Khamis, 22 Oktober 2020

34 BIRNAM ROAD NORTH LONDON

 



34 BIRNAM ROAD

NORTH LONDON


Aku ingat lagi  pada  minggu pertama bulan  Oktober  2018 dunia heboh dengan satu kes pembunuhan kejam yang berlaku di Istanbul.  Aku mengikuti berita itu dengan teliti. Berita  pembunuhan yang amat menarik. Bila aku mengamati  nama mangsa yang dibunuh ingatan aku berligar ke tahun 1987 ketika aku belajar di Brixton Collge London. 

Tapi kesah aku ini bukan tentang pembunuhan itu. Atau tentang bagaimana mayat mangsa  di Istanbul itu  dikatakan hilang lesap kerana telah dilupuskan apabila direndam dalam asid. Atau  tentang  isteri mangsa teguh  setia mencari mayat yang hilang.

Aku tidak kenal dengan mangsa.  Hanya bila aku membaca berita pembunuhah aku  mula sedar bahawa aku pernah mendengar nama   keluarga mangsa ini. Internet membantu aku untuk mengenal pasti bahawa mangsa yang dibunuh ialah anak  saudara kepada sosok yang aku kenal.  

Kesahnya bagini : Bila aku diterima masuk ke Brixton College aku berpindah dari Belgium ke kota London. Bukan mudah untuk mencari  bilik untuk disewa.   Awalnya aku menumpang di 34 Birnam Road Finsbury Park. Rumah  terras  tiga tingkat empat bilik termasuk satu  loteng. Rumah ini milik  Mister Stefanos berasal dari Greek.  

Rumah ini disewa oleh pelajar Malaysia. Siapa penyewa paling awal rumah  ini wahu alam bisawab hanya Guru Nanak yang mengetahui. Maria Chin dan Sivarasa adalah diantara penghuni rumah ini. Malah sebelum aku berpindah ke London aku pernah sampai ke rumah   ini sebagai tamu. Ini rumah  para aktivis  pelajar Malaysia di London.

Satelah menumpang dua minggu di Birnam Road aku berjaya   mendapat bilik sewa di Effra Road Brixton. Ini lebih molek kerana aku hanya menapak ke sekolah. Tak perlu berbelanja naik tube. 

Satu demi satu kawan kawan  di London habis belajar dan mereka  pulang ke kampong. Aku ingat lagi  satelah Maria Chin selesai belajar dia   pulang. Kemudian  tiga orang lagi warga Birnam Road pulang.  Aku hanya menghantar mereka  hingga ke Heathrow. Akhirnya aku dipelawa oleh Sivarasa untuk mengambil satu bilik di 34 Birnam Road. Aku setuju.

Tak beberapa lama kemudian  Sivarasa selesai  pembelajaran ilmu hukum dan akan pulang ke Malaysia. Aku menjadi penghuni  terakhir di 34 Birnam Road - pusat aktivis pelajar Malaysia di London. Aku menjadi gelabah. Aku saorang   tidak mampu menyewa sebuah rumah ini.  

Tetiba aku diselamatkan oleh Jeny pelajar dari Sabah. Jeny bukan datang sendirian. Dia memberitah  aku  yang  dia akan datang bersama  Shula seorang ibu tunggal dan dua anak perempuan -  Dee dan Sarina. Aku merasa selamat. Gadis Sabah  yang sudah selesai belajar kini menjadi  pembantu  Shula.  Tapi Jeny memberi ingatan bahawa dalam masa  terdekat dia juga akan pulang  ke Sabah. 

Dee 11 tahun -  berambut perang berayahkan lelaki Scotland. Sarina 8 tahun - berambut hitam kriting berayahkan lelaki Iran yang telah  mati kemalangan.

Tidak pernah aku tanya tapi aku rasa umur Shula awal 30’an. Wanita cun bergetah ini adalah  hasil kacukan Minah  Saleh Scotland dengan Arab Aljeria. Kali pertama kami bersua aku terperanjat kerana aku sangka Isabelle Adjani pelakon kacukan Peranchis-Aljeria dari Paris sedang menunggu aku di dapur.

Shula  bekerja sebagai ‘croupier’. Aku tak tahu apa kerja ini. Dalam kepala aku wanita secantik Shula wajib sebaris  bersama  Naomi Campbell , Cindy Crawford atau Kate Moss – menjadi model.  

Kemudian Shula menerangkan bahawa dia bekerja  dalam Kelab Ekslusif di Kensington  - daerah orang kaya dalam kota London. Croupier ialah  gadis dibelakang meja judi.  Kerjanya mengedar daun troop, memotong daun troop atau membaling buah dadu.   Kerja mula jam 8 malam dan selesai jam 3 pagi.  Kerjanya tidak berat. Tidak memerlukan kelulusan dari Oxford atau Brixton College. Yang berat ialah wajib  sentiasa dilihat cun  bergetah dan ceria bila di belakang meja. 

Semua berjalan lancar. Aku menjadi warga North London – daerah yang  dikatakan paling cool  di London.  Satu malam   Jeny memberi tahu yang dia  mendapat panggilan dari Kota Kinabalu. Kekasihnya mahu dia pulang segera. Jeny  pernah bersurah bahawa dia di London atas tajaan lelaki kaya dari Sabah. Setiap kali  Si Kaya ini datang ke  London Jeny akan menjadi pemandu dan teman penyedap.

Kini kami tinggal berempat. Shula membuat cadangan. Aku menjadi pembantu  dan menjaga Dee dan Sarina  diwaktu Shula bekerja. Aku tidak perlu membayar sewa rumah. Aduh ! Cadangan yang mustahil aku tolak. Di London sewa bilik mahal. Aku dapat ‘ rent free’ tapi wajib jadi ‘ babysitter’.  



Maka aku pun mula belajar untuk menjadi seorang ayah yang baik. Aku wajib berada di rumah sabelum jam 7. Aku tak boleh meninggalkan rumah sehingga Shula balik. Adalah salah dari segi  hukum meninggalkan anak  kecil bawah umur bersendirian. Ibu bapa  boleh didakwa dan anak boleh diambil oleh Jabatan Kebajikan. Semua ini aku baca untuk mengetahui tugas aku.

Hakikatnya aku tidak ada hujung minggu.

Di suatu petang dipermulaan musim bunga sebelum pergi bekerja Shula bertanya pada aku tentang budaya Arab. Aku menerangkan Arab ini ada pelbagai. Tapi aku hairan kenapa tetiba Shula bertanya. Mungkin Shula mahu mencari keluarga arwah ayahandanya di Algeria. 

Esoknya dia bertanya lagi. Kali ini tentang cuaca dan makanan Arab. Aku yang pernah tinggal di Damas, di Beirut dan di Baghdad – lalu aku berkesah apa yang aku tahu. Aku beritahu Shula  humus dan falafel  boleh dibeli di London. 

Esoknya pulang dari sekolah aku ternampak kotak humus dan falafel diatas meja makan. Dan beg  kertas hijau logo gedung Harrods tersandar di dinding.  Wow! Shula telah membeli belah di Harrods. 

‘ Isham I’m in love with an Arab guy…’ Meletup dari mulut Shula satu pagi.  Ketika itu Dee dan Sarina dibilik menonton tv. Baru aku faham mengapa tetiba Shula tertarik denga apa sahaja Arab. 

‘  Sure you knows his brother Adnan……his name is Hashim….’

Shula berkesah bagaimana satu malam Hashim datang ke kelab tempat Shula bekerja. Bagaimana Hashim  memandang Shula ketika Shula membuang buah dadu. Shula bercerita bagaimana Hashim memberi ‘tips’ yang lumayan. Akhirnya  saban malam  Hashim hanya mahu bermain  di meja yang Shula menjadi croupier.

Dari surah Shula aku mengenali siapa abang kepada Hashim ini. Aku tahu nama keluarganya.  Aku pernah membaca berita Adnan  dimedia. Orang kaya. Salah saorang sosok yang amat  kaya di Saudi Arabia.  Abang Hashim ini  menjalankan perniagaan paling lumayan - jual beli senjata. 

‘ Minggu depan kamu jangan ke mana mana… kami nak keluar dari kota London… Mungkin ke Lake District mungkin ke Devon.. kalau kawan kamu dari Brixton nak lepak disini jemputlah…’ 
Aku mengangguk kepala kerana tempat tempat ini pernah  aku dengar tapi tak pernah aku sampai.

Kini  barang dapur kami  - bawang, lada, roti , ikan, daging – semua dari Harrods. Shula tidak  lagi membeli di Tesco atau di Marks and Spencer. Jauh sekali membeli di kedai Pakistani.  Beg kertas hijau – logo Harrods -  bersepah dalam  dapur kami.

Semakin dalam percintaan Shula dengan Hashim semakin kerap aku tak keluar malam. Hujung minggu Shula dan Hashim bercanda-canda entah dimana. Aku wajib menjaga Dee dan Sarina. Beg kertas Harrods makin bertimbun.

Aku rasa aku telah menjadi babysitter yang baik. Membaca buku cerita kepada Sarina  agar dia cepat tidur. Melarang Dee dari menonton tv salepas jam 9.  Hakikatnya aku telah bersedia untuk menjadi ayah yang bertanggung jawab. Jika ketika itu ada gadis  datang melamar  pasti aku akan  bernikah. Semua berlaku kerana aku tak perlu membayar sewa bilik.

‘ Woit… Isham …you are rich now…  shopping in Harrods ..”  Komen Tony kawan aku  anak muda  keturunan Jamaica. Tony bertandang ke Birnam Road bersama Dan pelajar dari Kenya. Mereka berdua   ternampak selongok  beg  kertas  Harrods dalam dapur. 

Sambil ketawa aku menerangkan   duduk pekara. Aku bersurah tentang percintaan Shula denga Hashim. Aku juga memberi tahu Tony dan Dan  siapa Hashim dan siapa abang Hashim.

‘ Mereka akan kahwin? ‘ Tony bertanya.

‘ Arab Saudi boleh simpan banyak harem … entah entah Shula jadi gundek saje…’  Dengan sinikal  Dan memberi penjelasan. 

Pada hemat aku ada  benar kata-kata  Dan ini. Malah aku tahu sebanyak sadikit tentang perangai jantan Arab. Pernah aku dengar dari saorang  pelajar Arab Palestin  di Pakistan. Dia menerangkan  bahawa kekasih atau isteri  macam  motosikal milik kita.  Wajib  dijaga dan jangan dikongsi.  Ini pandangan Arab bandar.  Arab Saudi  pasti lebih kolot. 

Tapi dari perbualan  dengan Shula aku rasa pecintaan mereka agak dalam. Hashim semakin kerap turun naik  dari Saudi ke London. Malah Shula telah memberi tahu bahawa  Hashim sedang  mencari flet untuk dibeli  di wilayah Kensington. Wilayah berhampiran  Istana  Lady Diana.

Percintaan berjalan. Hari jadi Hashim akan   sampai. Shula  sibuk untuk membuat kueh hari jadi yang special untuk Hashim. Shula ke Harrods untuk membeli bahan.  Aku tahu di hari jadi ini Shula berharap  Hashim akan mencadangkan – propose -  masa depan yang lebih menjanjikan untuk Shula. 

Di pagi hari jadi aku terperanjat kerana dimeja makan  duduk seorang lelaki Arab awal tiga puluhan. Kacak segak dan bergaya.   Kami berjabat tangan dan terus mesra. Nampaknya  Shula telah bercerita   sadikit tentang aku kepada  Hashim. 

Aku mengucapkan selamat  hari jadi dan terus beredar untuk ke sekolah. Aku tinggalkan dua kekasih untuk bercengkerama. Dee dan Sarina telah keluar dengan guru ke kolam renang. 

Semenjak  pagi itu kerap juga  Hashim datang bermalam di 34 Birnam Road.  Selalunya mereka sampai  awal pagi sesudah Shula selesai bekerja.

Satu hari Shula mula bertanya kepada aku tentang Islam. Aduh! Sebagai penganut Islam Budaya aku terangkan  pada Shula adat Islam kami dari  Negeri Sembilan. Aku terangkan tak timbul  bab kena rotan atau kena rejam jika bercinta berahi.

‘ Wow… very exciting.. very sexy..’ Shula mula tertarik dengan Islam. 

Musim panas sampai.  Aku lihat Shula agak berubah.  Dia gelisah. Setiap kali talipon berdering dia akan berlari mengambil talipon.

‘ Isham…. waktu malam ada call masuk tak… dari Saudi? Aku menggeleng kepala.  Aku sedar bahawa Shula sedang  menungggu panggilan dari kekasihnya. Aku tahu betapa risaunya hati kalau kekasih yang ditunggu tidak membuat panggilan. Resah gelisah dan tak tentu arah.

Aku ingat lagi petang Sabtu itu Ketika aku di dapur. Talipon berdering. Shula bergegas  mengambil. Kemudian  dia masuk ke dapur.

‘ I know him… the shit..  what a conman..’ Shula  marah kemudian menangis.  Aku bangun.  Shula menangis pada bahu aku. 

‘ He is in London all the time..’ 

Baru aku sedar bahawa Hashim selama ini berada di London. Tapi tidak lagi menghubungi kekasihnya Shula. 

Shula mengeringkan air mata dan membasuh muka.

‘ I know where he is… I am going there… to confront him…they are having  a barbecue  party…’  Shula berkeras nak pergi mencari Hashim.

Disini muncul aku saorang Sakai suku Biduanda dari Jelebu. Dengan dengan segala pengalaman aku menenangkan Shula. Jika Shula pergi  ke Kensington Garden aku tahu  siapa yang akan ditemui. Kawan kawan Hashim kumpulan elit kota London. Jantan Arab kaya. Dame dan Sir yang sedang  menuangkan Dom Perignon menyambut musim panas sambil berbual bual  tentang cricket.

‘ No Shula.. don’t go…..please..’

Aku tahu Shula ibu tunggal beranak dua ini akan dihina dan diketawakan oleh kawan kawan Hashim. Silap hari bulan polis akan dipanggil kerana Shula bukan tamu jemputan.

Kemarahan Shula reda. Malam itu Shula tidak pergi bekerja.  Semenjak  petang iu nama Hashim tidak penah lagi muncul.  Dan beg kertas dari Harrods makin  berkuarangan di 34 Birnam Road. Amin.

EPILOK

Aku terbaca tentang Hatice Cengiz wanita  Turkey masih berjuang untuk menegakkan keadilan dan menyaman    Muhamad Bin Salman atas kematian suaminya Jamal Khashoggi. 

Aku terfikir juga  apakah Shula juga boleh menyaman  bapa saudara Jamal  kerana mugkir janji. Amin. (TT)


TULISAN INI JUGA
DITERBITKAN   
 
https://www.malaysianow.com/wacana/2020/10/22/kisah-di-no-34-birnam-road/



2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ko telan air liur je la ketika org lain dapat sedap. Ke ko selit tepi dapat ambek kesempatan ketika calun suami buat kali ketiga meninggalkan tahta.

Ayob Anak Tulakang berkata...

Mula2 aritu kisah innes black widow colombia dah wat lari duit victor.. Sasau skejap victor. Pastu kisah shula janda anak dua yang kene kencing dengan si hashim. Andaikata dua² mangsa neh minum racun aritu kisah mereka akan sehebat romeo juliet laila majnum. Nama Tt pun akan terpahat sama sbagai watak tempelan. Yang aku lemah dua² cerita neh peranan Tt sama je sebagai tukang basuh buret hurmm..