34 BIRNAM ROAD
NORTH LONDON
Tapi kesah aku ini bukan tentang pembunuhan itu. Atau tentang bagaimana mayat mangsa di Istanbul itu dikatakan hilang lesap kerana telah dilupuskan apabila direndam dalam asid. Atau tentang isteri mangsa teguh setia mencari mayat yang hilang.
Aku tidak kenal dengan mangsa. Hanya bila aku membaca berita pembunuhah aku mula sedar bahawa aku pernah mendengar nama keluarga mangsa ini. Internet membantu aku untuk mengenal pasti bahawa mangsa yang dibunuh ialah anak saudara kepada sosok yang aku kenal.
Kesahnya bagini : Bila aku diterima masuk ke Brixton College aku berpindah dari Belgium ke kota London. Bukan mudah untuk mencari bilik untuk disewa. Awalnya aku menumpang di 34 Birnam Road Finsbury Park. Rumah terras tiga tingkat empat bilik termasuk satu loteng. Rumah ini milik Mister Stefanos berasal dari Greek.Rumah ini disewa oleh pelajar Malaysia. Siapa penyewa paling awal rumah ini wahu alam bisawab hanya Guru Nanak yang mengetahui. Maria Chin dan Sivarasa adalah diantara penghuni rumah ini. Malah sebelum aku berpindah ke London aku pernah sampai ke rumah ini sebagai tamu. Ini rumah para aktivis pelajar Malaysia di London.
Satelah menumpang dua minggu di Birnam Road aku berjaya mendapat bilik sewa di Effra Road Brixton. Ini lebih molek kerana aku hanya menapak ke sekolah. Tak perlu berbelanja naik tube.
Satu demi satu kawan kawan di London habis belajar dan mereka pulang ke kampong. Aku ingat lagi satelah Maria Chin selesai belajar dia pulang. Kemudian tiga orang lagi warga Birnam Road pulang. Aku hanya menghantar mereka hingga ke Heathrow. Akhirnya aku dipelawa oleh Sivarasa untuk mengambil satu bilik di 34 Birnam Road. Aku setuju.
Tak beberapa lama kemudian Sivarasa selesai pembelajaran ilmu hukum dan akan pulang ke Malaysia. Aku menjadi penghuni terakhir di 34 Birnam Road - pusat aktivis pelajar Malaysia di London. Aku menjadi gelabah. Aku saorang tidak mampu menyewa sebuah rumah ini.
Tetiba aku diselamatkan oleh Jeny pelajar dari Sabah. Jeny bukan datang sendirian. Dia memberitah aku yang dia akan datang bersama Shula seorang ibu tunggal dan dua anak perempuan - Dee dan Sarina. Aku merasa selamat. Gadis Sabah yang sudah selesai belajar kini menjadi pembantu Shula. Tapi Jeny memberi ingatan bahawa dalam masa terdekat dia juga akan pulang ke Sabah.
Dee 11 tahun - berambut perang berayahkan lelaki Scotland. Sarina 8 tahun - berambut hitam kriting berayahkan lelaki Iran yang telah mati kemalangan.
Tidak pernah aku tanya tapi aku rasa umur Shula awal 30’an. Wanita cun bergetah ini adalah hasil kacukan Minah Saleh Scotland dengan Arab Aljeria. Kali pertama kami bersua aku terperanjat kerana aku sangka Isabelle Adjani pelakon kacukan Peranchis-Aljeria dari Paris sedang menunggu aku di dapur.
Shula bekerja sebagai ‘croupier’. Aku tak tahu apa kerja ini. Dalam kepala aku wanita secantik Shula wajib sebaris bersama Naomi Campbell , Cindy Crawford atau Kate Moss – menjadi model.
Kemudian Shula menerangkan bahawa dia bekerja dalam Kelab Ekslusif di Kensington - daerah orang kaya dalam kota London. Croupier ialah gadis dibelakang meja judi. Kerjanya mengedar daun troop, memotong daun troop atau membaling buah dadu. Kerja mula jam 8 malam dan selesai jam 3 pagi. Kerjanya tidak berat. Tidak memerlukan kelulusan dari Oxford atau Brixton College. Yang berat ialah wajib sentiasa dilihat cun bergetah dan ceria bila di belakang meja.
Semua berjalan lancar. Aku menjadi warga North London – daerah yang dikatakan paling cool di London. Satu malam Jeny memberi tahu yang dia mendapat panggilan dari Kota Kinabalu. Kekasihnya mahu dia pulang segera. Jeny pernah bersurah bahawa dia di London atas tajaan lelaki kaya dari Sabah. Setiap kali Si Kaya ini datang ke London Jeny akan menjadi pemandu dan teman penyedap.
Kini kami tinggal berempat. Shula membuat cadangan. Aku menjadi pembantu dan menjaga Dee dan Sarina diwaktu Shula bekerja. Aku tidak perlu membayar sewa rumah. Aduh ! Cadangan yang mustahil aku tolak. Di London sewa bilik mahal. Aku dapat ‘ rent free’ tapi wajib jadi ‘ babysitter’.
Maka aku pun mula belajar untuk menjadi seorang ayah yang baik. Aku wajib berada di rumah sabelum jam 7. Aku tak boleh meninggalkan rumah sehingga Shula balik. Adalah salah dari segi hukum meninggalkan anak kecil bawah umur bersendirian. Ibu bapa boleh didakwa dan anak boleh diambil oleh Jabatan Kebajikan. Semua ini aku baca untuk mengetahui tugas aku.
Hakikatnya aku tidak ada hujung minggu.
Di suatu petang dipermulaan musim bunga sebelum pergi bekerja Shula bertanya pada aku tentang budaya Arab. Aku menerangkan Arab ini ada pelbagai. Tapi aku hairan kenapa tetiba Shula bertanya. Mungkin Shula mahu mencari keluarga arwah ayahandanya di Algeria.
Esoknya dia bertanya lagi. Kali ini tentang cuaca dan makanan Arab. Aku yang pernah tinggal di Damas, di Beirut dan di Baghdad – lalu aku berkesah apa yang aku tahu. Aku beritahu Shula humus dan falafel boleh dibeli di London.
Esoknya pulang dari sekolah aku ternampak kotak humus dan falafel diatas meja makan. Dan beg kertas hijau logo gedung Harrods tersandar di dinding. Wow! Shula telah membeli belah di Harrods.
‘ Isham I’m in love with an Arab guy…’ Meletup dari mulut Shula satu pagi. Ketika itu Dee dan Sarina dibilik menonton tv. Baru aku faham mengapa tetiba Shula tertarik denga apa sahaja Arab.‘ Sure you knows his brother Adnan……his name is Hashim….’
Shula berkesah bagaimana satu malam Hashim datang ke kelab tempat Shula bekerja. Bagaimana Hashim memandang Shula ketika Shula membuang buah dadu. Shula bercerita bagaimana Hashim memberi ‘tips’ yang lumayan. Akhirnya saban malam Hashim hanya mahu bermain di meja yang Shula menjadi croupier.
Dari surah Shula aku mengenali siapa abang kepada Hashim ini. Aku tahu nama keluarganya. Aku pernah membaca berita Adnan dimedia. Orang kaya. Salah saorang sosok yang amat kaya di Saudi Arabia. Abang Hashim ini menjalankan perniagaan paling lumayan - jual beli senjata.
‘ Minggu depan kamu jangan ke mana mana… kami nak keluar dari kota London… Mungkin ke Lake District mungkin ke Devon.. kalau kawan kamu dari Brixton nak lepak disini jemputlah…’Kini barang dapur kami - bawang, lada, roti , ikan, daging – semua dari Harrods. Shula tidak lagi membeli di Tesco atau di Marks and Spencer. Jauh sekali membeli di kedai Pakistani. Beg kertas hijau – logo Harrods - bersepah dalam dapur kami.
Semakin dalam percintaan Shula dengan Hashim semakin kerap aku tak keluar malam. Hujung minggu Shula dan Hashim bercanda-canda entah dimana. Aku wajib menjaga Dee dan Sarina. Beg kertas Harrods makin bertimbun.
Aku rasa aku telah menjadi babysitter yang baik. Membaca buku cerita kepada Sarina agar dia cepat tidur. Melarang Dee dari menonton tv salepas jam 9. Hakikatnya aku telah bersedia untuk menjadi ayah yang bertanggung jawab. Jika ketika itu ada gadis datang melamar pasti aku akan bernikah. Semua berlaku kerana aku tak perlu membayar sewa bilik.
‘ Woit… Isham …you are rich now… shopping in Harrods ..” Komen Tony kawan aku anak muda keturunan Jamaica. Tony bertandang ke Birnam Road bersama Dan pelajar dari Kenya. Mereka berdua ternampak selongok beg kertas Harrods dalam dapur.
Sambil ketawa aku menerangkan duduk pekara. Aku bersurah tentang percintaan Shula denga Hashim. Aku juga memberi tahu Tony dan Dan siapa Hashim dan siapa abang Hashim.
‘ Mereka akan kahwin? ‘ Tony bertanya.‘ Arab Saudi boleh simpan banyak harem … entah entah Shula jadi gundek saje…’ Dengan sinikal Dan memberi penjelasan.
Pada hemat aku ada benar kata-kata Dan ini. Malah aku tahu sebanyak sadikit tentang perangai jantan Arab. Pernah aku dengar dari saorang pelajar Arab Palestin di Pakistan. Dia menerangkan bahawa kekasih atau isteri macam motosikal milik kita. Wajib dijaga dan jangan dikongsi. Ini pandangan Arab bandar. Arab Saudi pasti lebih kolot.
Tapi dari perbualan dengan Shula aku rasa pecintaan mereka agak dalam. Hashim semakin kerap turun naik dari Saudi ke London. Malah Shula telah memberi tahu bahawa Hashim sedang mencari flet untuk dibeli di wilayah Kensington. Wilayah berhampiran Istana Lady Diana.
Percintaan berjalan. Hari jadi Hashim akan sampai. Shula sibuk untuk membuat kueh hari jadi yang special untuk Hashim. Shula ke Harrods untuk membeli bahan. Aku tahu di hari jadi ini Shula berharap Hashim akan mencadangkan – propose - masa depan yang lebih menjanjikan untuk Shula.
Di pagi hari jadi aku terperanjat kerana dimeja makan duduk seorang lelaki Arab awal tiga puluhan. Kacak segak dan bergaya. Kami berjabat tangan dan terus mesra. Nampaknya Shula telah bercerita sadikit tentang aku kepada Hashim.
Aku mengucapkan selamat hari jadi dan terus beredar untuk ke sekolah. Aku tinggalkan dua kekasih untuk bercengkerama. Dee dan Sarina telah keluar dengan guru ke kolam renang.
Semenjak pagi itu kerap juga Hashim datang bermalam di 34 Birnam Road. Selalunya mereka sampai awal pagi sesudah Shula selesai bekerja.Satu hari Shula mula bertanya kepada aku tentang Islam. Aduh! Sebagai penganut Islam Budaya aku terangkan pada Shula adat Islam kami dari Negeri Sembilan. Aku terangkan tak timbul bab kena rotan atau kena rejam jika bercinta berahi.
‘ Wow… very exciting.. very sexy..’ Shula mula tertarik dengan Islam.
Musim panas sampai. Aku lihat Shula agak berubah. Dia gelisah. Setiap kali talipon berdering dia akan berlari mengambil talipon.
‘ Isham…. waktu malam ada call masuk tak… dari Saudi? Aku menggeleng kepala. Aku sedar bahawa Shula sedang menungggu panggilan dari kekasihnya. Aku tahu betapa risaunya hati kalau kekasih yang ditunggu tidak membuat panggilan. Resah gelisah dan tak tentu arah.
Aku ingat lagi petang Sabtu itu Ketika aku di dapur. Talipon berdering. Shula bergegas mengambil. Kemudian dia masuk ke dapur.
‘ I know him… the shit.. what a conman..’ Shula marah kemudian menangis. Aku bangun. Shula menangis pada bahu aku.
‘ He is in London all the time..’
Baru aku sedar bahawa Hashim selama ini berada di London. Tapi tidak lagi menghubungi kekasihnya Shula.
Shula mengeringkan air mata dan membasuh muka.
‘ I know where he is… I am going there… to confront him…they are having a barbecue party…’ Shula berkeras nak pergi mencari Hashim.
Disini muncul aku saorang Sakai suku Biduanda dari Jelebu. Dengan dengan segala pengalaman aku menenangkan Shula. Jika Shula pergi ke Kensington Garden aku tahu siapa yang akan ditemui. Kawan kawan Hashim kumpulan elit kota London. Jantan Arab kaya. Dame dan Sir yang sedang menuangkan Dom Perignon menyambut musim panas sambil berbual bual tentang cricket.
‘ No Shula.. don’t go…..please..’
Aku tahu Shula ibu tunggal beranak dua ini akan dihina dan diketawakan oleh kawan kawan Hashim. Silap hari bulan polis akan dipanggil kerana Shula bukan tamu jemputan.
Kemarahan Shula reda. Malam itu Shula tidak pergi bekerja. Semenjak petang iu nama Hashim tidak penah lagi muncul. Dan beg kertas dari Harrods makin berkuarangan di 34 Birnam Road. Amin.
EPILOK
Aku terbaca tentang Hatice Cengiz wanita Turkey masih berjuang untuk menegakkan keadilan dan menyaman Muhamad Bin Salman atas kematian suaminya Jamal Khashoggi.
Aku terfikir juga apakah Shula juga boleh menyaman bapa saudara Jamal kerana mugkir janji. Amin. (TT)
TULISAN INI JUGA
DITERBITKAN https://www.malaysianow.com/wacana/2020/10/22/kisah-di-no-34-birnam-road/
2 ulasan:
Ko telan air liur je la ketika org lain dapat sedap. Ke ko selit tepi dapat ambek kesempatan ketika calun suami buat kali ketiga meninggalkan tahta.
Mula2 aritu kisah innes black widow colombia dah wat lari duit victor.. Sasau skejap victor. Pastu kisah shula janda anak dua yang kene kencing dengan si hashim. Andaikata dua² mangsa neh minum racun aritu kisah mereka akan sehebat romeo juliet laila majnum. Nama Tt pun akan terpahat sama sbagai watak tempelan. Yang aku lemah dua² cerita neh peranan Tt sama je sebagai tukang basuh buret hurmm..
Catat Ulasan