Rabu, 16 Oktober 2019

KERJA DAN KAYA




KERJA  DAN KAYA

Minggu lalu saya mengajukan pandangan tentang analisa  dan pandangan   ucapan Mahathir Muhamad  dalam  Kongress Maruah Melayu yang berlangsung di Shah Alam pada 6 Oktober 2019 yang lalu. Mahathir dalam ucaptama telah  mengkritik  dan memberi analisa kenapa Melayu corot dalam hal pencapaian ekonomi.  

Saya memberi pendapat bahawa analisa dan pandangan Mahathir ini  tempang, lopong dan tidak lengkap.  Bunyi dan nada hujah Mahathir ini telah selalu kita dengar.  Bani Melayu segan bekerja. Memilih kerja. Enggan kerja susah. Tidak mahu kerja kotor. Suka kerja dengan kerajaan. Suka  mencari kerja kerajaan yang ada pencen.  

Saya berani berkata bahawa bahawa pandangan Mahathir ini tidak semuanya tepat dan  betul. Malah hujah Mahathir ini amat klise. Hujah ini dituturkan tanpa  asas ekonomi yang  boleh merungkai secara tuntas kenapa Bani Melayu corot dalam ekonomi. 

Mahathir jelas bertukang tanpa alat yang lengkap untuk memahami kenapa Bani Melayu corot dalam ekonomi.  Alat pertukanagn Mahathir tidak lengkap. Sesiapa sahaja yang berhujah tentang ekonomi tanpa menggunakan tukul dan paku Marxis maka analisa itu akan tempang dan tidak tuntas.

Cuba kita analisa hujah yang selalu kita dengar bahawa: jika sesorang  bekerja kuat  dan rajin bekerja maka orang ini akan berjaya dalam kehidupan. Berjaya ertinya memiliki harta kekayaan. Kata-kata kunci disini ialah  rajin dan kerja kuat.

Hujah ini adalah hujah  hampeh dari kaum kapitalis. Hujah ini boleh kita jentik tanpa  perlu menggunakan alat pertukangah Marxis. Lojik akal  tanpa tukul Marxis sahaja  sudah cukup untuk membuktikan bahawa pandangan ini karut.

Jika kerja kuat, jika rajin bekerja – jika  teori ini tepat dan betul - maka sosok yang paling berjaya dalam dunia ini pastilah Minah Nazarawit Udunga dari kampong pendalaman Ethiopia yang berjalan  4 batu berulang alik  tiga empat kali sehari  untuk   mengambil air  minuman  demi  keluarga,  lembu kambing dan tanaman. 

Jika kuat kerja dan rajin bekerja  dan  berjaya jadi kaya  pastilah Meena Kumari dari Tamil Nadu yang mendukung anak kecil disebelah  kanan manakala tangan kiri menjunjung sebuntil gandum ketika sedang berkerja di ladang  milik seorang  Zamindar.

Jika rajin dan kuat bekerja  akan menjadi kaya raya maka yang akan jadi kaya raya pastilah Kak Bibah di Banggol Dedap Kedah yang dari awal  subuh telah turun ke sawah. Sebelum ke sawah memasak air  dan menyediakan sarapan  apa yang ada untuk anak dan suami. Tengah hari pulang  dari sawah  Kak Bibah akan memasak apa yang ada untuk makan tengah hari. Sebelah petang Kak Bibah merembas cangkul di belakang rumah dengan harapan pisang dan terong belanda akan hidup subur.

Jika rajin dan kuat bekerja  yang akan jadi kaya raya  maka taikon di Malaysia  ini pasti  Alang Dusin dari Kuala Muda  Kedah yang   ke laut  melawan ombak berhari-hari untuk menangkap  ikan.

Lalu saya bertanya betulkah Vincent Tan kuat bekerja walhal  dia sendiri tidak pernah turun  menapak melihat setiap kedai judi miliknya.  Apakah Vincent bekerja keras bermati-matian menjual numbor.

Apakah betul Ananda Krishnan kuat bekerja maka dia jadi kaya raya. Boleh saya berikan sebuah tv saya yang rosak agar  tuan pemilik  stesen Astro ini memperbaikinya. Dan saya akan membayar upah untuk menambah kekayaan beliau.

Betulkan Lim Goh Tong rajin dan kuat bekerja siang dan malam tak tidur tidur  sambil melaung dan menjerit memanggil duit untuk bertaburan datang berlongkok-longok  hingga menjadi bukit menyembah kaki Lim Goh Tong.

Apakah betul Tuan Haji Daim Zainuddin rajin.  Dia   menapak dari rumah ke rumah menjual garam hinnga dia jadi kaya. Kemudian  Tuan Haji Daim  ini membanting tulang  membancuh simin dan  mengatur batu bata untuk  mendirikan  58 tingkat bangunan Ilham untuk didudukinya.

Apakah betul  Tuan Haji Syed Mokhtar rajin dan kuat bekerja. Tuan Haji ini memikul setiap guni beras yang masuk secara halal  dan haram  ke Malaysia. Kemudian Tuan Haji ini  membungkus beras ini  untuk dipikul dan dihantar  dari kedai ke kedai untuk dipasarkan. Hasilnya Tuan Haji ini jadi kaya raya. 

Jelas rajin dan kuat kerja ini adalah teori hampeh yang sengaja ditaburkan oleh kaum kapitalis dan para penyokong sistem kapitalis.  Teori rajin dan kuat bekerja jadi kaya ini cuba membuktikan  bahawa  sosok yang gagal dan corot dalam pencapaian  ekonomi itu adalah mereka yang tak rajin dan tak kuat bekerja.

Dalam ucapan Maruah Melayau Mahathir gagal untuk menerangkan  sajelas  dan tuntas bahawa Bani Melayu malah anak semua bangsa dalam negara ini hidup dalam sistem ekonomi kapitalis.

Dalam sistem ekonomi kapitalis ada hukum dan syarat-syarat  yang jelas. Hukum dan syarat yang saintifik dan teratur. Dalam apa sahaja sistem ada ciri dan pola  yang tidak akan berubah-ubah. Ciri dan pola ini tidak berganjak. Datanglah rebut dan taufan sistem ekonomi kapitalis tegak berdiri.

Sekali  lagi saya mashorkan  bahawa  rukun iman sistem ekonomi kapitalis ialah  mencari untung. Untung yang dicari ialah keuntungan maksima.  Hukum ini tidak berubah-ubah sama ada kamu Lim Goh Tong, Daim Zainuddin atau Syed Mokhtar. Tidak berubah-ubah walau pun kamu telah mencium Batu Hitam di Kaabah atau telah menyelam dalam Sungai Ganges atau telah berpuasa 7 hari di Vatican.

Pekara ini tidak dijelaskan oleh Mahathir. Ini kerana Mahathir Muhamad   percaya jika  Bani Melayu bekerja kuat dan rajin maka  semua   Bani Melayu  boleh menjadi  macam Daim,  macam Lim Goh Tong atau macam Syed Mokhtar. 

Hujah saya yang  jelas ini membuktikan bahawa  Mahathir tidak memiliki pandangan ekonomi yang tepat. 

Untuk memahami kenapa Bani Melayu corot dalam ekonomi maka kita wajib memahami dari mana datangnya harta kekayaan.  Dari mana punca harta kekayaan. Dalam hal ekonomi hanya tukul dan paku Marxis yang dapat memberi penjelasan tuntas.

Punca keuntungan yang akhirnya menjadi harta kekayaan adalah hasil lebihan tenaga kerja  kaum  buruh. Lebihan nilai tenaga kerja kaum buruh ialah  dipangil laba atau untung.

Kak Bibah menanam padi kemudian menjual padi ini   seguni 50 Ringgit pada Syed Moktar.  Yang kemudian dijual oleh Syed Mokhtar 150 ringgit seguni. Tolak ini tolak itu  Syed Mokhtar dapat untung 80 ringgit.  Untung ini ialah lebihan nilai  tenaga kerja  dan masa dari Kak Bibah.

Duit 80 ringgit itu  yang jadi untung kepada Syed Mokhtar tenaga buruh  Kak Bibah yang telah dieksploit oleh Syed Mokhtar.   Masa dan tenaga kerja  Kak Bibah  yang dibayar rendah.  Lebihan dari nilai masa dan tenaga ini   diambil oleh Syed Mokhtar. Lagi ramai petani   saperti Kak Bibah menjual beras kepada Syed Mokhtar lagi kaya  Syed Mokhtar.

Bagitu juga kilang – kilang apa sahaja – lagi ramai yang bekerja – lagi banyak  lebihan tenaga kerja buruh  yang dikumpulkan oleh  tuan empunya kilang. 

Sebuah kilang membuat kasut mengupah 80 buruh pekerja. Lebih murah  gaji yang dibayar untuk membuat  kasut  lebih baik.  Semakin  banyak kasut  dijual dengan harga yang lebih tinggi dari harga upah membuat kasut maka lebih cepat  tuan kilang kasut jadi kaya raya.  

Tuan empunya kilang kasut tidak pernah membanting tulang. Tidak pernah bekerja keras. Tidak berpeloh kerana pejabat berhawa dingin. Tidak pernah menapak menghatar kasut dari  ke kedai kedai kerana ada buruh pengedar. Tuan kilang hanya mengumpul untung – mengumpul lebihan nilai masa dan tenaga  80 orang  buruh  dalam kilangnya.

Untuk menghalalkan  exploitasi kaum buruh ini  ketika saya belajar disekolah  saya diberitahu oleh Cik Gu  semua ini memerlukan  modal. Modal  perlu untuk dilabur. Tanpa modal tak ada kilang. Tak ada kilang maka tak ada kerja. Tak a da kerja kita mati tak makan. Inilah mantra yang sesebarkan. Ini mantra karut. 

Mantara ini menghebohkan  bahawa Vincent Tan , Tin Phek Kiing atau Lim Goh Tong  mengeluarkan modal yang besar. Mereka melabur. Mereka mengambil risiko atas  modal dan memastikan pelaboran mereka membawa untung. Mereka ada  jentera. Mereka  ada tanah. Maka kerana mereka melabor dan kerana mereka ada jentera  maka mereka boleh menuai keuntungan.

Ini juga cerita karut. Pelaburan ,  tanah, modal dan jentera dalam istilah Marxis dikenali sebagai  punca pengeluaran. Punca pengeluaran ini juga bermula dari eksploitasi lebihan tenaga kerja  kaum buruh yang terdahulu. Harta kekayaan yang dikumpul oleh orang kaya adalah hasil ekploitasi tenaga kerja dan lebihan  nilai kerja kaum buruh. Ini fakta yang saintifik  bukan lebong Hishamuddin Rais.

Buruh dan modal tidak dapat dipisahkan.  Tanpa  buruh modal mengecut tidak kemana – mana.

Kita selalu mendengar  syarikat leteronik di Pulau Pinang ditutup. Syarikat  berpindah ke Vietnam atau ke China Merah. Perpidahan ini adalah  saintifik mengikut hukum dan syarat sistem ekonomi kapitalis. 

Kilang kapitalis akan berpindah mencari  wilayah yang  dapat ditegakkan rukun iman kapitalis : keuntungan maksima. 

Syarikat Apple  pembuat talipon bimbit pindah ke China Merah. Pindah ke India . Pindah ke Indonesia. Semua mencari buruh murah dan pasaran luas. Jaminan keuntungan maksima.

Sistem kapitalis datang ke Malaysia ini juga kerana  wujud syarat dan pola. Tanah tapak kilang disediakan. Cukai dikecualikan.  Buruh dilarang berpersatuan.  Jika ada mogok pemimpin buruh boleh ditangkap dan dibuang kerja. Tidak ada gaji manima. Gaji semurah mungkin dan secukup hidup. Gaji boleh cukup  makan agar jangan  mati. Jika mati tidak dapat memburuh lagi.

Apa sangkut paut semua ini dengan  kenapa Bani Melayu corot dalam hal ekonomi. 

Sebelum  saya tangguhkan tulisan  ini ingin saya beri tahu bahawa majoriti Minah Karan yang bekerja dikilang -kilang leteronik di Pulau Pinang atau di Seremban adalah  gadis Bani Melayu.  Hari ini mereka  tidak kaya apakah ketika memburuh dulu mereka malas bekerja atau tidak bekerja keras?  

Kenapa agaknya Kak Bibah tak kaya-kaya.  Dan  kenapa segala tangkapan ikan  Alang Dusin diambil terus oleh Towkay Lim  yang  menjadi mengedar ikan ke restoran makanan laut di Pulau Pinang. Untuk jawapan tunggu minggu hadapan. (TT)




TULISAN  INI DISIARKAN JUGA
DALAM SUARA KEADILAN
SESIAPA INGIN MELANGGAN 
SILA PUKUL TALIPON
03-92-21-30-45




-----------

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ham Dulil.. TT akhirnye sedar dari mimpi semasa sedang tidur didodoi Atuk Madir.. Ham Dulil...

Tanpa Nama berkata...

Kamu lupa menyebut, kapitalis ganas juga melahirkan aristocrat dan oligocrat.aristokrat, watak polis pencen dalam kapitalis dan oligocrat, si pengaku harta negara bapak dia yang punya. Kebetulan juga haji najib ada nama lain, Najib Gor.benar benar dia mengaku bahawa dia wakil oligocrat.

Tanpa Nama berkata...

Aku tanya apa khabar?

Aku tanya apa khabar?

Aku tanya apa khabar?

Aku tanya apa khabar?

Aku tanya apa khabar?

Aku tanya apa khabar?

Aku tanya apa khabar?

Tanpa Nama berkata...

hanya lu yg masih tegas.salute.