Rabu, 11 September 2019

9/11 - 18 TAHUN DAHULU






9/11 – HARI INI 
LAPAN BELAS TAHUN KEMUDIAN


Saya tahu dan saya  masih ingat dimana saya berada pada hari Selasa  11 September 2001. Mustahil saya akan melupakannya. Malah saya ingat minuman pagi  saya pada pagi itu – roti dan jam. Makan tengah hari   saya ialah  ikan masin dan sayur tougeh. 


Pada hari Selasa itu saya berada di Blok 4B Kem Tahanan Kamunting bersama Tuan Chua. Di Blok 4A duduk Ezam Mat Nor dan Shaari Sungip a.k.a Pak Abu. Manakala di Blok 3A menjadi tempat tinggal Ustad Badrul Amin dan Lokman Adam. 

Kami semua adalah tahanan politik dibawah undang-undang ISA – Akta Keselamatan Dalam Negeri. Kami  terlibat dan gerakan Reformasi. Kami adalah sosok-sosok yang anti Mahathir dan penyokong Anwar Ibrahim.

Hakikatnya dalam kem Kamunting kami terputus hubungan dengan dunia luar.  Malah walau pun saya dan Pak Abu duduk sabelah menyebelah  tapi hubungan kami terputus.  Dalam Blok 4B  - seluas dua bilik darjah ini  saya hanya berhadapan dengan Tian Chua. Hishamuddin Rais bersama Tian Chua hidup berdua  dalam blok 4B Kem Kamunting   selama satu tahun.

Justeru saya tidak tahu apa yang berlaku didunia luar terutama   di New York pada pagi  Selasa  11 September 2001.

Pada tengah hari  Sabtu 15 September nama Tian Chua telah dipanggil oleh Pengawal a.k.a Cik Gu. Ini bermakna Tian ada pelawat. Tian menerima pelawat setiap hujung minggu. 


Saya amat jarang menerima pelawat. Keluarag saya dari Jelebu agak jauh dan payah untuk datang  ke Kamunting Taiping.  Malah saya telah selesa dan terlatih untuk hidup sebatang kara. Selama hampir dua puluh tahun ketika saya berkelana saya  jarang bertemu keluarga.


Hakikatnya  di Kem Kamunting saya selesa.

Tuan Chua muncul ke bilik  satelah hilang hampir satu jam.  Saperti biasa saya terus bertanya-bertanya - siapa yang datang. Apa berita dari luar. Apa perkembangan terbaru. Apa gossip politik. Kami tidak ada sumber maklumat selain dari pelawat dan peguam.


Pada petang Sabtu itu Tian dilawati oleh Elizebeth Wong. Berita terbaru yang dibawa oleh Eli Wong ialah New York telah meledak. Amerika telah diserang  oleh pengganas. Kapal terbang telah  dibajak dan menyerang bangunan World Trade Center (WTC).  Pengganas Arab menjadi protoganis utama. Ini sahaja yang saya dengar pada 15 September 2001. 


Tiga  minggu kemudian saya dibawa ke Kuala Lumpur untuk bicara Kes Demonstrasi di Masjid Negara yang telah  menjejak 3 tahun tapi masih belum selesai. 

Dari Kem Kamunting  Tian, Ezam,  Lokman dan saya  telah dibawa ke Rumah Pasong Sentul. Dari sana kami akan dimasukan ke dalam kereta rahsia untuk dibawa ke  bilik sulit yang hingga ke hari ini  saya tidak tahu dimana wilayahnya. 

Di Rumah Pasong Sentul  ada seorang polis yang memiliki talipon bimbit tercanggih pada ketika itu. Talipon ini ada merakamkan klip ledakan WTC. Dengan penuh kehairanan saya menjengok dan melihat. Bukan melihat gambar ledakan tapi hairan melihat kaca tv di talipon.

Di Pejabat Rumah Pasong Sentul ini juga ada  tv. Nasib saya baik kerana beberapa minit    sebelum  mata kami ditutup untuk dibawa ke bilik sulit saya  ternampak dikaca tv   berita bergambar ledakan  WTC yang berlaku pada 9/11 2001.

Dari fakta sejarah – Hishamuddin Rais hanya berpeluang melihat imej ledakan World Trade Center  sesudah tiga minggu ianya terjadi. Amin.

Hari ini Selasa 10 Setember 2019  - saya menggarap tulisan ini untuk memperingati kembali apa yang telah berlaku 18 tahun dahulu.


Dalam masa 18 tahun bergantang air telah melintasi sungai. Kerbau bunting telah beranak pinak tujuh kali. Pisang telah berbuah lebih dari sepuluh kali. Presiden Amerika dari Bush ke Obama dan kini Trump. Di Malaysia Najib dijatuhkan dan kerjanan Pakatan Harapan mengambil alih. 


Dunia telah berubah. Politik dunia telah berubah. Malah semenjak 9/11  telah berlaku satu perubahan yang amat besar amat  besar dalam arena politk antara bangsa.  Pemangkin utama perubahan politik dunia ialah ledakan pada pagi Selasa 11 Sptember 2001 di New York.


Dua tahun sesudah 9/11 saya dibebaskan. Maka dengan serta merta saya menggeledah mencari bahan bacaan  tentang ledakan WTC. Ketika ini Presiden Amerika ialah George Bush Junior. 


‘ You’re either with us or against us’ . ‘Kamu  bersama Amerika atau bersama musuh kami menentang Amerika.’

Ini kata dua dari Presiden Bush yang sedang  bersiap sedia  untuk menyerang Iraq. Atas alasan Iraq bersekutu dengan Osama ben Ladin dan Al-Qaeda.

Dunia heboh – dengan nama Osama dan Al-Qaeda.  Heboh. Heboh. Heboh. Saya saperti ketinggalan zaman  terus menyelongkar internet mencari bahan bacaan. Buku pertama saya baca ialah – The War on Freedom: How and Why America was Attacked September 11, 2001. Kitab ini karangan Nafeez Mossaddeq Ahmed  saorang wartawan penyiasat dari London. Buku ini membuka mata saya untuk memahami apa yang telah berlaku.

Saya melihat jelas dunia sesudah 9/11 bukan lagi dunia yang saya kenali sebelum saya dimasukkan ke Kem Kamunting.  Semuanya  telah  berubah.

Hasil dari menyelongkar internet saya membuat  rumusan bahawa 9/11 adalah kerja ‘orang dalam’. Saya bagitu yakin projek ledakan WTC pada 9/11 ada projek mengolah persetujuan.


 Saya melihat klip video temubual  General Wesley A.Clark.  General ini   adalah bekas  Komander Tentera Nato di Eropah ( 1997-2000). Terlibat dalam perang Kosovo.  Dari kllip YouTube General ini membocorkan bagaimana perang sedang dirancang oleh Rumah Puteh dan Pentagon. Amerika bukan hanya akan menyerang Iraq tetapi ada 5 buah lagi negara yang akan diserang.


Saya juga membaca dokumen The Project for The New American Century (PNAC). Dokumen ini yang ditulis oleh pemikir berhaluan kanan di Amerika pada tahun 1997.   Dalam dokume PNAC ini ada disebutkan  taktik untuk mengolah persetujuan rakyat Amerika untuk bersama  membagunkan kembali  Amerika sebagai kuasa hegemon, kuasa tentera    mutlak  dunia.

Taktik yang dicadangkan  ialah mewujudkan satu drama politik setaraf dengan serangan Jepun  ke Pelabuhan Pearl yang berlaku pada pagi Ahad 7 Disember 1941.  Apabila Perlabuhan Pearl diserang maka masyarakat Amerika yang anti-perang dan menolak  campur dalam perang Eropah dengan Hitler  akan berubah hati. 


Ledakan WTC pada 9/11 bertujuan untuk megolah persetujuan bahawa Amerika tidak ada pilihan melainkan  menyerang dahulu sebelum diserang oleh pengganas.


Baca punya baca saya bertemu dengan berita  yang selama ini tidak diketahui umum. Dunia hanya diberi gambaran bahawa dua banguan WTC telah meledak runtuh.  Dunia tergamam dan terpegun melihat gambaran  dua bangunan ini runtuh. Gambaran ini berulang ulang dipaparkan saperti yang saya terlihat di Rumah Pasong Sentul.

Dua banguan WTC ini runtuh akibat dilanggar oleh dua  pesawat yang telah dibajak. Minyak dari kapal terbang ini mengakibatka kebakarn. Kebakaran ini menyebakan dua  bangunan WTC runtuh.

Sin sala bin! 

Dunia tidak diberi tahu bahawa pada 9/11 2001 bukan dua bangunan runtuh. Tapi tiga banguan runtuh. 


Ada satu lagi bangaan yang dipanggil Building 7 yang terletak agak jauh dari dua banguan WTC. Building 7 tidak dilnggar kapal terbang.  Hanya ada kebakaran kecil akibat dari serpihan ledakan  banguanan WTC. Tup tup Building 7 meledak runtuh.


Bila semua mengenap maka kajian mula dilakukan. Para saintis, para ilmuan, para arkitek,  jurutera dan pakar bangunan terbakar mula berkumpul dan berbincang.  Maka lahir gerakan 9/11 Truth Movement.


Presiden Bush tidak dapat tidak terpaksa menubuhkan satu Suruhanjaya  penyiasat resmi ini untuk meredakan kegelisahan orang ramai. Pada awalnya Henry Kessinger telah dicadangkan untuk mengepalai Suruhanjaya ini. Amerika muntah hijau apabila nama Kessinger dicadangkan. Dengan jelas pada detik pertama kelihatan ada usaha gelap untuk mengkaburi apa sabenarnya 9/11. Nama Henry Kessinger ini adalah bukti bahawa Suruhajaya ini berniat jahat.


Generasi hari ini wajib diberitahu bahawa Henry Kessinger ini adalah penasehat Presiden Nixon yang melancarkan Perang Indo China.

Suruhanjaya ini memanggil saksi-saksi untuk melihat kembali apa yang terjadi pada  pagi Selasa itu.  Amat memeranjatkan saorang ahli bomba yang mendengar letupan disetiap bilik  pada hari itu tidak pula dipanggil. Ahli bomba ini sering muncul di berita  tv malah dia  telah dijemput ke Rumah Puteh. Ahli   bomba ini telah bersedia untuk memberi penerangan kepada Suruhanjaya. Tetapi tidak dipanggil.  Kenapa? Amin.


Siasatan tidak pula menyentuh ledakan dan yang berlaku di bangunan Pantagon. Bangkai pesawat tidak ditemui di kawsan Pentagon walau pun dikatakan ada sebuah kapal terbang yang dibajak telah jatuh disana. Malah seribu satu macam soalan gagal dijawab oleh Laporan Suruhanjaya ini. 


Para ilmuan dan pakar dari 9/11 Truth Movement tidak dijemput. Malah diselar sebagai penyebar teori konspirasi. 

Paling menonjol kenapa  dan bagaimana Building 7 runtuh langsung tidak dikaji selidik. Tidak ada  langsung  apa apa pertanyaan , apa apa pandangan  tentang  keruntuhan Building 7.

Justeru semua  ini meyakinkan saya in bahawa   9/11 ini adalah kerja ‘orang dalam – inside job’. Kenapa serangan  keatas WTC  dilakukan?  Jawabnya cukup jelas. Ini projek perang. Ada ajenda perang  yang telah disusun lama.  Perang ialah perniagaan yang paling menguntungkan selain dari menjual dadah. 

Pada  20 March 2003 Iraq diserang. Sebulan sesudah 9/11 Afghanistan di serang. Dikatakan Osama ben Ladin tinggal di Afghanistan.  Kemudian perang merebak ke Syria, merebak ke Libya.  Semua perang ini belum berhenti dan belum tamat.

Hakiktanya ledakan WTC  telah berjaya membawa politik baru kepada dunia  kita semua. Di Amerika wujud Akta Patriot yang melupuskan hak asasi warga. Di Malaysia sesudah 9/11 Najib meluluskan apa yang dipanggil  Akta Majlis Keselamatan yang memusatkan bidang kuasa kepada Pedana Menteri. Banyak negara- negara lain juga terus membontot garis anti pengganas.

Disekeliling kita – diseluruh dunia -  hasil dari 9/11 kumpulan extremis Islam muncul disana sini. Dan di Malaysia kita sedang berhadapan  dengan extremis agama ini. Wahabi, Zamihan dan Zakir Naik hanyalah  contoh terbaik  sebagai manifestasi  9/11.

Saya sendiri  terpaksa menangguhkan  sambungan  tulisan – Ombak  Kanan – kerana mahu memperingati 9/11 - 18 tahun dahulu hari ini. (TT)





---------

Tiada ulasan: