GARE DU NORD
Bila aku masuk ke sekolah menengah di Kuala Kangsar kereta api menjadi sebahagian dari hidup aku. Setiap kali cuti penggal aku pulang balik naik kereta api dari Kuala Kangsar ke Seremban. Aku cukup lancar jadual perjalanan pulang. Lewat tengah malam naik kereta api dari Kuala Kangsar. Sampai jam 8 pagi di Kuala Lumpur. Berhenti sebentar di stesen besar Kuala Lumpur. Jam 10 pagi aku sampai ke Seremban. Dari Seremban aku ambil bas ke Kuala Klawang Jelebu.
Habis cuti penggal aku naik Bas Lim ke Seremban. Dari Seremban naik bas Foh Hup ke Stesen Bas Pudu Kuala Lumpur. Kemudian aku menapak ke Foch Avenue mengarah ke Stesen Kereta Api Kuala Lumpur.
Rutin ini masih terpahat dalam ingatan.
Ketika itu aku belum berupaya melihat betapa romantiknya perjalanan dengan keret api. Aku masih ingat lagi kertas tampalan Kereta Api Tanah Melayu (KTM) di beberapa gerabak. KTM telah menyediakan gerabak khusus untuk pelajar pulang bercuti - MCKK di Kuala Kangsar, STAR di Ipoh dan SDAR di Tanjung Malim. Gerabak kami jauh dipisah-pisahkan agar tidak bergaduh.
Bila aku sampai ke Eropah aku semakin memahami betapa demokratiknya sistem pengangkutan kereta api. Ini sistem pengangkutan untuk rakyat – sistem terbaik untuk orang ramai.
Bila aku duduk di Wavre Belgium aku menggunakan kereta api hampir setiap hari. Setiap cuti penggal pula aku akan naik kereta api dari Brussels ke London. Dari stesen Wavre aku menuju ke Brussels kemudian ke Pelabuhan Ostend. Dari Ostend aku naik kapal laut selama empat jam ke Dover atau Folkstone. Dari sana aku sambung dengan kereta api ke Stesen Victoria London. Aku telah mengambil perjalanan ini berpuluh kali. Sama seperti aku ulangi naik kereta api pulang bercuti sekolah dari Kuala Kangsar ke Seremban.
Surah aku ini bukan tentang sistem pengangkutan kereta api. Tetapi ada kesah di belakang stesen kereta api. Ada kesah di belakang kesah.
Semakin jauh perjalanan dalam hidup aku ini semakin beralih pandangan aku terhadap kereta api dan stesennya. Aku tidak lagi melihat stesen kereta api seperti mana aku melihat ketika aku anak sekolah. Semuanya telah berubah. Mata dan hati aku telah berubah.
Setiap kali aku melintasi stesen KTM darah aku berderau. Detik-detik itu datang kembali. Ingatan itu menjadi segar. Imej-imej ingatan itu menjadi terpancar terang.
Di Melbourne Australia pada tahun 1977 aku menonton filem Casablanca garapan Micheal Curtiz pada tahun 1942. Aku menonton Casablanca di Varhalla Cinema Melbourne - panggung khusus menayangkan filem-filem lama.
Ketika ini aku belum arif tentang nahu, tanda atau makna imej filem. Tapi hati aku terkoyak oleh Casablanca. Kesah cinta, kesah perjuangan bawah tanah, kesah melarikan diri yang dibalut dengan pengorbanan dalam suasana perang melawan fahaman fasisma dalam Perang Dunia Kedua. Aku terpegun melihat kehebatan Holywood dizaman kiri.
Di Varhalla pada malam itu aku berkenalan dengan Gare du Nord – satu stesen kereta api dalam kota Paris. Aku mendengar dan merasakan suara kecewa dan perasaan patah hati Rick yang menunggu kekasihnya Ilsa di Gare du Nord.
Dua kekasih dilamun cinta ketika soldadu Hitler sedang mara menuju ke Paris. Rick dan Ilsa ingin mengundur dari Paris ke Marseille wilayah Selatan yang lebih selamat.
Petang itu hujan turun di Gare du Nord. Rick masih menunggu Ilsa. Matanya mencari cari. Akhirnya kepolan asap kereta api meninggalkan kota Paris tanpa Ilsa. Inilah kesah dua sosok dari dua negara bertemu dan jatuh cinta dalam kota Paris dalam zaman perang.
Hati muda aku tersiat tergoyak terganggu melihat janji seorang wanita secantik Ilsa. Ingatan aku terpahat pada Rick yang setia pada janji.
Satu petang aku dalam kereta api dari Brussels ke Wavre aku tidak dapat tempat duduk. Kereta api agak padat kerana hujung minggu. Aku berdiri menunggu kerusi kosong. Satelah melintas tiga perhentian aku ternampak satu kerusi kosong. Kerusi duduk hadap berhadapan dengan dua gadis. Aku mengangguk tanda hormat. Aku seperti biasa menjual senyum dan bertanya hendak mereka ke mana. Hendak mengayat aku belum faseh berbahasa Peranchis.
Aduh! Mereka dalam perjalanan pulang ke kampus Louvain-la-Neuve. Dua gadis dari Sepanyol ini belajar di univeristi aku. Maria mengikuti program pertukaran budaya Belgium – Sepanyol. Carmen mengikuti kursus pendek bahasa Peranchis. Aduh! Kenapa sekarang baru berjumpa.
Esoknya aku susul mereka di kampus. Lusanya kami berjumpa di cafe. Satu minggu kemudian Maria dan Carmen mengajak aku merasa makanan Sepanyol. Maria yang akan memasak Paella kerana menyambut kekasihnya Bernard yang akan datang dari San Sebastian.
Minggu ke dua aku pula mengajak Maria, Bernard dan Carmen merasa masakan Melayu. Aku masak gulai ayam masak kunyit dengan santan susu cair.
Minggu ke tiga aku jatuh cinta dengan Carmen gadis Sepanyol dari wilayah Basque.
Carmen dengan bangga menerangkan bahawa mereka bukan bangsa Sepanyol tapi Basque. Bahasa mereka, tulisan mereka amat amat berlainan dari orang Sepanyol. Carmen memberi aku kuliah bahawa di Sepanyol ada bangsa Catalan , ada Galicia dan Basque selain Sepanyol.
Ketika ini ETA ( Euskandi Ta Askatsuna) gerakan bawah tanah Basque sedang bergerila menuntut kemerdekaan dan mahu berpisah dari Sepanyol. Berita gerila ETA ini selalu aku baca dalam akhbar terutama bila ETA meledakkan bom disana sini.
Aku tak menyangka aku sedang jatuh cinta dengan gadis nasionalis Basque. Ah lan wa sah lan.
Dua sosok dari dua negara yang berasingan jatuh cinta di negara asing. Kami sama-sama merangkak menggunakan bahasa Peranchis. Aku bernasib baik kerana Carmen boleh bertutur dalam bahasa Inggeris.
Sebenaranya aku tidak risau dalam hal bahasa. Kerana ketika bercinta semua indah. Ciuman dan pelokan tidak memerlukan kata-kata. Salah cakap dan salah tulis pun – kalau dalam percintaan akan ditakrif sebagai romantik. Amin.
Ketika berdua-duaan dalam bercinta waktu berjalan amat laju. Dalam cinta ketika menunggu kekasih terasa jari dan tangan arloji bergerak terlalu lambat. Waktu dan masa menjadi relatif dalam cinta.
Hari beredar. Minggu berganti. Selesai pembelajaran Carmen dan Maria pulang ke San Sebastian. Aku tidak ke mana mana. Tapi aku berjanji untuk menyusul. Berjanji akan menyambung cinta. Jauh kami hanya 1000 kilometer. Kami dipisahkan oleh Peranchis.
Antara Wavre dengan San Sebastian ada Paris - kota percintaan.
‘ From Paris... ‘ Gadis ini dari Paris nak pulang ke Amsterdam. Gadis Belanda ini amat peramah dan faseh berbahasa Inggeris. Kami bersembang. Badan kami yang bergoyang berdiri tidak mengganggu perbualan kami. Mata aku membaca gadis cun ini. Sambil lewa gadis ini bercerita yang dia ke Paris untuk bertemu kekasihnya.
Awas Isham! Bila anak gadis secantik yang di hadapan mata mula berkesah tentang kekasihnya ini tanda .. Isham lu jangan masuk. Lu jangan cuba-cuba masuk mengayat. Amin
‘ On 16 September my boyfried and I ...we are going to Epernay...vendage.. ‘ Gadis ini terus lincah bercerita. Aku hanya mendengar dengan penuh perasaan ingin tahu.
‘Vendage... apa vendage ‘ aku bertanya.
‘Tu ne savais pas vendage....to cut grapes.. kamu tak tahu vendage... musim memotong buah anggur..’
Lalu gadis ini menerangkan betapa seronoknya kerja memotong anggur. Cuaca musim daun gugur bulan September yang indah. Ramai muda mudi siang memburuh memotong anggur malam berpesta. Ramai tenaga kerja diperlukan kerana memotong anggur ini ditetapkan tarikhnya – bila wajib bermula dan bila wajib berhenti.
“ Champagne ..cutting grapes for making champange... wilayah Epernay anggurnya wajib dipotong sarentak khusus untuk membuat champagne.”
‘ Take the train from Gare dua Nord... then to Epernay... .. di stesen Epernay pasti ramai tuan ladang anggur menunggu kereta api sampai... mereka mencari pekerja.
‘ On y va..... mari kita pergi..’
“Wow..’ Gadis Belanda ini telah berjaya mengayat aku untuk bertandang ke Epernay.
Aku kagum dengan gadis dari Amsterdam ini. Dia naik kereta api melintas dua negara hanya nak jumpa kekasih. Kenapa aku tak boleh membuat pekara yang sama. Kejantanan aku terusik dan tercabar.
Malam itu aku membuat keputusan untuk pergi ke Epernay.
Esoknnya aku menalipon Carmen. Aku mengayat Carmen untuk bersama memotong anggur di Epernay. Petang itu Carmen tidak memberi jawapan muktamad. Dia wajib melihat jadual kereta api dari San Sebastian ke Paris. Carmen juga mahu mengajak Maria datang bersama. Aku wajib bersabar menunggu jawapan.
Dua hari kemudian aku menalipon lagi. Kali ini Carmen memberi jawapan tuntas. Maria enggan datang kerana Bernard baru sampai dari Madrid. Carmen akan menaiki keretapi awal malam dari San Sabsatian. Dia akan sampai ke Gare du Nord esoknya awal petang – hampir 20 jam perjalanan.
Sehari sebelum ke Paris aku menalipon Carmen sekali lagi. Aku menggunakan talipon awam di sebelah stesen kereta api Wavre. Bila aku meletakan gagang talipon seluruh badan aku ikut tersenyum gumbira.
Esoknya aku mengambil kereta api tengah hari di Brussels. Perjalanan dua jam lebih. Awal petang aku akan sampai ke Gare du Nord. Aku memang merancang untuk sampai dulu sebelum Carmen. Aku merasa selesa menunggu.
Gare du Nord aku sampai. Aku menapak mencari cafe yang tidak jauh dari stesen. Aku hanya memesan kopi. Dalam masa dua jam Carmen akan sampai. Kami merancang untuk bermalam di Paris. Aku tidak tahu sangat kota ini tapi dua kekasih wajib meneroka kota cinta ini.
Dua jam berlalu Carmen tidak juga sampai. Aku setia menunggu. Mungkin kereta api terlambat. Mungkin ada gangguan di jalan. Aku menenangkan hati dengan berligar disekitar Gare dua Nord.
Aku amati watak stesen kereta api dalam dunia ini semuanya sama. Di sekitar stesen terdapat banyak cafe dan kedai makan. Banyak hotel dan rumah tumpangan yang harganya berpatutan. Bukan hotel berbintang tapi hotel untuk singgah bermalam sebelum meneruskan perjalanan.Aku telah mengenal pasti sebuah hotel yang aku baca sewa yang diiklankan agak demokratik.
Tiga jam berlalu. Aku memandang jam di stesen. Carmen tidak muncul. Hati aku mula berdebar. Apa terjadi. Jam enam petang aku masih menunggu. Risau resah kacau semua datang berkumpul.
Suara panggilan kereta api akan bergerak kerap kedengaran. Pengumuman ketua stesen ini mengingatkan aku kepada Rick yang menunggu Ilsa dalam hujan lebat.
Dalam Casablanca panggilan terakhir kereta api akan bergerak dalam masa tiga minit. Orang ramai yang berpusu lari dari soldadu Hitler dalam hujan lebat. Tetiba muncul Sam kawan Rick. Sam datang membawa surat pendek dari llsa. Dalam hujan Rick membaca surat Ilsa yang tulisannya semakin kabur dibasahi hujan.
Lalu aku berfikir untuk aku jadikan kenang kenangan maka aku wajib tidur di Gare du Nord. Ketika aku baring berlunjur aku teringat bait puisi Usman Awang – maka dewasalah hati saorang lelaki.
Kemudian aku bersandar sambil berlunjur ditembok. Aku tersenyum dan menepuk bahu aku sendiri. Tepukkan tanda hormat dan terima kaseh aku kepada tubuh badan Isham yang masih gagah berdiri membawa hati yang hancur kecewa.
EPILOK
Pada musim daun gugur tahun 2018 aku singgah sekali lagi ke Gare du Nord. Aku cuba mencari kerusi tempat aku menunggu Carmen. Tapi semuanya telah berubah. Yang tinggal hanya ingatan. (TT)
3 ulasan:
Gare de nord sudahnya garu telur saja. Aduh,lain kali pastikan ada kekasih atau tidak. Lelaki bagi perempuan ada empat,1)rakan sembang 2)simpan rahsia 3) kekasih 4) teman tidur. Kalau keempat empatnya satu sosok selamat berbahagia. Kalau keempat empatnya sosok lain lain maka kacau.
Aku pun di Gare du Nord, berseorangan...beza nya ialah, ia ada minggu yang sama, beberapa hari selepas peristiwa sembilan satu satu.
Duduk kat sana, akan sentiasa ada dua gendarmes bersama satu soldadu, pusing ke hulu ke hilir, sambil cencorong besar bermain suara lunak tegas awek Ferancis yang bagi amaran supaya berjaga jaga dengan barang persendirian. Kalau tak akan diambil untuk dimusnahkan...
Pengalaman zaman perang yang tak kesudahan...bayangkan, pengumunan perang terhadap terror, sampai sekarang belum ada pernamatan nya, belum ada armistice, belum habis lagi diperahkan harta kekayaan dunia ke elit kabal, belum habis rancangan nak jadi manusia sejagat abdi elit kabal...
Sekarang ni banyak cerita pengalaman kena pow saja di Gare Du Nord - di Paris atau Brussels sama saja. Teringat gua tahun 2016 terserempak dengan seorang brader berketayap dari kelate yang nampak panik dan sasau di luar station. Gua perasan beg dia ada sticker royalti untuk kelantan. Bila gua tegur, rupanya beg dia satu lagi baru kena sambar dengan kaki copet Gare Du Nord. Katanya dia baru sampai untuk kerja dekat restoran pakcik dia. Semoga brader tu dah berjaya sekarang.
Catat Ulasan