Khamis, 6 Ogos 2020

AKIDAH DAN POLITIK UNDI







AKIDAH 

DAN 

POLITIK UNDI


Tulisan saya minggu lalu  telah mengusik  sadikit  hubungan  antara politik undi dengan ringgit dan dolar.   Pada satu ketika dahulu  tidak ramai  ringgit  dan dinar  bersalaman bertukar tangan  ketika  kempen  untuk menjadi wakil rakyat .   

Saya masih ingat lagi   Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 1959. Ketika itu saya dalam darjah dua.  Pak Ngah saya - Aminuddin Manaf abang  tertua  kepada  ayah saya Rais  Manaf  - telah bertanding sebagai calon bebas. Pak Ngah saya telah  diberikan  logo meja oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).  Calon lawan ialah Mister Ibrahim  Mansoor dari United Malays National Organisation memakai logo  Kapal Layar Perikatan.    Keputusan : Pak Ngah saya menang untuk menjadi wakil rakyat Pertang Jelebu. 

Saya memasang telinga dan mendengar  sok sek sok sek dari Emak dan Abah bahawa Pak Ngah telah berbelanja hampir 600 ringgit untuk menang. Saya ulangi 600 ringgit sahaja.   Tahun 2020  duit seramai 600 ini tak cukup untuk mengadakan satu ceramah . Amin.

Kenapa pada masa sekarang hendak menjadi  wakil rakyat memerlukan  duit belanja yang ramai?  Juga kenapa agaknya ramai  sosok yang mahu dipilih mencalonkan diri untuk  menjadi wakil rakyat?

Dua soalan ini ikat berikat – kait berkait.  Ada pertalian yang amat rapat antara dua soalan ini.   Kenapa berbelanja mahal? Kenapa nak jadi wakil rakyat.

Gila  nak wakil rakyat  atau  gila nak jadi YB ini kelihatan sebagai satu penyakit yang sedang merebak. Penyakit Nak Jadi YB  (NJYB) ini adalah penyakit tanpa kuman dan tanpa virus. Tapi wajib berwaspada  penyakit  NJYB ini  amat merbahaya.

Penyakit hendak jadi YB  ini kini menjadi  wabak  yang sedang melanggar negara Dunia Ketiga saperti Malaysia.  Di India ,  di Pakistan,  di Thailand, di Nigeria, di Colombia, di Mesir   -  hanya menyebut beberapa  nama  sebagai contoh – penyakit  NJYB ini   sentiasa mengganas.  Malah di Amerika Latin saperti di Colombia  nyawa selalu tercabut dalam usaha untuk menjadi YB. 

Apa yang menjadi tarikan besi berani  kepada warga Dunia Ketiga  sehingga ramai gila isim  dan mabuk kepayang untuk menjadi YB?  Penyakit NJYB ini amat terbukti merbahaya  apabila kita selalu terbaca berita di Amerika Latin  tentang  bakal calon YB dibedil mati ketika berceramah.

Kita di Malaysia belum lagi – saya ulangi belum lagi – sampai ke tahap berbunuh bunuh  atau bedil membedil.  Kita hanya menggunakan khidmat bomoh – jampi , serapah, santau dan racun.

Awas.  Terakhir ini khidmat bomoh kampong ini pun telah di upgrade  - ditingkatkan.  Disurahkan bagaimana Rosmah Mansor telah upgrade bomoh kampong Rembau  kepada bomoh impot dari Kerala India. Malah megimpot Bomoh Siam pun selalu didengar.  Ini satu peningkatan.

Sebelum  merungkai panjang biar saya surahkan  berita yang saya terbaca diakhir tahun 70’an.  Berita melaporkan  kesah bagaimana  seorang Menteri di Sweden telah meletak jawatan. Sang Menteri memberi alasan bahawa terlalu banyak masa diambil oleh Parlimen hinggakan dia tidak ada  waktu dihujung minggu untuk  bersama anak isteri. Menteri ini tinggal di Utara manakala Parlimen di Stockholm di wilayah  Selatan. Malah Sang Menteri ini telah berjanji  dengan isteri yang dia akan membasuh pakaian dihujung minggu. Bila dia ke Parlimen di Stockholm dia telah mungkir janji dengan isteri. Untuk menepati janji sosok ini berhenti dari jadi YB. Amin.

Pada 6 September 2019 dunia membaca  berita tentang Puan Margot Wallstrom, Menteri Luar Sweden yang meletakan jawatan.
“I have put everything I have into the job of making Sweden safe, respected internationally and appreciated as a partner,” Wallstrom said in a statement. “It is time for me to spend more time with my husband, my children and my grandchildren.”

Dari pengethuan saya Sweden ini sebuah  negara kapir,  negara Sweden tidak percaya kepada tuhan malah Sweden  adalah negara  terawal dalam dunia  yang  membolehkan  berkahwin atau melakukan hubungan seksual – antara lelaki  sesama  lelaki atau perempuan sesama perempuan. Kenapa  agaknya ada budaya YB letak jawatan di negara yang tak percaya pada tuhan. Amin. 

Tindakan YB letak jawatan saperti  di Sweden  mustahil akan berlaku dalam negara Dunia Ketiga.  Di Malaysia - sampai kiamat tidak  ada YB yang akan letak jawatan. Jauh sekali seorang Menteri meletakan jawatan melainkan kena singkir oleh Perdana Menteri.

Malah  baru-baru ini Najib telah didapati bersalah dimahkamah. Ulang baca – didapati bersalah oleh mahkamah.  Khalas. Ketika tulisan ini digarap Najib masih lagi YB untuk  Kawasan Pekan.

Bukan sahaja Najib bersilat lidah menafikan kesalahan. Malah Najib telah menggunakan Islam – dengan merekrut Allah. Nama Allah telah diseru oleh Najib di dalam Parlimen dan diluar  mahkamah untuk membuktikan bahawa  dia tidak bersalah.  Allah tidak  pula menghantar kilat, petir  atau halilintar untuk memusnahkan Najib.  Ertinya Najib tidak bersalah. Najib  tetap kekal sebagai Yang Berhormat.  Amin.

Di Malaysia jika ada YB  dituduh merogol  dan membuntingkan anak gadis maka  Si YB ini akan menggunakan khidmat doktor untuk membuktikan  dirinya mati pucuk.  Letak jawatan tidak sekali kali. Amin.

Semua ini adalah ciri,  pola  dan budaya politik  undi dalam  negara Dunia Ketiga.

Apakah yang menjadi besi berani  yang menarik sosok untuk gila nak jadi YB. Jawabnya senang sahaja. Para YB ini mahu kuasa. Bukankah mendapatkan kuasa ini   maknanya ingin dan dapat  memberi khidmat kepada orang ramai. Betul  dan tepat – semua YB  mahu kuasa. 

Semua YB yang mendapat kuasa  memulakan kerja politik mereka dengan niat suci untuk memberi khidmat kepada  orang ramai.  Zahid Hamidi yang saya kenali semenjak zaman Universiti Malaya  bukan berniat masuk politik kerana  nak jadi kaya raya dengan membawa  masuk buruh Bangla.  Mat Sabu yang saya kenal dari zaman  Reformasi masuk parti politik  dengan niat  untuk menegak keadilan.   

Malah semua YB ini bermula dengan niat dan akidah yang baik dan jujur. Mereka semua mahu membawa kebaikkan untuk orang ramai. Jika menjadi Adun mereka mahu memperbaiki kampong.  Jika jadi ahli Parlimen mereka berniat   meluluskan rang undang-undang untuk kebaikkan orang ramai. Semuanya cantik, kiut, molok  dan comel lote. 

Justeru dimana silapnya? Bila  para YB ini tergelincir.  Apa yang memesongkan akidah para YB ini? Kenapa YB ini tergelincir? Kenapa Najib, Zahid, Ku Nan , Isa Samad, Shahril Samad – hanya menyebut beberapa nama sebagai contoh -  telah ditangkap dan kini  dihadapkan ke mahkamah.

Untuk menjawab soalan ini saya  berani merakamkan  bahawa apa yang berlaku dalam pentas  sandiwara politik tanah air kita ini adalah manifestasi.  Aduh!   Lagi lagi manifesasi!  Hishamuddin Rais selalu berselindung dengan hujah manifestasi. Manifestasi apa? Najib kena hukum pun manifestasi ke?

Saya selalu menggunakan konsep manifestasi. Betul. Saya gunakan manifestasi untuk menerangkan duduk pekara. Dalam melihat satu kejadian atau fenomena maka kita wajib menyelongkar apa yang menjadi sebab. Apa yang menjadi penyebab.  Apa akibatnya. 

Tujuan merungkai dan mencari  sebab dan akibat ialah untuk memahami kejadian atau fenomena itu dengan  jelas , rapi dan tuntas.  Jika tidak kita akan terus teraba-raba saperti orang buta melihat gagah.

Pada hemat saya apa yang kita lihat berlaku dipentas politik negara ketika ini adalah akibat dari politik undi. Semua  yang kita saksikan dalam tiga dekad kebelakangan ini adalah fenomena yang dihasikan oleh politik undi atau electoral politics.

Semuanya bermula bila ada sosok yang merasa dirinya berkelayakan untuk menjadi YB. Awalnya sosok ini  memiliki watak pemimpin. Memiliki pembelajaran yang lengkap. Semasa di Univeristi mungkin  aktif ke sana ke sini.  Sosok ini menonjol. Sosok ini mungkin mencebur diri dalam NGO. Sosok ini secara sedar atau dipelawa untuk mendaftar masuk   menjadi ahli parti politik. Khalas.

Masuk politik dengan niat hendak berkhidmat. Dengan niat untuk menyumbang kepada kebajikan ramai. Untuk menegak keadilan. Untuk mendobrak kezaliman.  Untuk membawa kebenaran. Untuk memimpin orang ramai ke jalan yang benar. Untuk membasmi kemiskinan. Untuk memberi pencerahan kepada orang ramai. Untuk memperkasa dan  mengajak orang ramai menjadi warga yang bertamadun.

Semua niat dan cita-cita sosok ahli politik ini amat murni. Semuanya baik demi kebaikkan.  Rafizi masuk politik tidak ada niat nak tibai  Azmin. Azmin masuk politik tidak ada niat nak tibai  Mat Ezam. Mat Ezam masuk politik tidak ada niat nak tibai  Mahathir. Semua  masuk politik atas nama khidmat untuk rakyat. Amin.

Awas! Waspada. Dalam politik undi atau dalam electoral politik niat dan akidah sahaja tidak memadai.   Bermodalkan bibir , lidah dan air liur untuk satu ketika mungkin boleh. Sukarno boleh berpidato berjam-jam tapi akhirnya Wak Kang masih ingin nak merasa nikmat Bakso panas.  Hakikatnya dalam realpolitik  gigi dan gusi akan tinggal sebagai gigi dan gusi.

Dalam realpolitik yang diperlukan ialah ringgit, dollar dinar dan dirham. Tanpa ringgit semua niat dan semua akidah walau pun sesuci  selaput dara  Puteri Gunung Ledang akan terus  tinggal sebagai angan angan Mat Jenin tanpa bersegama dengan Raja Ahmad.

Jangan salah baca realpolitik  yang saya paparkan disini bukan hanya berlaku di Malaysia atau di negara Dunia Ketiga.   Apa yang saya tulis ini adalah pola, ciri dan watak politik undi.  Ianya berlaku di Amerika Sarekat, United Kingdom, Sweden atau Australia. Dimana sahaja  politik undi diguna pakai maka ringgit dan dollar wajib diguna pakai sama.

Idea dan niat yang suci murni untuk memperbaiki masyarakat akan tergantung kering  jika sosok yang berniat suci murni ini tidak dipilih sebagai wakil rakyat.  

Justeru sosok ini perlu disokong. Sokongan orang ramai ini sekali imbas dapat dibaca. Sokongan  dari emak , bapak, sanak saudara dan kenalan  hanya  membolehkan sosok ini bergerak ke satu tahap. Tahap ini dipanggil tahap dapat semangat.

‘ Ya … saudara bijak dan layak dipilih untuk jadi calon… kami semua menyokong saudara…bertandinglah… ’

Kata-kata sademikian tidak ada makna. Ini hanyalah cakap-cakap yang  memberi semangat. Dalam ilmu perubatan Melayu semangat memerlukan pengeras. Pengeras  ubat  tradisional Melayu mungkin  sebuku ibu garam,  saekor ayam jantan hitam  atau sebilih keris.

Realpolitik  juga memerlukan pengeras. Pengeras dalam realpolitik  ialah ringgit dan dollar. Akhirnya kita berhadapan dengan ringgit dan modal. Dari sini  timbul soalan hakiki - dari mana duit dan modal  ini hendak dicekau?  Jawapan nya tunggu minggu hadapan. (TT)

3 ulasan:

hamim berkata...

Tunggu minggu depan...potong stim betullah, dah nak tetpancut dah dia boleh kata tunggu minggu depan?!?!?! Apa pulak kesah NJPM??? apa nawaitunya????

Tanpa Nama berkata...

Apa lu cakap ni Tukar Tiup. Kita di malaysia belum lagi saya ulangi belum lagi sampai ketahap berbunuh bunuh. Lu lupa sejarah ke? Org nismilan mokhtar hashim masuk penjara sebab bunuh musuh politik dia lah.

Tanpa Nama berkata...

betul la tt .. guan eng kena tuduh kat mahkamah kes rasuah telewong.. dah pun meletakan jawatanya.. amin