan  ketika kami sanak saudara dan  jiran tetangga  orang sekampung berkumpul  kenduri makan beras baru atau doa selamat sebelum menyemai benih padi.

Pada tahun 1958 ketika saya dalam darjah dua di Sekolah Umum Batu Serambai Ulu Kelawang Jelebu saya bertemu dengan buku Leftenan Nor Pahlawan Gerila hasil garapan   Abdul Aziz bin Zakaria. Dalam tahun yang sama saya terjumpa buku  Nyawa Dihujung Pedang hasil tulisan  Ahmad Murad Nasaruddin. Pada tahun 1967 saya bertemu dengan  Sungai Mengalir Lesu karya  Samad Said.  Inilah latar belakang Perang Dunia Kedua yang saya alami.

Bila saya masuk ke universiti saya meluaskan pembacaan  untuk memahami politik. Pemahaman politik  memerlukan latar belakang sejarah. Akhirnya saya diterima masuk ka Jabatan Sejarah Universiti Malaya. Sayangnya pada ketika itu saya meninggalkan kuliah sejarah kerana saya sendiri  ingin membuat  sejarah.

Ketika berkelana pembacaan  saya makin melebar luas. Bila  sampai ke Eropah  pemahaman saya tentang politik, seni, ekonomi dan sejarah semakin jelas. Dengan mengunakan pendekatan Marxis pandangan dunia saya semakin jelas dan  cerah.  Hari ini saya  terus bertukang dengan menggunakan tukul, sabit dan paku Marxis.  

Di Eropah saya bertemu dengan For Whom The Bell Tolls, A Farewell to Arms tulisan Hemingway. Ketika dalam perjalanan ke Barcelona Sepanyol pada tahun 1986 saya membaca Homage To Catalonia oleh George Orwell. 

Di kampong saya di Wavre Belgium - saya mendengar surah-surah perang Dunia Kedua dari mulut generasi kedua warga Eropah. Di sempadan Belgium-German saya terlihat tembok-tembok batu Tentera Berikat yang cuba menghalang kereta kebal Hitler. Di tepi pantai Belgium saya ternampak bangkai bangkai kereta kebal Hitler.

Saya bertemu dan berkawan dengan Robin  dari Luxembourg seorang guru. Kami bertemu di Pakistan dan persahabatan disambung apabila saya sampai ke Eropah.  Robin seorang Yahudi bersurah bagaimana semua suku sakatnya hilang dalam Perang Dua Kedua. Hanya ibunya yang masih kecil sempat melarikan diri.

Semua ingatan ini asih segar. Justeru apabila  alaf ini beralih saya melihat dengan jelas rupa bentuk dunia dan zaman yang saya  tinggalkan.  

Di Malaysia dunia  politik dan budaya yang saya tinggalkan dikenali sebagai zaman Pop Yeah Yeah. Manakala di Eropah zaman ini dikenal sebagai zaman Generasi Enam Puluhan.     Dizaman ini pop, rock , politik dan gaya hidup  muda berganding bahu. Politik dan rock  disira pula dengan terbukanya pintu yang memenjara keberahian seksual. Tahun-tahun muda yang penuh keindahan bersalut dengan pancutan nikmat disana sini.

Inilah zaman dunia muda salepas perang. Inilah zaman  anak muda cuba mengubah dunia.  

Salepas perang Dunia Kedua kita  memasuki  zaman Perang Dingin. Perang politik antara kaum  kiri dengan kaum kanan. Perang Dingin ialah perang idealoji antara dunia kapitalis  yang dikepalai oleh Anglo-Amerika dengan dunia sosialis yang dipimpin oleh Rusia-China.

Di zaman Perang Dingin saya melihat dunia melalui tukul Marxis dengan jelas. Musuh dikenal pasti dengan jelas.   Kalau kamu tidak kiri  maka kamu akan dilihat kanan. Jika kamu kiri kamu dilihat  cool  dan couter culture penuh dengan budaya melawan budaya. Jika tidak kamu akan dilihat  square, poyo dan bebal. Amin.

Kenapa saya menulis pekara  ini?

Saya menggarap mukadimah ini   kerana kebelakangan ini saya terus membaca dan melihat bagaimana dunia kita ini sedang  berubah ke kanan. Gelombang kanan sedang  berkumpul. 

Ombak  penelitian kemunculan garis kanan ini semakin banyak saya temui dalam portal internet. Ini bukan tulisan cabuk. Ada  tulisan para pemikir  dari generasi  Perang Dingin, ada datang dari  ‘public intelektual’ generasi  60’an dan ada digarap oleh sosok-sosok yang melihat  kedatangan Perang Dunia Kedua  dan kemunculan Perang Dingin.

Media arus perdana dunia dalam semua bahasa sering melaporkan berita-berita tentang  kesampaian ombak kanan.
Tulisan dan berita-berita ini menggambarkan suasana kita hari ini seakan-akan kembali ke suasana  tahun 30’an, ke tahun tahun sebelum Inchek Hitler menang pilihan raya untuk menjadi Chancelor German.

Apakah ini betul?

Rumah Puteh di Amerika sentiasa diduduki oleh garis kanan. Rumah Puteh adalah kubu yang mewakili mazhab kaum kanan. Kalau dizaman Perang Dingin seteru Rumah Puteh ialah Kremlin  di Rusia dan Peking di China. 

Garis kanan Rumah Puteh sentiasa berlapik dan berbidai dengan jubah  demokrasi dan hak asasi manusia. Tetapi semuanya makin berubah. Lihat sahaja dizaman Obama. Sosok ‘kulit hitam’ digunakan oleh kaum kanan untuk membantai sesiapa sahaja yang dianggap tidak membawa keuntungan kepada kaum pemodal.

Hubaya hubaya - umum wajib diberitahu bahawa Barack Obama lebih banyak mengebom negara Dunia Ketiga  berbanding dengan Bush atau Reagan. Barack Obama juga banyak membunuh orang biasa yang bukan soldadu atau pengganas termasuk mendrone mati warga Amerika sendiri.

Apabila Trump menjadi Presiden kaum kanan dan garis  kanan tidak lagi berselindung. Dengan jelas , dengan terbuka tanpa berlapikkan demokrasi atau hak asasi  Trump terus  membelasah negara mana sahaja yang dianggap menghalang perjalanan modal.

Saya yakin ramai warga dunia  melihat  presiden Amerika yang ke 45  sebagai pelawak dunia. Tapi awas dibelakang perangai Trump yang tidak menentu ini wujud satu kumpulan pemikir bermazhab kanan. Kaum pemikir mazhab kanan ini telah  lama mengeram di Rumah Puteh.  Di zaman Bush Junior mereka menetas dan hasilnya ialah perang. 

Amerika melancarkan perang ke atas Iraq kemudian Afghanistan. Kemudian Syria , lalu mengelencong ke Libya. Semua ini adalah projek kaum kanan.

Kaum kiri – kaum Marxis berpendapat perang dan kapitalisma adalah isi dengan kuku – saperti kentot dengan berak. Tidak dapat dipisahkan. Selagi sistem ekonomi kapitalis wujud maka dunia akan terus berhadapan dengan bencana perang.

Kenapa bagini?

Analisa kiri membuktikan bahawa perang adalah salah satu dari rukun sistem ekonomi kapitalis. Kapital atau modal akan terus mencari keuntungan. Mencari tanah jajahan. Mencari dan menjarah hasil bumi. Memperluas pasaran. Mengumpul kekayaan.  Justeru perebutan punca-punca ekonomi ini akan mengakibatkan perang. 

Apabila sistem ekonomi kapitalis menghadapi masaalah besar  maka kaum pemodal dan  para pemikir kanan akan merancang perang. Dalam sistem ekonomi kapitalis perang akan menjadi jalan keluar yang lumayan.

Sayugia diingatkan sejarah  bagaimana Perang Dunia  Kedua pecah. Puncanya ialah krisis ekonomi dan perebutan tanah jajahan.
Pada tahun 1929 bermulanya Tahun Meleset atau Great Depression di Amerika. Ekonomi  dunia jatuh meleset. Tahun-tahun 30’an warga Amerika kelaparan dan merempat. Keadaan ini  berjalan  hingga ke tahun 1939. Kemudian apa terjadi?

Eropah dan Asia pada masa yang sama bergolak. Ekonomi Eropah meleset.  Hitler dengan parti Nazi telah menguasai German  pada tahun 1933.  Merebut tanah jajahan menjadi agenda pada ketika itu. Jepun menyerang China pada 7 Julai 1937. Pada tahun 1938 Hitler menaklok Austria dan Czechoslovakia.  Akhirnya  Perang Dunia Kedua  pecah pada 1 September 1939.

Apabila perang pecah maka ekonomi mula puleh. Perang menjadi penjana dan bahan bakar  untuk menghidupkan ekonomi yang meleset. Manusia diperlukan untuk menjadi soldadu. Kilang  senjata muncul – membuat peluru, senapang, kereta kebal, kapal laut dan kapal terbang. Kilang besi, kilang pakaian, kilang makanan bangun untuk menyokong  projek perang. Tenaga  manusia diperlukan. Soldadu – lelaki dan perempuan direkrut. Kerja.  Kerja. Kerja.

Ekonomi kapitalis kembali puleh.  Tahun-tahun  50’an salepas perang ialah zaman membangunkan kembali Eropah yang hancur. Perang telah memulihkan  kembali ekonomi Amerika yang merosot.  Ini lah zaman lumayan. Inilah zaman rock n roll. Iniah zaman dimana dunia dilihat cerah. Inilah zaman Pop Yeah  Yeah. Inilah zaman saya mula mendapt pencerahan politik. Zaman saya bertemu  dengan tukul dan sabit Marxis.

Muncul 2019. Tetiba  para pemikir mula mengatakan bahawa kita sedang kembali  ke zaman 30’an. Kita sedang  menuju ke zaman  meleset. Dunia kapitalis sedang berhadapan dengan krisis yang maha besar. Ombak kanan sedang berkumpul.

Betulkan kenyataan ini?

Ketika saya menggarap tulisan ini dua pekara telah berlaku. Pertama – pada Ahad 7 Julai 2019 Parti Syariza  tewas dalam pilihan raya Greece. Syariza adalah parti arus kiri yang menjadi kebangaan kaum kiri. Kini Greece jatuh ke tangan arus tengah – Parti  New Democracy. 
Kedua : Pada Senin 8 Julai 2019  Duetsche Bank yang beribu pejabat di Frankfurt German memberhentikan 18,000 pekerja. Bank pengurus dana untuk pelaburan ini mempunyai  91,500 pekerja di 58 buah negara. Bank ini adalah yang ke 15 terbesar dalam dunia.

Apakah ini satu petanda baru?

Sabenarnya   inilah bukti bahawa  suasana tahun-tahun 30’an sedang  datang kembali. Kalahnya Syariza di Greece adalah petanda bahawa arus kanan sedang mengombak.  Orang ramai terutama warga Eropah mula menyisir ombak kanan.

Krisis Duetsche Bank inilah hanyalah permulaan. Jangan lupa sejarah – pada 15 September 2008 Lehman Brothers jatuh muflis ini diikuiti dengan krisis dalam  Bank of Scotland, Merill Lynch dan beberapa lembaga  keewangan yang jatuh muflis.

Apakah perang dunia akan pecah?

Siapa yang bertanya soalan ini maka mulut sosok ini wajib  dilumar dengan lada.  Soalan saperti ini datangnya dari sosok-sosok yang tidak memahami dan gagal menganalisa politik dunia  kontemperori. 

Fahamlah bahawa perang Dunia Kedua TIDAK tamat. Ianya bersambung dengan Perang Dingin. Sambungan Perang Dunia Kedua dimanifestasikan dengan Perang Korea ( 1950-1953) disambung dengan Perang Vietam  dan Indo China (1955-1975). Ini diikuti  hingga ke hari ini oleh perang Iraq, Afghannistan dan Syria. 

Analisa kaum kiri tepat, betul dan saintifik.  Kalau  analisa kaum Marxis ini tepat kenapa ombak kanan mula mengampoh. Sebelum  menjawab soalan itu kita wajib mengetahui apakah pola dan ciri garis kanan. Apa dia falsafah garis kanan? 

Untuk jawapan  kepada soalan-solan ini sila tunggu minggu hadapan. Ketika menunggu jawapannya sila cari buku – Nyawa Di Hujung Pedang, Leftenan Nor Pahlawan Gerila dan Sungai Mengalir Lesu. Cari dan baca. (TT)




TULISAN INI 
DISIARKAN JUGA
DALAM SUAKARA KEADILAN
SESIAPA INGIN MELENGGAN
SILA PUKUL TALIPPON
03-92-21-30-45





---------

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

jgn lupa bro..garis2 kanan yg terdiri daripada kaum2 pemodal kaum2 tokey pemunya syer saham2 yg kaya2 sedang menunggu bakal perdana menteri port dickson naik..kata2 anwar dilihat semakin kepura puraan..jgn lupa super liberal, jgn lupa anak india anak melayu anak cina adalah anak dia tp semua anak2 bangsa ini dibiarkan..kaum2 pink form white form yg dulu berpelarian, kini sedang menyusun rancangan utk menguasai sumber eokonomi..di pasir gudang kecoh bahan kimia, di kuantan pula menteri memberi kebenaran kpd lynas, begitu juga dgn akta hasutan..sebelum menang, berkokok kehulu kehilir nak hapus akta hasutan, kini sudah tahun kedua dan anwar sudah jd YB utk membantu YB2 PH yg tiada pengalaman di parlimen..kecoh org asli mati,rupanya kerana projek durian musang king.boikot la musang king.hingga kini parlimen tidak mengubah akta tanah utk org asli..dibelakang semua ni takkan lu tak nampak tangan2 kaum2 pemodal? waima raja sultan pun adalah kapitalis dan mujur agama islam diletakkan dibawah sultan oleh parlimen kafir parlimen british..islam takda parlimen..islam takda demokerasi..islam lebih lengkap dari itu malah hudud juga cuma jadi hantu maya karin menakut2kan umat dgn lebih ghairah..yg penting serambi mekah suci dari segala noda dan dosa..kalo nak berhibur, sila ke negri lain yg menganjurkan byk maksiat..