AKIDAH
DAN
POLITIK UNDI
Tulisan saya minggu lalu telah mengusik sadikit hubungan antara politik undi dengan ringgit dan dolar. Pada satu ketika dahulu tidak ramai ringgit dan dinar bersalaman bertukar tangan ketika kempen untuk menjadi wakil rakyat .
Saya masih ingat lagi Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 1959. Ketika itu saya dalam darjah dua. Pak Ngah saya - Aminuddin Manaf abang tertua kepada ayah saya Rais Manaf - telah bertanding sebagai calon bebas. Pak Ngah saya telah diberikan logo meja oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Calon lawan ialah Mister Ibrahim Mansoor dari United Malays National Organisation memakai logo Kapal Layar Perikatan. Keputusan : Pak Ngah saya menang untuk menjadi wakil rakyat Pertang Jelebu.
Saya memasang telinga dan mendengar sok sek sok sek dari Emak dan Abah bahawa Pak Ngah telah berbelanja hampir 600 ringgit untuk menang. Saya ulangi 600 ringgit sahaja. Tahun 2020 duit seramai 600 ini tak cukup untuk mengadakan satu ceramah . Amin.
Kenapa pada masa sekarang hendak menjadi wakil rakyat memerlukan duit belanja yang ramai? Juga kenapa agaknya ramai sosok yang mahu dipilih mencalonkan diri untuk menjadi wakil rakyat?
Dua soalan ini ikat berikat – kait berkait. Ada pertalian yang amat rapat antara dua soalan ini. Kenapa berbelanja mahal? Kenapa nak jadi wakil rakyat.
Gila nak wakil rakyat atau gila nak jadi YB ini kelihatan sebagai satu penyakit yang sedang merebak. Penyakit Nak Jadi YB (NJYB) ini adalah penyakit tanpa kuman dan tanpa virus. Tapi wajib berwaspada penyakit NJYB ini amat merbahaya.
Penyakit hendak jadi YB ini kini menjadi wabak yang sedang melanggar negara Dunia Ketiga saperti Malaysia. Di India , di Pakistan, di Thailand, di Nigeria, di Colombia, di Mesir - hanya menyebut beberapa nama sebagai contoh – penyakit NJYB ini sentiasa mengganas. Malah di Amerika Latin saperti di Colombia nyawa selalu tercabut dalam usaha untuk menjadi YB.
Apa yang menjadi tarikan besi berani kepada warga Dunia Ketiga sehingga ramai gila isim dan mabuk kepayang untuk menjadi YB? Penyakit NJYB ini amat terbukti merbahaya apabila kita selalu terbaca berita di Amerika Latin tentang bakal calon YB dibedil mati ketika berceramah.
Kita di Malaysia belum lagi – saya ulangi belum lagi – sampai ke tahap berbunuh bunuh atau bedil membedil. Kita hanya menggunakan khidmat bomoh – jampi , serapah, santau dan racun.
Awas. Terakhir ini khidmat bomoh kampong ini pun telah di upgrade - ditingkatkan. Disurahkan bagaimana Rosmah Mansor telah upgrade bomoh kampong Rembau kepada bomoh impot dari Kerala India. Malah megimpot Bomoh Siam pun selalu didengar. Ini satu peningkatan.
Sebelum merungkai panjang biar saya surahkan berita yang saya terbaca diakhir tahun 70’an. Berita melaporkan kesah bagaimana seorang Menteri di Sweden telah meletak jawatan. Sang Menteri memberi alasan bahawa terlalu banyak masa diambil oleh Parlimen hinggakan dia tidak ada waktu dihujung minggu untuk bersama anak isteri. Menteri ini tinggal di Utara manakala Parlimen di Stockholm di wilayah Selatan. Malah Sang Menteri ini telah berjanji dengan isteri yang dia akan membasuh pakaian dihujung minggu. Bila dia ke Parlimen di Stockholm dia telah mungkir janji dengan isteri. Untuk menepati janji sosok ini berhenti dari jadi YB. Amin.
Pada 6 September 2019 dunia membaca berita tentang Puan Margot Wallstrom, Menteri Luar Sweden yang meletakan jawatan.
“I have put everything I have into the job of making Sweden safe, respected internationally and appreciated as a partner,” Wallstrom said in a statement. “It is time for me to spend more time with my husband, my children and my grandchildren.”
Dari pengethuan saya Sweden ini sebuah negara kapir, negara Sweden tidak percaya kepada tuhan malah Sweden adalah negara terawal dalam dunia yang membolehkan berkahwin atau melakukan hubungan seksual – antara lelaki sesama lelaki atau perempuan sesama perempuan. Kenapa agaknya ada budaya YB letak jawatan di negara yang tak percaya pada tuhan. Amin.
Tindakan YB letak jawatan saperti di Sweden mustahil akan berlaku dalam negara Dunia Ketiga. Di Malaysia - sampai kiamat tidak ada YB yang akan letak jawatan. Jauh sekali seorang Menteri meletakan jawatan melainkan kena singkir oleh Perdana Menteri.
Malah baru-baru ini Najib telah didapati bersalah dimahkamah. Ulang baca – didapati bersalah oleh mahkamah. Khalas. Ketika tulisan ini digarap Najib masih lagi YB untuk Kawasan Pekan.
Bukan sahaja Najib bersilat lidah menafikan kesalahan. Malah Najib telah menggunakan Islam – dengan merekrut Allah. Nama Allah telah diseru oleh Najib di dalam Parlimen dan diluar mahkamah untuk membuktikan bahawa dia tidak bersalah. Allah tidak pula menghantar kilat, petir atau halilintar untuk memusnahkan Najib. Ertinya Najib tidak bersalah. Najib tetap kekal sebagai Yang Berhormat. Amin.
Di Malaysia jika ada YB dituduh merogol dan membuntingkan anak gadis maka Si YB ini akan menggunakan khidmat doktor untuk membuktikan dirinya mati pucuk. Letak jawatan tidak sekali kali. Amin.
Semua ini adalah ciri, pola dan budaya politik undi dalam negara Dunia Ketiga.
Apakah yang menjadi besi berani yang menarik sosok untuk gila nak jadi YB. Jawabnya senang sahaja. Para YB ini mahu kuasa. Bukankah mendapatkan kuasa ini maknanya ingin dan dapat memberi khidmat kepada orang ramai. Betul dan tepat – semua YB mahu kuasa.
Semua YB yang mendapat kuasa memulakan kerja politik mereka dengan niat suci untuk memberi khidmat kepada orang ramai. Zahid Hamidi yang saya kenali semenjak zaman Universiti Malaya bukan berniat masuk politik kerana nak jadi kaya raya dengan membawa masuk buruh Bangla. Mat Sabu yang saya kenal dari zaman Reformasi masuk parti politik dengan niat untuk menegak keadilan.
Malah semua YB ini bermula dengan niat dan akidah yang baik dan jujur. Mereka semua mahu membawa kebaikkan untuk orang ramai. Jika menjadi Adun mereka mahu memperbaiki kampong. Jika jadi ahli Parlimen mereka berniat meluluskan rang undang-undang untuk kebaikkan orang ramai. Semuanya cantik, kiut, molok dan comel lote.
Justeru dimana silapnya? Bila para YB ini tergelincir. Apa yang memesongkan akidah para YB ini? Kenapa YB ini tergelincir? Kenapa Najib, Zahid, Ku Nan , Isa Samad, Shahril Samad – hanya menyebut beberapa nama sebagai contoh - telah ditangkap dan kini dihadapkan ke mahkamah.
Untuk menjawab soalan ini saya berani merakamkan bahawa apa yang berlaku dalam pentas sandiwara politik tanah air kita ini adalah manifestasi. Aduh! Lagi lagi manifesasi! Hishamuddin Rais selalu berselindung dengan hujah manifestasi. Manifestasi apa? Najib kena hukum pun manifestasi ke?
Saya selalu menggunakan konsep manifestasi. Betul. Saya gunakan manifestasi untuk menerangkan duduk pekara. Dalam melihat satu kejadian atau fenomena maka kita wajib menyelongkar apa yang menjadi sebab. Apa yang menjadi penyebab. Apa akibatnya.
Tujuan merungkai dan mencari sebab dan akibat ialah untuk memahami kejadian atau fenomena itu dengan jelas , rapi dan tuntas. Jika tidak kita akan terus teraba-raba saperti orang buta melihat gagah.
Pada hemat saya apa yang kita lihat berlaku dipentas politik negara ketika ini adalah akibat dari politik undi. Semua yang kita saksikan dalam tiga dekad kebelakangan ini adalah fenomena yang dihasikan oleh politik undi atau electoral politics.
Semuanya bermula bila ada sosok yang merasa dirinya berkelayakan untuk menjadi YB. Awalnya sosok ini memiliki watak pemimpin. Memiliki pembelajaran yang lengkap. Semasa di Univeristi mungkin aktif ke sana ke sini. Sosok ini menonjol. Sosok ini mungkin mencebur diri dalam NGO. Sosok ini secara sedar atau dipelawa untuk mendaftar masuk menjadi ahli parti politik. Khalas.
Masuk politik dengan niat hendak berkhidmat. Dengan niat untuk menyumbang kepada kebajikan ramai. Untuk menegak keadilan. Untuk mendobrak kezaliman. Untuk membawa kebenaran. Untuk memimpin orang ramai ke jalan yang benar. Untuk membasmi kemiskinan. Untuk memberi pencerahan kepada orang ramai. Untuk memperkasa dan mengajak orang ramai menjadi warga yang bertamadun.
Semua niat dan cita-cita sosok ahli politik ini amat murni. Semuanya baik demi kebaikkan. Rafizi masuk politik tidak ada niat nak tibai Azmin. Azmin masuk politik tidak ada niat nak tibai Mat Ezam. Mat Ezam masuk politik tidak ada niat nak tibai Mahathir. Semua masuk politik atas nama khidmat untuk rakyat. Amin.
Awas! Waspada. Dalam politik undi atau dalam electoral politik niat dan akidah sahaja tidak memadai. Bermodalkan bibir , lidah dan air liur untuk satu ketika mungkin boleh. Sukarno boleh berpidato berjam-jam tapi akhirnya Wak Kang masih ingin nak merasa nikmat Bakso panas. Hakikatnya dalam realpolitik gigi dan gusi akan tinggal sebagai gigi dan gusi.
Dalam realpolitik yang diperlukan ialah ringgit, dollar dinar dan dirham. Tanpa ringgit semua niat dan semua akidah walau pun sesuci selaput dara Puteri Gunung Ledang akan terus tinggal sebagai angan angan Mat Jenin tanpa bersegama dengan Raja Ahmad.
Jangan salah baca realpolitik yang saya paparkan disini bukan hanya berlaku di Malaysia atau di negara Dunia Ketiga. Apa yang saya tulis ini adalah pola, ciri dan watak politik undi. Ianya berlaku di Amerika Sarekat, United Kingdom, Sweden atau Australia. Dimana sahaja politik undi diguna pakai maka ringgit dan dollar wajib diguna pakai sama.
Idea dan niat yang suci murni untuk memperbaiki masyarakat akan tergantung kering jika sosok yang berniat suci murni ini tidak dipilih sebagai wakil rakyat.
Justeru sosok ini perlu disokong. Sokongan orang ramai ini sekali imbas dapat dibaca. Sokongan dari emak , bapak, sanak saudara dan kenalan hanya membolehkan sosok ini bergerak ke satu tahap. Tahap ini dipanggil tahap dapat semangat.
‘ Ya … saudara bijak dan layak dipilih untuk jadi calon… kami semua menyokong saudara…bertandinglah… ’
Kata-kata sademikian tidak ada makna. Ini hanyalah cakap-cakap yang memberi semangat. Dalam ilmu perubatan Melayu semangat memerlukan pengeras. Pengeras ubat tradisional Melayu mungkin sebuku ibu garam, saekor ayam jantan hitam atau sebilih keris.
Realpolitik juga memerlukan pengeras. Pengeras dalam realpolitik ialah ringgit dan dollar. Akhirnya kita berhadapan dengan ringgit dan modal. Dari sini timbul soalan hakiki - dari mana duit dan modal ini hendak dicekau? Jawapan nya tunggu minggu hadapan. (TT)
3 ulasan:
Tunggu minggu depan...potong stim betullah, dah nak tetpancut dah dia boleh kata tunggu minggu depan?!?!?! Apa pulak kesah NJPM??? apa nawaitunya????
Apa lu cakap ni Tukar Tiup. Kita di malaysia belum lagi saya ulangi belum lagi sampai ketahap berbunuh bunuh. Lu lupa sejarah ke? Org nismilan mokhtar hashim masuk penjara sebab bunuh musuh politik dia lah.
betul la tt .. guan eng kena tuduh kat mahkamah kes rasuah telewong.. dah pun meletakan jawatanya.. amin
Catat Ulasan