Rabu, 15 April 2020

MERAKAM SEJARAH - BLACK 14





MERAKAM 

SEJARAH

GELITA 14

BLACK 14

Hari ini  14 April ialah hari  GELITA 14 atau juga dikenali sebagai BLACK 14. Selasa hari ini ialah ulang tahun ke 19 Gelita 14.  Pada 14 April 1999 Anwar Ibrahim telah dipenjara  selama 6 tahun atas tuduhan salah guna kuasa  dan meliwat.

Justeru untuk mengingatkan kembali babak politik  ini  maka saya menangguhkan tulisan rakaman sejarah saya mengenai Covid-19. Ini kerana saya mahu  anak semua bangsa bersama-sama memperingati Black 14. Terutama  saya mahu generasi muda  hari ini memahami babak-babak  dan perjalanan sejarah bagaimana kita sampai ke tahap politik hari ini.

Hubaya hubaya.  Untuk diri saya Gelita 14 ini amat amat berkait rapat  berkurung, terkurung dan di kurung. Pada hari Selasa 10 April 2001  - 19 tahun dahulu  saya telah dikurung. 

Saya dikurung bukan  bertujuan  menjaga kesehatan orang ramai saperti kita berkhalwat hari ini. Tetapi saya  dikurung untuk menjaga kesehatan United Malays National Organisation yang semakin sakit tenat. Pada ketika itu Malaysia telah diserang oleh satu wabak. Bukan wabak virus karona. Pada  tahun 2001 Malaysia sedang diserang oleh  wabak anti Mahathir dan wabak anti parti Ketuanan Melayu. Wabak ini  sedang merebak dan mengampoh.

Pada petang Selasa 10 April 2001  saya berada di pejabat di Jalan Kamuja Bangsar Utama. Saya telah tidur malam di pejabat walau pun bilik tumpangan saya di  Taman Seputeh yang tidak jauh.  Saya  yang tidak memiliki kenderaan menapak  setiap hari  dari rumah ke pejabat.  Sesekali saya tidur dipejabat.

Berapa minggu sabelum ini Tian Chua, Malik Husin, Pak Din, Nasir Taxi, Kak Yus, Pak Abu, Lat Koya dan saya telah mengadakan  beberapa bertemuan.  Kumpulan kami bertemu dan berbincang di pejabat Tian Chua di Jalan Kurau Bangsar. Kami menyusun, mengatur dan merancanag untuk mengadakan satu perhimpunan besar besaran di hadapan Pejabat Suhakam di Jalan Raja Laut pada  14 April 2001. Hari Sabtu jam 4.00 petang.

Agendanya ialah : mengahantar surat memo kepada SUHAKAM.   Kumpuan kami ini   secara tidak resmi  adalah kumpulan  diluar Parti Keadilan Nasional. Sosok -sosok ini tegas  dan bersetia menjadi penyokong Anwar Ibrahim. Pada ketika  itu kami percaya dan yakin Anwar Ibrahim  sedang dizalimi  oleh Mahathir Muhamad.  Justeru memo kami kepada Suhakam – lembaga hak asasi  manusia di Malaysia.

Kami  tidak percaya bahawa Anwar Ibrahim  pemula Angkatan Belia Islam Malaysia , sosok yang warak , yang alim, yang berucap dengan bismillah, yang sering menggunakan ayat-ayat Quran telah meliwat Azizan, Sukma dan Munawar . Mustahil Anwar berkelakuan sademikian. Kami tidak percaya. Untuk kami Anwar Ibrahim telah  dizalimi. Malah  ramai warga Malaysia anak semua bangsa  pada ketika itu percaya bahawa  Anwar  Ibrahim telah dizalimi oleh Mahathir Muhamad. Khalas.

Tapi tulisan ini bukan hal  kes liwat Anwar atau kes Anwar di zalimi yang ingin saya rungkai. Saya mahu merungkai babak kurung dan dikurung. 

Pada 10 April 2001  dalam jam 4 petang saya telah turun untuk minum di Restoran Maidin dibawah pejabat saya. Dalam restoran ini  saya  ternampak  ramai pelanggan. Saya tak ambil pot. Satelah selesai minum saya kembali ke pejabat.

Pada ketika ini saya sedang menterjemahkan   The Good Woman of Setzuan. Ini teater garapan  Bertold Brecht   (1898-1956). Brecht dramatic tersohor German dari jalur merah. Saya menterjemahkan teater ini kerana    saya terlibat dengan arwah  Krishen Jit. Dramatis ulung bekas pensyarah Universiti Malaya ini  berniat untuk  mementaskan  teater Brecht ini dalam  Bahasa Melayu.

Saya meMelayukan The Good Woman of Sezuan untuk menjadi Perempuan Baik Dari Kampong Baru.  Pada petang itu saya telah mengulang baca dan membuat pembetulan akhir. Selesai ulang baca saya  menghantar  terjemahan teater ini kepada Krishen Jit.
Ketika itu saya menggunakan email   jemapoh@hotmail.com. Saya memasukan skrip teater  ke dalam email  dan terus menekan send. Pada ketika ini pintu pejabat saya di ketuk kuat.  Mata saya memandang pintu. Kemudian mata saya beralih  memerhati  Perempuan Baik Dari Kampong Baru meninggalkan Bangsar Utama menuju ke alam maya.

Saya membuka pintu. Masuk mata-mata   berpangat. Dua mata-mata biasa. Dan seorang  memakai  pakai biasa.  Empat orang  mata-mata tercongok dalam bilik saya.

‘ Hishamuddin Rais… kamu ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri….’ Ucapan dari  mata-mata   yang berpangat. Saya lihat iras mata mata berpangkat  ini  macam muka China.

Saya telah pernah mendengar ucapan ‘ … Hishamuddin Rais .. kamu ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri…’ 

Pada petang 10 April 2001 ini hanya ulangan. Tiga hari sesudah saya pulang dari berkelana selama 20 tahun dahulu saya juga telah dtahan dibawa Akta Keselamatan Dalam Negeri. Ini pada tahun 1994.

Mata-mata mengeluarkan gari.  Ini juga bukan kali pertama saya digari.

‘ Boleh saya padamkan komputer saya…’ Saya meminta.

Pada ketika ini bayaran internet  bukan tetap saperti hari ini. Penggunaan internet  mengikut masa sama saperti kita membuat  panggilan talipon. Jika internet tidak saya padamkan saya khuatir bil talipon saya akan bertimbun.

Permintaan saya tidak dipedulikan. Saya digari. Dibawa keluar. Betul betul tepi tangga sebuah kereta Proton Hijau menunggu. Saya terus dibawa masuk.  Tidak ada siapa yang melihat kerana  dari  anak tangga akhir  saya terus ditekan masuk ke dalam kereta. Duduk diapit oleh dua mata-mata.

Saya dibawa ke Rumah Pasong Sentul. Saya dibogelkan. Ini juga bukan kali pertama saya dibogelkan. Mata-mata yang mengambil butir badan saya kelihatan hairan.  Saya memakai seluar pendek.  Saya tidak memakai seluar dalam dan hanya berselipar Jepun.

Sabenarnya samenjak saya meninggalkan Eropah saya  tidak lagi memakai seluar dalam dan stokin.  Seluar dalam dan stokin mengingatkan saya pada musim sejuk yang  amat saya benci. Seluar pendek  dan selipar Jepun untuk saya adalah nikmat cuaca panas.  Amin.

Dari rumah pasong Sentul saya  dibawa  ke luar dan dimasukan ke dalam   sebuah van puteh .   Van kecil ini tidak bertingkap. Saya terperosok saorang  diri dalam van ini.  Saya tidak nampak siapa pemandu. 

Van ini bergerak meninggalkan rumah pasong . Saya cuba mengagak ke mana saya akan dibawa. Saya gagal. Kerana van ini awalnya berjalan saperti dalam bandar. Kemudian berjalan laju saperti di lebuh raya. Kemudian perlahan  melintasi ‘ bum’  saperti dalam taman perumahan. Kemudian laju kembali. Akhirnya satelah  hampir 40 minit van berhenti.

Saya dibawa keluar dan dimasukan ke dalam bilik.   Seorang mata-mata duduk dimeja menunggu saya. Sekali lagi saya dibogelkan. Tinggi  , warna rambut, berat  badan dan parut dibadan dinotakan. 

Saya menanda tangani harta pesaka -  seluar pendek, baju kameja, tali pinggang  dan dompet saya yang ada dalam saku saya. Saya diberi pakaian seluar dan baju biru. Sebuah baldi merah yang didalamnya ada satu selimut, berus gigi yang telah dipendekkan dan sahelai towel Good Morning. 

Mata saya ditutup. Saya merasa tangan saya dipegang.  Saya dibawa keluar. Saya ikut berjalan.  Kaki saya meraba-raba takut jatuh.  Kami sampai ke satu bangunan. Saya dengar suara lelaki Melayu. Saya dengar  pintu besi dibuka. Saya dibawa masuk.  Mata saya dibuka. Saya melihat pintu bilik dimana saya akan dikurung.  Amin.

Pada 10/4/2001 –  Sembilan belas  tahun n dahulu - saya dikurung  dalam disebuah bilik  4  kaki lebar  dan 12 kaki panjang. Satu pangkin  batu tempat  tidur. Dihujung ada jamban cangkung dan pili air. 

Saya dikurung saorang  diri dalam bilik kecil. Fikiran  saya merayau-rayau. Saya teringat pada rutin saya. Saya teringat pada gaya hidup saya. Saya teringat  pada rokok keretek. Saya teringat  pada dunia luar yang baru saya tinggalkan.  Kemudian saya menyedarkan diri bahawa saya sedang dikurung.

Hari ini  14 April 2020 ialah hari  ulang tahun   ke 19 Black 14 dan hari ulang tahun saya dikurung.  Pada hari ini juga saya  sekali lagi sedang dikurung di Le Chateau.  Kali ini bukan kerana Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Akta ini  telah dihapuskan. Kali ini saya berkurung atas  perentah  Majlis Keselamatan Negara (MKN).  

Berkurung 19 tahun dahulu dan berkurung hari ini amat jauh bezanya. Dalam bilik kecil dimana saya dikurung saya tidak memiliki apa-apa kecuali ingatan  dan akal fikiran.  Malah hendak bercukur saya wajib menghulurkan muka saya ke lubang pintu seluas muka saya.  Bagitu juga untuk memotong kuku. Saya hulurkan tangan. Makanan dan minuman  dihulurkan melalui lubang ini.  Amin.

Dalam bilik kecil ini fikrah saya merayau. Siapa lagi agaknya yang kena kurung.  Apakah Tian Chua dikurung? Apakah Malik Husin dikurung?  Apakah Pak Abu  dan Pak Din dikurung sama?  Fikrah saya mencari cari. Mustahil saya akan mendpat jawapan kerana saya  dikurung bersaorangan.

Hari ini  saya berkurung  kerana Perentah Kawalan Pergerakan (PKP) atas arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).    PKP amat berbeza dari ISA. MKN amat berbeza dari KDN – Kementerian Dalam Negeri yang memberi arahan agar saya dikurung dibawah ISA.

KDN  melaui ISA mengurung saya agar falsafah  dan hasutan pengaruh saya tidak tersebar  luas. Saya dikurung supaya wabak anti Mahathir   yang cuba saya sebarkan tidak akan menjangkiti anak anak muda. Saya menghasut anak anak muda untuk  bangun keluar  berdemo ke jalan raya  menyokong Anwar Ibrahim. Mengurung  saya  bermakna menjauhkan  diri saya dari berupaya mempengaruhi orang lain untuk bangun melawan. Ini untuk menyelamatkan Mahathir dan United Malays National Organisation. Khalas.

Hari ini MKN melalui PKP  mengurung saya agar saya selamat dari jangkitan Covid-19.  Saya bersetuju untuk dikurung bukan saperti 19 tahuan dahulu.  Kini satu Malaysia  and 180 buah negara sedang berkurung untuk menyelamatkan  diri  dari Covid-19.

Dikurung oleh MKN  amat lumayan. Saya boleh memasak.  Saya boleh memesan makanan. Saya boleh membawa Ezi dan Tak Tak – anjing piliharan saya -  berjalan di Kawasan kubur  Kwantung  di belakang blok flet Le Chateau.  Saya membaca. Saya menulis. Saya melihat komputer. Kunci flet saya ada pada saya.  Saya membuka internet.  Saya boleh menonton filem Koboi  atau melihat filem porno dari YouTube.  Semua terpulang kepada cita rasasaya.  Tepuk tangan  tanya seluar.

Saya berhubung  melalui talipon dengan ramai kawan – dalam dan luar negara  - bertanya khabar kerana mereka juga berkurung. Malah saya sering  memukul talipon bertanya khabar pada Tian Chua.

Aduh! Berkurung ahri ini  bukan  berkurung 19 tahun dahulu.  Berkurung kali  ini  saya tahu dimana saya berada. Sembilan  belas tahun  dahulu  hingga ke hari ini saya  masih tidak tahu dimana tempatnya saya dikurung. Justeru saya merakam pengalaman dikurung itu dalam teater Bilik Sulit. Amin. (TT)


Tiada ulasan: