Khamis, 19 November 2020

TIPU PILIHAN RAYA - TURUN JALAN RAYA



TIPU  PILIHAN RAYA 

TURUN JALAN RAYA 


Akhirnya semua terbarai. Akhirnya semua bocor. Akhirnya semua terselak. Akhirnya semua terbonggeng.  Tidak dapat disorokan lagi.  

Ketika tulisan ini digarap  16/11/2020  pilihan raya Presiden Amerika 2020   telah selesai dua minggu dahulu.  Selasa 3/11/2020 telah lama berlalu.  Tapi hingga ke hari ini  - dua minggu kemudian – tidak ada keputusan muktamad siapa berhak untuk menjadi penghuni Rumah Putih.

Jeo Biden dari Parti Demokrat klim dia menang. Donald Trump dari Parti Republican juga mengaku menang.  Trump bukan sahaja mengaku menang malah telah mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa negeri kerana  terbukti terlalu banyak penipuan undi telah berlaku.

Ketika tulisan ini digarap keputusan masih tergantung, Pengiraan undi tidak  tuntas. Kes mahkamah ada yang bermula. Ada yang akan bermula.

Kita  warga Dunia Ketiga  apabila membaca atau melihat berita di kaca TV tentang apa yang sedang terjadi kepada Amerika  wajib bergembira. Saya sendiri tidak dapat memadamkan  kegembiraan saya apabila melihat apa yang telah, yang sedang dan yang akan  dilakukan oleh Trump. Pada hemat saya Donald Trump adalah sosok Presiden Amerika yang  jujur. 

Apa Donald Trump jujur?

Pasti ramai akan menganggap  kenyataan saya ini  tidak tepat. Untuk memahaminya kenyataan ini kita wajib melihat tanda dan makna yang dibawa  oleh sosok yang bernama Donald Trump.

Sosok ini adalah jelmaan  apa itu Amerika. Trump adalah manifestasi dari  konsep klise yang selalu kita dengar : The American Dream – Mimpi Amerika. Mimpi Amerika bermakna sesiapa sahaja jika berkerja kuat akan berjaya untuk jadi kaya raya di Amerika. Imigran  yang datang sehelai  sepinggang dari Itali, dari India, dari Brazil dari Kenya atau dari cerok mana pun  boleh menjadi jutawan jika rajin bekerja.

Mimpi Amerika ini menjadi daya tarikan – menjadi besi berani – untuk sistem ekonomi kapitalis. Mimpi inilah yang menjemput seribu satu macam jenis manusia untuk  bertandang dan mencuba nasib di Amerika.

Donald Trump mengambil alih perniagaan ayahnya  - jual  beli hartanah. Jual sana  beli sini.  Pinjam sana . Hutang sini. Bayar sana bayar sini. Pinjam duit bayar duit. Lari cukai bayar cukai.   Trump adalah contoh sosok terbaik  yang diwujudkan oleh sistem ekonomi kapitalis Amerika. 

Dari tahun 2004-2015 Trump menerbit dan mengacara  program  TV – The Apprentice.   Program ini  tentang budaya dan cara kerja  untuk berjaya jadi kaya raya dalam sistem ekonomi kapitalis.  Melalui program popular ini Donald Trump dikenali oleh  warga Amerika Trump menjadi ikon popular untuk Mimpi Amerika . Diluar kaca TV Trump telah berjaya menjadi pemaju perumahan, pemilik hotel dan pemilik gedung perniagaan. 

Hendak menjadi Trump kini menjadi mimpi anak-anak muda Amerika. Trump  juga  pemilik  syarikat Miss Univers – Ratu Dunia.  Kini Trump  dikelilingi oleh gadis-gadis cantik.   Kaya , terkenal dan penuh glamor adalah ciri budaya kapitalis.  Semua ini adalah  Trump.

Justeru Trump lucah. Justeru Trump kasar. Justeru Trump bercakap atau berkicau  apa yang dia fikir. Trump bukan membuat kira-kira politik.  Cakap Trump tidak  berlapik. Tidak wujud budaya sopan politik atau diplomasi dalam istilah Trump. 

Trump bukan politikus yang mengada-ngada memulakan ucapan  dengan assalam mualaikum. Mengakhiri cakap dengan alhamdulillah. Trump membuat congak  dolar dan dinar. Trump mengira  untung dan rugi dolar bukan perkiraan politik.

Hakikatnya Trump adalah Amerika  tulen. Bukan elite Boston yang cuba-cuba ingin tersangkut  atau memiliki talian   dengan elite  ‘ duit lama – old money. Trump tidak ada angan-angan untuk menjadi potokopi  elite kelas pemerentah a la  Eropah. 

Hillary Clinton dalam  kempen tahun 2016 untuk pertama kali dalam hidupnya telah berkata jujur. Hillary memanggil para  penyokong Trumps sebagai ‘ a basket of deplorables’ – Sebakul Kutu Berahak.  Kutu Berahak atau  Mat Lekeh adalah  panggilan penghinaan yang tepat dari elite politik Amerika terhadap  penyokong setia Trump. 

Awas. Keputusan pengundian Presiden tahun  2020 menunjukkan hampir  47% warga Amerika adalah  penyokong setia Trump. Seramai 73 juta   Kutu Berahak dan Mat Lekeh masih tetap setia  dengan Trump.

Justeru mimpi parti Demokrat untuk dapat kemenangan  durian runtuh – landslide victory -  meleset.   Penyokong Trump tidak berganjak.  Sokongan bertambah kepada   Parti Demokrat kerana undi tipu. Penipuan undi ini  menjadi hujah utama dari penyokong Republican untuk menafikan Joe Biden dari masuk  ke  Rumah  Puteh.

Kita warga Dunia Ketiga boleh ketawa kerana baju, seluar, kasut, stokin termasuk seluar dalam Amerika telah terburai. Dunia melihat Amerika bogel.  Terima kaseh Donald Trump.

Selama ini Amerika mendabik dada klim bahawa  negara yang bernama Amerika  ini mengamalkan  sistem demokrasi. Sistem  pengundian yang jujur, telus dan adil.  Amerika memberi ceramah sana sini tentang demokrasi. Amerika mengutuk negara di Asia, Afrika dan Amerika  Latin sebagai negara  kurang demokrasi.

Kini  hipokrasi – topeng demokrasi ini telah dikoyakkan oleh Donald Ttump. Untuk saya ini adalah kejayaan utama Trump. Inilah hadiah Trump kepada dunia.   Trump membogelkan ‘demokrasi Amerika’. Trump Presiden Amerika yang jujur.

Saya sendiri telah ketawa terbahak-bahak pada malam pengkiraaan undi.  Ingatan saya kembali kepada pilihan raya umum di Malaysia. Segala  taktik penipuan yang dilakukan oleh SPR ( Suruhanjaya Pilihan Raya ) untuk memastikan United Malays National Organisaton terus untuk berkuasa  telah berlaku di Amerika.

Penipuan undi pos berlaku di Malaysia telah  berlaku di Amerika. Di Malaysia ada undi hantu. Di Amerika ada undi hantu.    Mengundi dua kali berlaku di Malaysia berlaku  juga di Amerika.   Kertas undi datang lambat. Kertas undi hilang. Kertas undi kotor kerana salah pen. Pemerhati dilarang memerhati. Pemantau dihalau keluar. 

Semua kejadian penipuan  ini berlaku dalam PRU Malaysia. Semua ini telah dibukukan  dan dirakam oleh Bersih. Minggu  lalu media dunia melaporkan semua kejadian yang sama  telah juga berjalan di Amerika.

Malah paling lawak ialah berita leterik padam. Ini kes klasik yang sering berlaku di malam  mengira undi di PRU Malaysia. Leterik padam juga berlaku di Amerika. Akibat leterik padam  internet putus. Bila leterik datang kembali undi Joe Biden bertambah. Kah kah kah.

Lalu saya teringat PRU 10 di Lembah Pantai tahun 1999.  Sharizat Jalil  dari  United Malays National Organisation  melawan  Zainur Zakaria  dari Parti Keadilan Nasional.  Peti undi datang lambat dari Kampong Bohol dan Kampong Pasir. Hujan tidak ribut pun  tidak. Peti undi datang lambat kerana dikatakan  banjir. Kah kah kah. Tetiba 10,000 kertas udi datang lambat  di Pennsylvania. untuk Joe Biden.  Kah kah kah.

Sabenarnya selama ini penipuan berlaku dalam sistem mengundi di Amerika.  Tetapi elit politik Amerika mendiamkan perkara ini. Topeng penipuan ini tidak koyak. Tup tup datang Presiden jujur bernama Trump. Semua habis terbarai. Topeng  demokrasi koyak.

Ingat kembali dalam pemilihan antara George W Bush dengan Al-Gore pada tahun 2000. Penipuan undi telah berlaku. Kes dibawa ke mahkamah tinggi untuk pengiraan udi di Florida. Tapi Al-Gore  tidak jujur.  Dia tidak  mahu dianggap belot terhadap elit politik. Al-Gore tidak terus melawan saperti Trump maka Bush menang dengan kelebihan  1 undi.  

Kemenagan Bush di Florida dikaitkan dengan  sistem komputer yang mengira undi. Syarikat komputer  yang digunak pakai di Florida  milik adik Bush.

Tahun 2020  sistem komputer yang mengira undi juga dikatakan dibeberapa negeri dimiliki oleh syarikat yang bertali rapat dengan  Parti Democrat. Hakikatnya siapa pemilik server akan dapat menentukan jumlah undi yang dikira. Amin.

Media arus perdana  telah melaporkan bahawa Joe  Biden telah menang.  Tetapi secara resmi  pengumuman sah  hanya datang dari Kongress Amerika.  Tanpa  pengumuam Kongress tidak ada sapa yang menang.

Dalam sistem pemilihan di Amerika  undi popular tidak memberi apa apa kemenangan.  Yang memenangkan ialah undi  electoral college . Amerika ada 50 negeri. Setiap negeri itu memiliki  undi electoral colege.  Kalau  Biden menang di Alabama maka electoral Alabama milik Biden.  Kalu Trump menang  Florida  maka electoral college Florida  milik Trump.  Jumlah undi ini lah  yang akan di kumpul.

Sesiapa yang telah melintas 270 undi maka sosok itu menang untuk menjadi Presiden Amerika. Dan hanya Kongress yang sah membuat pengumuman. Ini akan berlaku pada bulan Disember.

Ketika saya menulis ini juga  TV SKY Australia memaparkan laporan   Rudy Giulaini  peguam Donald Trump. Mengikut peguam ini sistem komputer yang mengira undi  di berapa negeri disyaki dan tidak boleh dipercayai. Kes yang paling menonjol berlaku  di Pennsylvania dimana Trump telah mendahulu Biden dengan 800,000 undi. Mustahil Biden akan dapat mengatasi.  Tetiba sistem komputer terhenti dan jumlah undi Biden bertambah.

Mengikut peguam yang bekas Datuk Bandar New York kes yang sama telah berlaku di  Wisconsin dan Michigan.

Sistem pengiraan komputer ini telah pernah diharamkan 10 tahun dahulu di Amerika. Sistem ini terbukti menipu dan telah digunakan di Amerika Latin. Kali ini sistem ini telah menyamar masuk sebagai ‘ sub-contractor’.

Justeru mengikut peguam Rudy Giulaini  anak guamnya  Doland Trump tidak akan mengaku kalah sahingga semua kes penipuan ini di selesaikan secara tuntas  di Mahkamah tertinggi Amerika ( Supreme Court ).

Justeru penyokong Trump kini turun ke jalan raya kerana ada penipuan di dalam pilihan raya.Penyokong Trump dikatakan Mat Lekeh dan Kutu Berahak. Siapa pula yang merancang semua ini untuk memenangkan Joe Biden. Siapa dan kenapa? Tunggu minggu hadapan.(TT) 

 

3 ulasan:

Jebat 2 berkata...

Pesal lu x sebut psl trump iktiraf baitul maqdis sbg ibu negeri israel? Lu x amik pot org islam ke? Sje tny jgn marah

capt salai berkata...

Syabas pemimpin negara maju dah pandai tiru negara ketiga cara nak menang pilihan raya...tipu undi hahaha

Tanpa Nama berkata...

Sosok Trump sosok angkuh,sombong, kaya dan berlagak. Sosok Biden penyorok,pemakai jubah agama,jubah intelek,orang kaya bijaksana yg mahu mengubah dunia jadi lebih baik. Sosok Biden banyak di malaysia. Depan sana cakap lain sini cakap lain tapi nak masuk balik umno ikut pintu belakang sbb poyo nak tunjuk alim tak mahu dilihat jahat dengan masuk umno ikut pintu depan.