TIPU PILIHAN RAYA
TURUN JALAN RAYA
Akhirnya semua terbarai. Akhirnya semua bocor. Akhirnya semua terselak. Akhirnya semua terbonggeng. Tidak dapat disorokan lagi.
Ketika tulisan ini digarap 16/11/2020 pilihan raya Presiden Amerika 2020 telah selesai dua minggu dahulu. Selasa 3/11/2020 telah lama berlalu. Tapi hingga ke hari ini - dua minggu kemudian – tidak ada keputusan muktamad siapa berhak untuk menjadi penghuni Rumah Putih.
Jeo Biden dari Parti Demokrat klim dia menang. Donald Trump dari Parti Republican juga mengaku menang. Trump bukan sahaja mengaku menang malah telah mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa negeri kerana terbukti terlalu banyak penipuan undi telah berlaku.
Ketika tulisan ini digarap keputusan masih tergantung, Pengiraan undi tidak tuntas. Kes mahkamah ada yang bermula. Ada yang akan bermula.
Kita warga Dunia Ketiga apabila membaca atau melihat berita di kaca TV tentang apa yang sedang terjadi kepada Amerika wajib bergembira. Saya sendiri tidak dapat memadamkan kegembiraan saya apabila melihat apa yang telah, yang sedang dan yang akan dilakukan oleh Trump. Pada hemat saya Donald Trump adalah sosok Presiden Amerika yang jujur.
Apa Donald Trump jujur?
Pasti ramai akan menganggap kenyataan saya ini tidak tepat. Untuk memahaminya kenyataan ini kita wajib melihat tanda dan makna yang dibawa oleh sosok yang bernama Donald Trump.
Sosok ini adalah jelmaan apa itu Amerika. Trump adalah manifestasi dari konsep klise yang selalu kita dengar : The American Dream – Mimpi Amerika. Mimpi Amerika bermakna sesiapa sahaja jika berkerja kuat akan berjaya untuk jadi kaya raya di Amerika. Imigran yang datang sehelai sepinggang dari Itali, dari India, dari Brazil dari Kenya atau dari cerok mana pun boleh menjadi jutawan jika rajin bekerja.
Mimpi Amerika ini menjadi daya tarikan – menjadi besi berani – untuk sistem ekonomi kapitalis. Mimpi inilah yang menjemput seribu satu macam jenis manusia untuk bertandang dan mencuba nasib di Amerika.
Donald Trump mengambil alih perniagaan ayahnya - jual beli hartanah. Jual sana beli sini. Pinjam sana . Hutang sini. Bayar sana bayar sini. Pinjam duit bayar duit. Lari cukai bayar cukai. Trump adalah contoh sosok terbaik yang diwujudkan oleh sistem ekonomi kapitalis Amerika.
Dari tahun 2004-2015 Trump menerbit dan mengacara program TV – The Apprentice. Program ini tentang budaya dan cara kerja untuk berjaya jadi kaya raya dalam sistem ekonomi kapitalis. Melalui program popular ini Donald Trump dikenali oleh warga Amerika Trump menjadi ikon popular untuk Mimpi Amerika . Diluar kaca TV Trump telah berjaya menjadi pemaju perumahan, pemilik hotel dan pemilik gedung perniagaan.
Hendak menjadi Trump kini menjadi mimpi anak-anak muda Amerika. Trump juga pemilik syarikat Miss Univers – Ratu Dunia. Kini Trump dikelilingi oleh gadis-gadis cantik. Kaya , terkenal dan penuh glamor adalah ciri budaya kapitalis. Semua ini adalah Trump.
Justeru Trump lucah. Justeru Trump kasar. Justeru Trump bercakap atau berkicau apa yang dia fikir. Trump bukan membuat kira-kira politik. Cakap Trump tidak berlapik. Tidak wujud budaya sopan politik atau diplomasi dalam istilah Trump.
Trump bukan politikus yang mengada-ngada memulakan ucapan dengan assalam mualaikum. Mengakhiri cakap dengan alhamdulillah. Trump membuat congak dolar dan dinar. Trump mengira untung dan rugi dolar bukan perkiraan politik.
Hakikatnya Trump adalah Amerika tulen. Bukan elite Boston yang cuba-cuba ingin tersangkut atau memiliki talian dengan elite ‘ duit lama – old money. Trump tidak ada angan-angan untuk menjadi potokopi elite kelas pemerentah a la Eropah.
Hillary Clinton dalam kempen tahun 2016 untuk pertama kali dalam hidupnya telah berkata jujur. Hillary memanggil para penyokong Trumps sebagai ‘ a basket of deplorables’ – Sebakul Kutu Berahak. Kutu Berahak atau Mat Lekeh adalah panggilan penghinaan yang tepat dari elite politik Amerika terhadap penyokong setia Trump.
Awas. Keputusan pengundian Presiden tahun 2020 menunjukkan hampir 47% warga Amerika adalah penyokong setia Trump. Seramai 73 juta Kutu Berahak dan Mat Lekeh masih tetap setia dengan Trump.
Justeru mimpi parti Demokrat untuk dapat kemenangan durian runtuh – landslide victory - meleset. Penyokong Trump tidak berganjak. Sokongan bertambah kepada Parti Demokrat kerana undi tipu. Penipuan undi ini menjadi hujah utama dari penyokong Republican untuk menafikan Joe Biden dari masuk ke Rumah Puteh.
Kita warga Dunia Ketiga boleh ketawa kerana baju, seluar, kasut, stokin termasuk seluar dalam Amerika telah terburai. Dunia melihat Amerika bogel. Terima kaseh Donald Trump.
Selama ini Amerika mendabik dada klim bahawa negara yang bernama Amerika ini mengamalkan sistem demokrasi. Sistem pengundian yang jujur, telus dan adil. Amerika memberi ceramah sana sini tentang demokrasi. Amerika mengutuk negara di Asia, Afrika dan Amerika Latin sebagai negara kurang demokrasi.
Kini hipokrasi – topeng demokrasi ini telah dikoyakkan oleh Donald Ttump. Untuk saya ini adalah kejayaan utama Trump. Inilah hadiah Trump kepada dunia. Trump membogelkan ‘demokrasi Amerika’. Trump Presiden Amerika yang jujur.
Saya sendiri telah ketawa terbahak-bahak pada malam pengkiraaan undi. Ingatan saya kembali kepada pilihan raya umum di Malaysia. Segala taktik penipuan yang dilakukan oleh SPR ( Suruhanjaya Pilihan Raya ) untuk memastikan United Malays National Organisaton terus untuk berkuasa telah berlaku di Amerika.
Penipuan undi pos berlaku di Malaysia telah berlaku di Amerika. Di Malaysia ada undi hantu. Di Amerika ada undi hantu. Mengundi dua kali berlaku di Malaysia berlaku juga di Amerika. Kertas undi datang lambat. Kertas undi hilang. Kertas undi kotor kerana salah pen. Pemerhati dilarang memerhati. Pemantau dihalau keluar.
Semua kejadian penipuan ini berlaku dalam PRU Malaysia. Semua ini telah dibukukan dan dirakam oleh Bersih. Minggu lalu media dunia melaporkan semua kejadian yang sama telah juga berjalan di Amerika.
Malah paling lawak ialah berita leterik padam. Ini kes klasik yang sering berlaku di malam mengira undi di PRU Malaysia. Leterik padam juga berlaku di Amerika. Akibat leterik padam internet putus. Bila leterik datang kembali undi Joe Biden bertambah. Kah kah kah.
Lalu saya teringat PRU 10 di Lembah Pantai tahun 1999. Sharizat Jalil dari United Malays National Organisation melawan Zainur Zakaria dari Parti Keadilan Nasional. Peti undi datang lambat dari Kampong Bohol dan Kampong Pasir. Hujan tidak ribut pun tidak. Peti undi datang lambat kerana dikatakan banjir. Kah kah kah. Tetiba 10,000 kertas udi datang lambat di Pennsylvania. untuk Joe Biden. Kah kah kah.Sabenarnya selama ini penipuan berlaku dalam sistem mengundi di Amerika. Tetapi elit politik Amerika mendiamkan perkara ini. Topeng penipuan ini tidak koyak. Tup tup datang Presiden jujur bernama Trump. Semua habis terbarai. Topeng demokrasi koyak.
Ingat kembali dalam pemilihan antara George W Bush dengan Al-Gore pada tahun 2000. Penipuan undi telah berlaku. Kes dibawa ke mahkamah tinggi untuk pengiraan udi di Florida. Tapi Al-Gore tidak jujur. Dia tidak mahu dianggap belot terhadap elit politik. Al-Gore tidak terus melawan saperti Trump maka Bush menang dengan kelebihan 1 undi.
Kemenagan Bush di Florida dikaitkan dengan sistem komputer yang mengira undi. Syarikat komputer yang digunak pakai di Florida milik adik Bush.
Tahun 2020 sistem komputer yang mengira undi juga dikatakan dibeberapa negeri dimiliki oleh syarikat yang bertali rapat dengan Parti Democrat. Hakikatnya siapa pemilik server akan dapat menentukan jumlah undi yang dikira. Amin.
Media arus perdana telah melaporkan bahawa Joe Biden telah menang. Tetapi secara resmi pengumuman sah hanya datang dari Kongress Amerika. Tanpa pengumuam Kongress tidak ada sapa yang menang.
Dalam sistem pemilihan di Amerika undi popular tidak memberi apa apa kemenangan. Yang memenangkan ialah undi electoral college . Amerika ada 50 negeri. Setiap negeri itu memiliki undi electoral colege. Kalau Biden menang di Alabama maka electoral Alabama milik Biden. Kalu Trump menang Florida maka electoral college Florida milik Trump. Jumlah undi ini lah yang akan di kumpul.
Sesiapa yang telah melintas 270 undi maka sosok itu menang untuk menjadi Presiden Amerika. Dan hanya Kongress yang sah membuat pengumuman. Ini akan berlaku pada bulan Disember.
Ketika saya menulis ini juga TV SKY Australia memaparkan laporan Rudy Giulaini peguam Donald Trump. Mengikut peguam ini sistem komputer yang mengira undi di berapa negeri disyaki dan tidak boleh dipercayai. Kes yang paling menonjol berlaku di Pennsylvania dimana Trump telah mendahulu Biden dengan 800,000 undi. Mustahil Biden akan dapat mengatasi. Tetiba sistem komputer terhenti dan jumlah undi Biden bertambah.
Mengikut peguam yang bekas Datuk Bandar New York kes yang sama telah berlaku di Wisconsin dan Michigan.
Sistem pengiraan komputer ini telah pernah diharamkan 10 tahun dahulu di Amerika. Sistem ini terbukti menipu dan telah digunakan di Amerika Latin. Kali ini sistem ini telah menyamar masuk sebagai ‘ sub-contractor’.
Justeru mengikut peguam Rudy Giulaini anak guamnya Doland Trump tidak akan mengaku kalah sahingga semua kes penipuan ini di selesaikan secara tuntas di Mahkamah tertinggi Amerika ( Supreme Court ).
Justeru penyokong Trump kini turun ke jalan raya kerana ada penipuan di dalam pilihan raya.Penyokong Trump dikatakan Mat Lekeh dan Kutu Berahak. Siapa pula yang merancang semua ini untuk memenangkan Joe Biden. Siapa dan kenapa? Tunggu minggu hadapan.(TT)
3 ulasan:
Pesal lu x sebut psl trump iktiraf baitul maqdis sbg ibu negeri israel? Lu x amik pot org islam ke? Sje tny jgn marah
Syabas pemimpin negara maju dah pandai tiru negara ketiga cara nak menang pilihan raya...tipu undi hahaha
Sosok Trump sosok angkuh,sombong, kaya dan berlagak. Sosok Biden penyorok,pemakai jubah agama,jubah intelek,orang kaya bijaksana yg mahu mengubah dunia jadi lebih baik. Sosok Biden banyak di malaysia. Depan sana cakap lain sini cakap lain tapi nak masuk balik umno ikut pintu belakang sbb poyo nak tunjuk alim tak mahu dilihat jahat dengan masuk umno ikut pintu depan.
Catat Ulasan